Tuesday, March 12, 2013

Jamalul Kiram III Khianati Bangsa Tausug?


Siapa yang tahu sejarah mengenai Jabidah Massacre atau penyembelihan Jabidah yang juga adakalanya disebut sebagai Corregidor Massacre.

Jabidah-Massacre

Ada banyak versi mengenai kejadian itu termasuk usaha kerajaan Filipina untuk menafikan kejadiannya, tetapi tidak berjaya.

Serba sedikit yang penulis tahu melalui pembacaan ialah ia adalah pembunuhan sekumpulan tentera Filipina beragama Islam oleh Armed Forces of the Philippines (AFP) atau tentera negara itu.

Kejadian berkenaan berlaku di era pentadbiran Presiden Ferdinand Marcos ketika tuntutan Filipina ke atas Sabah berada di kemuncaknya.

Untuk mendapatkan Sabah, kerajaan Filipina telah memulakan satu rancangan yakni untuk menghuru-harakan Sabah dan mewujudkan suasana tidak tenteram di negeri itu.

Bagi tujuan berkenaan, tentera negara tersebut memulakan satu operasi yang dinamakan “Operation Merdeka”. Tujuan operasi berkenaan adalah untuk mendapatkan Sabah melalui kaedah yang disebutkan di atas.

Bermula dari Ogos hingga Disember 1967, 200 pemuda suku Tausug dan Sama dalam lingkungan usia 18 hingga 30 tahun memulakan latihan komando di Pekan Simunul dalam kawasan Tawi-Tawi.

Nama unit komando mereka adalah Jabidah.

Simunul sebenarnya adalah tempat di mana masjid yang pertama di Filipina dibina oleh pendakwah Arab bernama Makhdum.

Pemuda-pemuda Tausug berkenaan pada asalnya sangat gembira apabila terpilih untuk mengkuti latihan itu kerana dijanjikan elaun dan peluang menyertai pasukan elit tentera Filipina.

Pada 30 Disember tahun yang sama, antara 135 ke 180 rekrut menaiki sebuah kapal tentera laut Filipina untuk belayar menuju ke Pulau Corregidor di Luzon bagi mengikuti latihan yang direka khas bagi mereka.

Itu merupakan fasa kedua latihan unit Komando Jabidah yang berakhir dengan tragedi.

Mengapa?

Sebenarnya, 200 pemuda Tausug dan Sama berkenaan ketika dipilih untuk mengikuti latihan komando, tidak diberitahu tujuan sebenar mereka dilatih.

Hanya apabila tiba di Corregidor, baru mereka tahu mereka sedang dipersiapkan untuk menyerang dan menghuru-harakan Sabah.

Tahu apa reaksi mereka?

Tidak mungkin untuk bertindak demikian…baik elaun mahupun tempat dalam tentera elit Filipina…tidak menarik minat mereka lagi…

Tidak mahu sama sekali mereka menyerang saudara Islam mereka di Sabah. Berhadapan dengan apa disifatkan sebagai adik-beradik sendiri atas faktor persamaan agama dan suku.

Akibatnya…mereka menuntut untuk dihantar pulang segera.

Jawapan tentera Filipina…maut.

Jibin Arula, satu-satunya rekrut yang terselamat dalam pembunuhan beramai-ramai itu kemudianya menceritakan, disebabkan keingkaran mereka untuk menyerang Sabah atas dasar satu agama, para rekrut dibawa ke lokasi terpencil dalam kumpulan 12 orang setiap satu dan ditembak mati menggunakan machine guns oleh jurulatih tentera mereka.

Jibin yang cedera di lutut sempat berpaut pada sebuah kayu sebelum diselamatkan sekumpulan nelayan.

Jabidah Massacre adalah titik permulaan kepada penentangan bersenjata di Selatan Filipina dan membawa kepada penubuhan MNLF.

Apa yang penulis hendak sampaikan setakat ini bukanlah ulang kaji sejarah, tetapi mahu memperlihatkan semangat keIslaman yang ada di jiwa masyarakat Islam Selatan Filipina satu masa dahulu.

Mereka rela mati daripada dihantar ke Sabah untuk membunuh saudara Islam mereka.

Kalau kumpulan Komando Jabidah dilihat sebagai syahid, rasanya ada asas yang kukuh untuk kita bersetuju.

Namun hari ini, Ferdinand Marcos sudah tiada tetapi ada pula Jamalul Kiram III yang berjaya meracun pemikiran remaja Tausug untuk bertindak senada dengan apa yang ada dalam jiwa Ferdinand Marcos tahun 60-an dahulu.

Terlintas di hati penulis, tidakkah remaja Tausug hari ini tahu sejarah pakcik-pakcik atau bapa mereka yang rela mati demi saudara Islam mereka di Sabah?

Mengapa mereka sanggup datang membawa senjata untuk perjuangan yang tidak mahu di mana kebenarannya, mengkhianati kepercayaan dan pengorbanan para Komando Jabidah.

Sudah tentu roh persaudaraan Islam di jiwa mereka telah terpadam, kerana jika ia masih ada, mereka akan mengikuti jejak para Komando Jabidah.

Di kesempatan ini, penulis ingin mengucapkan tahniah kepada Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Supt Shamsudin Mat yang berkata;

“Kita sebagai umat Islam mempunyai tanggungjawab kepada saudara sesama Islam, biarpun mereka adalah musuh kita. Kita juga mendoakan roh mereka dicucuri rahmat,”.

Kenyataan itu berikutan pihaknya akan mengadakan sembahyang jenazah untuk para pengganas beragama Islam yang mati di Lahad Datu.

Walaupun rakan mereka diperlakukan lebih buruk daripada haiwan dalam kejadian serang hendap ke atas polis di Semporna minggu lalu oleh kumpulan yang ada kaitan dengan pengganas berkenaan…itu tidak menghalang mereka untuk melakukan apa yang dituntut oleh agama kita.

Sikap Supt Shamsudin adalah cerminan sikap yang menyamai sikap Komando Jabidah….marilah kita sedekahkan al Fatihah untuk mereka semua.

BACA INI JUGA: Watak Pahlawan Islam Dalam Filem Pirates of The Carribean

Sumber: Mynewshub

Add Comments

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon