Tuesday, October 16, 2012

Lumpur Ajaib Mampu Ubati Penyakit


Permukaan tanahnya sentiasa lecak tidak mengira musim, sama ada tengkujuh mahupun kemarau. Lebih luar biasa, ia boleh membentuk busut secara perlahan-lahan sebelum meletus dan mengeluarkan bunyi seakan-akan cecair likat yang sedang membuak-buak.

Lumpur Ajaib Mampu Ubati Penyakit
Kawah lumpur bebuak bersaiz sehingga mencecah 
2 meter lebar boleh memuatkan tiga empat orang dalam 
satu masa di Kampung Meritam, Limbang, Sarawak.

Kejadian sama berulang selang beberapa minit kemudian. Setelah beberapa hari, ia akhirnya menghasilkan kawah besar dipenuhi lumpur kehitaman yang lembik dan hangat.

Fenomena menakjubkan itu menyebabkan sebuah kawasan lapang di pinggir Kampung Meritam, Limbang, Sarawak yang dulunya lengang bertukar meriah dengan kehadiran orang ramai.

Ketua Kampung Meritam, Mahmud Gampal memberitahu, sifatnya yang sering meletus dan menghasilkan bunyi pelik menyebabkan penduduk tempatan menggelar lumpur ajaib berkenaan sebagai 'lumpur bebuak'.

"Bukan satu, malah ratusan kawah seumpamanya muncul di kawasan berkenaan.

"Saiznya pula berbeza-beza. Ada yang hanya sebesar penumbuk. Ada juga bersaiz cukup besar sehingga mencecah dua meter lebar," katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Apabila semakin ramai keluarga berpindah di kawasan berhampiran lumpur bebuak, populariti lumpur itu meningkat lebih-lebih lagi apabila ada yang mendakwa ia mampu menyembuhkan pelbagai penyakit kulit.

"Penduduk memberitahu penyakit gatal-gatal dan kudis berkurangan yang dihidapi beransur pulih apabila disapu dengan lumpur bebuak, malah ada juga yang mendakwa penyakit asma mereka sembuh selepas minum air yang ditapis daripada lumpur itu.

"Khabar tersebut tersebar dengan cepat menyebabkan orang ramai termasuk pelancong Brunei dan Sabah berpusu-pusu datang semata-mata mahu mandi lumpur dan mengubati penyakit masing-masing," ujar Mahmud.-Utusan.com.my

Add Comments

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon