Sunday, September 15, 2013

Bintang Terkenal Kanak-kanak Disney Yang Kini Menjadi Simbol Seks Dewasa!


Ada apa dengan bintang Disney? Atau soalan yang lebih tepat, apa kena dengan bintang Disney?

Sebaik sahaja mereka melangkah dewasa, mereka bagai tidak sabar mahu melenyapkan semua kesan-kesan mereka bekas artis Disney yang berimej bersih, yang menjadi idola kanak-kanak dan yang boleh ditonton semua.

Dengan alasan seperti 'ingin membuktikan bahawa mereka telah dewasa', kebanyakannya menggunakan cara yang seakan sama-biasanya melibatkan dadah, gambar lucah, perangai yang buruk di khalayak ramai, dan apa saja yang mempunyai apa yang dikatakan sebagai 'shock value'.

Ia membuat anda tertanya-tanya, adakah percubaan untuk membuktikan anda telah dewasa menunjukkan anda sebenarnya masih belum matang?

Miley Cyrus

Miley Cyrus

Dia bermula sebagai si gadis ceria Miley yang mempunyai identiti rahsia sebagai bintang besar dalam siri terbitan Disney, "Hannah Montana".

Namun begitu, perpisahan ibu bapanya, pujian yang diterima kerana imejnya yang bersih dan namanya yang dijulang sebagai idola kanak-kanak menjadikan gadis ini mahu bebas dari semuanya.

Jadi dia mulakan dengan lagunya, "Can't Be Tamed" yang memperlihatkan Miley dengan imej yang lebih seksi. Kemudian gambar-gambar telanjangnya dikeluarkan, dan berita tentang masalah dadahnya turut menarik perhatian ramai.

Bapanya enggan mengaku dia sebagai anak, dan Miley bertindak membalas kritikan dunia dengan lagu "We Can't Stop".

Menonton video klipnya saja sudah buat anda berkerut dahi, dan selain kontroversi tentang lirik "Dancing with Molly" yang merujuk kepada dadah (dadah jenis ecstacy), Miley tambah lagi kontroversi dengan membuat persembahan separa lucah di pentas MTV VMA 25 Ogos lalu sehinggakan ikon seksi Rihanna sendiri memandangnya dengan reaksi aneh.

Fergie

Stacy Ann Ferguson

Stacy Ann Ferguson memulakan kerjaya seninya pada tahun 1984 dengan menjadi sebahagian daripada rancangan "Kids Incorporated" di Saluran Disney.

Selepas tamatnya rancangan tersebut, Stacy, seperti mana gadis-gadis keluaran Disney yang lain, cuba memasuki bidang muzik dengan menjadi sebahagian daripada kumpulan Wild Orchid, yang turut disertai seorang lagi ahli "Kids Incorporated", Renee Sandstrom.

Malangnya, keadaan jadi tidak terkawal selepas dia meninggalkan kumpulan tersebut dan Stacy mula mengalami ketagihan dadah jenis methamphetamine (atau dikenali dengan nama crystal meth) pada tahun 2001.

Tapi akhirnya dia berjaya kembali sebagai anggota kumpulan The Black Eyed Peas. Cumanya, tiada lagi Stacy comel yang berambut kerinting.

Kini hanya anda hanya punya Fergie, yang mahu anda dengar tentang keseksian tubuh badannya dalam lagu seperti "My Humps".

Lindsay Lohan

Lindsay Lohan

Ketika dia mula melakonkan filem-filem Disney, Lindsay baru berusia 11 tahun. Tapi lakonannya sebagai si kembar Annie dan Hallie dalam "The Parent Trap" menerima pujian ramai sehingga ramai yang meramal bahawa Lindsay bakal menjadi pelakon yang hebat suatu hari nanti.

Tapi kemudiannya dia menghentikan kerjaya lakonannya buat seketika untuk mengalami kehidupan remaja biasa sepenuhnya atas alasan tidak mahu zaman kanak-kanaknya dirampas dan menyebabkan dia memberontak seperti kebanyakan pelakon kanak-kanak yang lain.

Dia kembali ke layar perak dengan "Freaky Friday" ketika berusia 17 tahun, dan melakonkan sebuah lagi filem Disney, "Confessions of a Teenage Drama Queen" pada tahun berikutnya.

Filem "Mean Girls" yang dilakonkannya pada tahun yang sama mula menaikkan nama Lindsay. Namun semuanya jadi makin teruk sejak itu.

Dia yang sebelum ini begitu yakin dia tidak akan jadi seperti Britney Spears atau Drew Barrymore mula mengalami kejatuhan apabila dia menghabiskan banyak masanya berparti berbanding berlakon.

Pemenjaraan bapanya, Michael akibat jenayah kolar putih selain perpisahan ibu bapanya membuatkan Lindsay mula menjinakkan diri dengan dadah dan arak.

Selebihnya? Pusat pemulihan, dadah, percintaan dengan kekasih lesbian, pergaduhan dengan kekasih lesbian, pusat pemulihan, dadah dan arak, hospital, pusat pemulihan semula, penjara, langgar lari, pergaduhan, dan pusat pemulihan lagi.

Selena Gomez

Selena Gomez

Si gadis Latina yang membintangi "Wizards of Waverly Place" ini menjadi bintang Disney kesukaan ramai kerana wajahnya yang manis, sikapnya yang ceria dan kelihatan seperti seorang gadis yang anda mahu jadikan kawan baik anak anda. Malah dia bercinta dengan Justin Bieber. Tiada apa yang lebih 'comel' dari itu.

Tapi mereka kemudiannya berpisah, dan Selena mula 'mencuba', seperti mana bintang Disney lain yang mahu dilihat sebagai seorang 'artis' dan bukan 'idola kanak-kanak'.

Caranya? Dengan menerima tawaran melakonkan filem galak "Spring Breakers" bersama seorang lagi alumnus Disney, Vanessa Hudgens. Gambar mereka berdua bersama dua lagi pelakon lain yang hanya berbikini dan saling menyentuh punggung masing-masing saja sudah cukup untuk buat ibu bapa seluruh Amerika pening kepala.

Itu belum lagi lagu terbarunya, "Come & Get It", yang menggabungkan beat bhangra dengan lirik yang bercakap tentang 'open invitation' buat lelaki untuk 'come and get it'.

Britney Spears

Britney Spears

Antara ramai artis Disney yang menjadi buah mulut orang ramai, Britney merupakan sumber utama. Si gadis All-American berambut coklat ini suatu masa dahulu seorang gadis manis dari Selatan yang diminati ramai dalam "The New Mickey Mouse Club".

Namun rancangan itu dibatalkan selepas hanya beberapa musim dan Britney mula mencari ruang untuk dia melebarkan sayapnya.

Dia dilamar Jive Records pada tahun 1997 dan melancarkan "...Baby One More Time" yang mengubah imejnya agar sedikit nakal tetapi masih disukai. Malah dia membuat kenyataan bahawa dia masih perawan.

Tapi Britney juga mahu dilihat sebagai 'orang dewasa', dan kerana itu sedikit demi sedikit, dia mula mengubah imejnya agar menjadi lebih seksi.

Keadaan jadi lebih tidak terkawal buat Britney selepas perpisahannya dengan Justin Timberlake. Dia mula menghasilkan muzik yang lebih berani, malah mengejutkan ramai dengan perkahwinan 55 jam dengan kawan lamanya, Jason Alexander, sebelum mengejutkan lagi media dengan perkahwinannya dengan seorang penari yang tidak dikenali bernama Kevin Federline, yang sudah punya anak dengan wanita lain sedang wanita itu juga mengandung.

Selepas rancangan realiti yang tidak menjadi, album yang kurang mendapat sambutan, kelahiran dua orang anak, dan perceraiannya, Britney banyak menghabiskan masanya berparti, gambar lucahnya menjadi muka depan majalah, dia dihantar ke hospital dengan ambulans, mahkamah menyerahkan hak penjagaan anak-anaknya kepada bekas suami, persembahan pembukaannya di MTV VMA mendapat kritika hebat, dan... oh, jangan lupa tentang insiden botaknya!

Vanessa Hudgens

Vanessa Hudgens

Dalam "High School Musical", wataknya sebagai Gabriella merupakan seorang gadis bijak yang mendapat tawaran untuk memasuki Universti Stanford.

Secara realitinya, selepas 'menamatkan pengajian' dari Saluran Disney, Vanessa Hudgens tidak mempunyai kerjaya lakonan yang agak memberangsangkan.

Selain daripada menjadi seorang daripada barisan bintang filem "Sucker Punch", dia mengejutkan ramai apabila gambar-gambar telanjangnya dikeluarkan di Internet.

Vanessa juga menyertai Selena Gomez dalam membintangi filem "Spring Breakers" selain melancarkan imej dan lagu terbarunya, "$$$ex".

Lihat tajuk lagunya saja. Tidak perlu dijelaskan lebih lanjut.

BACA INI JUGA: Anak-beranak Selebriti Terkenal Hollywood

Sumber: Yahoo.com

Add Comments

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon