Tuesday, January 01, 2013

Hotel Bawah Laut RM100,000 Satu Malam!


Bayangkan hotel dan resort yang anda diami terletak di bawah laut dengan caj penginapan RM100,000 semalam. Selain tidur, anda berpeluang menatap sendiri kehidupan akuatik selama 24 jam tanpa sebarang bantuan alat pernafasan dan yang paling utama badan anda tidak terkena walaupun setitis air.

Jules Undersea Lodge

Tetapi, itu sudut kreatif manusia yang mampu melakukan perkara luar jangkaan dengan syarat berbekalkan usaha yang tidak pernah surut.

Konsep hotel dan resort bawah laut ini sebenarnya bermula sejak 1986 di Jules Undersea Lodge, Key Largo, Florida, Amerika Syarikat (AS).

Jules Undersea Lodge menawarkan pelanggan merasai sendiri pengalaman tidur sedalam sembilan meter di bawah permukaan laut.

Cuma, mereka harus menyelam terlebih dahulu sebelum sampai di kamar.

Sejarah Jules Undersea Lodge bermula hasil inspirasi novelis Perancis, Jules Verne yang banyak menulis novel fiksyen.

Verne yang mati pada 24 Mac 1905 menulis novel Twenty Thousand Leagues Under the Sea pada 1870. Karya itu mengisahkan Kapten Nemo dan kapal selamnya berdasarkan perspektif Profesor Pierre Aronnax.

Aronnax, seorang bekas doktor perubatan beralih karier sebagai saintis marin dan pensyarah di Muzium Paris.

Pengunjung tidak semestinya arif menyelam kerana pihak hotel menyediakan kursus menyelam bagi tetamu yang ingin belajar.

Konsep sama diterapkan oleh Utter In yang terletak di Danau Mälaren, berhampiran Västerås, Sweden.

Projek hasil seni Mikael Genberg itu boleh dikunjungi pelancong melalui sebuah rumah kecil di permukaan air.

Biliknya terletak tiga meter daripada permukaan laut. Bangunan ini mula dibuka pada Jun 2000 dan sehingga kini ia berjaya menggamit ribuan pengunjung setiap tahun.

Pelanggan boleh merasai pengalaman tidur sedalam sembilan meter bawah laut di Jules Undersea Lodge.
Bukan hanya di AS dan Sweden, tetapi konsep kediaman bawah laut turut menjadi produk pelancongan di Fiji dan Dubai.

Terletak di sebuah lagun kepulauan peribadi di Fiji, sebuah resort bertaraf lima bintang, Poseidon Resort bakal siap tahun hadapan.

Resort dengan 24 bilik sebesar 50 meter persegi itu terletak 12 meter di bawah paras laut. Kesemua pod bawah laut mempunyai kaca akrilik lutsinar yang membolehkan pengunjung menikmati pemandangan laut.

Menurut pemiliknya, Bruce Jones, dia sendiri tidak menyangka ciptaannya itu bakal menjadi realiti.

“Walaupun projek bernilai RM367 juta ini belum dirasmikan tetapi kami telah menerima tempahan percutian melalui pakej yang ditawarkan,” katanya.

Berdasarkan laman web Poseidon, pakej penginapan selama seminggu itu dijual dengan harga RM52,000 termasuk penginapan dua malam di bilik bawah laut (Undersea Suites) yang merupakan kemuncak percutian di resort itu.

Tempoh selebihnya dihabiskan dengan memilih penginapan di resort permukaan laut.

Tetamu juga tidak perlu khuatir tekanan di bawah permukaan air kerana resort ini dilengkapi teknologi nyah tekanan yang diuruskan secara sistematik.

Selain itu, pelanggan boleh memilih pakej menaiki kapal selam dan pergi lebih jauh ke dasar laut.

Sebanyak empat buah kapal selam Triton disediakan bagi pelancong yang ingin menyahut cabaran kedalaman sehingga 300 meter.

Di Dubai, Hotel Hydropolis Underwater boleh disifatkan salah satu hotel bawah laut paling mewah di dunia.

Struktur hotel mencakupi tiga elemen iaitu stesen darat (tempat menyambut tetamu), terowong penghubung (tetamu diangkut dengan kereta api ke ruangan utama hotel) dan 220 kamar hotel mewah.

Penginapan hotel ini dijangkakan bayaran RM100,000 semalam.

Resort mewah ini dirancang oleh Profesor Roland Dieterle dan menelan belanja RM1 bilion tetapi tidak dapat dipastikan tarikh hotel ini siap sepenuhnya.

Hotel Apeiron Island juga di Dubai masih dalam pembinaan dengan rekaan futuristik di bawah laut.

Apeiron mempunyai galeri seni, spa, 438 kamar suite, dan sebuah hutan buatan untuk spesies kupu-kupu tropika.

Namun anda perlu menaiki helikopter atau kapal pesiaran dan helikopter sebagai pengangkutan untuk ke hotel ini.

Semoga memberi manfaat.

Add Comments

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon