Monday, June 03, 2013

Perang Dingin Terkenal Antara Artis Dan Ibu Bapa Mereka


Perang dingin antara artis dan ibu bapa tidak hanya berlaku di Malaysia tetapi juga dalam dunia seni di seluruh dunia termasuk Hollywood. Banyak sebab yang menjadi punca perang dingin dan selalunya ia berlaku selepas anak mereka bergelar artis popular.


Ada antara mereka yang telah berbaik semula, namun perang dingin yang berlaku dilihat tidak lebih ibarat drama kerana air yang dicincang tidak akan putus. Begitulah hubungan antara ibu bapa dan anak.

Di bawah beberapa artis yang pernah menarik perhatian media dengan episod perang dingin bersama ibu bapa masing-masing.

Angelina Jolie


Aktres terkenal Hollywood Angelina Jolie telah memutuskan hubungan dengan bapanya, Jon Voight selama lapan tahun.

Tidak diketahui apakah punca sebenarnya hubungan itu retak, namun dalam satu temu bual Jolie memberitahu, dia memutuskan hubungannya dengan bapa kerana dirasakan bapanya membawa pengaruh yang tidak sihat kepada hubungannya dengan anak angkatnya, Maddox.

Bapanya pernah memberitahu media bahawa anaknya mempunyai masalah mental yang serius kerana mengambil anak angkat dari negara lain.

Bagaimanapun hubungan itu kembali pulih pada tahun 2010 selepas kematian ibu Jolie pada tahun 2007 hasil daripada kerjasama yang diberikan pasangan Jolie, Brad Pitt kepada bapanya itu.

Julia Perez


Pelakon seksi Indonesia, Julia Perez atau dikenali sebagai Jupe pernah melancarkan perang dingin terhadap ibunya, Sri Wulansih gara-gara tidak merestui hubungannya dengan pemain bola sepak kelab Pelita Bandung Raya, Gaston Castano yang berasal dari Argentina.

Apabila hubungan Jupe dan Gaston terputus, ibunya mengambil kesempatan itu untuk menjodohkan Jupe dengan seorang ustaz. Bagaimanapun usaha itu gagal apabila Jupe kembali bersama Gaston.

Jupe yang kini sedang menjalani hukuman penjara selama tiga bulan kerana menyerang Dewi Persik mendapat sokongan moral daripada ibunya.

Namun, apabila disoal tentang hasrat Gaston yang ingin berkahwin dengan Jupe selepas dia keluar dari penjara, ibunya enggan memberi sebarang komen.

Lindsay Lohan


Aktres yang bermasalah, Lindsay Lohan mempunyai hubungan yang tidak baik dengan bapanya Michael Lohan.

Sejak bergelar pelakon, bapanya mempunyai masalah mengawal kemarahan dan dadah. Akibatnya, dia sering mencederakan orang dan berakhir dengan dia dipenjarakan serta bercerai dengan isterinya Dina.

Meskipun hubungan mereka tidak baik, Lindsay memberitahu media, dia sentiasa cuba untuk memperbaiki hubungannya dengan bapa, bagaimanapun usaha itu sia-sia kerana sentiasa berakhir dengan kesudahan yang teruk.

Kata Lindsay: “Dia (bapa) tidak akan berubah. Sampai satu tahap, saya hanya menerima keadaan itu seadanya.

Setiap kali saya cuba bawanya ke dalam kehidupan saya, dia pasti akan buat kecoh dan menggunakan peluang yang ada untuk kepentingannya sendiri.”

JLa Toya Jackson


Penyanyi La Toya Jackson yang merupakan kakak kepada penyanyi terkenal mendiang Michael Jackson telah menulis dalam buku autobiografinya yang berjudul La Toya: Growing Up in the Jackson Family, bahawa dia tidak akan memaafkan perbuatan bapanya.

Katanya dalam buku itu, bapanya Joe Jackson seorang pendera, kaki perempuan dan mungkin pernah menderanya secara seksual. Michael juga pernah mengesahkan kenyataan kakaknya itu tentang penderaan dalam keluarga mereka.

La Toya turut menyelar cara didikan ibunya yang disifatkan terlalu mengongkong. Namun, pada tahun 2003, penyanyi itu mengumumkan bapanya telah memohon maaf kepadanya.

Macaulay Culkin


Pelakon yang popular pada zaman kanak-kanak dengan filem Home Alone, Macaulay Culkin mula ‘berperang’ dengan bapanya apabila dia meningkat ke usia remaja selepas menyedari pendapatannya dikuasai sepenuhnya oleh ayahnya itu.

Bagi mendapatkan hak terhadap pendapatannya sendiri, Culkin telah mengheret bapanya ke mahkamah. Ketika itu hubungan ibu dan bapanya mula retak.

Bapanya dikatakan gila kuasa impak populariti anaknya itu. Selepas menang kes tersebut, Culkin memutuskan hubungan dengan bapanya sehingga hari ini.

Ariel Winter


Pelakon siri popular Modern Family, Ariel Winter, 15, telah berselisih faham dengan ibu kandungnya Chrystal Workman sejak tahun lalu.

Malah, Ariel turut memfailkan permohonan di mahkamah menolak untuk dipelihara ibunya atas dakwaan melakukan penderaan emosi terhadapnya.

Ariel berjaya mendapatkan perintah mahkamah untuk berada di bawah jagaan kakaknya, Shanelle dan menyifatkan kakaknya sebagai ibu dan rakan yang terbaik untuknya.

Sejak menang kes itu, Ariel enggan lagi dikaitkan dengan ibunya itu. Memburukkan lagi keadaan, Ariel secara terbuka memberitahu pihak media, dia menyifatkan ibunya itu telah mati.

BACA INI JUGA: Anak-beranak Selebriti Terkenal Hollywood

Sumber: Kosmo.com.my

Add Comments

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon