Monday, July 29, 2013

Empat Peserta Miss Malaysia World 'Sedih' Tidak Di Benarkan Bertanding


Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi), Datuk Che Mat Che Ali telah memaklumkan kepada penganjur Miss Malaysia World, Datuk Anna Lim bahawa empat finalis yang beragama Islam tidak boleh mengambil bahagian dalam pertandingan ratu cantik susulan daripada kajian semula terhadap fatwa yang berkaitan dengan agama Islam berdasarkan undang-undang.


Menurut Lim, Che Mat telah memanggil beliau untuk memperjelaskan mengenai undang-undang mengikut fatwa yang telah dikuatkuasakan dan sudah pun dilaksanakan. Maka tiada apa perubahan yang dilakukan.

“Keempat-empat gadis berkenaan kecewa, tertekan dan sedih,” kata Lim.

“Peserta-peserta lain gembira dan ceria. Mereka sudah pun memulakan program Miss Malaysia World,” tambahnya.

“Sedih bila mendapat tahu bahawa keempat-empat mereka tidak dapat menyertai pertandingan ini. Mereka cantik dan mempunyai banyak ciri yang berpotensi. Mereka mempunyai peluang untuk menjadi duta bagi negara kita,” kata Lim.

“Saya berharap mereka dapat mempertimbangkannya semula sekiranya terdapat kemungkinan terdapat sebarang perkara yang boleh dilakukan,” kata Lim.

Lim berkata, finalis yang digugurkan daripada program Miss Malaysia World itu bagaimanapun dijemput sebagai tetamu bagi acara berkenaan.

Tiga Daripada Empat Peserta Akhir Ratu Cantik Mohon Maaf

Kathrina Ridzuan

Tiga daripada empat peserta akhir pertandingan Miss Malaysia World 2013 yang disifatkan menghina Islam telah membuat permohonan maaf.

Salah seorang peserta, Sara Amelia Muhammad Bernard, 20, berkata dia telah membuat permohonan maaf secara formal kepada Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi).

"Saya tidak berniat untuk menyinggung perasaan umat Islam dan agama saya sendiri," katanya pada Rabu.

Seorang lagi perserta, Wafa Johanna De Korte, 19, turut memohon maaf.

"Saya tidak sama sekali ingin menentang fatwa. Saya menghormati fatwa yang diwartakan itu untuk melindungi umat Islam di Malaysia.

"Jika ada mana-mana pihak tersinggung, saya minta maaf sangat-sangat tetapi saya tidak berniat untuk menghina sesiapa," katanya.

Terdahulu, Jawi dilaporkan membuka kertas siasatan terhadap empat peserta akhir yang bertanding merebut gelaran Miss Malaysia World 2013 kerana mereka disifatkan menghina Islam.

Pengarah Jawi Datuk Che Mat Che Ali berkata, bahagian penguatkuasa Jawi akan meneliti perkara itu selepas peserta-peserta terbabit menyatakan kekecewaan mereka dengan fatwa yang mengharamkan penyertaan wanita Islam dalam pertandingan ratu cantik.

Fatwa mengharamkan penyertaan wanita Islam dalam pertandingan ratu cantik diwartakan pada 8 Februari 1996 mengikut Akta Pentadbiran Undang-undang Islam Wilayah Persekutuan 1993 yang memutuskan bahawa menyertai atau menganjurkan atau menyumbang apa-apa bentuk sumbangan untuk penganjuran apa-apa pertandingan ratu cantik adalah haram dan berdosa bagi orang Islam.

Sementara itu, Miera Sheikh, 19, enggan memberikan sebarang komen mengenai tindakan Jawi.

Bagaimanapun, dia menghormati budaya masyarakat Melayu dan berkata dia berpegang teguh kepada agama Islam.

"Saya mungkin bukan orang Islam yang sempurna tetapi saya dibesarkan dengan budaya Melayu dan Islam walaupun saya bersikap terbuka mengenai beberapa perkara dalam hidup.

"Bagi saya, agama Islam tidak akan pudar dalam hidup saya sehingga nafas yang terakhir," katanya.

Peserta keempat, Kathrina Ridzuan, tidak dapat dihubungi untuk mendapatkan komen.

-mStar/Antarapos

Add Comments

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon