Wednesday, August 28, 2013

Bukan Rakyat Tapi Pemimpin Yang Sepatutnya Membina Sifat Patriotik!


‘National Anthem Act’ 1968 akan berkuat kuasa tidak berapa lama lagi dalam pawagam. Semua penonton mesti bangun dan menghormati ‘Negara Ku’ yang akan dimainkan sebelum tayangan sesebuah filem itu.

MALAYSIA

Sesiapa yang melanggarnya boleh didenda tidak lebih RM100 atau dipenjara tidak melebihi satu bulan. Ini adalah kandungan yang ada di dalam Akta itu yang digubal pada 1968 dahulu.

Tujuannya, kata Menteri yang bertanggungjawab ialah untuk membina semangat patriotik terhadap negara di kalangan penonton pawagam itu dan rakyat keseluruhannya.

Selepas ini akan ramailah orang yang akan masuk penjara sebaik sahaja keluar dari pawagam di seluruh negara.

Jangan dipersoalkan niat Kementerian Penerangan dan Menterinya sekali. Niat mereka baik dan jujur untuk melihat pembangunan semangat patriotisma di kalangan rakyat.

Jika dengan Akta baru ini boleh membinanya kita terima dan kita akur. Lagi pun sememangnya kita wajib berdiri semasa lagu Negara Ku itu dimainkan. Tetapi kenapa mainkan dalam pawagam?

Tetapi persoalannya adakah ini cara yang baik dan betul untuk membina semangat patriotisma? Jika itu cara yang terbaik adakah terfikir oleh kita apakah elemen yang akan membantutkan kempen patriotisma ini? Adakah dengan berdiri menghormati Negara Ku itu secara paksa seperti ini akan terbina semangat patriotisma yang dikehendaki kerajaan itu?

Membina semangat sayangkan negara tidak boleh semata-mata ditempelkan sahaja. Ia perlu datang dari keikhlasan dan kejujuran rakyat dari lubuk hati dan nurani mereka.

Cara yang paling baik untuk membinanya ialah dengan kerajaan bersama dengan pimpinan keseluruhannya menunjukkan patrotisma itu dengan jelas.

Pemimpin yang mempunyai patriotisma adalah pemimpin yang komited untuk membina negara dengan jujur dan tidak melakukan jenayah kepada negara.

Pemimpin seperti ini tidak akan melakukan kerja rasuah serta menggunakan kedudukan mereka untuk mengaut kepentingan peribadi dan sanggup memecahbelahkan rakyat yang dahagakan perpaduan.

Apa yang terbaik dan terunggul sekali ialah pemimpin tidak mahu negara berpecah kerana mereka dan sanggup berkorban dengan meletakkan jawatan mereka sandang setelah gagal mentadbir rakyat dan negara dengan baik. Ini ciri patriotisma yang tertinggi nilainya.

Nilai ini bukan sahaja sepatutnya ada pada mereka sedang berkuasa yang mahu meletakkan jawatan. Ia juga terbabit dengan pemimpin yang ingin mendapatkan jawatan itu. Apabila seseorang itu terpalit dengan isu moral peribadi mereka juga tidak sepatutnya menawarkan diri untuk menjadi pemimpin negara.

Mereka yang dipersepsikan oleh rakyat sebagai pemimpin tidak bermoral juga sepatutnya berkorban dengan membatalkan niat untuk menjadi pemimpin utama negara kerana mereka juga akan membawa negara kepada kehancuran. Justeru pemimpin seperti ini juga boleh menunjukkan semangat patriotisma mereka dengan membatalkan sahaja niat untuk mengambil alih kepimpinan negara.

Selama ini pemimpin yang lebih menunjukkan rasa tidak patriotisma mereka dari rakyat. Rakyat sedar jika pemimpin itu benar-benar seorang patriotik, tidak akan ada yang memegang kuasa menggunakan kuasa dan mandat itu dengan mengambil wang rakyat berbillion ringgit untuk menyelamatkan perniagaan anaknya.

Jika seseorang itu menggunakan pengaruhnya dengan mengambil wang rakyat dalam jumlah berbillion untuk menyelamatkan perniagaan anaknya ini, bolehkah, atau layakkah pemimpin seperti ini digolongkan dalam golongan patriotik?

Tetapi itu yang berlaku di negara kita dan orang sama juga bercakap tentang isu moral kerajaan yang buruk serta menidakkan semua kerja baik orang lain.

Rakyat melihat dan memerhatikan tindakan serta kata-kata mereka sama ada selari atau pun sebaliknya. Rakyat biasa seperti kita di bawah ini tidak pun mengambil wang berbillion ringgit dari rakyat untuk kepentingan perniagaan anak mereka.

Mereka menanggung kerugian sendirian dan ramai bankrap kerana kerugian mereka dalam perniagaan.

Apa perasaan rakyat yang ramai di bawah ini apabila melihat pemimpin bercakap besar mengenai negara sedangkan anak mereka bersandar kepada rakyat untuk membayar kerugian perniagaan mereka dan dalam masa yang sama mendapat keuntungan lagi dalam proses 'bail-out' menggunakan wang rakyat itu.

Justeru perihal patriotisma ini tidak perlu dididik terhadap rakyat jelata. Sepatutnya menunjukkan sifat patriotisma itu adalah pemimpin sendiri, tidak kira pemimpin kerajaan atau pembangkang.

Pemimpin yang patriotik tidak akan tergamak untuk menaikkan harga belian kelengkapan ketenteraan misalnya.

Pemimpin patriotik tidak akan tergamak meluluskan pinjaman beratus juta ringgit untuk kroni atau keluarga pemimpin yang tidak pun mahir dalam perniagaan seperti peniagaan lembu dan sebagainya.

Pemimpin benar-benar patriotik akan mengambil contoh seperti pimpinan masa lalu yang tidak mempunyai apa-apa semasa persaraannya. Tunku Abdul Rahman tidak mempunyai ‘empire’ perniagaan untuk anaknya.

Pemimpin sezaman itu tidak mempunyai mahligai apabila menyentuh kuasa. Pemimpin mempunyai nilai patriotik tidak akan berbelanja ratusan juta ringgit untuk lawatan keluar negara.

Justeru tidak usah pemimpin hari ini berkempen untuk membina semangat patriotisma itu sedangkan mereka sendiri adalah penjenayah tegar kepada negara yang dicintai rakyat ini.

Kalau rakyat tidak memberontak dalam hati mereka tidak ada sebab kenapa rakyat tidak mengibarkan bendera yang harganya hanya setakat sepuluh dua puluh ringgit itu.

Rakyat membayar hutang anak pemimpin yang kerugian dalam perniagaan mereka dalam jumlah berbillion ringgit sebelum ini.

Tetapi kenapa rakyat berkira dengan harga satu bendera itu? Jawapannya mudah. Ia disebabkan pemimpin tidak mengira perasaan rakyat yang rata-rata marhaen di bawah ini. Rakyat sedar dalam kemarhaenan, mereka terpaksa membayar hutang besar dilonggokkan pemimpin kepada mereka.

Buat masa ini elok kita meminta pemimpin yang bercakap tentang patriotisma itu hentikan kempen ini. Rakyat lebih arif tentang isu patriotisma itu.

Yang sepatutnya membina sifat patriotisma itu adalah barisan pemimpin yang sedang memimpin kita sekarang ini.

Pemimpin yang tidak dapat membezakan antara harta sendiri dengan harta rakyat jangan sekali-kali bercakap tentang patriotisma kerana barisan pimpinan yang rakus itu sendiri adalah bertentangan dengan patriotisma itu.

BACA INI JUGA: Pemotongan Subsidi Tersembunyi Bajet 2016 Rakyat Wajib Tahu!

[Sumber]

1 comment

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon