Tuesday, January 01, 2013

Cover Akuastik Gangnam Style Steph Micayle 4 Juta View Di YouTube

Cover Akuastik Gangnam Style Steph Micayle 4 Juta View Di YouTube

Kehadiran PSY membawa Gangnam Style telah menggegar satu dunia. Hanya dalam masa beberapa bulan sahaja video Gangnam Style ke udara di laman youtube, catatan view sudah melebihi 200juta. Dan kini sudah mencecah billion penonton di youtube.

Gangnam Style Steph Micayle

Sangat menakjubkan, tarian kuda yang dibawa itu benar-benar memukau hinggakan ramai juga artis-artis lain yang cuba mempertontonkan gaya itu.

Cover dan parody juga semakin banyak di laman youtube. Seperti video dari gadis comel ini Steph Micayle, mempamerkan bakat beliau sebagai cover akuastik lagu Gangnam Style.

Video yang dimuat naik Steph Micayle telah mendapat view sehigga 4.6 juta di laman youtube setakat ini. Juga disiarkan dalam sebuah media berita di China.

Jom tonton videonya di YouTube.

-Sentiasapanas.com

Kantoi! Peserta Mogok Lapar Di Serang Gastrik

Kantoi! Peserta Mogok Lapar Di Serang Gastrik

Mogok lapar yang kononnya 100 jam yang disertai oleh penyokong pembangkang di Dataran Merdeka yang sepatutnya berakhir malam tadi menimbulkan persoalan.

Seorang lelaki didakwa peserta mogok lapar begitu berselera 
menikmati makanan di Dataran Merdeka, semalam.

Ia kerana beberapa pesertanya dilihat makan termasuk di restoran dan hotel sekitar kawasan berkenaan dipercayai tidak tahan lapar.

Beberapa blog turut menyiarkan gambar peserta mogok lapar itu sedang menjamu selera, semalam.

Malah ada kalangan mereka menerima bungkusan makanan dipercayai dihantar oleh penganjur himpunan berkenaan yang meletakkan syarat peserta hanya dibenarkan minum air sepanjang mogok berlangsung.

Sebuah blog juga berjaya mengesan perbuatan ‘mencuri makan’ peserta mogok lapar itu ketika bantahan yang bermula jam 8 malam Khamis lalu baru saja memasuki jam ke-63.

-Bharian

Warga Tua Britain Ketagih Facebook

Warga Tua Britain Ketagih Facebook

Berbanding mengangkat telefon, ramai datuk nenek masa kini menggunakan laman rangkaian sosial untuk berhubung dengan saudara mara, dengan hampir satu perempat nenek mendakwa mereka pengguna kerap Facebook.

Warga tua melayari internet bersama keluarga di London.

Kajian turut mendedahkan separuh penduduk di Britain kini berhubung dengan datuk nenek dan saudara lebih tua melalui khidmat pesanan ringkas (SMS), e-mel dan Facebook.

Hampir seorang bagi setiap 20 generasi muda mendakwa mempunyai datuk nenek dalam laman mikro blogging, Twitter.

Menurut tinjauan dijalankan syarikat perfileman, Twentieth Century Fox untuk menandakan pelancaran filem Parental Guidance, hampir suku datuk nenek di Britain kini memiliki komputer riba dan seorang bagi setiap 20 orang sering berkomunikasi dengan cucu mereka dalam Skype atau ruang sembang. Seorang bagi setiap 10 malah memiliki komputer tablet canggih.

Separuh daripadanya mahir menghantar SMS, 46 peratus pengguna kerap e-mel dan 15 peratus menghantar mesej dalam Facebook, lapor akhbar Daily Mail.

Daripada 500 datuk nenek yang ditinjau, 78 peratus menggambarkan mereka mahir berkomunikasi secara dalam talian.

Lebih 35 peratus berpendapat, penting menonjolkan diri secara online untuk berhubung dengan keluarga.

Kajian mendapati dua pertiga orang muda berkata, purata datuk nenek masa kini lebih mahir dalam teknologi maklumat berbanding lima tahun lalu.

-Agensi

Penyiasat Dakwa Whitney Houston Sebenarnya Di Bunuh

Penyiasat Dakwa Whitney Houston Sebenarnya Di Bunuh

Kematian Whitney Houston pada bulan Februari lalu memasuki episod baru yang mengejutkan apabila penyanyi itu dikatakan bukan mati akibat dadah berlebihan, tetapi di bunuh.


Menurut seorang penyiasat persendirian, Paul Huebl, rakaman kamera litar tertutup (CCTV) mengenai kehadiran dua lelaki misteri di bilik Houston pada masa dia ditemui mati menguatkan andaian tersebut.

"Saya percaya, dua lelaki misteri tersebut adalah orang upahan pengedar dadah. Ini kerana Houston sebelum ini pernah dikatakan berhutang lebih RM4.5 juta (US$ 1.5 juta) kepada pengedar dadah.

"Jadi mereka (pengedar dadah) telah mengupah orang untuk mengutip hutang tersebut dan akhirnya ia diselesaikan dengan cara kematian," katanya.

Huebl berkata, teori Houston berhutang dikuatkan lagi dengan pengakuan seorang teman rapat mendiang yang mendakwa penyanyi itu ada berjumpanya untuk meminjam wang dalam jumlah yang besar.

Selain itu, kecederaan yang dialami Houston pada hari kematiannya seperti kecederaan pada tangan, kepala dan bibir, menunjukkan wanita itu ada bergelut dalam usaha melindungi diri.

Malah, difahamkan, polis kini sudah membuka kertas siasatan bagi melihat segala bukti yang ada, untuk menilai semula kes kematian Houston.

-Sinarharian

Beyonce Cipta Sejarah Bayaran RM300 Juta Promosi Pepsi

Beyonce Cipta Sejarah Bayaran RM300 Juta Promosi Pepsi

Penyanyi Beyonce Knowles telah mencipta sejarah apabila dipilih oleh produk minuman Pepsi sebagai duta baru mereka dengan nilai kontrak selama lima tahun dengan nilau RM300 juta (USD$100 juta).


Beyonce, 31, memberitahu dia sangat teruja dengan pemilihan tersebut yang dianggap sebagai unik.

Nilai kontrak itu adalah paling tinggi yang pernah diberikan oleh Pepsi dan Beyonce dilaporkan menerima bayaran lima kali ganda daripada yang pernah dibayar kepada Michael Jackson.

Gambar wajah penyanyi lagu If I Were A Boy itu akan mula dicetak pada tin dan botol versi edisi khas minuman itu bermula bulan hadapan selain iklan promosi.

Selain itu juga, Beyonce akan merakamkan iklan terbaharu produk itu dan beberapa siri program tajaan syarikat minuman berkenaan.

-mStar

Hotel Bawah Laut RM100,000 Satu Malam!

Hotel Bawah Laut RM100,000 Satu Malam!

Bayangkan hotel dan resort yang anda diami terletak di bawah laut dengan caj penginapan RM100,000 semalam. Selain tidur, anda berpeluang menatap sendiri kehidupan akuatik selama 24 jam tanpa sebarang bantuan alat pernafasan dan yang paling utama badan anda tidak terkena walaupun setitis air.

Jules Undersea Lodge

Tetapi, itu sudut kreatif manusia yang mampu melakukan perkara luar jangkaan dengan syarat berbekalkan usaha yang tidak pernah surut.

Konsep hotel dan resort bawah laut ini sebenarnya bermula sejak 1986 di Jules Undersea Lodge, Key Largo, Florida, Amerika Syarikat (AS).

Jules Undersea Lodge menawarkan pelanggan merasai sendiri pengalaman tidur sedalam sembilan meter di bawah permukaan laut.

Cuma, mereka harus menyelam terlebih dahulu sebelum sampai di kamar.

Sejarah Jules Undersea Lodge bermula hasil inspirasi novelis Perancis, Jules Verne yang banyak menulis novel fiksyen.

Verne yang mati pada 24 Mac 1905 menulis novel Twenty Thousand Leagues Under the Sea pada 1870. Karya itu mengisahkan Kapten Nemo dan kapal selamnya berdasarkan perspektif Profesor Pierre Aronnax.

Aronnax, seorang bekas doktor perubatan beralih karier sebagai saintis marin dan pensyarah di Muzium Paris.

Pengunjung tidak semestinya arif menyelam kerana pihak hotel menyediakan kursus menyelam bagi tetamu yang ingin belajar.

Konsep sama diterapkan oleh Utter In yang terletak di Danau Mälaren, berhampiran Västerås, Sweden.

Projek hasil seni Mikael Genberg itu boleh dikunjungi pelancong melalui sebuah rumah kecil di permukaan air.

Biliknya terletak tiga meter daripada permukaan laut. Bangunan ini mula dibuka pada Jun 2000 dan sehingga kini ia berjaya menggamit ribuan pengunjung setiap tahun.

Pelanggan boleh merasai pengalaman tidur sedalam sembilan meter bawah laut di Jules Undersea Lodge.
Bukan hanya di AS dan Sweden, tetapi konsep kediaman bawah laut turut menjadi produk pelancongan di Fiji dan Dubai.

Terletak di sebuah lagun kepulauan peribadi di Fiji, sebuah resort bertaraf lima bintang, Poseidon Resort bakal siap tahun hadapan.

Resort dengan 24 bilik sebesar 50 meter persegi itu terletak 12 meter di bawah paras laut. Kesemua pod bawah laut mempunyai kaca akrilik lutsinar yang membolehkan pengunjung menikmati pemandangan laut.

Menurut pemiliknya, Bruce Jones, dia sendiri tidak menyangka ciptaannya itu bakal menjadi realiti.

“Walaupun projek bernilai RM367 juta ini belum dirasmikan tetapi kami telah menerima tempahan percutian melalui pakej yang ditawarkan,” katanya.

Berdasarkan laman web Poseidon, pakej penginapan selama seminggu itu dijual dengan harga RM52,000 termasuk penginapan dua malam di bilik bawah laut (Undersea Suites) yang merupakan kemuncak percutian di resort itu.

Tempoh selebihnya dihabiskan dengan memilih penginapan di resort permukaan laut.

Tetamu juga tidak perlu khuatir tekanan di bawah permukaan air kerana resort ini dilengkapi teknologi nyah tekanan yang diuruskan secara sistematik.

Selain itu, pelanggan boleh memilih pakej menaiki kapal selam dan pergi lebih jauh ke dasar laut.

Sebanyak empat buah kapal selam Triton disediakan bagi pelancong yang ingin menyahut cabaran kedalaman sehingga 300 meter.

Di Dubai, Hotel Hydropolis Underwater boleh disifatkan salah satu hotel bawah laut paling mewah di dunia.

Struktur hotel mencakupi tiga elemen iaitu stesen darat (tempat menyambut tetamu), terowong penghubung (tetamu diangkut dengan kereta api ke ruangan utama hotel) dan 220 kamar hotel mewah.

Penginapan hotel ini dijangkakan bayaran RM100,000 semalam.

Resort mewah ini dirancang oleh Profesor Roland Dieterle dan menelan belanja RM1 bilion tetapi tidak dapat dipastikan tarikh hotel ini siap sepenuhnya.

Hotel Apeiron Island juga di Dubai masih dalam pembinaan dengan rekaan futuristik di bawah laut.

Apeiron mempunyai galeri seni, spa, 438 kamar suite, dan sebuah hutan buatan untuk spesies kupu-kupu tropika.

Namun anda perlu menaiki helikopter atau kapal pesiaran dan helikopter sebagai pengangkutan untuk ke hotel ini.

Semoga memberi manfaat.

Bakal Pengantin Kantoi Di Hotel Bajet

Bakal Pengantin Kantoi Di Hotel Bajet

Tidak sabar untuk hidup bersama sebagai sepasang suami isteri, sepasang kekasih yang hanya menunggu tidak sampai sebulan untuk diijabkabulkan ditahan di sebuah hotel bajet di Jalan Pantai, di sini, kelmarin.


Dalam operasi Ambang Tahun Baru, kira-kira jam 2 pagi itu, pasangan lingkungan 20-an itu pada mulanya berlagak seolah-olah sepasang suami isteri sebelum siasatan membongkar status sebenar hubungan mereka yang masih belum bernikah.

Timbalan Ketua Penguat Kuasa Jabatan Agama Islam Johor (Jaij) Batu Pahat, Saiful Ariffin Mohd Sopah berkata, ketika serbuan, pasangan terbabit enggan membuka pintu.

Menurutnya, selepas beberapa kali pintu diketuk, baru lah pasangan terbabit akhirnya membuka pintu berkenaan.

“Selepas pintu bilik dibuka, kami dapati pasangan berkenaan ketakutan selepas menyedari perlakuan sumbang mereka bakal diketahui.

“Kami dapati pasangan itu belum mempunyai ikatan sah dan tetap dikenakan tindakan kerana berada dalam bilik tertutup dan berdua-duaan sedangkan mereka bukan mahram,” katanya.

Saiful Ariffin berkata, setiap ibu bapa perlu mengingatkan anak masing-masing batasan pergaulan walaupun mereka sudah bertunang dan menunggu masa untuk bernikah.

“Kes ini disiasat mengikut Seksyen 27 (1) (a) (b), Enakmen Kanun Jenayah Syariah (EKJSJ) 1997.

“Selagi belum ada ikatan, ibu bapa dan individu itu sendiri perlu menjaga batas pergaulan masing-masing,” katanya.

-Harian Metro

Sekolah Israel Anugerahkan Pangkat Nabi Kepada Pelajar

Sekolah Israel Anugerahkan Pangkat Nabi Kepada Pelajar

Kekejaman yang dilakukan oleh rejim Zionis itu tidak pernah berhenti walau sesaat pun. Fikiran mereka masih lagi tertanam dengan satu tujuan iaitu mahu melenyapkan umat Islam dan negara Islam yang ada seperti Palestin.


Terbaru, dikatakan Israel telah mendirikan sebuah sekolah dengan memberikan kelulusan kepada setiap pelajar dengan pangkat Nabi.

Sekolah tersebut diberi nama ‘Cain and Abel School for Prophet’.

Di sekolah itu, para pelajar akan diajarkan mengenai erti mimpi-mimpi yang dialami, jenis-jenis malaikat yang ada serta misteri roh manusia.

Malah, perbezaan fikiran dan dalaman seseorang juga diajarkan kepada setiap pelajar dengan hanya melalui perbuatan dan penampilan seseorang itu.

Jumlah bayaran yang dikenakan untuk memasuki sekolah itu adalah sebanyak 53 Dollar AS atau 200 shekel.

Peraturan dan ko-kurikulum sekolah itu juga tidak ketat dan pelajar bebas untuk melakukan apa sahaja ketika sesi belajar seperti ingin bermain gitar, bermain alatan gajet teknologi yang dibawa atau pun keluar dari kelas untuk merokok.

Setiap pelajar yang lulus dengan cemerlang akan diberikan sijil yang mentauliahkan dirinya sebagai nabi.

Salah seorang guru di sekolah Israel itu, Shmuel Haparty mempercayai Messias (Nabi Isa) sudah datang dan sekolah itu perlu memberikan nabi baru kepada dunia moden mereka.

Pun begitu, pendidik-pendidik sekolah ‘Cain and Abel School for Prophet’ tidak menjanjikan setiap ‘nabi’ mereka dapat berinteraksi secara terus dengan Tuhan mereka.

-Informasi.my

Goyang Itik Jadi Fenomena Baru Di Indonesia

Goyang Itik Jadi Fenomena Baru Di Indonesia

Geleng kepala apabila penulis mendapat tahu kini ada pula tarian dangdut terbaru di Indonesia.


Jika sebelum ini pelakon dan penyanyi dangdut, Inul yang amat terkenal dengan tarian Goyang Gerudi kini ada pulak satu tarian lain muncul.

Tapi yang kelakarnya ia digelar Goyang Itik!

Goyang Itik ini diilhamkan oleh penyanyi, Zaskia Shinta yang kini namanya semakin meningkat naik.

Bukan kerana suaranya sedap atau apa, tapi kerana goyang pinggulnya itu.


“Memang kedengarannya nyeleneh, tapi bukan berarti goyangan yang seronok atau vulgar. Kami lebih suka menyebutnya sensualitas elegan, artinya, goyangan kami tetap diusahakan sopan,” ujarnya.

Bagi penyanyi berusia 22 tahun ini, Goyang Itik amat diminati oleh ramai orang.

Jadi dia tidak akan berhenti untuk terus melakukan aktiviti tarian yang diciptanya itu.

Tengok saja video ini. Macam-macam! Jangan lepas ni ada Goyang Beruk ke, Goyang Tenuk ke sudah, tak ke haru!



[Sumber]
Info Fakta Menarik Dunia #1/2013

Info Fakta Menarik Dunia #1/2013

Suhu inkubasi bagi sarang penyu adalah faktor utama penentu kepada jantina sesekor penyu itu. Bagi suhu yang lebih panas, kemungkinan untuk penetasan penyu betina adalah lebih tinggi.


Walaupun negara Botswana hanya mempunyai kira-kira 2 juta penduduk, namun ia adalah negara kedua paling tercemar di dunia yang berpunca daripada kebakaran liar dan pencemaran akibat industri mineral.


Coklat bukan sekadar sejenis makanan ataupun kandi tapi sejarah membuktikan bahawa biji koko yang muncul di hutan Amerika Tengah pernah digunakan sebagai unit monetari untuk membayar cukai pada zaman pemerintahan Aztec pada tahun 1,000 Masehi.


Bangunan Esplanade yang mempunyai bentuk yang agak pelik yang terdapat di Singapura turut diberi nama gelaran 'The Durian' oleh penduduk tempatan kerana bentuknya seolah-olah buah durian.


Belon-belon getah pertama di dunia sebenarnya telah dicipta oleh Profesor Michael Farady pada tahun 1824 untuk kegunaan eksperimennya sendiri berkaitan hidrogen di Royal Institution di London.


Menurut jangkaan para saintis, terdapat antara 5 juta hingga 100 juta spesis unik tumbuhan dan haiwan yang ada di muka bumi ketika ini namun hanya kira-kira 2 juta daripada spesis-spesis ini yang telah dikenalpasti.


Adalah dikatakan Menara Eiffel akan dicat bagi setiap 7 tahun yang berlalu.


Beruang-beruang panda hanya berevolusi sekali setiap tahun dan hanya subur untuk tempoh dua hingga tiga hari dalam tempoh tersebut.


Sukan luncur air ataupun 'heenalu' telah dicipta oleh orang-orang Polynesia yang mula-mula sekali menetap di Hawaii. Pada ketika itu, luncur yang digunakan oleh mereka dikatakan adalah seberat 150 paun dan sepanjang 20 kaki.


-Sentiasapanas.blogspot.com