Monday, June 24, 2013

Info Fakta Menarik Dunia #18

Info Fakta Menarik Dunia #18

Bertemu lagi dalam ruangan info fakta menarik dunia. Kali ini SentiasaPanas akan membawakan kepada anda beberapa lagi info fakta menarik yang berlaku disekeliling kita dan diserata dunia. Selamat membaca..

1. Cap Jari


Sebelum tahun 1941, kesan cap jari tidak boleh digunakan sebagai bukti di mahkamah.

2. Bayi Lelaki


Dikatakan ibu-ibu mengandung yang mengandungkan bayi lelaki akan kurang menghadapi masalah lupa berbanding ibu-ibu yang mengandungkan bayi perempuan.

3. Masalah Gusi


Orang-orang yang menghadapi masalah gusi dikatakan akan berhadapan dua kali ganda kemungkinan untuk diserang strok atau serangan jantung berbanding orang yang tidak menghadapinya.

4. Rusa musim sejuk


Susu rusa musim sejuk dikatakan mempunyai lebih lemak berbanding susu lembu.

5. Hidung Manusia


Setiap satu lubang hidung manusia akan mengenal pasti bau yang berbeza dalam pelbagai cara dan dikatakan bau yang dihidu disebelah lubang hidung kanan adalah lebih menyenangkan berbanding lubang hidung sebelah kiri. Namun bau yang lebih tepat datangnya daripada lubang hidung sebelah kiri.

6. Bahaya Nyamuk


Nyamuk adalah haiwan yang menyumbang kepada kematian manusia paling tinggi berbanding mana-mana haiwan lain di dunia.

7. Panas Petir


Jika kita dipanah petir, itu bermakna yang kulit kita akan dihangatkan sehingga ke 28,000 darjah celsius yang bermaksud ianya lebih panas daripada permukaan matahari.

8. Taxi


Perkataan 'Taxi' dieja menggunakan huruf-huruf yang sama dalam beberapa bahasa iaitu Inggeris, Perancis, Jerman, Portugis dan juga Belanda.

9. Menangis


Ketika menangis, degupan jantung akan meningkat. Selepas menangis, kadar degupan jantung kembali perlahan sehingga menimbulkan perasaan yang sangat tenang.

10. Mamalia


Mamalia serta buaya air masin menghasilkan air mata refleks untuk melindungi dan melicinkan air mata emosi.

11. Ulat Bulu tercantik


Serangga daripada jenis The Saddleback Caterpillar merupakan ulat bulu yang paling cantik dan comel kerana warna serta bentuknya.

Tetapi awas, jika terkena racunnya, ia boleh menyebabkan bengkak, rasa mual dan ruam dalam beberapa hari.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

-Sentiasapanas.com

Ngeri! Kepala Isteri Tersepit Di Tiang Selepas Terlanggar Suami

Ngeri! Kepala Isteri Tersepit Di Tiang Selepas Terlanggar Suami

Info Ngeri. Tragedi malang menimpa sebuah keluarga di China apabila sepasang suami isteri terbunuh hanya disebabkan hendak meletakkan kereta di ruang parkir.


Kejadian yang berlaku awal malam Selasa lalu bermula apabila si suami turun dari kereta dan menunggu di belakang petak parkir.

Ini bagi membolehkan dia memberikan arahan pada si isteri yang berada di tempat duduk pemandu.

Malangnya kereta itu diundur dengan terlalu laju lalu menghimpit tubuh suaminya itu ke dinding.

Mendengar jeritan kuat suaminya yang meraung kesakitan, si isteri menghulurkan wajahnya ke luar untuk melihat apa yang sedang berlaku.

Disebabkan terlalu panik, si isteri tertekan pedal minyak dengan kuat, akibatnya kereta tersebut semakin laju berundur ke belakang.

Sudahnya bukan saja si suami terus terperosok ke dinding, kepala isterinya juga parah kerana terhentak di tiang garaj!

Akhirnya si isteri mati di tempat kejadian, si suami meninggal dunia ketika dirawat di hospital.

Apa yang menyedihkan, anak mereka yang berusia enam tahun itu turut menyaksikan semua ini ‘live’ di depan mata kerana turut berada dalam kereta itu ketika tragedi tersebut berlaku.


Inilah yang dikatakan MALANG TIDAK BERBAU...-Mynewshub

Super Komputer China Paling Pantas Di Dunia

Super Komputer China Paling Pantas Di Dunia

China sekali lagi mengatasi negara Barat khasnya Amerika Syarikat (AS) dengan membina superkomputer terpantas dunia.

Superkomputer China lebih pantas berbanding AS

Tianhe-2 yang bermaksud Bima Sakti2, dilaporkan dua kali ganda pantas daripada rekod sebelum ini iaitu lebih 338 juta berbanding komputer biasa.

Superkomputer ini dibangunkan sepasukan pakar dari Universiti Teknologi Pertahanan di bandar Changsha, sekali gus berkemampuan pengkomputeran berterusan sebanyak 33.86 petaflops sesaat.


"Ia bersamaan pengiraan 33.860 trilion sesaat dengan jumlah purata berfungsi sekitar 100 juta sesaat," kata salah seorang pencipta Tianhe-2.

Lapor majalah Top500, China kini berada di kedudukan teratas mendahului AS selain Jepun menduduki tempat keempat.

-MailOnline

Sunday, June 23, 2013

Tidak Tidur 60 Hari Punca Michael Jackson Meninggal Dunia?

Tidak Tidur 60 Hari Punca Michael Jackson Meninggal Dunia?

Michael Jackson mungkin menjadi manusia pertama yang tidak mendapat tidur sewajarnya sehingga 60 hari yang membawa kepada kematiannya, kata seorang pakar.


Memberi keterangan dalam perbicaraan, pakar tidur dari Universiti Harvard, Dr Charles Czeisler berkata, disebabkan kekurangan tidur, Michael, 50, tetap berdepan risiko mati akibat serangan jantung walaupun dia tidak diberi ubat penahan sakit berlebihan.

“Simptom dialami Michael konsisten dengan seseorang yang mengalami kekurangan tidur menyeluruh untuk tempoh yang sangat lama,” katanya.

Czeisler memberi keterangan itu dalam saman dikemukakan keluarga Raja Pop berkenaan yang menuntut syarikat penganjur konsert, AEG Live, membayar pampasan £26 bilion (RM128.5 bilion).

Jumlah itu dianggap pendapatan yang diperoleh waris Michael jika dia tidak meninggal dunia pada Jun 2009.

Doktor peribadi Michael, Conrad Murray - yang digaji AEC - didapati bersalah dan menjalani hukuman penjara.

Mahkamah semalam turut diberitahu, pengambilan sesetengah ubat menyebabkan pengambilnya tidak mendapat tidur semula jadi dan dalam keadaan tertentu, mereka sebenarnya hidup dalam keadaan koma.

Czeisler juga berkata, kegagalan Michael melakukan langkah baru tarian serta mengingati lirik lagunya juga disebabkan masalah tidak cukup tidur.

“Petugas memberitahu, Michael kehilangan berat badan, paranoid dan ia adalah petanda seseorang yang tidak mendapat tidur sempurna,” katanya.

Czeisler berkata, kekurangan tidur kemungkinan besar disebabkan pengambilan ubat penahan sakit propofol. Bagaimanapun, keterangan Czeisler itu dibuat dengan hanya bergantung kepada keterangan dikemukakan peguam plaintif. Dia juga mengaku tidak melihat keterangan sebenar daripada kes itu, termasuk kenyataan daripada beberapa eksekutif AEG Live yang tidak melihat sebarang petanda luar biasa pada Michael.

Untuk mengkaji kes itu, Czeisler dibayar AS950 (RM3,043) sejam.

-The Sun

Samseng Black 505 Belasah 2 Pekerja DBKL

Samseng Black 505 Belasah 2 Pekerja DBKL

Perhimpunan haram anjuran pakatan pembangkang di Padang Merbok, di sini semalam kecoh apabila dua anggota penguat kuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) diserang sekumpulan peserta perhimpunan haram itu.


Dalam kejadian jam 4.50 petang itu, kedua-dua anggota terbabit menasihatkan peserta perhimpunan supaya tidak mendirikan khemah di padang berkenaan kerana melanggar Undang-undang Kecil Kerajaan Tempatan (Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur) 1992 iaitu berkumpul tanpa permit dan kesalahan mendirikan khemah mengikut Akta Jalan, Parit, dan Bangunan 1974.

Bagaimanapun, kumpulan itu yang tidak berpuas hati bertindak agresif membaling botol air selain mengheret, seterusnya mengasari anggota penguat kuasa itu sebelum mangsa berjaya diselamatkan polis dan ditempatkan sementara dalam kenderaan DBKL.

Peserta terus bertindak di luar kawalan apabila mengerumuni kenderaan terbabit selain mengugut mahu menterbalikkan van itu sebagai memprotes arahan DBKL, namun dihalang anggota polis bertugas.

Keadaan bertambah kecoh apabila kedua-dua anggota penguat kuasa DBKL itu, dibawa keluar daripada van berkenaan diiringi pegawai dan anggota polis termasuk mereka berpakaian awam untuk dihantar ke hospital.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Datuk Ku Chin Wah, mengesahkan salah seorang daripada anggota penguat kuasa terbabit mengalami kecederaan serta dihantar ke Hospital Kuala Lumpur (HKL).

“Berdasarkan maklumat yang diterima polis, beberapa khemah didirikan tanpa kebenaran di Padang Merbok oleh kumpulan Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM). Berikutan itu, dua anggota penguat kuasa DBKL bertindak melarang mereka meneruskan pemasangan khemah berkenaan.

Mangsa dipukul

“Bagaimanapun, ketika melaksanakan tugas itu, kedua-dua mereka dilaporkan dipukul, dengan salah seorang daripada mereka mengalami kecederaan dan terpaksa dihantar ke HKL untuk rawatan,” katanya.

Chin Wah berkata, polis sedang menjalankan siasatan terperinci berhubung kejadian itu, termasuk mengenalpasti individu yang melakukan serangan.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Zainuddin Ahmad ketika ditemui, berkata walaupun berlaku kekecohan, keadaan secara keseluruhannya adalah terkawal dan tiada sebarang tangkapan dibuat setakat ini.

Ketua Pengarah DBKL, Datuk Salleh Yusop dalam kiriman sms malam tadi, memaklumkan pihaknya akan mengambil tindakan sewajarnya mengikut undang-undang.

Dalam kejadian berasingan, kira-kira 10 peserta perhimpunan memanjat landasan KTMB berhampiran Padang Merbok sehingga menyebabkan perjalanan komuter dari Batu Caves menuju ke Pelabuhan Klang tergendala selama hampir 15 minit.

Pembangkang degil terus berhimpun di Padang Merbok

Pembangkang menolak tawaran kerajaan untuk mengadakan perhimpunan mereka di Stadium Merdeka, sebaliknya berdegil untuk terus berhimpun di Padang Merbok di sini walaupun tanpa permit.

Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata selepas berbincang, kepemimpinan pakatan pembangkang sebulat suara bersetuju untuk tidak menerima cadangan dikemukakan kerajaan.

“Memang pada mulanya saya bersetuju untuk kita mengakhiri perhimpunan ini di Stadium Merdeka dengan berarak dari Padang Merbok tetapi disebabkan banyak pergerakan, kita memilih untuk tidak menerima cadangan itu,” katanya ketika berucap pada perhimpunan haram itu, semalam.

Anwar juga mengakui banyak pihak meminta supaya pembangkang menangguhkan perhimpunan berkenaan berikutan cuaca jerebu yang boleh mengganggu kesihatan.

Terdahulu, Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, berkata pihaknya akan membuat laporan polis jika penganjur perhimpunan itu tetap meneruskan rancangan untuk mengadakannya di Padang Merbok.

“Pintu Stadium Merdeka juga sudah dibuka untuk mereka, cuma mereka perlu berurusan dengan polis untuk mendapatkan permit,” katanya selepas meninjau sekitar Padang Merbok bagi memberi sokongan kepada pegawai dan anggota Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang bertugas di situ, tengah hari semalam.

-Bharian

Giler! Koleksi Kereta Mainan Bernilai RM496,525!

Giler! Koleksi Kereta Mainan Bernilai RM496,525!

Seorang lelaki Britain mempunyai koleksi kereta mainan Dinky yang menyamai sebuah kereta Ferrari berharga £100,000 (RM496,525), lapor akhbar dalam talian MailOnline.


Dia telah mengumpul kereta mainan itu sejak 60 tahun lalu.

Semua koleksi kereta mainan Dinky yang dikumpulkan itu masih berada dalam keadaan baik di dalam kotak asalnya.

Keseluruhan koleksi kereta mainan itu akan dilelong pada harga bermula dari £100,000 (RM496,525).

Koleksi-koleksi tersebut yang terdiri daripada kereta, trak dan treler mainan Dinky itu di simpan di dalam 80 buah kotak.

Pemilik koleksi tersebut yang mahu identitinya dirahsiakan mula mengumpul kereta permainan itu sejak dari zaman kanak-kanak lagi.

Koleksi itu akan dijual oleh firma lelongan Vectis Auctions, pada 11 Julai depan.

Seorang kakitangan firma Vectis, Nick Letherbarrow berkata, koleksi seperti itu amat jarang didapati.

"Ia merupakan satu koleksi antara yang terbaik dan mengambil masa yang lama untuk dikumpulkan," katanya. -Agensi

Tahukah Anda Kopi Yang Mengandungi Kafein Paling Tinggi Di Dunia?

Tahukah Anda Kopi Yang Mengandungi Kafein Paling Tinggi Di Dunia?

Tahukah Anda? Sebuah perusahaan kopi di Amerika Syarikat mendakwa menghasilkan kopi pertama yang paling 'kick' di dunia. Death Wish, nama kopi ini, dikatakan sebagai kopi paling tinggi kadar kafeinnya di antara kopi panggang premium organik di dunia. Kopi ini dipasarkan dengan harga US$20 dengan berat 454 gram.


Bungkusannya menampilkan tengkorak hitam dengan tulang disilang di bawahnya. Mereka menyatakan menggunakan biji kopi yang mengandungi hampir 200 peratus dari jumlah kafein yang ditemui dalam sajian kopi di kedai kopi biasa.

Di AS, rata-rata kandungan kafein dalam secawan kopi adalah 108 miligram. Sebagai perbandingan, secawan kopi Starbucks rata-rata mengandung kafein 260 mg menurut EnergyFiend.com. Sedangkan dalam Death Wish, kandungan kafeinnya mencapai 520 mg.

Kopi ini ditanam secara organik dan juga disebut-sebut merupakan hasil dari perdagangan yang jujur (fair trade) dan menghargai hak-hak petaninya.

Teknik pengolahan Death Wish, menurut laman web mereka, dilakukan dengan sangat berhati-hati untuk menjaga kadar kafeinnya supaya tidak hilang.

Biasanya, semakin gelap warna kopi, kadar kafeinnya berkurangan kerana lamanya proses pemanggangan.

Ketika ini, pemasaran kopi ini dilakukan secara online, antara lain melalui web Amazon.com.

Salah seorang pembeli yang mengaku puas dan memberi lima bintang untuk produk itu di web Amazon menyatakan kopi ini bukan hanya kuat kadar kafeinnya di dunia.

"Tapi juga salah satu kopi yang terenak dengan bau yang sedap yang pernah ada di dunia," katanya.

Namun, pembeli lain tidak sependapat.

"Saya sedikit kecewa. Ini hanya kopi biasa," katanya, yang memberi ulasan negatif dalam web itu.

"Malah saya tertidur selepas minum kopi ini."

Sumber: Tempo

Sains Membuktikan Ayat Al-Qur'an Bahawa Hujan Mampu Menggegarkan Bumi

Sains Membuktikan Ayat Al-Qur'an Bahawa Hujan Mampu Menggegarkan Bumi

Pada tahun 1827 seorang saintis Inggeris, Dr Brown, dalam penyelidikannya telah menemui bahawa air hujan akan menyebabkan perubahan berlaku pada tanah.


Titisan-titisan hujan ini akan mewujudkan getaran serta menyebabkan molekul tanah bergoncang.

Tanah mengandungi pelbagai molekul yang terdiri daripada bijih-bijih oksida yang mampat antara satu sama lain. Ketika hujan turun, pergeseran bijih-bijih ini akan mewujudkan arus elektrik kerana ia mungkin terdiri daripada jenis-jenis mineral yang berbeza.

Bijih-bijih mineral ini akan ter'ion' dengan sendiri melalui tindak balas pergerakan itu. Jika terdapat penurunan arus elektrik dalam molekul-molekul tersebut, ia akan berubah menjadi ion positif. Manakala, sekiranya arus elektrik dikesan meningkat dalam molekul-molekul mineral berkenaan, ia berubah menjadi ion negatif.

Menurut Dr. Brown, secara faktanya ketika hujan membasahi bumi, molekul-molekul ion ini akan bergegar. Dan apabila titisan hujan menyimbah tanah daripada arah yang berbeza, gegaran dan goncangan molekul-molekul ion yang asalnya mampat akan merenggangkan jarak bijih-bijih.

Liang-liang yang terbentuk di antara mineral tersebut akan menyerap air hujan dan mengumpul air pada satu lapisan tertentu.

Dengan kata lain, molekul-molekul ini akan bertindak sebagai agen pengumpul mineral dan air di dalam tanah. Tumbuhan pula akan menyerap sumber air dan mineral ini melalui akar sebagai sumber makanan mereka.

Sekiranya molekul pengumpul ini tidak terbentuk, air akan terus menyusup ke dalam tanah dan tumbuh-tumbuhan akan mati dalam tempoh seminggu. Proses itu kata Dr. Brown, berlaku dalam satu aturan yang kompleks dan sangat sistematik.

Penemuan itu telah dilakukan oleh Dr. Brown ketika mana beliau cuba untuk mencari jawapan sebenar bagaimana sumber air boleh terkumpul di dalam tanah. Dan, hasil penyelidikan itu telah dikenali oleh komuniti saintis dunia dengan nama Brownian Motion yang diberikan sempena nama Dr. Brown sendiri.

Di sebalik teori yang dikemukakan oleh Dr. Brown, Al-Qur'an juga sebenarnya turut menyentuh tentang perkara ini.

Kitab suci umat Islam yang diwahyukan pada abad ke-7 itu telah menerangkan dengan jelas bagaimana proses pergerakan tanah dan penyerapan air berlaku.

Sepotong ayat daripada surah Al-Hajj, ayat 5 sudah cukup untuk menerangkan kesahihan itu.

Firman Allah yang bermaksud; "...dan kamu melihat Bumi kering, kemudian ketika Kami menurunkan air ke atasnya, ia bergetar (ih'tazzat) dan menelannya (warabat), lalu menumbuhkan tumbuhan dari setiap pasangan yang indah...", (Surah Al-Hajj ayat 5).

Melalui ayat ini, Allah bukan sekadar menerangkan pergerakan tanah yang berlaku, tetapi penerangannya merangkumi keseluruhan proses yang dikenali sebagai Brownian Motion itu.

Air hujan yang mencurah daripada ketinggian yang mumungkinkannya mencapai tahap kelajuan sehingga 46.8 kilometer sejam. Dengan kelajuan ini, ditambah lagi dengan sifat air hujan sebagai cecair, akan menyebabkan hentaman momentum berlaku dengan cukup kuat. Seterusnya, hentaman itu akan membuatkan molekul-molekul tanah bergetar dan bergerak.

Getaran tanah ini bukanlah sesuatu yang dapat dirasakan oleh panca indera manusia. Tidak seperti gempa bumi, pergerakan molekul ini berlaku sangat halus dalam jangka waktu yang cepat.

Pada tahap kedua, kata kuncinya adalah perkataan warabat yang membawa maksud menelan. Dalam ayat ini, Allah mengumpamakan proses penyerapan air itu dengan perkataan 'menelan' - seperti air yang ditelan tanah.

Kadar kemampuan tanah untuk 'menelan' air ini bergantung kepada partikel tanah itu sendiri. Semakin kecil partikel pembentukan tanah, semakin besar tenaga yang diperlukan oleh air untuk melewati partikel tanah tersebut.

Sebagai contoh, tanah berpasir adalah jenis tanah yang paling menyerap air, manakala tanah liat pula adalah karekter tanah yang paling sukar untuk menyerap air.

Pada tahap ketiga pula, Allah menerangkan tentang tumbuhan yang tumbuh di atas tanah, serta menyerap air sumber mineral yang terkandung di dalamnya. Dan, ketiga-tiga tahap ini mempunyai penjelasan yang sama dengan teori Brownian Motion yang dikemukakan oleh Dr. Brown pada tahun 1827.

Jelas sekali, fakta mengenai pergerakan tanah yang disebabkan oleh air hujan ini telah terlebih dahulu diterangkan oleh Al-Qur'an 1,400 tahun yang lalu.

Ia adalah bukti sahih bahawa Al-Qur'an adalah wahyu yang diturunkan oleh Maha Pencipta.

BACA INI JUGA: Apa Sebenarnya Punca Air Laut Menjadi Masin?

-SENTIASAPANAS.COM

Lelaki Mati Ketika Lakukan Aksi Seks Ganas

Lelaki Mati Ketika Lakukan Aksi Seks Ganas

Siasatan polis tidak menolak kemungkinan kematian Jeffri Mohd. Alee yang lehernya dijerut dengan tali pinggang di Flat Sri Lempah, Lorong Jugra, Jalan Klang Lama di sini pada Rabu lalu ada kaitan dengan cubaan melakukan seks ganas.


Mayat Jeffri, 25, dikatakan ditemui pada pukul 10 malam di dalam sebuah bilik di rumah tersebut dalam keadaan separuh bogel dan memakai rambut palsu wanita berwarna perang.

Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Muhammad Azlee Abdullah berkata, mangsa dipercayai bersama seorang individu lain dan kemungkinan baru hendak mengadakan hubungan seks berdasarkan kepada keadaan mangsa ketika ditemui.

“Pemeriksaan forensik tidak menjumpai kesan air mani pada tubuh mangsa namun siasatan awal yang dijalankan seakan-akan menjurus ke arah cubaan melakukan seks,” kata beliau ketika dihubungi di sini semalam.

-Kosmo

Mesin Penggelek Karipap Berjaya Dicipta

Mesin Penggelek Karipap Berjaya Dicipta

Malaysia mempunyai pelbagai jenis kuih tradisi. Salah satu daripada kuih yang digemari oleh rakyat Malaysia adalah karipap.

Mesin Autotronic - www.zulldesign.com.my

Namun begitu, cara pembuatannya agak rumit kerana karipap adalah kuih yang mempunyai corak yang tersendiri.

Pembuatan kuih karipap kebiasaannya memerlukan tenaga kerja yang banyak.

Selain itu, pembuatan kuih ini juga memerlukan penelitian terutama sekali dalam kerja mencanai tepung atau doh.

Doh yang dicanai tidak boleh terlalu tebal dan terlalu nipis kerana ia boleh mengubah tekstur dan rasa sebenar kuih tersebut.

Kebanyakan pelanggan yang membeli produk makanan akan melihat bentuk atau rupa makanan tersebut. Oleh itu, kekemasan rupa sesuatu produk itu haruslah dititik beratkan oleh setiap peniaga dalam memastikan produk mereka akan lebih digemari.

Kekemasan kuih karipap terletak pada corak atau bunganya dan juga ketebalan yang sama bagi setiap kuih.

Dalam menyelesaikan masalah ini, Zull Design Autotronic (ZDA) telah muncul dengan idea baru bagi membantu para pengusaha makanan untuk mendapatkan kuih karipap yang lebih kemas.

Penghasilan mesin penggelek karipap oleh ZDA sedikit sebanyak dapat membantu para peniaga dalam menjimatkan tenaga kerja yang ramai.

Kawalannya secara automatik membolehkan peniaga lebih fokus terhadap membentuk corak di bahagian tepi karipap.

Seperti yang dinyatakan dalam keluaran-keluaran sebelum ini, ZDA tidak mempunyai mesin yang sedia ada atau telah siap, sebaliknya penghasilan mesin bergantung kepada tempahan.

Penciptaan mesin biasanya bergantung kepada keperluan dan kehendak pelanggan itu sendiri. Cara tersebut dapat membantu pengguna untuk menempah mesin yang diperlukan mengikut modal atau kemampuan mereka.

Oleh itu harga bagi setiap barang keluaran ZDA adalah tidak tetap dan bergantung kepada keperluan dan kehendak pengguna terhadap spesifikasi mesin tersebut.

-Utusan

Awas! Kemunculan Penyakit Misteri Yang Lebih Bahaya Daripada Virus SARS

Awas! Kemunculan Penyakit Misteri Yang Lebih Bahaya Daripada Virus SARS

Sejenis virus akut pernafasan misteri berasal dari Timur Tengah, dilaporkan amat mudah merebak antara manusia sekali gus lebih bahaya berbanding virus SARS.


Menurut laporan AP, sekumpulan pakar perubatan yang mengkaji rebakkan sindrom pernafasan akut Timur Tengah (MERS) di Arab Saudi melaporkan, lebih 60 kes disahkan membabitkan jangkitan MERS termasuk 38 kematian direkod Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dalam 2012.

Pakar mendedahkan virus MERS yang merebak teruk di Arab Saudi dan mengorbankan lebih 30 nyawa memiliki beberapa persamaan ketara dengan SARS.

Pakar epidemiologi kanan pusat Perubatan Johns Hopkins, Dr Trish Perl menerusi laporan di dalam Jurnal Perubatan New England berkata, pasukannya masih belum dapat memastikan sama ada MERS disebar menerusi air liur, pernafasan atau dengan sentuhan.

"Sebahagian pesakit yang dijangkiti berkedudukan agak jauh antara satu sama lain tetapi entah bagaimana ia boleh berlaku.

"Tetapi, dalam satu andaian yang agak tepat, kita menjangkakan sebaran MERS berlaku menerusi letupan yang tidak dapat dilihat dengan mata kasar," kata Perl.

Menurut Perl, virus MERS mula dilaporkan merebak di tanah Arab pada 24 Semptember 2012 dan ia masih belum dapat diubati.

Setakat ini, rekod menunjukkan MERS mula menjangkiti penduduk di Jordan, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Perancis, Jerman, Itali dan Tunisia yang mana pesakit pernah menjejakkan kaki ke rantau Timur Tengah.

Penghidap disahkan mengalami simptom seperti demam dan batuk berlarutan selama beberapa hari dan jika tidak diberi rawatan khas, mereka akan meninggal dunia akibat jangkitan paru-paru.

Pakar tidak menolak MERS berkait rapat dengan virus kelawar walaupun sebahagian daripada mereka mengesyaki ia merebak menerusi haiwan sakit seperti unta atau kambing.

Satu lagi hipotesis mengatakan, kelawar yang dijangkiti mampu mencemarkan makanan seperti buah kurma yang sering dituai dan menjadi hidangan pemanis masyarakat Arab Saudi dan dunia.

Sementara itu, pasukan kesihatan di Arab Saudi memulakan operasi secara besar-besaran membasmi rebakkan menjelangnya bulan Ramadan.

-Sinarharian