Wednesday, February 10, 2016

Barbie Berhijab Viral Di Media Sosial

Barbie Berhijab Viral Di Media Sosial

Seorang pelajar sains perubatan warga Nigeria mencetuskan viral di media sosial United Kingdom selepas dia memuat naik gambar anak patung Barbie dalam pelbagai busana menutup aurat rekaannya.

Hijab Barbie [2]

Haneefa Adam tidak pernah melihat Barbie berhijab sebelum ini lalu mengambil keputusan membuka akaun Instagram dan memakaikan Barbie dengan rekaannya selepas terjumpa satu laman gaya Barbie di Instagram.

Hijab barbie

Beliau yang berusia 24 tahun berkata kepada stesen CNN, bahawa beliau juga mula menempah anak patung Barbie sendiri dari luar negara kerana ia memang tidak dijual di negara kelahirannya iaitu Nigeria.

Katanya, anak patung itu adalah cara terbaik untuk memperbaiki tanggapan salah bahawa majoriti wanita Islam dipaksa menutup aurat konon semata-mata untuk melambangkan agama anutan mereka.

Hijab Barbie [3]

Pemegang Ijazah Sarjana Farmakologi dari United Kingdom itu kini mempunyai 19,400 pengikut menerusi media sosial dan mula menerima tempahan Barbie berhijab dari seluruh dunia.

BACA INI JUGA: Siapa Pencipta Patung Barbie Yang Terkenal Itu?

Sumber: Mynewshub.cc

Syurga Nyamuk Di Hutan Zika

Syurga Nyamuk Di Hutan Zika

Igauan tentang penyebaran virus Zika terus-menerus menghantui penduduk dunia ekoran peningkatan kes bawaan virus Zika mula dikesan di beberapa buah negara lain terutama di bahagian Amerika Selatan selepas kali pertama ia ditemui di Hutan Zika, Uganda pada tahun 1947.

Zika Forest

Hutan Zika merupakan sebuah hutan tropika yang terletak tidak jauh dari bandar Entebbe iaitu kira-kira 23 kilometer dari ibu kota, Kampala di Uganda.

Menurut Institut Penyelidikan Virus Uganda (UVRI) di Entebbe, hutan seluas kira-kira 12 hektar itu merupakan hutan simpan yang dilindungi oleh pihak berkuasa Uganda untuk dijalankan proses kajian dan penyelidikan hutan.

Menurut pihak UVRI lagi, Hutan Zika dikenali sebagai kawasan yang menjadi habitat pembiakan nyamuk dengan anggaran kira-kira 60 spesies nyamuk boleh ditemui di hutan tersebut.

Sementara itu, perkataan Zika diberikan oleh penduduk setempat yang membawa maksud ‘tumbuh cepat’ di dalam bahasa Uganda kerana mereka mendakwa, hutan tersebut mempunyai pelbagai jenis tumbuhan dan dihuni oleh banyak serangga kecil termasuk nyamuk.

Penemuan virus Zika yang diambil sempena nama hutan tersebut ditemui secara tidak se­ngaja oleh penyelidik dari Amerika Syarikat dan Eropah sewaktu mereka menjalankan kajian untuk mencari punca kepada wabak demam kuning.

Selepas kajian itu dijalankan selama 10 tahun, penyelidik yang dibiayai oleh badan penyelidikan Rockefeller Foundation itu telah melakukan kajian terhadap vaksin pada kera jenis Regus yang dikaitkan dengan punca penularan wabak demam kuning sebelum mereka menemui mikroorganisme baharu yang dinamakan virus Zika.

Hasil kajian menyeluruh akhirnya mendapati, wabak demam kuning, demam denggi berdarah dan virus Zika adalah berpunca daripada gigitan nya­muk aedes jenis aegypti.

Walaupun virus Zika pertama kali ditemui di Uganda, hanya terdapat dua kes sahaja yang dilaporkan berlaku tentang penularan virus tersebut dalam kalangan penduduk di situ sejak 60 tahun lalu.

Menurut seorang penjaga Hutan Zika yang dikenali sebagai Mukisa, 60, dia yang bekerja selama tujuh tahun, baru sahaja mengetahui tentang virus tersebut beberapa minggu lalu ekoran tersebarnya beri­ta tentang penularan virus tersebut di beberapa buah negara di Amerika Selatan sejak akhir tahun 2015 sekali gus menimbulkan situasi panik kepada dunia.

Penularan virus Zika turut memberi mimpi ngeri kepada wanita me­ngandung selepas kajian oleh pakar perubatan dari Brazil mendedahkan, ia sangat berbahaya kepada bayi di dalam kandungan sehingga boleh menyebabkan berlakunya kejadian mikrosephaly iaitu kelahiran bayi dengan kepala dan otak mengecil.

Mikrosephaly
Bayi dilahirkan menghidap mikrosephaly akibat virus Zika.

Menurut laporan oleh Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO), sehingga kini lebih 3,700 bayi di Brazil telah dilaporkan menghidap masalah mikrosephaly yang dise­babkan oleh bawaan virus Zika dan ia dijangka akan terus mening­kat.

Ketika ini, beberapa buah negara di Amerika Tengah, Amerika Selatan dan Ca­ribbean telah dikesan terdapat penularan virus Zika se­perti di Bolivia, Venezuela, Colombia, Paraguay, Ecuador, El Salvador, Guatemala, Guyana, Honduras, Mexico, Panama, Puerto Rico, Barbados dan Samoa.

Ekoran keadaan merun­cing berikutan penularan virus Zika yang semakin berleluasa di kebanyakan negara di Amerika Selatan, WHO baru-baru ini telah mengisytiharkan virus Zika sebagai darurat kesihatan global.

Pengumuman tersebut telah dibuat oleh Pengerusi WHO sendiri, Margaret Chan beri­kutan peningkatan mendadak kes mikrosephaly terhadap bayi sehingga memerlukan perhatian antarabangsa.

Dalam pada itu, WHO menganggarkan sehingga empat juta orang akan dijangkiti virus Zika dalam masa beberapa bulan ekoran tahap penularan virus tersebut yang semakin berleluasa.

BACA INI JUGA: Garis Panduan Mencegah Virus Zika

Sumber: Kosmo

Hyperion, Pokok Paling Tinggi Di Dunia

Hyperion, Pokok Paling Tinggi Di Dunia

Sehingga Ogos 2006, pokok tertinggi di dunia setinggi 113.11 meter digelar Stratosphere Giant, terletak di Taman Negeri Humboldt Redwood di California.

Hyperion
Hyperion.

Namun, pokok gergasi itu kehilangan statusnya apabila dua ahli alami Chris Atkins dan Michael Taylor, menemui sekumpulan pokok yang mempunyai ketinggian lebih tinggi daripada mana-mana pokok yang pernah dilihat sebelum ini di Taman Negara Redwood.

Mereka membuat ukuran awal menggunakan peralatan laser profesional goniometri dan mendapati terdapat tiga pokok yang lebih tinggi daripada Stratosphere Giant.

Pokok paling tinggi diberi nama Hyperion, adalah 3 meter lebih tinggi berbanding Stratosphere Giant, dengan ketinggian 115.61 meter. [Wikipedia]

Stratosphere Giant
Stratosphere Giant.

Mengikut usia pokok, Hyperion dipercayai masih muda dan masih membesar. Ia dijangka berusia 600 tahun, iaitu kira-kira 20 tahun dalam umur manusia.

Difahamkan, lokasi sebenar Hyperion tidak pernah didedahkan bertujuan untuk melindungi tumbuhan itu daripada pelancong yang mungkin cuba memanjat atau berniat merosakkannya.

BACA INI JUGA: Pokok Berusia 5,000 Tahun Tukar Jantina Untuk Berbuah!

Sumber: SH

Monday, February 08, 2016

Maksud Gong Xi Fa Cai Yang Ramai Tak Tahu

Maksud Gong Xi Fa Cai Yang Ramai Tak Tahu

“Gong Xi Fa Cai” ialah ayat di dalam bahasa Mandarin yang membawa maksud “tahniah moga mendapatkan lebih kekayaan”. Ucapan ini telah digunakan secara meluas sejak sebelum zaman Dinasti Qin lagi iaitu 221 Sebelum Masihi!

Gong Xi Fa Cai

Menurut Prof Dr Yam Kah Kean dari Universiti Malaya, ayat tersebut tidak melambangkan semangat Tahun Baru Cina yang kuat kerana maksudnya yang lebih menjurus ke arah material berbanding semangat kebersamaan.

Maka, ada diantara orang Cina lebih menyukai sebutan “Xin Nian Kuai Le” yang bermaksud “selamat tahun baru”.

Cara sebutannya: “zeen neean kwai luh”. “Kuai Le” bermaksud “happy” atau “joyous” dan “Xin Nian” bermaksud “tahun baru”.

Jadi, siapa yang sesuai mengucapkan “Gong Xi Fa Cai” sebagai greetings Tahun Baru Cina?

Kebiasaannya, “Gong Xi Fa Cai” disebut oleh mereka yang sesama berniaga dan rakan sekerja.

Gong Hey Fat Choy” pula ialah sebutan di dalam bahasa Kantonis yang membawa maksud yang sama seperti “Gong Xi Fa Cai” iaitu “tahniah dan kekayaan”.

Gong Xi” (恭禧) bermaksud tahniah atau dengan hormat berhasrat kegembiraan. “Fa Cai” (發財) bermaksud menjadi kaya atau mahu buat duit. Cara sebutannya yang betul ialah “gong zee fah chai”.

Selain “Gong Xi Fa Cai”, “Xin Nian Kuai Le” dan “Gong Hey Fat Choy”, ada satu lagi cara yang menyeronokkan apabila menyapa seseorang di musim Tahun Baru Cina ini, iaitu, “Hong Bao Na Lai” yang bermaksud “angpau merah please!”

BACA INI JUGA: Asal-usul Pesta Tadau Kaamatan (Pesta Menuai)

Sumber: The Star, Good Characters, Life Is Like That

Sunday, February 07, 2016

10 Negara Dengan Matawang Paling Mahal Di Dunia

10 Negara Dengan Matawang Paling Mahal Di Dunia

Tahukah anda negara maju tidak semestinya mempunyai nilai matawang yang tinggi tetapi negara yang kecil sebaliknya mempunyai nilai matawang yang lebih mahal.

Berikut 10 nilai matawang paling mahal di dunia pada awal tahun 2016.

1. Dinar Kuwait

Dinar Kuwait

Nilai mata wang: 1 Dinar Kuwait bersamaan US$3.30

Dinar Kuwait merupakan nilai matawang tertinggi di dunia. Matawang ini diperkenalkan pada tahun 1961 untuk menggantikan Rupee Teluk.

2. Dinar Bahrain

Dinar Bahrain

Nilai matawang: 1 Dinar Bahrain bersamaan US$2.65

Dinar merupakan matawang Bahrain. Dinar diperkenalkan pada 1965 menggantikan rupee Teluk pada kadar 10 rupees bersamaan dengan 1 Dinar.

3. Rial Oman

Rial Oman

Nilai matawang: 1 Rial Oman bersamaan US$2.60

Rial merupakan mata wang Oman.

4. Lats Latvia

Lats Latvia

Nilai matawang: 1 Lats Latvia bersamaan US$1.61

Lats merupakan matawang rasmi negara Latvia sejak 1992 menggantikan mata wang Rublis. Matawang ini terbahagi kepada 5, 10, 20, 50, 100 dan 500 Latu.

5. Pound Sterling Britain

Pound Sterling Britain

Nilai matawang: 1 Pound Sterling Britain bersamaan US$1.43

Pound Sterling merupakan matawang United Kingdom, Jersey, Guernsey, The Isle of Man, South Georgia dan South Sandwich Islands, The British Antarctic Territory dan Tristan da Cunha.

6. Dinar Jordan

Dinar Jordan

Nilai mata wang:1 Dinar Jordan bersamaan US$1.41

Dinar merupakan nilai mata wang Bahrain.

7. Dollar Cayman Island

Dollar Cayman Island

Nilai matawang: 1 Dollar Cayman Islands bersamaan US$1.22

Dollar Cayman Islands merupakan matawang Cayman Islands.

8. Euro

Euro

Nilai matawang: 1 Euro bersamaan US$1.08

Euro merupakan matawang rasmi di negara-negara zon Euro iaitu Austria, Belgium, Cyprus, Estonia, Finland, Perancis, Jerman, Greece, Ireland, Itali, Luxembourg, Malta, Belanda, Portugal, Slovakia, Slovenia dan Sepanyol. Euro merupakan matawang tunggal untuk 320 juta warga Eropah.

9. Franc Swiss

Franc Swiss

Nilai matawang: 1 Franc Swiss bersamaan US$0.98

Franc Swiss merupakan matawang negara Swizerland dan Liechtenstein sejak tahun 1798.

10. Dinar Libya

Dinar Libya

Nilai matawang: 1 Manat Azerbaijan bersamaan US$0.72

Dinar merupakan matawang Libya. Dinar digunakan di Libya sejak tahun 1971.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: lokmanamirul