Monday, November 11, 2013

Ardi Hamza Menghitung Hari Ke Tali Gantung!


Suspek utama kes pembunuhan Allahyarham Norazita Abu Talib yang berjaya ditahan di Kota Tinggi, Johor pagi tadi dilihat berkemungkinan besar ke tali gantung kerana jenayah dilakukannya.


Ini berikutan kewujudan bukti-bukti yang amat jelas dan tidak boleh disangkal terhadap apa yang dilakukan suspek itu.

Berita penangkapan suspek atau namanya Ardi dimaklumkan oleh Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Hadi Ho Abdullah di laman Facebook Polis Diraja Malaysia (PDRM) hari ini.

“Pada jam 7.00 pagi 10 Nov 2013, bertindak atas maklumat, Pasukan Cantas Khas PDRM telah berjaya menangkap seorang lelaki di Kg Belungkor, Kota Tinggi, Johor yang dipercayai suspek utama dalam kejadian samun di Subang Jaya pada 23 Oktober 2013 yang melibatkan kematian seorang kakitangan Ambank.

“Pihak Polis percaya dengan penangkapan suspek utama ini, kes berkenaan telah berjaya diselesaikan. Pihak polis ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada orang ramai di atas kerjasama dan keperihatinan mereka dalam kes ini,” kata Hadi Ho.

Suspek ditahan di Kampung Belungkor, Kota Tinggi yang berdekatan dengan Terminal Feri Tanjung Belungkor yang turut menyediakan perkhidmatan untuk ke Indonesia di Pulau Bintan dan Batam.

Kemungkinan suspek merancang untuk menyelinap keluar dari Malaysia melalui jeti berkenaan.

Jika dilihat daripada jenayah yang dilakukan dan kesemua bukti sudah dirakamkan di dalam rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di bank ketika kejadian, Ardi hanya menunggu masa untuk ke tali gantung.

Jutaan rakyat Malaysia pastinya berdoa agar keadilan untuk Allahyarham Norazita akan diperoleh dan Ardi menerima hukuman yang setimpal.

Kes berkenaan sudah pasti bakal disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan bagi kesalahan membunuh yang boleh membawa hukuman gantung sampai mati mandatori bagi Ardi.

Daripada rakaman CCTV, jelas senjata yang digunakan untuk membunuh Norazita berada padanya selepas tembakan itu dilepaskan.

Rakaman CCTV juga dengan jelas merakam tindakan suspek membawa keluar wang yang berada dalam bilik kebal bank berkenaan dan kemudian melarikan diri dengan wang berkenaan yang berjumlah kira-kira RM450,000.

Cuma jangan ada mana-mana pendakwa raya samdol yang uruskan kes itu nanti sampai suspek terlepas akibat masalah teknikal sudah la… kerana sudah banyak kali terjadi di Malaysia.

Baik kita sebut pasal kualiti pendakwaan bermula sekarang.

Kita akan mengikuti perbicaraan melibatkan kes selepas ini dan apakah yang akan dikatakan oleh saksi-saksi dalam kes itu nanti.

Sumber: Mynewshub

Add Comments

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon