Tuesday, February 26, 2013

Pakatan Rakyat Umum Manifesto PRU 13


Konvesyen Pakatan Rakyat kali keempat yang berlangsung di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC) pada Isnin memberikan tumpuan kepada pelancaran manifesto Pilihan Raya Umum ke-13.


Dengan tema ‘Pakatan Harapan Rakyat’ tumpuan utama manifesto mereka menjurus kepada empat tonggak utama iaitu Rakyat Bersaudara, Ekonomi Rakyat, Kerajaan Rakyat dan Kesejahteraan Rakyat.

Antara pemimpin kanan Pakatan Rakyat yang hadir ialah, Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim; Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang; Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng.

Antara perkara yang dijanjikan dalam manifesto Pakatan Rakyat ialah menyediakan sejuta peluang pekerjaan selepas mengambil alih kerajaan Pusat, mewujudkan tabung dengan dana bernilai RM 2 bilion bagi membantu pelaksanaan gaji minimum, meningkatkan jalur pendapatan cukai tahunan maksima daripada RM200,000 kepada RM400,000.

Pakatan Rakyat juga turut menjanjikan pemansuhan Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) serta saman AES yang dikeluarkan, menaikkan sumbangan kerajaan dalam Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) daripada 15 kepada 20 peratus.

Pakatan Rakyat juga mahu mewujudkan Suruhanjaya Kontrak dan Konsesi Awam bagi menilai semula semua projek yang telah dianugerahkan kepada pihak tertentu tanpa melalui tender terbuka, menghentikan projek nadir bumi Lynas di Gebeng dan menilai semula semua fasa Projek Petrokimia Bersepadu (Rapid) di Pengerang.

Selain itu, Pakatan Rakyat mahu mewujudkan Skim Perintis Rakyat untuk melatih 1 juta lepasan sekolah yang tidak melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi dalam bidang teknikal, menubuhkan lima lagi universiti dan 25 sekolah vokasional baru.

Turut dijanjikan, Skim Bonus Warga Emas dengan insentif sebanyak RM1,000 setahun, Caruman Wanita Malaysia, kerajaan akan sumbang caruman sebanyak RM50 sebulan bagi setiap isteri yang layak, manakala suami akan sumbang caruman antara RM10 hingga RM100 sebulan, mengikut kadar pendapatan, memelihara hak tanah dan kebajikan Orang Asli.

-mStar

Add Comments

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon