Monday, August 26, 2013

Kenapa Sebenarnya Tun Mahathir 'Benci' Abdullah Badawi?


Tun Dr Mahathir sudah memberikan reaksi terhadap anggapan Abdullah Badawi yang tindakannya membatalkan projek yang diambil semasa pentadbiran beliau (Mahathir) ialah untuk mengelakkan negara menjadi muflis.


Abdullah menjawab kenapa beliau membatalkan keputusan Mahathir apabila beliau (Abdullah) mengambil alih kepimpinan negara dalam wawancara buku ‘The awakening’ hasil kerja Professor Chin dan Welsh.

Saya sememangnya tertunggu-tunggu jawapan Dr Mahathir kerana kata-kata beliau sejak menjadi Timbalan Perdana Menteri lagi sememangnya menjadi minda saya untuk mengikutinya. Oleh kerana saya sejak 30 tahun dahulu mengikuti setiap kata-kata dan kenyataan beliau , maka saya tahu di mana beliau bercakap benar dan dimana beliau berbohong atau di mana beliau bercakap untuk mengelirukan semua orang.

Beliau boleh berbahas dengan menggunakan bahasa kasar dan juga boleh mengambil tindakan menyindir jika beliau sudah tidak mempunyai ruang untuk membalas perbahasan musuhnya dengan tepat dan jelas.

Kali ini beliau menjawab tanggapan Abdullah Badawi itu dengan sindiran. Beliau menjawab dengan menyindir Abdullah jika beliau (Mahathir) bersara lama sebelum itu negara akan berada dengan wang yang menggunung, tetapi Abdullah tidak juga dapat mempertahankan kemenangan tradisi BN dengan majoriti 2/3 dalam pilihanraya ke-12 lalu.

Mahathir berkata, jika beliau berhenti jauh sebelum tarikh yang beliau sebenarnya bersara dahulu beliau membayangkan negara tidak akan ada KLCC, jambatan P Pinang, Putrajaya, KLIA dan berbagai-bagai projek raksaksa yang kita lihat sekarang ini.

Bagi saya antara Mahathir dengan Abdullah pergeseran mereka bukan kerana perjuangan. Sebenarnya Mahathir merasakan Abdullah tidak menunjukkan sikap berterima kasih kepadanya (Mahathir) dengan secukupnya.

Beliau mahukan Abdullah terus-terusan menunjukkan perasaan bersyukur yang tidak terkira kerana menjadi Perdana Menteri atas pilihannya (Mahathir).

Mahathir tidak mahu setakat Abdullah mengucapkan terima kasih sahaja. Mahathir mahu Abdullah sentiasa berhutang budi kepadanya dan sentiasa ‘berzikir’ dan ‘mengtauhidkan’ beliau ‘in perpetuity’.

Itu sebabnya setelah Abdullah mengambil keputusan membatalkan projek jambatan bengkok itu, beliau mengambil isu itu sebagai alasan untuk memulakan serangan terhadap Abdullah. Sebenarnya Mahathir sudah marah dan kecewa terhadap Abdullah hanya sebulan dua selepas Abdullah mengambil pimpinan negara.

Pembatalan projek jambatan bengkok itu hanya dijadikan penyebab untuk menyerang dan melepaskan perasaan marah dan kecewa beliau sahaja.

Dr Mahathir kecewa dengan Abdullah kerana Abdullah tidak menghormati keputusan kerajaan pimpinannya sebelum ini dengan membatalkan apa yang dipersetujui untuk dilaksanakan. Tetapi ini adalah perkara yang biasa bagi seseorang yang mengambil alih pentadbiran baru. Mahathir sendiri tidak menghormati banyak perkara yang dipersetujui Kabinet Hussein Onn sebelum beliau.

Kabinet Hussein Onn mengambil keputusan untuk tidak membenarkan kerajaan negeri atau agensi kerajaan supaya tidak menubuhkan syarikat yang menubuhkan Saham Amanah untuk memberikan tumpuan kepada Sekim Amanah Saham Nasional yang diuruskan Amanah Saham Nasional Bhd sahaja.

Selain ASNB tidak dibenarkan mana-mana pihak menubuhkan skim amanah kerana ia akan membantutkan usaha terancang untuk memindahkan hasil kekayaan negara kepada Bumiputra. Kerajaan hanya bersetuju membenarkan skim Amanah yang diurus oleh TKMB (Tabung Kumpulan Modal Bumiputra) yang diurus oleh Amanah Saham MARA Bhd sahaja.

Tetapi Mahathir mengenepikan keputusan ini apabila mengambil alih kepimpinan negara dan membenarkan banyak negeri-negeri menubuhkan Amanah Saham mereka sendiri seperti Amanah Saham Terengganu, Selangor, Johor dan banyak lagi agensi kerajaan lain menubuhkannya.

Hasilnya berbillion wang Bumiputra hilang kerana masing-masing mempunyai pasaran Bumiputra yang sama. Hasilnya semua skim amanah yang bercambah itu mengalami kerugian dan ditutup operasinya. Orang Melayu kerugian berbillion ringgit wang simpanan mereka yang tidak seberapa itu.

Sebenarnya ‘kesilapan’ Abdullah hanya mengecewakan kehendak peribadi Dr Mahathir sahaja. Abdullah tidak sedar yang beliau dipilih oleh Dr Mahathir kerana Mahathir merasakan beliau boleh diperlakukan apa sahaja olehnya (Mahathir) kerana Mahathir masih banyak agenda peribadi beliau dan memerlukan Abdullah untuk memberikan ruang bagi mendapatkannya.

Dr Mahathir tidak tahu yang Abdullah walaupun seorang yang lembut, tetapi lembutnya Abdullah tidak boleh disudu oleh Dr Mahathir. Abdullah sememangnya seorang yang bukan mudah mendengar kata-kata nasihat Mahathir kerana beliau juga tahu niat dan kehendak Mahathir itu selalunya bertentangan dengan aspirasi rakyat ramai.

Akhirnya siapa sahaja yang menjadi pilihan Dr Mahathir adalah pilihan salah dan akhirnya Mahathir juga yang akan berusaha menurunkan mereka yang beliau naikkan. Musa Hitam pilihan beliau, akhirnya Musa juga tidak sesuai dengan beliau. Musa digantikan dengan Ghaffar, akhirnya beliau memilih Anwar untuk menumpaskan Ghaffar. Selepas itu beliau juga sedar yang Anwar juga bukan pilihan yang betul bagi beliau maka Abdullah yang dijangka orang paling sesuai untuk menggantikan beliau.

Apabila Abdullah menjadi gantian kepada beliau, Abdullah juga tidak sesuai, maka dari persaraan beliau menyuruh arah Muhyiddin untuk bergerak menolak Abdullah kerana akhirnya beliau berhasil mendapatkan gantian kepada Abdullah, iaitu Najib.

Sekarang ini sudah dipanggil ramai perwakilan Umno oleh Dr Mahathir dan mengkritik Najib pula. Najib juga tidak betul kepada Dr Mahathir. Mungkin kali ini Mahathir hendak menaikkan Muhyiddin pula. Ramai pasti Muhyiddin juga akan menjadi pilihan yang salah jika Mahathir masih hidup sehingga umur 100 tahun.

Pendeknya jika kita menerima pilihan Mahathir keadaan negara tidak akan menjadi aman politiknya. Pilihan Mahathir semuanya pilihan yang salah.

Kenapa pilihan Mahathir itu salah?

Jawapannya mudah kerana pemilihan Dr Mahathir oleh Hussein Onn sebagai pengganti beliau itu adalah pilihan yang salah. Dr Mahathir sentiasa menuduh timbalannya salah kerana pemilihan beliau sendiri oleh Hussein Onn itu dianggapkan oleh ramai orang lama dalam Umno sebagai pilihan yang salah.

Kalaulah Dr Mahathir itu pilihan yang betul masakan beliau mewariskan politik kacau bilau seperti sekarang ini? Beliau (Mahathir) sentiasa memilih timbalan-timbalannya yang salah.

Fomula bagi membuat pilihan yang betul elok dipilih mereka dari awal Mahathir tidak suka atau cemburui. Kita mengaku yang semua pilihan beliau itu adalah pilihan salah. Yang mana Dr Mahathir tidak suka itu, itulah dia pilihan yang secocok dengan politik dan negara. [Sumber]

*Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan Pihak KAMI.

Add Comments

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon