Monday, February 09, 2026

Bahaya Penyakit Tibi (Tuberkulosis): Simptom, Punca dan Cara Pencegahan Yang Perlu Anda Tahu

Bahaya Penyakit Tibi (Tuberkulosis): Simptom, Punca dan Cara Pencegahan Yang Perlu Anda Tahu

Penyakit tibi (tuberkulosis atau TB) masih menjadi antara penyakit berjangkit utama di dunia termasuk Malaysia. Walaupun rawatan tersedia, kelewatan diagnosis dan kegagalan menghabiskan rawatan menyebabkan penyakit ini terus menular dan boleh membawa komplikasi serius serta kematian.

Bahaya Penyakit Tibi (Tuberkulosis)

Artikel ini menerangkan secara menyeluruh tentang bahaya penyakit tibi, berdasarkan maklumat kesihatan umum, bagi meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai simptom awal, faktor risiko dan langkah pencegahan yang berkesan.

APA ITU PENYAKIT TIBI?

Tibi ialah penyakit berjangkit yang disebabkan oleh bakteria Mycobacterium tuberculosis.

Ia paling kerap menyerang paru-paru (tibi pulmonari), tetapi juga boleh menjangkiti bahagian lain seperti:
  • Tulang dan sendi.
  • Otak (tibi meningitis).
  • Kelenjar limfa.
  • Buah pinggang.

Jangkitan berlaku melalui udara apabila pesakit tibi aktif batuk, bersin atau bercakap, menyebabkan bakteria tersebar dalam bentuk titisan halus yang boleh dihidu oleh orang lain.

MENGAPA PENYAKIT TIBI MASIH BERBAHAYA?

1. Simptom Awal Yang Tidak Spesifik

Ramai pesakit menganggap batuk berpanjangan sebagai masalah biasa, menyebabkan diagnosis lewat dan risiko jangkitan kepada orang lain meningkat.

2. Kerosakan Paru-Paru Jangka Panjang

Tibi boleh menyebabkan parut dan kerosakan kekal pada paru-paru, mengakibatkan masalah pernafasan kronik walaupun selepas sembuh.

3. Risiko Kematian Jika Tidak Dirawat

Tanpa rawatan, bakteria boleh merebak ke organ lain dan menyebabkan kegagalan organ.

4. Tibi Kebal Ubat (Drug-Resistant TB)

Pengambilan ubat yang tidak konsisten boleh menyebabkan bakteria menjadi kebal terhadap ubat, menjadikan rawatan lebih lama dan kompleks.

SIMPTOM PENYAKIT TIBI YANG PERLU DIKESAN AWAL

Dapatkan pemeriksaan jika mengalami simptom berikut:
  • Batuk lebih daripada 2 minggu.
  • Kahak berdarah.
  • Demam berpanjangan.
  • Berpeluh malam.
  • Penurunan berat badan tanpa sebab.
  • Hilang selera makan.
  • Keletihan melampau.

Pengesanan awal meningkatkan kadar penyembuhan dan mengurangkan risiko penularan.

SIAPA YANG BERISIKO TINGGI DIJANGKITI TIBI?

Golongan berikut mempunyai risiko lebih tinggi:
  • Pesakit diabetes.
  • Individu dengan sistem imun lemah.
  • Perokok.
  • Warga emas.
  • Individu yang tinggal di kawasan sesak.
  • Kontak rapat dengan pesakit tibi aktif.

RAWATAN PENYAKIT TIBI: APA YANG PERLU DIKETAHUI

Rawatan tibi biasanya mengambil masa sekurang-kurangnya 6 bulan dan melibatkan kombinasi beberapa jenis ubat antibiotik.

Kepatuhan terhadap rawatan adalah sangat penting kerana:
  • Mengelakkan jangkitan berulang.
  • Mencegah bakteria kebal ubat.
  • Mengurangkan risiko jangkitan kepada orang lain.

Program rawatan tibi di Malaysia biasanya dipantau oleh petugas kesihatan bagi memastikan pesakit menghabiskan rawatan.

CARA PENCEGAHAN PENYAKIT TIBI YANG DISARANKAN PAKAR KESIHATAN

Langkah pencegahan utama termasuk:
  • Pemeriksaan awal jika batuk berpanjangan.
  • Menutup mulut ketika batuk atau bersin.
  • Pengudaraan rumah yang baik.
  • Amalan pemakanan seimbang.
  • Mengelakkan merokok.
  • Mematuhi rawatan sepenuhnya jika dijangkiti.

SOALAN LAZIM (FAQ) TENTANG PENYAKIT TIBI

Adakah tibi boleh sembuh sepenuhnya?

Ya, penyakit tibi boleh sembuh jika rawatan diambil secara konsisten sehingga tamat.

Adakah tibi penyakit keturunan?

Tidak. Tibi ialah penyakit berjangkit, bukan penyakit genetik.

Adakah semua pesakit tibi berjangkit?

Tidak. Hanya pesakit tibi aktif paru-paru berpotensi menjangkiti orang lain.

KESIMPULAN

Bahaya penyakit tibi masih relevan pada masa kini kerana sifatnya yang mudah berjangkit dan memerlukan rawatan jangka panjang.

Kesedaran mengenai simptom awal, pemeriksaan segera dan kepatuhan kepada rawatan adalah kunci utama untuk mengawal penyebaran penyakit ini.

Pengesanan awal bukan sahaja melindungi diri sendiri, tetapi juga keluarga dan masyarakat sekeliling.

Semoga memberi manfaat.

-Sentiasapanas.com

Wednesday, February 04, 2026

SBDJ Siri 239: Darah Lengan Sebagai Imbalan

SBDJ Siri 239: Darah Lengan Sebagai Imbalan

Suasana yang samar-samar, bertukar menjadi bertambah gelap. Tiada suara unggas kedengaran, kecuali nyanyian cengkerk hutan. Teringat cakap nenek. Waktu-waktu begini, makhluk halus berkeliaran. Singgah ditubuh manusia lalu menyerap ke dalam darah.

SBDJ Siri 239 Darah Lengan Sebagai Imbalan

Mangsa utamanya orang yang lemah semangat. Kurang rasa takwa kepada Allah. Bila darah sudah diresapi makhluk halus orang terbabit terus hysteria, meracau tidak tentu arah.

Entah mengapa, macam tidak semena-mena anak tekak terasa gatal semacam. Air liur segera ditelan. Akibatnya saya tersedak lalu diikuti dengan batuk kecil. Lelaki berdarah dahi tersenyum sumbing.

"Barangkali nama kamu disebut nenek?" katanya.

Dan hati terasa panas. Apa hak dia membabitkan nenek saya dalam hal ini. Ini sudah keterlaluan.

Satu renungan yang penuh dengan api kemarahan dilepaskan ke wajah lelaki berdarah dahi. Menyedari renungan itu membawa satu mesej tertentu, cepat-cepat dia mengalihkan pandangan kearah lain.

"Sial," cetus hati.

Dan saya yakin dia dapat membaca apa yang tersirat dalam kalbu. Buktinya, walaupun pandangannya tidak kepada saya, senyum sinis masih berlarutan di kelopak bibirnya.

"Kamu berdua meragukan keikhlasan aku?" terlontar kata dari mulut lelaki berdarah dahi. Sesuatu yang diluar jangkaan saya dan pemandu.

"Tidak," satu jawapan pasti dari pemandu.

"Kami berdua tidak berfikir begitu," saya menyokong kata pemandu dalam nada suara yang agak meninggi.

Secara jujur saya mengakui, jauh di sudut hati, masih ada lurah kesangsian dan kecurigaan terhadap nya.

"Perlukah kami menunjukkan bukti sebagai tanda keikhlasan kami berdua," si pemandu mengemukakan pertanyaan.

Dan lelaki berdarah dahi termenung sejenak. Menarik nafas dalam-dalam.

Jari jemarinya kembali meramas-ramas pasir hitam. Dari tindak tanduk dan gerak gerinya itu, membayangkan dia puas hati dengan pengakuan yang kami luahkan.

Masa terus berlalu. Nyanyian cengkerek hutan yang tadi agak lemah bertukar menjadi rancak dan gamat sekali. Tidak tahu, siapakah di antara kami akan memulakan buah percakapan yang terhenti.

Wajarkah saya memulakannya? Tidak mungkin saya. Barangkali si pemandu kepada Syed Hamid Al-Hadad boleh memulakannya? Sukar untuk dipastikan.

Mudah-mudahan lelaki berdarah dahi boleh jadi penghulu pembuka kata. Semua persoalan itu bergolak dalam rongga dada, tidak terucap oleh mulut.

"Begini saja," si pemandu membuka gelanggang kata.

Sepasang anak mata lelaki berdarah dahi dan saya tertumpu ke wajah pemandu yang mempamirkan senyuman singkat.

"Kalau harapkan kami bertanya, sampai besok pun kami tak akan bertanya," sambung pemandu dengan tenang dan bersahaja. Lelaki berdarah dahi renung saya, seulas senyum didermakan.

Dan saya sambut dengan rasa hambar. Menyedari yang saya member reaksi dingin, senyumnya segera dialihkan kepada si pemandu.

MESRA

Balasan senyum dari pemandu disambut oleh lelaki berdqarah dahi dengan bunga kemesraan yang penuh makna, sebagai pembuka jambatan hati yang mengurangkan percikan kemarahan di dada.

Dalam suasana yang dihembus angin kedamaian, masing-masing melepaskan nafas kelegaan. Nanyian cengkerik hutan tidak juga berhenti.

"Kenapa kamu cakap macam tu?"

Kelopak mata sudut kiri lelaki berdarah dahi Nampak mengecil. Kemudian dahi yang masih terdapat kesan darah kering dikerutkannya. Si pemandu tetap seperti tadi. Masih tenang dan bersahaja.

"Macam mana kami nak bertanya? Benda yang ditunjukkan itu tak pernah kami tengok selama ini. Baru hari ini kami menengoknya. Apa lagi tentang kegunaannya," jawap pemandu.

Perasaan saya mula berdebar, menanti tindakan dan reaksi selanjutnya dari lelaki berdarah dahi.

"Hissssss... kamu," desis lelaki berdarah dahi.

Saya menggigit bibir. Tetapi, iras kemarahan sudah pun hilang dari permukaan wajah lelaki berdarah dahi.

"Kenapa pulak hiisssss... Kami memang tak tahu," dalam rasa takut dan cemas itu, saya beranikan diri menyampuk.

Buat beberapa detik berikut, lelaki berdarah dahi termenung sambil menelan air liur. Buah halkumnya yang melekat di batang leher nampak bergerak-gerak lemah.

"Kamu berdua memang jujur."

Satu pengiktirafan yang tidak pernah diduga dari lelaki berdarah dahi. Kami ternganga seketika kerana terkejut.

Sungguh melucukan bila dia ketawa terkikih. Tidak memadai dengan ketawa, bahu pemandu ditumbuknya berkali-kali.

Matanya, tidak berhenti-henti menyorot ke wajah saya. Seolah-olah ada sesuatu yang mahu dicari dari sinar anak mata saya.

"Ok, biar aku terangkan khasiat dan kegunaan barang-barang yang sudah aku tunjukkan kepada kamu berdua tadi," itu yang terlontar dari mulutnya, sebaik sahaja ketawa luar biasanya berhenti.

Serentak kami anggukkan kepala. Seluruh perhatian segera ditumpukan kepada barang-barang yang dikatakan berkhasiat itu.

Tanpa membuang masa dia menceritakan tentang kekuatan ghaib serta khasiat dari dua barang yang menjadi persoalan utama. Lagaknya tidak ubah meacam penjual dikaki lima.

MEMANGGIL

Katanya tahi bijih atau pasir hitam boleh dimanfaatkan untuk memanggil makhluk halus dengan tujuan untuk menganiaya sesaorang. Boleh membutakan atau mengaburkan penglihatan sesaorang untuk seketika.

"Aku buktikan pada kamu berdua, kamu nak tengok?" Nada suaranya agak sombong sedikit.

"Boleh juga," jawab kami serentak.

"Jangan lari dan takut, hadapilah dengan tenang walau apa yang datang," satu amaran yang membuat saya terrasa seram.

Dengan menggunakan dahan kayu yang panjangnya sekitar satu kaki, dia mengorek lubang sedalam setengah kaki. Kemudian lengan kirinya digigit sehingga berdarah. Bibir dengan giginya penuh dengan darah.

Seram juga melihat mukanya. Darah yang keluar segera dijatuhkan kedalam lubang yang dikoreknya.

"Cuma 13 titik, jangan lebih dan jangan kurang, campurkan dengan segenggam tahi bijih timah dan timbus lubang yang dikorek tadi," jelas lelaki itu sambil membaca mantera yang bercampur aduk dengan ayat-ayat Quraan.

Dia seorang yang memang pantas melakukan sesuatu. Mulut bercakap, tangan dan kaki terus bekerja. Dengan tumit kaki kiri dia meratakan tanah di permukaan lubang.

Semua yang dilakukannya, kami perhatikan dengan penuh teliti.

"Sebentar lagi dia tiba," suara yang bersulam keyakinan.

Saya dan pemandu mengangguk. Hati terus digaru kecemasan.

GELAP

Suasana sekitar menghadiahkan cuaca gelap yang agak berat. Pepohon sekitar mula bergoyang dirempuh angin yang bertiup agak keras.

Nyanyian cengkerik tetap seperi tadi. Cuma ditambah dengan bunyi jeritan ungka bersahut-sahutan. Sesekali terdengar juga bunyi kuang liar dan kokok ayam hutan. Semuanya bersahut-sahutan dalam irama yang tidak menentu.

"Jangan cemas, aku cuma membuktikan kepada kamu berdua dengan tahi bijih, orang halus boleh dipanggil," lelaki berdarah dahi menghiburkan hati kami yang mula tudak tentu arah.

Segala-galanya terasa seram dan mencemaskan.

Dalam saat cemas begitu, terdengar suara perempuan menjerit panjang, menangis tersedu dan mengilai.

"Bertenang, masanya sudah hamper," lelaki berdarah dahi terus bersuara.

"Kami berdua masih tenang," saya menjawab dan pura-pura lagak berani.

"Sekarang lihatlah, aku bukan bercakap kosong," hujung siku kiri dihenaknya tujuh kali berturut-turut berhampiran lubang yang ditimbus bersama darah dan tahi bijih.

Sambil melakukan kerja-kerja tersebut, mulutnya terus mengucapkan mantera memanggil makhluk halus.

Memang tidak saya fahami dengan apa yang dicakapkan, kecuali kata-kata: kalimah Adam, berkat kalimah Muhammad. Datanglah.

Dari mencangkung terus duduk bersila, memeluk tubuh. Kata-kata itu terus diucapkan hingga dia kesurupan (dirasuk syaitan).

Jatuh terbaring dibumi dengan kaki dan tangan mengeletar. Mulut pula tidak kenal penat mengucapkan mentera. Bila mulut terkunci dari berkata, terdengar bunyi suara orang menggeruh.

Serentak dengan itu, semua pokok di kawasan sekitar bergoyang dengan hebat, samada besar mahu pun kecil.

Reranting reput dan dedaun matang jatuh berguguran. Bumi yang dipijak seperti bergerak. Seekor kerbau jantan hitam sebesar gajah hadir di depan mata kami, hanya untuk beberapa detik cuma.

Bla kerbau jantan sebesar gajah itu menghilang tempatnya segera diambil alih oleh busut jantan yang besar dan tinggi. Rupanya mengerutu semacam.

Dan secara perlahan-lahan busut jantan berputar dan bertukar rupa dan bentuk menjadi makhluk yang berukuran luar biasa dengan rupa yang menakutkan. Tinggi dan hitam legam.

"Bagaimana ini?" bisik saya pada pemandu.

"Kita tunggu dan lihat," jawabnya dengan wajah yang gusar.

Seiring dengan kemunculan makhluk ganjil itu, bergemuruh kedengaran bunyi air terjun. Saya lihat matanya sebiji berada betul-betul ditengah-tengah dahi, memancarkan cahaya hijau kemerah-merahan.

Hidungnya macam hidung orang hutan. Bila menarik dan melepaskan nafas, kami terhidu bau busuk, macam bau bangkai kering.

Makhluk ganjil itu terus membongkok. Lelaki berdarah dahi yang terlentang di bumi diangkatnya lalu diletakkan di sebelah kanan pokok asam jawa yang tumbuh liar di situ.

Sebaik saja diletakkan di situ, lelaki berdarh dahi terus bangun.

RAKSASA

"UUUHHHHHHHHH..."

Lembaga raksasa itu menggeruh sambil sepasang tangannya yang menyerupai kaki monyet dihayunkan kekiri dan kekanan.

"Bukan apa-apa mereka mahu tengok rupa dan kehebatan kamu sebagai penunggu kawasan ini," lelaki berdarah dahi dongakkan mukanya ke arah lembaga yang menakutkan itu.

Dan makhluk raksasa itu bagaikan faham apa yang dikatakan oleh lelaki tersebut. Buktinya, kelopak mata yang tebal dan berlapis digerakkan ke atas ke bawah.

"Terima kasih penunggu hutan," suara lelaki berdarah dahi meninggi.

"Hiiisssss..."

Makhluk raksasa menarik dan melepaskan nafas. Bau busuk dan hapak tersebar. Saya dan pemandu terpaksa menekup lubang hidung dan mulut.

Sakit rasa hati, bila lelaki berdarah dahi menjeling ke arah kami bersama senyum sinis.

"Busuk, saya tak bau apa-apa."

Saya dan pemandu membisu. Tidak ada guna menjawab pertanyaan yang tidak bernilai itu. Biarkan dia begitu, bisik batin saya.

Lelaki berdarah dahi terus mendekati kaki kiri raksasa yang berbulu-bulu hitam lebat itu . Digosok dan dibelainya bulu yang keras tebal macam bulu kabung.

"Baliklah, istirehat di tempat kamu. Mereka dah lihat rupa kamu," sambil bercakap, lelaki berdarah dahi terus menepuk-nepuk kaki makhluk raksasa.

Tiba-tiba secara mengejut terpancut suara yang menakutkan serta memekakkan anak telinga dari mulut makhluk raksasa. Tidak ubah bunyi "sirin" kereta bomba.

Beburung yang bertenggek di ranting dan monyet yang bergayut di dahan bertempiaran. Cengkerik hutan berhenti menyanyi, keadaan terasa sunyi sepi.

Agaknya unggas dan haiwan terkejut dengan bunyi tempikan yang luar biasa itu.

Dan dalam sekelip mata, makhluk raksasa ghaib dari penglihatan kami, lelaki berdarah dahi duduk bersila di bekas tapak kaki makhluk raksasa berdiri.

Dari mulutnya terkeluar ungkapan-ungkapan mentera yang sukar difahami. Tidak jauh dari tempat dia duduk bersila, terdapat kepulan asap yang berwarna hitam keputih-putihan.

Ternyata kepulan asap itu tidak menganggu lelaki berdarah dahi yang sedang membaca mentera.

"Lubang."

Saya segera merenung ke arah lubang yang dimaksudkan oleh pemandu. Lubang tersebut berukuran sebesar muncung cawan teh, keliling lubang nampak bersih.

"Pelik, macam mana lubang itu boleh berada disitu , Tamar?"

"Kalau tak silap aku, di situlah tadi lelaki berdarah dahi, korek lubang tanam tahi bijih dan darah," satu penjelasan yang memuaskan hati si pemandu. Dalilnya, dia mengagguk kepala berkali-kali.

LUBANG

Dari bentuk bibir yang bersih dan rata diyakini, lubang itu digali dengan tangan atau dengan benda keras. Jadi, siapa yang menggalinya? Untuk apa lubang itu digali?

Mungkinkah makhluk raksasa yang menggali untuk mencari darah lengan lelaki berdarah dahi? Semuanya bermain-main dalam tempurung kepala.

"Tamar."

Saya menoleh ke arah pemandu. Suara lelaki berdarah dahi membaca mentera yang tidak tentu buah butirnya terus bergema. Hari bertambah gelap. Dan saya merasakan ada sesuatu yang terlepas dari kotak fikiran.

"Kita macam terlupa dengan diri datuk kamu dan Tuan Syed Hamid Al-Hadad, pelik ya Tamar."

"Iya," sahut saya.

Sesuatu yang terlepas dari kotak fikiran sudah ditemui jawapannya dari si pemandu.

Si pemandu masih lagi merenung ke arah mulut lubang yang ternganga.

Macam ada satu misteri tersembunyi dipermukaan lubang tersebut. Si pemandu mahu mencari jawapan dari misteri tersebut.

"Darah dan tahi bijih yang ditanam sudah disedut lembaga hitam menerusi ibu kakinya. Lubang kita tengok ini bukan dikorek tetapi disedut."

"Masa lelaki berdarah dahi mengosok-gosok bulu di kaki lembaga hitam itu tadi, secara tidak langsung dia memberikan darahnya untuk dihisap makhluk itu menerusi bulunya yang melekap ditangan lelaki berdarah dahi."

IMBALAN

"Kamu bergurau dengan aku?"

"Tidak Tamar, setahu aku setiap makhluk halus yang dipanggil mesti mahu imbalan atau upah darah. Kalau tidak diupah dia tidak datang. Hal-hal begini, aku tahu juga serba sedikit Tamar."

"Jadi apa yang mesati kita buat?"

"Kita ikut dulu, bila dah teruk baru kita bertindak."

"Kalau itu yang kamu mahu, aku ikut saja, Asalkan kita jangan rugi," sebuah jaminan saya berikan pada pemandu. Dia senyum sambil menegakkan ibu jari kanannya.

Lelaki berdarah dahi berhenti membaca mentera. Dia bangun dan menggeliat sambil mendongakkan kepala ke langit.

Nafas ditarik dan dilepaskan secara bertahap-tahap dan teratur. Perlahan-lahan kepalanya dijatuhkan lalu sepasanga anak matanya memanah ke wajah saya dan pemandu.

"Aku sudah buktikan yang aku tidak menipu kamu berdua. Aku bercakap benar dan jujur," muka lelaki berdarah dahi kelihatan merah dan berpeluh.

Dia tersenyum dengan penuh kepuasan, "Kalau mahu membutakan mata dan mengabur pandangan seseorang ada caranya..." kata kata itu tidak diteruskan oleh lelaki tersebut.

Dia melihat kesan gigitan di lengan kirinya. Darah kering yang melekat di lengan dijilat-jilatnya berkali-kali. Kemudian telapak tangan kirinya mengosok pergelangan tangan kanan berkali-kali.

"Bulu kaki lembaga hitam mencucuk lubang bulu roma lengan kanannya untuk menyedut darah, macam nyamuk menyedut darah kita. Kesan gatal dan pedih masa terasa, itulah sebabnya dia gosok tangan," bisik pemandu ke telinga

Berhati-hati saya anggukkan kepala supaya perkara yang dibisikkan oleh pemandu tidak dikesannya.

KELUARGA

"Caranya mudah saja," lelaki berdarah dahi menyambung kembali percakapannya yang terputus.

"Taburkan pasir hitam garam dijalan yang menjadi laluan orang yang kita maksudkan sambil sebut namanya dan nama emaknya. Ada jampi dan mentera yang mesti dibaca. Semuanya kena belajar."

Sambil bercakap, sepasang kakinya tidak berhenti bergerak ke kiri dan ke kanan. Ke depan dan ke belakang, macam ada sesuatu yang dilakukannya.

Rahsia dari gerak kakinya dapat dipecahkan. Gerak kakinya, ada maksud dan tujuan, mengumpulkan reranting, dedaun dan rerumput kering untuk menutup lubang sebesar mulut secawan teh yang ternganga.

Pada sangkaannya, apa yang dilakukannya tidak dapat kami lihat.

"Tahi bijih itu banyak gunanya, bagi orang yang tahu. Pada orang yang tak tahu macam kamu berdua, tak ada makna dan ertinya," lekai berdarah dahi menyelitkan sebuah sindiran yang bisa untuk saya dan pemandu.

Tamat Siri Bercakap Dengan Jin 239/284

BACA: SBDJ Siri 238: Terjegil Biji Mata
BACA: Siri Bercakap Dengan Jin (Koleksi Lengkap)

-Sentiasapanas.com

Tuesday, February 03, 2026

Punca Harga Emas Jatuh & Beza Nilai Emas Fizikal dan Emas Kertas (IPO)

Punca Harga Emas Jatuh & Beza Nilai Emas Fizikal dan Emas Kertas (IPO)

Emas sejak sekian lama dianggap sebagai aset selamat dan pelindung nilai ketika inflasi serta ketidaktentuan ekonomi global. Namun, realitinya harga emas tidak sentiasa naik. Ada masa ia jatuh secara mendadak walaupun dunia berdepan krisis geopolitik, konflik perang dan ketidaktentuan kewangan.

Punca Harga Emas Jatuh

Kami akan menghuraikan punca utama harga emas jatuh serta menjelaskan secara terperinci perbezaan nilai antara emas fizikal dan emas kertas (IPO) yang masih ramai pelabur keliru.

Punca Harga Emas Jatuh

1. Kenaikan Kadar Faedah Global

Antara faktor terbesar yang menekan harga emas ialah kenaikan kadar faedah oleh bank pusat, khususnya Federal Reserve (AS).

Apabila kadar faedah meningkat:
  • Simpanan tunai dan bon menjadi lebih menarik.
  • Pelabur mengurangkan pegangan emas kerana emas tidak memberi pulangan faedah.
  • Permintaan emas menurun dan harga mula jatuh.

2. Pengukuhan Dolar Amerika (USD)

Harga emas dunia didagangkan dalam mata wang USD.

Apabila nilai USD mengukuh:
  • Harga emas menjadi lebih mahal kepada pelabur antarabangsa.
  • Permintaan global terhadap emas menurun.
  • Ini menyebabkan harga emas ditekan walaupun bekalan fizikal terhad.

3. Jualan Besar-Besaran Oleh Pelabur Institusi

Pelabur besar seperti dana lindung nilai dan institusi kewangan sering:
  • Membeli emas ketika harga rendah.
  • Menjual secara besar-besaran apabila harga naik.

Tindakan ambil untung ini boleh menyebabkan kejatuhan harga emas dalam tempoh singkat.

4. Sentimen Pasaran Kembali Positif

Apabila pasaran melihat:
  • Ekonomi semakin pulih.
  • Inflasi terkawal.
  • Risiko krisis global menurun.

Pelabur cenderung beralih ke saham dan aset berisiko, lalu emas ditinggalkan buat sementara waktu.

5. Dominasi Pasaran Emas Kertas (IPO)

Fakta yang jarang didedahkan ialah:
  • Pasaran emas dunia dikuasai oleh dagangan emas kertas.
  • Jumlah emas atas kertas jauh melebihi emas fizikal sebenar.

Keadaan ini membuka ruang kepada manipulasi harga emas, walaupun permintaan emas fizikal kekal tinggi.

Beza Nilai Emas Fizikal dan Emas Kertas (IPO)

Walaupun kedua-duanya dipanggil "pelaburan emas", hakikatnya emas fizikal dan emas kertas (IPO) sangat berbeza dari segi nilai, risiko dan keselamatan.

Apa Itu Emas Fizikal?

Contoh emas fizikal:
  • Jongkong emas.
  • Dinar emas.
  • Syiling emas.
  • Emas perhiasan (kadar tertentu).

Kelebihan Emas Fizikal:
  • Pegangan aset sebenar.
  • Lindung nilai inflasi jangka panjang.
  • Tidak bergantung kepada sistem kewangan.
  • Selamat ketika krisis ekonomi.

Kekurangan Emas Fizikal:
  • Perlu simpanan selamat.
  • Spread beli dan jual lebih tinggi.

Apa Itu Emas Kertas (IPO)?

Emas kertas atau IPO merujuk kepada pelaburan emas tanpa pegangan fizikal, seperti:
  • Akaun emas bank.
  • Kontrak emas.
  • Dagangan emas atas talian.
  • Instrumen kewangan berkaitan emas.

Pelabur hanya memiliki rekod atau janji nilai, bukan emas sebenar.

Kelebihan Emas Kertas (IPO):
  • Mudah beli dan jual.
  • Modal permulaan rendah.
  • Sesuai untuk dagangan jangka pendek.

Kekurangan Emas Kertas (IPO):
  • Tiada pegangan emas sebenar.
  • Bergantung sepenuhnya kepada institusi kewangan.
  • Terdedah kepada manipulasi pasaran.
  • Berisiko tinggi jika berlaku krisis sistemik.

Perbandingan Emas Fizikal vs Emas Kertas (IPO)

Perbandingan Emas Fizikal vs Emas Kertas (IPO)

Mana Lebih Sesuai Untuk Pelabur?

Jawapannya bergantung kepada matlamat pelaburan:
  • Simpanan nilai & perlindungan harta jangka panjang → Emas fizikal.
  • Dagangan pantas & spekulasi harga → Emas kertas (IPO).

Sejarah membuktikan bahawa ketika krisis besar, emas fizikal sentiasa mempunyai nilai, manakala emas kertas bergantung sepenuhnya kepada kestabilan sistem kewangan.

Kesimpulan

Kejatuhan harga emas bukan petanda emas gagal sebagai aset, sebaliknya mencerminkan permainan sentimen, kadar faedah dan pasaran emas kertas global.

Pelabur yang memahami perbezaan antara emas fizikal dan emas kertas (IPO) akan lebih bersedia menghadapi ketidaktentuan ekonomi.

Semoga memberi manfaat.

-Sentiasapanas.com

Monday, February 02, 2026

SBDJ Siri 238: Terjegil Biji Mata

SBDJ Siri 238: Terjegil Biji Mata

Bila melihat keadaan tersebut, saya jadi serba salah. Bimbang kalau lelaki berdarah dahi bertindak ganas. Melakukan perkara yang tidak diduga. Jadi dalam menghadapi suasana begini, harus bersikap tenang dan sabar.

SBDJ 238 Terjegil Biji Mata

"Masalah besar Tamar," keras suara si pemandu.

"Kenapa tidak berada di tempat kamu?" saya pula bertanya.

"Aku bimbangkan kamu Tamar."

"Kalau begitu, kamu hati-hati, jangan dekati dia, nanti kau terima akibatnya. Berdiri jauh darinya. Lihat saja apa yang berlaku, jangan banyak tanya dan soal," saya memberikan arahan.

"Baiklah, Tamar."

Satu akuan yang sungguh menyenangkan hati.

Buat beberapa ketika, saya termenung. Mencari akal dan helah untuk berdepan dengan lelaki berdarah dahi yang semakin garang mengaum macam harimau.

"Aku mahu menolong kamu, mahu membebaskan diri kamu dari sumpah," kata saya pada lelaki berdarah dahi.

Matanya, yang garang dan bersinar macam mata harimau dihalakan kepada saya. Andainya dia melakukan satu lompatan yang agak tinggi kearah saya, pasti seluruh kulit tubuh saya dikoyak-koyaknya.

Dan kali ini, saya mempunyai peluang yang baik kerana berada dari sebelah kiri. Dan dari arah tersebut saya mula mengacah.

Lelaki berdarah dahi sudah memusingkan tubuhnya dengan pantas. Dia hilang pertimbangan badan, lalu terlayah dan jatuh terlentang.

Kesempatan ini saya gunakan dengan sebaik mungkin. Dengan sekali lompat saya sudah berada di sisinya, sedangkan dia pada saat itu terkial-kial mahu bangun.

Tanpa membuang masa kayu bercabang dua terus dibenamkan kebahagian perut atas pusatnya.

GHAIB

Bila kayu itu mahu dicabut semula, seperti ada tenaga ghaib menarik dari dalam. Terpaksa bertarung untuk beberapa saat. Usaha saya gagal.

Dengan keyakinan yang tidak berbelah bagi bahawa kayu bercabang dua itu boleh dicabut. Saya terus berusaha dan berusaha.

Kali ini, tidak menggunakan ayat-ayat al-Quran, sebaliknya menggunakan serapah jampi dan mentera sesuai seperti apa yang diajar oleh Mia pada saya dulu.

"Manusia yang memang bukan dari keturunan manusia harimau tetapi, mahu menjelma jadi manusia harimau boleh ditewaskan dengan mantera dan petua," secara mendadak saja, saya teringat cakap Mia.

Ternyata Mia tidak berbohong. Setelah jampi serapah dibaca, segala-galanya menjadi mudah. Kayu bercabang dua yang terbenam di perut lelaki berdarah dahi dapat dicabut dengan mudah sekali.

Saya kembali melompat ke tempat mula-mula melompat tadi.

Andainya lambat melompat, bencana besar mungkin dihadapi. Terutama, bila kuku di jarinya dapat mencakar kulit tubuh saya.

Episod seterusnya, lelaki berdarah dahi terus menjerit dan berguling-guling di tanah. Dia menahan rasa sakit yang amat sangat. Merangkak macam harimau sambil meneran dan mengaum.

Kemudian, terus terbujur kaku, cuma kaki dan tangannya saja yang bergerak-gerak. Keadaan itu berlansung tidak lama. Kira-kira sepuluh minit saja. Akhir terus kaku dan keras

"Kamu bunuh dia Tamar?"

Jawapan yang diberikan kepada pertanyaan si pemandu, saya jawap dengan mengeleng-ngelengkan kepala. Si pemandu jadi cemas. Lebih-lebih lagi bila saya terus duduk di tanah. Dirinya, tidak saya pedulikan.

Sikap bengis terus diperlihatkan. Perlahan-lahan dia menjauhkan diri dari saya. Mungkin dia terfikir saya dalam proses untuk menjadi harimau jadi-jadian.

TIDUR

Hari sudah beransur gelap. Bunyi beburung yang pulang kepohon untuk tidur, boleh dikatakan tidak kedengaran langsung. Begitu juga dengan deru kereta.

Pada hemat saya satu daripada masalah hampir selesai. Tetapi, masalah datuk dan Syed Hamid Al-Hadad masih belum diketahui. Tidak tahu bagaimana nasib untung mereka.

"Bagaimana Tamar? Kita tinggalkan dia disini?"

"Tidak."

"Habis apa yang mesti kita buat? Kamu tahu, kita harus membantu tuan Syed Hamid dan datuk kamu."

"Aku tahu."

"Kalau tahu, kenapa masih di sini."

"Kita tunggu dia pulih seperti asal. Kita memerlukan dia."

"Tapi dia sudah mati,"

"Sudahlah, kamu jangan banyak cakap," saya mula meninggikan suara.

Si pemandu terus tersentap, wajahnya masam dan mendengus marah. Ranting kayu di depanya terus disepak dengan sekuat hati.

Bila saya lihat perasaan si pemandu sudah tenang dan boleh senyum. Dengan penuh sopan saya suruh dia berdiri agak jauh dari sisi saya.

Dan saya pula beralih tempat, berdiri di bawah pokok, tidak jauh dari pokok senduduk putih.

Memang ada usaha dari si pemandu untuk bertanya, kenapa saya mengeluarkan arahan tersebut. Tetapi, usaha itu tidak di teruskan, bila dia melihat saya termenung macam memikirkan sesuatu.

"Hisssss..."

Terdengar bunyi berdesir dari arah belakang. Dengan pantas saya menoleh dan melompat ke kiri lalu mengatur langkah (silat) sambil membongkok mengambil sepotong kayu yang panjangnya kira-kira empat kaki.

Pada perkiraan saya, bunyi berdesir itu, pasti seekor ular tedung. Puas dilihat dan diperhatikan, tidak nampak satu apa pun.

"Hisssss..."

Datang lagi bunyi itu, tetapi kali ini dari sebelah kiri. Dedaun dari pepokok renik di situ kelihatan bergoyang, macam dirempuh sesuatu.

Kerana tidak dapat mengesan objek sebenar, saya memutuskan tidak mahu memikirkannya. Buat apa pening kepala, kerana bunyi tersebut. Saya buat keputusan.

Aneh, dalam saat-saat demikian saya seperti dapat mengesan ada objek berdiri di depan saya. Tetapi, tidak dapat dilihat dengan jelas.

Benda itu bergerak bebas, menyentuh bahu dan meraba pipi saya berkali-kali. Semuanya, membuat saya bingung dan cemas semacam.

"Siapa kamu?" kata saya.

Lengan kanan saya terasa disentuh sesuatu. Dingin dan bulu roma mula tegak berdiri, bila benda yang menyentuh lengan bergerak ke pangkal tengkuk dan telinga.

"Kalau kamu berniat baik, lihatkan diri kamu," saya mengajukan permintaan.

Bersedia menghadapi apa saja, andainya objek yang tidak kelihatan itu mempamirkan dirinya yang sebenar.

"Ehemmmmm..."

Saya tumpukan perhatian ke arah suara tersebut. Ada bebayang orang tua yang pernah hadir dimata kalbu, ketika saya bertafakur beberapa jam tadi.

Orang itu tersenyum sambil menegakkan ibu jari kanannya. Kemunculannya hanya beberapa saat saja. Sebelum bebayangnya hilang, terasa ada tangan dingin menyentuh pipi kiri.

Saya terus membuat andaian sendiri. Bila orang itu menegakkan ibu jarinnya, menandakan usaha yag saya lakukan itu sudah berhasil.

Sentuhan tangannya, menggambarkan hubungan saya dengannya akan berterusan. Sentuhan di telinga menyatakan, supaya mendengar sesuatu yang baik.

Bunyi berdesir dua kali menyarankan, bila mahu menemuinya mesti memberikan tanda dan alamat tertentu. Ertinya, saya harus bertafakur dan bermeditasi terlebih dahulu.

Tetapi, sehingga kisah ini ditulis belum pernah sekalipun saya menghubunginya.

"Hai..."

Dengan pantas saya merenung ke arah suara yang datang. Lelaki berdarah dahi melambai-lambaikan tangan. Rasanya tidak percaya dengan apa yang dilihat. Dua tiga kali kelopak mata digosok. Si pemandu terus mendekati saya.

"Dia datang Tamar," bisiknya.

"Siapa?"

"Musuh yang berkuku harimau, kita dalam bahaya, Tamar."

"Bertenang, pastikan dulu betulkah dia atau orang lain," kata saya.

"Betul Tamar, aku tak bohong," ucap si pemandu dengan wajah yang serius.

Saya segera menarik nafas dalam-dalam. Si pemandu memang nampak resah sekali. Matanya tidak berkedip merenung ke arah lelaki berdarah dahi yang melangkah tenang ke arah saya.

"Bagaimana Tamar?"

"Kita tunggu, tengok apa yang mahu dibuatnya."

"Gila kamu," keluh si pemandu.

Ternyata dia tidak gembira dengan cara saya. Tetapi, masih setia berdiri di sisi.

TANGAN

Dan akhirnya, lelaki berdarah dahi berdiri betul-betul di depan saya dan si pemandu. Dia menghulurkan sepasang tangan ke arah kami.

"Tengok semuanya sudah kembali seperti asal," nada suaranya riang sekali.

Saya dan si pemandu berpandangan.

"Lihat ini," lelaki berdarah dahi memperlihatkan kuku dijejari kakinya sebagai bukti yang dirinya bebas dari sebarang pengaruh buruk. Lelaki itu membuka langkah silat dan menari-nari di depan kami.

"Terima kasih kerana kamu dapat menghalang diri aku dari menjadi sekerat manusia dan sekerat harimau, kalau kamu tak tolong tak tahulah nak cakap," sepasang matanya menatap wajah saya buat beberapa ketika, sebelum berpindah ke wajah si pemandu.

Saya tidak memberikan sebarang pendapat terhadap kata-kata yang diluahkannya

Lelaki berdarah dahi yang sudah pulih dari pengaruh sihir terus bercerita, semasa kuku jari kaki dan tangannya bertukar menjadi kuku harimau, dia mengalami rasa sakit yang kuat.

Begitu juga bila bahagian tubuhya ditumbuhi bulu harimau. Malah, dia melihat diri saya dan pemandu bukan sebagai sahabat tetapi, sebagai musuh yang sentiasa mahu menjahanamkan dirinya.

Katanya, semasa dirinya melalui proses pemulihan dari pengaruh sihir, dia terasa seluruh tubuhnya melayang-layang di angkasa dan jatuh ke laut yang amat dalam.

Bahagian tengah perutnya ditikam oleh batu karang yang tajam menyebabkan dirinya tidak bermaya.

Dari tubuhnya keluar segumpal cahaya lalu menguakkan air laut hingga dirinya muncul di permukaan.

Dari permukaan laut cahaya itu menjulang ke udara dalam bentuk tengkorak harimau. Gumpalan cahaya itu berpatah balik ke arahnya lalu mengangkat tubuhnya dari permukaan laut. Diusung di angkasa sebelum dicampakkan ke dalam gaung berbatu pejal. Seluruh tubuhnya berkecai tetapi, bercantum balik.

Tubuh yang sudah bercantum itu segera diangkat oleh dua lelaki dan dihumbankan ke dalam lubang yang sudah digali. Ketika dihempas itulah dia merasai sakit yang amat sangat. Dia menjerit dan mengerang menahan rasa sakit.

"Pada masa itulah aku terdengar suara bisikan dua kalimah syahadat dan aku terus mengikutinya dengan sekuat hati. Mata aku terbuka degan sendirinya. Dan aku terus mengucap, masa mengucap itu jugalah terasa kuku dijari kaki dan tangan tercabut satu persatu," lelaki berdarah dahi berhenti bercerita dan terus merenung kuku-kuku di jari tangan dan kaki.

Secara sembunyi-sembunyi si pemandu menjeling ke arah tangan dan kaki lelaki berdarah dahi, diperhatikan juga bahagian lengan yang berbulu macam bulu harimau.

Pergelangan buku lali kaki hingga ke belakang kaki juga ditelitinya. Di situ juga tidak terdapat tumpukan bulu harimau.

"Bila aku lihat dan raba, semuanya sudah berubah, jadi macam biasa. Aku panggil nama kamu berkali-kali tapi tak ada jawapan," sambung lelaki berdarah dahi.

Anak matanya, terpanah tajam ke wajah saya. Perlahan-lahan saya anggukkan kepala.

BIBIR

"Bila tidak ada jawapan aku terus cari kamu berdua. Rupa-rupanya kamu berdua ada di sini. Aku tak bohong, lihatlah, lihatlah..." lelaki berdarah dahi terus menayangkan jari-jemari tangan dan kakinya kepada saya dan si pemandu.

"Syukurlah, kamu sudah selamat," tutur si pemandu bersahaja.

"Iya, aku bersyukur," balas lelaki berdarah dahi sambil mengawasi keadaan sekeliling.

"Tunggu sebentar di sini, jangan ke mana-mana."

Selesai berkata demikian, lelaki berdarah dahi terus meninggalkan kami yang saling berpandangan dengan seribu pertanyaan.

Dia menuju ke arah bibir jalanraya. Beberapa detik berikutnya dia pun hilang dari pandangan kami.

"Kemana dia nak pergi Tamar?"

"Entah," jawab saya sambil gelengkan kepala.

Sebenarnya jati kecil saya juga bertanya demikian. Bezanya, si pemandu meluahkannya, sedangkan saya tidak, sekadar berlegar-legar dalam hati saja.

Kepergian lelaki berdarah dahi tanpa mahu menerangkan tujuan menimbulkan berbagai reaksi dalam diri saya dan si pemandu. Mungkin ini satu taktik untuk melepaskan diri dari saya dan si pemandu.

Mungkin dia sudah pun menyusun satu strategi yang rapi untuk memerangkap kami. Bermacam-macam andaian timbul dalam dada. Timbul rasa kesal dalam diri kerana tidak cuba menahannya, agar jangan pergi.

Si pemandu bergerak ke kiri, ke kanan di depan saya. Nampaknya, apa yang dibuat serba tidak menjadi. Sekejap berdiri di depan, sekejap berdiri di belakang saya.

Ada ketikanya, dia mematahkan reranting dari pepokok renik di sisinya tanpa tujuan. Ternyata fikirannya bercelaru sekali.

Dalam kesibukan si pemandu melayani perasaannya yang tidak keruan itu, saya renung ke arah di mana lelaki berdarah dahi yang menghilangkan diri.

Harapan saya cuma satu saja, semoga lelaki berdarah dahi segera muncul dan kembali bersatu dengan kami.

"Haa... itu dia datang," saya kegirangan.

Lelaki berdarah dahi berlari ke arah kami.

"Dia ada bawa barang, Tamar."

MENGESAN

Si pemandu yang tajam penglihatannya dapat mengesan apa yang dibawa oleh lelaki yang berdarah dahi. Dan saya tumpukan seluruh perhatian ke arah lelaki tersebut sambil mengamati apa yang dibawanya.

"Dia bawa besi dan bungkusan plastik," itu komen saya.

Si pemandu yang resah mula menggigit bibir, mengkedutkan dahi. Bagaikan ada masalah yang bersarang dalam hatinya.

"Hiss..."

Dia mendengus marah sambil mengenggam penumbuk.

"Bertenang sahabat," tutur saya lembut.

"Kita dalam bahaya, kita mesti berjaga-jaga Tamar."

"Bertenanglah," saya cuba menyejukkan hatinya yang mula panas.

"Orang celaka ni, tak habis habis susah pada kita, aku bunuh saja manusia celaka ni," bentak si pemandu. Kemarahannya sudah tidak dapat dikawal lagi.

Si pemandu terus genggam penumbuk dan bersedia menyambut sebarang cabaran dari lelaki berdarah dahi.

Saya terfikir, kalau berlaku pertengkaran yang membawa pada pergaduhan, kerugian akan berada di pihak saya dan si pemandu.

Lelaki berdarah dahi kian hampir. Hati terus berdebar-debar. Si pemandu sudah pun menyusun strategi. Dan pada hemat saya, sebaik saja lelaki berdarah dahi menghampirinya, dia akan melakukan serangan mengejut.

Mudah-mudahan, tidak akan terjadi perkelahian di sini. Hati kecil saya memanjatkan doa pada Allah.

Lelaki berdarah dahi tidak tahu apa yang ada dalam kepala si pemandu, terus melangkah dengan tenang mendekati kami.

Si pemandu nampak resah tidak menentu. Debaran di hati bertambah kencang. Dalam usaha menenangkan perasaan itu saya terus berselawat dan mengucap dua kalimah syahadat sekerap mungkin.

"Nanti."

Jeritan saya mematikan langkah si pemandu yang mahu menerkam ke arah lelaki berdarah dahi. Jeritan itu juga menyebabkan langkah lelaki berdarah dahi mendekati si pemandu terus mati.

"Kenapa Tamar?" Si pemandu meledakkan kemarahannya.

"Kena tanya apa yang dibawanya dulu."

"Hisss..." si pemandu terus mendengus sambil menghentakkan kakinya ke tanah.

Mukanya nampak merah, menahan kemarahan. Lelaki berdarah dahi terpinga-pinga dengan apa yang dilihatnya.

"Ada apa-apa masalah?"

Lelaki berdarah dahi renung muka saya dengan seribu kesangsian dan pertanyaan. Si pemandu yang sudah dapat mengawal perasaannya terus menguis-nguis rumput di kaki.

"Ada apa-apa masalah?" Ulang lelaki berdarah dahi.

"Kami nak tahu apa yang kamu bawa?" saya bertanya.

"Oh itu," lelaki berdarah dahi tersenyum.

MESRA

Sungguh diluar jangkaan, huluran tangan lelaki berdarah dahi disambut penuh mesra oleh si pemandu. Sebelum lelaki berdarah dahi hulurkan tangan, saya bertindak terlebih dahulu menghulurkan tangan padanya.

"Kamu nak tahu apa yang aku bawa?"

"Tentu," sahut saya penuh keyakinan.

"Kita kena ke sana dulu," jari telunjuk lelaki berdarah dahi mengarah ke pangkal perdu pokok besar. Kami segera berangkat ke situ.

Lelaki berdarh dahi pun segera menikam guni plastik hitam dengan sebatang kayu. Dari plastik yang terkoyak keluar butir-butir pasir hitam yang kelihatan berkilat.

"Apa bendanya ni?"

Saya hadapkan wajah ke muka lelaki berdarah dahi. Dia tetap tenang dan tersenyum. Kemudian terus duduk bertinggung menghadapi karung plastik hitam. Sepasang telapak tangannya meramas-ramas pasir hitam yang berkilat.

"Kamu berdua tak tahu, apa bendanya ini?" satu keadaaan yang sungguh melucukan.

Sepatutnya dia menjawap pertanyaan yang saya ajukan dahulu, sebelum dia menyoal kami. Akibatnya, saya dan si pemandu termangu mangu.

"Kamu berdua tak tahu apa bendanya ini?" ulangnya selamba.

"Tak tahu." Jawap kami serentak.

"Kamu berdua kurang pengetahuan, benda yang macam pasir hitam ni, tahi bijih namanya," tekanan nada suaranya bagaikan menyindir.

Dengan serta merta dia berhenti dari meramas-ramas pasir hitam.

Sebatang besi bulat sebesar ibu jari kaki yang panjangnya kira-kira empat kaki, berada tidak jauh dari guni plastik hitam segera diambil. Ditimbangnya beberapa kali sebelum dipacakkan ke permukaan bumi.

"Besi apa tu?" Tanya pemandu.

"Inilah besi pacak bumi," jawab lelaki berdarah dahi.

"Apa gunanya?" Saya bertanya.

"Banyak khasiatnya, tetapi kita mestilah tahu menggunakannya. Barang-barang ini digunakan oleh musuh untuk melemahkan Syed Hamid Al Hadad dan datuk kamu," jujur benar lelaki berdarah dahi memberikan penjelasan.

Saya dan pemandu bertukar pandangan.

Tamat Siri Bercakap Dengan Jin 238/284

BACA: SBDJ Siri 237: Diresapi Semangat Harimau
BACA: Siri Bercakap Dengan Jin (Koleksi Lengkap)

-Sentiasapanas.com

Jadual Pembayaran Gaji Tahun 2026 Penjawat Awam

Jadual Pembayaran Gaji Tahun 2026 Penjawat Awam

Pembayaran gaji bulanan adalah satu aspek penting dalam pengurusan sumber manusia dan kewangan syarikat. Kebiasaan pembayaran gaji di Malaysia biasanya dibuat pada akhir setiap bulan atau tarikh tetap tertentu yang dipersetujui dalam kontrak pekerjaan.

Jadual Gaji 2026

Berikut adalah artikel lengkap tentang Jadual Pembayaran Gaji Bulanan bagi Tahun 2026 (tarikh rasmi bayaran emolumen bagi penjawat awam seluruh Malaysia) termasuk panduan ringkas, maksudnya dan implikasi dalam perancangan kewangan.

Jabatan Akauntan Negara Malaysia (JANM) telah mengeluarkan Surat Pekeliling Akauntan Negara Malaysia (SPANM Bil. 5 Tahun 2025) yang menetapkan tarikh rasmi pembayaran gaji bulanan untuk tahun 2026.

Jadual ini adalah rujukan rasmi bagi semua kementerian, jabatan dan agensi Kerajaan Persekutuan serta penjawat awam di seluruh negeri Malaysia.

JADUAL

Jadual ini menyatakan tarikh rasmi di mana gaji bulanan penjawat awam kerajaan akan dikreditkan ke dalam akaun bank penerima bagi setiap bulan dalam tahun 2026.

Ia disusun supaya:
  • Bayaran gaji dilakukan teguh dan seragam di seluruh negara.
  • Tarikh gaji dijadualkan supaya tidak bertindih dengan cuti perayaan besar, dengan sesetengah bulan diawalkan supaya penerima gaji tidak terjejas (contoh Februari, Mac, Mei).

Mengetahui jadual gaji tahunan membantu penjawat awam dan juga pihak berkepentingan seperti:
  • Perancangan Kewangan Peribadi.
  • Mengurus komitmen bulanan (pinjaman rumah, kenderaan, bil utiliti).
  • Simpanan & perbelanjaan perayaan.
  • Menyedari bila bayaran akan masuk semasa musim cuti umum atau cuti sekolah.

Contohnya, gaji bulan Mac dijadualkan pada 16 Mac 2026 (Isnin) supaya tidak berlanggar dengan sambutan Hari Raya Aidilfitri pada 21–22 Mac 2026.

Faktor Penting Dalam Menetapkan Jadual Gaji

1. Kontrak Pekerjaan

Tarikh pembayaran gaji biasanya termaktub dalam kontrak dan mesti dipatuhi oleh majikan.

2. Cuti Umum & Hari Tidak Bekerja

Apabila tarikh pembayaran jatuh pada cuti umum (seperti Hari Wilayah Persekutuan, Hari Kebangsaan, Tahun Baru Cina dsb.), majikan perlu tentukan sama ada bayar lebih awal atau ikut peraturan syarikat.

3. Sistem Penggajian Elektronik

Banyak syarikat kini menggunakan sistem perakaunan / penggajian automatik (Payroll Software) bagi mengelakkan kesilapan atau pembayaran lewat.

4. Pemindahan Gaji Melalui Bank

Bank di Malaysia biasanya memproses pemindahan pada hari bekerja; pembayaran pada hari cuti mungkin terjejas.

Nota Penting

Tarikh yang dipaparkan adalah untuk penjawat awam sektor kerajaan persekutuan.

Sektor swasta mungkin mempunyai jadual sendiri berdasarkan polisi dalaman syarikat masing-masing atau perjanjian kerja.

Tarikh yang didapati boleh berubah jika terdapat pindaan rasmi oleh pihak Perbendaharaan/ANM.

Semoga memberi manfaat.

-Sentiasapanas.com

Saturday, January 24, 2026

Greenland, Laluan Peluru Berpandu Balistik Idaman Amerika Syarikat!

Greenland, Laluan Peluru Berpandu Balistik Idaman Amerika Syarikat!

Di hamparan beku yang terpencil di utara Atlantik, terletak sebuah pulau gergasi yang seolah-olah terasing daripada dunia — Greenland, tanah ais dan gunung berais yang diselubungi kabus Artik.

Namun, di sebalik ketenangan putihnya, tersimpan sebuah rahsia besar: pulau ini merupakan antara titik paling penting dalam strategi ketenteraan global Amerika Syarikat (AS).

Greenland Idaman Amerika Syarikat

Bukan kerana sumber semula jadi, bukan kerana penduduknya yang kecil jumlahnya, tetapi kerana kedudukannya di peta dunia menjadikannya nadi sistem pertahanan peluru berpandu antara benua (ICBM) yang mampu menentukan hidup dan mati tamadun moden sekiranya perang nuklear tercetus.

1. Lokasi yang Mengubah Segalanya

Untuk memahami mengapa Greenland begitu bernilai kepada Washington, kita perlu melihat geografi dengan pandangan seorang strategis ketenteraan, bukan sekadar seorang pelancong.

Di peta dunia biasa, Greenland tampak terpisah — sebuah pulau besar yang sepi di antara Amerika Utara dan Eropah.

Namun, dalam pandangan seorang penganalisis ketenteraan, pulau itu adalah batu loncatan langit — sebuah platform semula jadi untuk memantau, mengesan dan menyekat ancaman peluru berpandu dari dua kuasa besar: Rusia dan China.

Secara teknikal, kebanyakan laluan peluru berpandu balistik yang dilancarkan dari Eurasia menuju ke tanah besar Amerika Syarikat akan melintasi kawasan udara di atas Greenland atau berhampiran dengannya.

Ini bukan kebetulan — ia hasil hukum fizik dan geometri bumi. Dalam perjalanan peluru berpandu antara benua, laluan paling pendek antara dua titik di permukaan bumi ialah laluan yang melengkung melalui Kutub Utara, dikenali sebagai 'great circle route'.

Maka, jika Rusia melancarkan ICBM dari pangkalan strategiknya di Arkhangelsk atau Siberia, atau China melepaskan peluru berpandu dari wilayah Xinjiang, lintasan semula jadinya akan menjurus ke arah Artik — dan di situlah Greenland menjadi titik pengawasan paling ideal.

2. Di Puncak Langit — Titik “Apogee” yang Menentukan Nasib Dunia

Setiap peluru berpandu balistik antara benua (ICBM) mengikuti tiga fasa penerbangan: fasa pelancaran (boost phase), fasa pertengahan (midcourse), dan fasa kemasukan semula (reentry).

Fasa pertengahan berlaku di ruang angkasa — di sinilah peluru berpandu berada paling tinggi di langit, dan paling lambat dalam kelajuan relatifnya. Titik tertinggi ini dipanggil apogee.

Apogee bagi peluru berpandu yang menuju ke AS sering kali berada di atas atau berhampiran Greenland.

Dari segi strategik, ini bermaksud pulau itu menawarkan lokasi terbaik di dunia untuk menempatkan sistem pemintasan peluru berpandu (interceptor systems).

Sama seperti bola yang dilambungkan tinggi ke udara — pada puncaknya, bola itu memperlahankan gerakannya sebelum jatuh.

Begitulah juga dengan peluru berpandu. Pada tahap apogee, ia adalah paling mudah untuk dipintas.

Bayangkan, jika radar dan pelancar pemintas AS ditempatkan di Greenland, mereka berpotensi “memukul” peluru berpandu musuh sebelum ia mula jatuh ke arah benua Amerika.

Ini memberikan masa reaksi tambahan yang berharga — beberapa minit mungkin cukup untuk membezakan antara keamanan dan kemusnahan total.

3. Tapak Thule — Mata dan Telinga di Hujung Dunia

Hakikatnya, peranan strategik Greenland bukan sekadar teori. Sejak era Perang Dingin, AS telah pun menempatkan Pangkalan Udara Thule (Thule Air Base) di barat laut pulau itu.

Pangkalan ini, kini dikenali sebagai Pituffik Space Base, merupakan salah satu elemen paling penting dalam sistem pertahanan peluru berpandu Amerika.

Di sinilah terletaknya radar amaran awal peluru berpandu Ballistic Missile Early Warning System (BMEWS) yang memantau sebarang pelancaran roket dari hemisfera utara.

Radar raksasa di Thule beroperasi tanpa henti, memancarkan gelombang elektromagnet ke ruang angkasa, mencari tanda-tanda awal pelancaran ICBM dari Rusia atau bahkan ujian peluru berpandu China.

Jika sesuatu dikesan, amaran dihantar serta-merta ke Pusat Pertahanan Udara Amerika di Colorado dan pangkalan strategik lain. Dalam masa kurang dari satu minit, seluruh jentera pertahanan AS boleh bersiap siaga.

Dengan kata lain, Thule bukan sekadar pangkalan terpencil — ia adalah mata global Amerika, berjaga di ambang Artik, memastikan tiada serangan mengejut dapat dilancarkan tanpa diketahui.

4. Kedudukan yang Bukan Sekadar Bertahan — Tetapi Menyerang

Namun kelebihan Greenland tidak berhenti di situ. Selain berfungsi sebagai "perisai" pertahanan, pulau ini juga mempunyai potensi luar biasa dalam keupayaan ofensif.

Dari segi geografi, ia berada dalam jarak yang memungkinkan pelancaran peluru berpandu Amerika untuk menyasarkan pangkalan peluru berpandu Rusia di Kutub Utara dan Eropah Timur dengan pantas dan tepat.

Kedudukan "di bawah" lintasan semula jadi peluru berpandu menjadikan laluan pelancaran dari Greenland jauh lebih pendek, sekaligus mengurangkan masa amaran bagi pihak musuh.

Dalam dunia pertahanan moden, masa bukan sekadar emas — ia adalah kehidupan. Beberapa minit boleh menentukan sama ada satu peluru berpandu berjaya dipintas atau satu bandar lenyap dari peta.

5. Faktor Politik — Antara Copenhagen dan Washington

Namun, kekuatan strategik Greenland tidak datang tanpa komplikasi politik. Walaupun AS memiliki hak undang-undang untuk membina dan mengoperasikan kemudahan ketenteraan di sana berdasarkan perjanjian dengan Denmark (yang mentadbir Greenland sebagai wilayah autonomi), kehadiran tentera Amerika sering menimbulkan perdebatan di kalangan ahli politik Eropah dan rakyat tempatan Greenland sendiri.

Denmark, sebagai anggota NATO dan sekutu rapat AS, menghadapi dilema: di satu sisi, ia bergantung kepada payung pertahanan Amerika; di sisi lain, ia perlu mengimbangi tekanan politik dalaman dan sentimen anti-ketenteraan di Eropah Utara.

Tambahan pula, Greenland kini semakin mendesak kedaulatan penuh — dan sesetengah ahli politik tempatan menganggap pengaruh AS sebagai bentuk penjajahan moden yang terselindung di sebalik “perlindungan keselamatan”.

Namun dari sudut strategik, Washington tidak mungkin melepaskan Greenland, sama seperti Moscow tidak akan melepaskan Crimea, atau Beijing tidak akan berundur dari Laut China Selatan.

Kepentingannya terlalu besar, terlalu asas untuk dibiarkan menjadi zon neutral.

6. Dalam Bayangan Rusia dan China

Bagi Rusia, kehadiran ketenteraan AS di Greenland dianggap sebagai ancaman langsung terhadap 'northern bastion' mereka — kawasan pertahanan Artik yang menempatkan peluru berpandu nuklear dan kapal selam strategik.

Rusia kini memperkukuh semula pangkalan di Murmansk dan Franz Josef Land sebagai tindak balas kepada apa yang mereka anggap sebagai “kepungan Artik” oleh NATO.

China pula melihat Greenland melalui lensa yang berbeza. Bagi Beijing, pulau itu adalah kunci kepada laluan utara baharu — Polar Silk Road — yang membuka peluang perdagangan dan pengaruh geopolitik.

China pernah cuba melabur dalam infrastruktur di Greenland, termasuk pelabuhan dan lombong nadir bumi, tetapi langkah itu segera dicurigai oleh Washington.

Amerika bimbang, di sebalik pelaburan ekonomi, China mungkin menyusup dengan niat strategik untuk mendirikan tapak radar atau sistem komunikasi yang boleh digunakan untuk pengintipan.

Dengan kata lain, Greenland bukan lagi sekadar pulau beku — ia kini pentas persaingan tiga kuasa besar dunia.

7. Kesan Strategik terhadap Pertahanan Global

Kehadiran sistem pertahanan peluru berpandu di Greenland menjadikan rantau Artik sebahagian daripada senibina pertahanan global Amerika, bersama rangkaian radar di Alaska, Britain, dan Jepun.

Kesemuanya saling berhubung melalui sistem amaran awal dan satelit orbit rendah yang memantau setiap pelancaran roket di dunia.

Dalam strategi ketenteraan moden, kelebihan maklumat adalah kelebihan mutlak.

Dengan radar Artik seperti Thule, AS bukan sahaja dapat mengesan pelancaran peluru berpandu, tetapi juga membezakan antara ujian, peluru sebenar, dan pelancaran palsu (decoy) — faktor kritikal dalam menentukan tindak balas yang sesuai.

Sekiranya sistem di Greenland gagal berfungsi walau seketika, ia akan membuka “lubang buta” dalam pertahanan Amerika — satu risiko yang tidak dapat diterima.

8. Perang Dingin Baharu di Ais

Kini, dengan ketegangan antara Washington, Moscow dan Beijing kembali memuncak, Artik sekali lagi menjadi medan senyap Perang Dingin baharu.

Di bawah ais dan di langit kutub, pesawat pengintip, satelit dan radar masing-masing menjejak pergerakan yang hampir mustahil dilihat mata manusia.

Setiap gelombang radar dari Thule atau kapal selam Rusia di bawah ais bukan sekadar latihan teknikal — ia adalah isyarat kuasa, ujian kesabaran, dan permainan catur geopolitik.

Dalam konteks ini, Greenland adalah seperti batu tengah papan catur — bukan kerana kekuatan fizikalnya, tetapi kerana kawalan ke atasnya memberi kuasa untuk melihat, bertindak dan menangkis sebelum pihak lawan sempat berfikir.

9. Masa Depan — Perlumbaan Senjata di Artik

Isu pemanasan global dan pencairan ais Artik menambah lapisan baharu kepada persaingan ini.

Apabila laluan laut utara terbuka dan sumber tenaga di bawah dasar laut menjadi lebih mudah dicapai, kawasan ini akan menyaksikan peningkatan ketenteraan yang belum pernah berlaku.

Rusia telah pun membina pangkalan baharu di Kotelny Island dan mengerahkan sistem pertahanan udara S-400 ke utara.

Amerika pula menambah kehadiran maritimnya di Norway dan mengukuhkan operasi di Greenland.

Soalnya bukan lagi sama ada Greenland penting, tetapi sejauh mana ia akan menjadi pemangkin konflik masa depan.

Sekiranya komunikasi gagal atau salah tafsir berlaku antara kuasa besar, radar di Greenland mungkin menjadi tempat pertama di dunia yang mengesan peluru berpandu sebenar — detik di mana masa terhenti, dan seluruh dunia menunggu nafas dengan cemas.

10. Kesimpulan — Nadi Dingin yang Panas

Pada akhirnya, nilai Greenland kepada Amerika Syarikat bukan sekadar soal teknologi radar atau peluru berpandu.

Ia melambangkan falsafah strategik Amerika sendiri: menguasai langit sebelum musuh sempat menembak.

Pulau beku itu ialah “mata” yang tidak pernah tidur, pengawal senyap yang berdiri di antara keamanan dunia dan permulaan Armageddon.

Mungkin penduduk Greenland hanya melihat aurora yang berkelip di langit malam, namun di sebalik cahaya hijau itu, sistem radar raksasa sedang menjejak pergerakan di ruang angkasa, bersedia memintas apa jua ancaman yang melintas — kerana di dunia moden ini, perang tidak lagi bermula dengan dentuman meriam, tetapi dengan kilatan radar di langit Artik.

Dan di sinilah, di bumi ais yang beku, masa depan pertahanan global ditentukan — senyap, dingin, tetapi amat menakutkan.

Fb: Mohd Ezli Mashut

-Sentiasapanas.com

SBDJ Siri 237: Diresapi Semangat Harimau

SBDJ Siri 237: Diresapi Semangat Harimau

Lelaki berdarah dari terus lembik, macam batang pisang. Sepasang kaki dan tangannya tergedang. Muka dan tubuh terngadah ke langit. Dadanya berombak lemah, menarik dan melepaskan nafas.

SBDJ Siri 237: Diresapi Semangat Harimau

Saya dan pemandu tidak dapat berbuat apa-apa. Kami sekadar memerhatikan saja. Dua tiga helai dedaun kering yang lekang dari tangkainya melayang-layang di udara, sebelum jatuh di permukaan bumi.

"Haaa..." saya menjerit terkejut.

"Kenapa, Tamar?"

"Cuba kamu tengok tangan dan kakinya."

Saranan saya segera dipatuhi oleh si pemandu. Matanya, terus merenung ke arah kaki dan tangan lelaki berdarah dahi yang tergedang. Dia mengerutkan dahinya, kemudian merenung ke arah saya semula.

"Tak ada apa-apa, Tamar."

"Cuba renung baik-baik dan lama sikit," kata saya.

Macam tadi, si pemandu terus mematuhi saranan saya. Kali ini, agak lama juga dia merenung ke arah tangan dan kaki lelaki berdarah dahi. Wajahnya nampak cemas sekali.

Renungannya segera diarahkan kepada saya. Kami berpandangan, bagaikan tidak percaya dengan apa yang kami lihat.

"Kaki dan tangannya berbulu, berbelang-belang macam harimau. Benarkan apa yang aku lihat atau sekadar pandangan saja, Tamar," si pemandu minta sebuah kepastian.

"Apa yang kamu tengok, itulah jugalah yang aku tengok," tutur saya.

"Kita terperangkap Tamar."

"Aku juga berpendapat macam tu."

"Apa yang mesti kita buat, Tamar?"

"Sabar, biar aku cuba mengatasinya."

Si pemandu anggukkan kepala. Seolah-olah menyerahkan sebuah tugas untuk saya atasi, walau dengan apa cara sekalipun.

Satu tugas yang berat tetapi, perlu diselesaikan untuk menambahkan keyakinan kepada si pemandu bahawa saya memang berkebolehan dan bukan sekadar cakap saja.

Dengan tenang saya menyinsing sepasang baju hingga paras siku. Membongkok, melipatkan kaki seluar kiri hingga paras lutut.

Tujuh helai rambut di ubun-ubun terus dicabut sekaligus. Tujuh helai rambut disimpul satu-satu. Dan akhirnya diselitkan di celah gigi bawah.

Semua pergerakan diperhatikan oleh si pemandu dengan teliti. Ada ketikanya dia menggaru pangkal dagu, membayangkan dirinya berada dalam keresahan.

Mungkin juga tidak begitu yakin dengan keupayaan saya mengatasi masalah ini.

Beberapa gerak dan langkah yang diatur dan disusun ternyata tidak selari apa yang diingini dan dipelajari. Terpaksa diulangi kembali. Sudah tentu perkara ini membosankan si pemandu.

"Kenapa langkah yang sama diulang-ulang Tamar."

"Aku terlupa, kau sabarlah. Ini petua, kalau tak menjadi tak mengapa, kita lari saja."

"Haaaaa..." si pemandu membeliakkan biji matanya ke arah saya dengan senyum sinis.

PETUA

Setelah diulang berkali-kali. Petua yang dikutip dari datuk dapat disempurnakan dengan sebaiknya.

Dan ketika kata sumpah menghalang manusia bertukar menjadi harimau mahu dilafazkan, lelaki berdarah dahi yang terkapar di rumput terus menjerit.

Dia melompat-lompat dan berguling-guling di tanah, macam kucing mandi pasir.

Saya terkejut jadinya. Si pemandu lagi terkejut. Badannya kelihatan menggigil semacam.

"Apa yang kau baca, Tamar."

"Mantera dalam bahasa Melayu, tidak berlawan dengan hukum Allah. Aku mohon pada Allah," kata saya.

"Hissss..." si pemandu mendengus.

Saya menarik nafas kecewa. Usaha ini ternyata gagal. Mungkin ketika bermohon pada Allah sebentar tadi, tidak sepenuh dan seikhlas hati. Disulam dengan rasa sangsi. Jadi saya harus berusaha dan berikhtiar cara lain.

Lelaki berdarah dahi terus berguling-guling di tanah. Tangannya, mencakar apa saja. Kuku tangan dan kakinya mula terkeluar. Memang ada usaha darinya untuk mencakar dan mengoyakkan seluar yang kami pakai.

Saya dan si pemandu berusaha menjauhkan diri darinya.

"Tolong saya, kalau saya tahu begini jadinya, tidak saya "tawarkan" kawasan ini. Ilmu saya makan diri kerana melanggar janji, siapa di antara kami mengkhianati sumpah inilah jadinya," sambil berguling-guling dan menghempaskan tubuh di bumi, lelaki berdarah dahi dapat berkata-kata. Suaranya tersekat-sekat.

Saya lihat ke dada langit, awan masih macam tadi. Tetapi, matahari kian condong, kedudukannya kelihatan sama tinggi dengan pucuk meranti di puncak bukit.

Terdengar suara kumpulan gagak liar bersahut-sahutan, disambut dengan jeritan kumpulan monyet dan mencari tempat berlindung.

Deru kenderaan sudah jarang kedengaran dan tempatnya, digantikan oleh ngauman harimau dan tempikkan gajah. Terasa suasana yang dihadapi tidak menyebelahi kami.

"Tolong Tamar, jangan jadikan saya sengsara seumur hidup. Saya tak mahu kaki dan tangan saya jadi macam harimau," lelaki berdarah dahi merayu dan terus menangis teresak-esak.

"Saya langgar sumpah, kerana mahu menolong awak berdua, tolong pulihkan saya. Carilah sesiapa yang boleh menolong saya," sambung lelaki berdarah dahi.

Dalam esak tangisnya itu, sesekali bagaikan terdengar suara ngauman harimau dari mulutnya. Dia berusaha untuk memegang mana-mana bahagian kaki saya dan si pemandu.

Dengan sedaya upaya saya cuba mengelak supaya kuku jari kaki dan tangannya yang bertukar menjadi kuku harimau dari mencakar kaki.

Setiap kali saya mengelak, sama ada mengundur atau bergerak ke kiri dan kanan. Si pemandu saya ajak bersama.

Bila kukunya mengenai mana-mana bahagian tubuh, maka tempat yang kena sentuhan akan bertompok dengan bulu roma tebal yang menyerupai bulu harimau.

TUBUH

Dalam keadaan yang tidak begitu membahagiakan itu. Saya bisikkan kepada si pemandu. Bahagian tubuh yang sering menjadi sasaran orang seperti itu (lelaki berdarah dahi) ialah di pangkal belikat, bahagian belakang, bawah pusat hingga membawa ke bahagian atas alat kelamin.

Pangkal tengkuk, pangkal paha kiri juga menjadi sasaran. Tempat-tempat tersebut menurut ilmu perubatan Melayu tua merupakan himpunan atau jalur saraf yang agak penting dalam tubuh.

Jika salah satu daripada saraf itu rosak akan mendatangkan gangguan fikiran pada seseorang. Malah akan menyuburkan bulu-bulu roma baru akibat kesan yang dicakar lelaki berdarah dahi.

"Tolong saya," rayunya.

Tanpa diduga, dia menerkam ke arah kami sambil mengembangkan lima jarinya yang berkuku harimau ke arah muka saya.

Bagaikan kucing dipulas ekor, saya melompat tinggi. Si pemandu saya tarik hingga dia terjatuh di sebelah kanan.

TERKAPAR

Kerana saya dan pemandu cepat mengelak. Menyebabkan lelaki berdarah dahi jatuh betul-betul di tempat di mana saya berdiri. Terkapar di situ.

"Tolong saya," rayunya lagi.

Saya membisu dan bergerak ke belakang, meninggalkan lelaki berdarah dahi yang tercungap-cungap itu agak jauh.

Melihat saya tidak begitu berat mengambil tahu rayuan lelaki berdarah dahi, si pemandu tergamam dan kebingungan.

"Kenapa tak tolong dia Tamar."

"Merbahaya."

"Tapi, dia sudah banyak kali merayu, kalau begitu biar aku tolong dia, Tamar."

"Jangan," tahan saya.

Si pemandu tidak kisah dengan larangan saya. Dia terus melajak ke arah lelaki berdarah dahi. Sebaik saja sampai, terus membongkok mahu memeluk tubuh lelaki berdarah dahi.

Saya pun segera bertindak. Dengan pantas saya, menerpa ke arah si pemandu. Tubuhnya saya tolak ke belakang hingga jatuh terduduk.

"Aku baru saja beritahu, macam mana merbahaya bila kukunya kena kulit badan kamu. Apa kamu mahu jadi macam dia," suara jeritan saya bergema menguasai suasana.

"Haaa, aku kesian dengannya, sampai terlupa pada cakap kamu Tamar," perlahan-lahan si pemandu bangun.

Wajah saya ditatapnya penuh rasa kesal. Bagi memulihkan ketenangan perasaannya. Dua kali bahunya saya tepuk penuh mesra. Lelaki berdarah dahi masih terkapar di bumi.

Matahari kian merendah. Bayu yang berhembus terus membawa suara gagak, monyet, ungka dan sekali-sekali bunyi harimau memanggil anak.

Suasana begini seolah-olah memberitahu kami, masa semakin suntuk. Tak lama lagi senja pasti datang dan berikutnya malam pula menjatuhkan tirai. Ketika itu segala usaha menjadi punah-ranah.

"Sekarang bagaimana Tamar?"

Sukar untuk menjawab pertanyaan tersebut. Dua tiga kali lubang telinga yang tidak gatal saya korek. Si pemandu berlegar-legar di depan. Lelaki berdarah dahi terus merintih.

Bunyi suara harimau semakin jelas. Setiap kali suara harimau berbunyi, lelaki berdarah dahi menjawab dengan ngauman yang perlahan antara dengar dengan tidak.

"Bagaimana Tamar. Kamu harus melakukan sesuatu," si pemandu terus mendesak.

"Tak apa..."

"Apa yang tak apa Tamar, masa semakin suntuk," seperti ada sebuah paksaan dari si pemandu.

Cara ini memang kurang saya senangi. Saya lebih aman melakukan sesuatu tanpa ada desakan dan paksaan.

"Tak apa, biar aku cuba petua ini dulu, aku tahu serba sedikit kerana dulu, aku pernah berkawan dengan manusia keturunan harimau."

"Haa..." terbeliak biji mata si pemandu. Dia segera menjauhkan diri dari saya.

"Aku harap cerita ini tak benar, Tamar," katanya.

"Kalau benar bagaimana?"

"Aku harap kamu tidak membaham aku," katanya.

Saya ketawa kecil. Tetapi, si pemandu kelihatan serius.

MISAI

Lelaki berdarah dahi terus mengguling-gulingkan tubuh di bumi. Ada perubahan pada dirinya. Misai, sudah bertukar menjadi misai harimau. Tidak ada lagi kata-kata "tolong saya" terkeluar dari mulutnya.

Cuma yang ada suara ngauman yang keras. Renungan matanya cukup garang ke arah saya dan si pemandu.

Saya cuba membaca beberapa potong ayat Al-Quran, semuanya tidak menjadi. Sering terlupa dan silap. Entah mengapa, seluruh tubuh saya menggeletar. Perasaan jadi cemas semacam.

Dan saya rasakan seperti ada tenaga ghaib meresap ke dalam tubuh. Saya pasti, semangat harimau mula meresap ke dalam tubuh.

Kalau tidak dikawal. Saya akan memiliki ciri-ciri seperti seekor harimau. Cuma batang tubuh saja tetap macam manusia.

Bagi mengawal diri dan perasaan dari diresapi anasir jahat. Sepasang kelopak mata segera dirapatkan. Seluruh hati dan perasaan saya serahkan kepada Allah.

Sedikit ruang lapang segera dicari. Di situlah saya duduk bersila dengan mata terpejam. Mungkin dengan berkat doa serta diizinkan oleh Allah fikiran saya tidak berserabut.

Beberapa potong ayat Quran yang memang sudah menjadi amalan, bila menghadapi saat-saat kesusahan dan godaan iblis, segera dibaca dengan khusyuk.

Saya berusaha dengan sedaya upaya dan selebihnya saya serahkan pada Allah. Tidak ada apa dalam batin selain dari Allah yang Maha Besar.

Hasilnya, keadaan diri kembali normal. Tidak resah dan gelisah. Perasaan terasa cukup tenang. Dada begitu lapang. Saya bagaikan mendapat satu kekuatan baru, penuh yakin pada diri dan kuasa Allah.

Lelaki berdarah dahi yang tangan dan kakinya berbulu harimau. Ternyata sudah tidak sekuat tadi lagi. Kelihatan amat lemah sekali, suaranya bagaikan tidak bermaya.

Tetapi, gerak matanya liar macam gerak mata harimau kumbang. Tajam menyorot ke setiap sudut kawasan lapang.

Saya pun mengajak si pemandu beredar dari situ. Membiarkan lelaki berdarah dahi sendirian, berguling-guling di bumi. Kata-kata yang diluahkannya tidak jelas. Dia masih mengaum macam anak harimau.

"Apa kau mahu membiarkan dia terseksa, di situ Tamar," si pemandu kerutkan dahi sambil merenung ke arah saya penuh kehairanan.

Suasana hari bertukar lagi. Senja mula memperlihatkan bayangnya. Di kaki langit ada awan berwarna kemerah-merahan. Rasa cemas kembali menguasai diri.

SUNTUK

Keadaan sudah semakin suntuk. Datuk dan Syed Hamid Al-Hadad yang terpisah tidak tahu cerita. Apakah mereka berdua dalam keadaan selamat atau sebaliknya.

"Tamar, apa tindakan kita selanjutnya?"

"Aku sedang memikirkan sesuatu."

"Tapi, masa semakin suntuk. Kalau seluruh tubuhnya bertukar menjadi harimau, jawabnya kita jadi habuannya," resah benar hati si pemandu.

Saya tidak memberikan sebarang reaksi. Malah terus duduk bersila di bumi. Sepasang mata dipejamkan. Dalam erti kata lain, saya bertafakur sejenak. Memisahkan diri dan ingatan dari dunia nyata.

Buat kali kedua saya lapangkan hati, lapangkan otak dan perasaan. Semua tumpuan saya halakan ke arah mata hati Mia, gadis harimau.

Mia pun hadir dalam mata kalbu dengan senyum penuh ghairah.

"Memerlukan bantuan?" pendek dialognya.

Saya pun angguk kepala.

"Kamu dalam bahaya, Tamar."

Macam tadi juga, saya terus anggukkan kepala.

"Baiklah sekejap lagi, ada orang yang membantu kamu, Tamar, dalam senyum Mia-gadis harimau mengakhiri kata. Dan dia pun lesap dari mata kalbu saya.

Mata kalbu saya didatangi seorang lelaki yang amat tua. Kulit mukanya sudah berkedut. Janggutnya separas dada tetapi, wajahnya nampak bersih cerah. Susunan giginya nampak rapi dan kukuh.

KALBU

"Pulihkan dengan kekuatan kamu. Dengan keyakinan kamu. Semuanya sudah disampaikan oleh Mia kepada kamu. Manfaatkan sekarang," selesai sahaja berkat-kata, orang tua itu terus menghilang.

Dan saya masih mengharapkan tempatnya digantikan oleh Mia.

Apa yang saya harapkan tidak kesampaian. Sesungguhnya, amat senang menatap bola matanya yang lembut. Kulit pipinya yang licin.

Aduh! Senyumannya sungguh mengesankan bersama lesung pipit dan susunan gigi yang sungguh rapi.

Dalam keadaan yang separuh khayal itu, saya bagaikan melihat samar-samar gerakan seorang wanita. Apa yang pasti wanita itu bukan Mia. Seorang wanita yang asing yang tidak dikenali.

Dalam keadaan samar-samar itu, si wanita misteri menegakkan ibu jari dan kelingking sebelah kanan. Perlahan-lahan diterbalikkan. Kemudian ditegakkan semula. Diterbalikkan kembali dan terus ditikamkan ke perutnya. Wanita misteri terus menghilangkan diri.

Saya teringat perkara seperti itu pernah diajar oleh Mia kepada saya ketika mahu menentang binatang buas. Dengan cara tersendiri satu rumusan diambil.

Saya harus mencari pokok renik yang bercabang dua. Tidak kira jenis pokok apa. Ditikam ke bumi sebelum ditikam ke badan musuh. Dan saya kira andaian yang dibuat tidak lari dari maksudnya.

"UUuhhhhhh..."

Seperti ada benda berat yang memukul dari belakang. Saya tersengguk dan muka hampir tersemban ke bumi. Bila sepasang kelopak mata dibuka, saya sudah berada di alam nyata.

Saya toleh ke kiri dan kanan, mencari siapa gerangan yang memukul belakang saya. Tidak bukti yang nyata, kalau tuduhan mahu diletakkan atas bahu si pemandu. Dia seperti terpinga-pinga bila melihat saya membuka mata.

"Aku pelik dengan kamu, Tamar,"

"Apa yang peliknya."

"Orang dalam bahaya, kamu tidur duduk."

"Aku tak tidur, aku bertafakur dan berdialog dengan seseorang."

"Heeee..." keluh si pemandu penuh kebingungan.

Suara raungan lelaki berdarah dahi masih belum putus. Saya dan pemandu segera menghampirinya. Sungguh mengejutkan, dia terkapar dan bergolek-golek. Seluruh tangan kanan sudah penuh dengan bulu harimau.

Bila melihat kehadiran kami, dia terus mengaum dan membongkokkan tubuhnya, macam harimau yang mahu menerkam sesuatu.

Menyedari keadaan semakin kritikal dan bunga senja semakin berat. Pokok renik bercabang dua, segera dicari di sekitar kawasan tersebut. Tidak susah mencarinya lima langkah ke kanan, sudah ada pokok yang diingini.

Tanpa membuang masa, pokok renik dipatahkan. Buang mana yang tidak perlu. Dengan pantas, bahagian yang bercabang ditikamkan ke bumi.

"Kau nak buat apa Tamar," tanya si pemandu.

Saya segera memberikan isyarat tangan padanya supaya diam. Jangan banyak soal dan tanya. Duduk diam-diam dan lihat apa saja yang bakal saya lakukan. Syukur si pemandu mengerti dengan bahagian isyarat tersebut.

PANTAS

Dengan pantas saya bergerak ke arah lelaki berdarah dahi yang mula bangun mahu bertindak liar. Saya segera berdiri di depannya sambil memusingkan kayu bercabang dua di matanya.

Dalam masa yang sama saya membaca ayat-ayat penunduk dengan harapan dapat melancarkan kerja. Harapan tidak menjadi kenyataan dia bertambah marah dan ganas, terus menerkam.

"Sabar aku mahu menolong kamu," secara jujur saya menyatakan kepada lelaki berdarah dahi.

Dia tidak boleh berkata-kata selain dari mengaum, keadaannya sudah bertambah parah.

Tidak mengejutkan kalau dalam masa empat puluh lima minit lagi, seluruh tubuhnya bertukar menjadi harimau seiring dengan suasana hari yang semakin (malam).

Kerana memikirkan masa begitu terhad. Saya terus melompat melangkah tubuh lelaki berdarah dahi.

Sudah diduga, apa yang bakal berlaku lelaki berdarah dahi terus bertindak balas. Dia bangun untuk menentang.

Tamat Siri Bercakap Dengan Jin 237/284

BACA: SBDJ Siri 236: Mangsa Raja Sihir
BACA: Siri Bercakap Dengan Jin (Koleksi Lengkap)

-Sentiasapanas.com

Friday, January 23, 2026

Menjelang Perang Besar Iran Menentang Kezaliman Israel Dan Merika Syarikat!

Menjelang Perang Besar Iran Menentang Kezaliman Israel Dan Merika Syarikat!

Suasana di lapangan nampak tenang, namun di sebalik tabir seluruh jentera perang Amerika Syarikat, sekutu dan Iran siap sedia bertembung. Bila-bila masa sahaja dalam 6 jam ke 36 jam mutakhir ini konflik besar diramal berlaku. Hanya Menunggu Arahan.

Perang Iran 2026

Di tengah-tengah malam yang gelap di Teluk Parsi, ketika suhu geopolitik melonjak ke tahap berbahaya, sebuah video berdurasi dua minit yang disiarkan oleh media rasmi Islamic Revolutionary Guard Corps (IRGC) menggoncang dunia.

Ia bukan sekadar klip propaganda biasa — ia merupakan peta ancaman, mesej terbuka kepada Washington dan simbol amaran keras bahawa Teheran bersedia untuk menghadapi sebarang serangan.

Paparan video itu menunjukkan lokasi setiap pangkalan tentera Amerika di Timur Tengah — dari Incirlik di Turki, Al-Tanf di Syria, Erbil dan Ain al-Asad di Iraq, hingga ke pangkalan strategik seperti Al Udeid di Qatar, Al Dhafra di Emiriah Arab Bersatu dan Camp Arifjan di Kuwait.

Kesemua lokasi itu dipaparkan dengan tanda sasaran merah, disertai kapsyen: "Within Range" — dalam jarak tembakan peluru berpandu Iran.

1. Bayang-bayang Perang Psikologi

Bagi pemerhati geopolitik berpengalaman, tindakan IRGC ini adalah bentuk psyops — perang psikologi yang dirancang untuk menghantar mesej kepada dua pihak: musuh luar (Amerika Syarikat dan sekutunya) dan khalayak dalam negara Iran.

Di saat tekanan ekonomi dan politik meningkat, menunjukkan kekuatan misil domestik berfungsi sebagai suntikan moral kepada rakyat Iran bahawa mereka masih memiliki "cakar" untuk menentang kuasa besar.

Namun mesej ini juga berlapis: ia memberi amaran bahawa sebarang serangan terhadap Iran tidak akan berakhir di sempadan mereka sahaja.

Ia akan memercik ke seluruh rantau. Setiap pangkalan AS di Teluk kini menjadi tebusan potensi bagi tindak balas Teheran.

2. "Membekukan Adegan": Ketegangan Sebelum Ribut

Laporan yang muncul pada jam 02:34 pagi waktu Tehran menggambarkan situasi yang pelik — tiada perubahan dalam NOTAM (Notice to Airmen). Tiada sekatan udara baru, tiada pembatalan penerbangan awam.

Ini menandakan satu istilah ketenteraan yang jarang disebut di luar bilik operasi: "Freezing the Scene" — keadaan tenang yang disengajakan sebelum operasi besar-besaran.

Dalam bahasa strategi, ia bermaksud semua pihak menahan nafas. Tiada yang mahu memulakan pertempuran, tetapi semua sudah mempersiapkan diri seolah-olah ia pasti berlaku.

3. Paksi Pertama: Typhoon di Qatar — Menutup Jurang Terakhir

Perkembangan paling signifikan datang daripada Britain. Penghantaran pesawat Eurofighter Typhoon ke pangkalan Al Udeid, Qatar, dilihat sebagai tindakan "menutup jurang terakhir" dalam sistem pertahanan udara gabungan Barat di Teluk.

Al Udeid bukan sekadar pangkalan biasa; ia adalah pusat kawalan strategik Pemerintahan Pusat AS (CENTCOM) untuk seluruh operasi Timur Tengah.

Kehadiran pesawat Typhoon di sana bukan untuk mempertahankan Qatar semata-mata, tetapi untuk membentuk "payung perlindungan udara" bagi pengebom berat Amerika (seperti B-52 dan B-2) yang akan berlepas dari atau melintasi ruang udara tersebut.

Langkah ini juga memberi makna politik yang besar: Britain kini secara rasmi terlibat dalam "theater security operations" atau pengukuhan teater operasi, membebaskan aset udara Amerika untuk melaksanakan serangan ofensif terhadap Iran jika perlu. Ia adalah peralihan dari strategi bertahan kepada postur serangan bersyarat.

4. Paksi Kedua: Ketibaan Pesawat C-37A di UAE — Lawatan Perpisahan

Kedatangan pesawat C-37A Gulfstream milik Tentera Udara AS di Emiriah Arab Bersatu (UAE) menimbulkan tanda tanya besar di kalangan penganalisis.

Pesawat ini bukan pesawat tempur; ia adalah pengangkutan VIP, sering digunakan oleh pegawai tertinggi Pentagon dan CENTCOM.

Simboliknya amat jelas. Ketibaan itu digelar oleh penganalisis medan sebagai "Farewell Visit" — lawatan terakhir untuk menyampaikan koordinasi akhir kepada sekutu Teluk.

UAE merupakan simpul penting dalam rangkaian kewangan dan logistik rantau ini.

Lawatan tersebut hampir pasti melibatkan perbincangan sulit mengenai perlindungan infrastruktur kritikal — termasuk lapangan terbang Dubai dan Abu Dhabi, serta kemudahan eksport minyak di Fujairah — daripada sebarang serangan balas peluru berpandu Iran.

5. Paksi Ketiga: Kenyataan Trump — "They Know What We Are Looking At"

Dalam ucapan yang penuh dengan nada ugutan, bekas Presiden Donald Trump menyatakan: "I don’t want to address Khamenei, they know what we are looking at."

Bagi penganalisis, ungkapan ini bukan sekadar retorik politik. Ia adalah isyarat terselindung bahawa Washington telah menetapkan senarai sasaran khusus — target bank — yang berkemungkinan besar merangkumi pusat kawalan IRGC, fasiliti nuklear di Natanz dan mungkin pejabat kepimpinan tertinggi Iran sendiri.

Apabila Trump menambah, "We have a massive military force heading toward Iran," mesejnya jelas: kapal induk USS Abraham Lincoln dan USS George H.W. Bush kini sedang berlayar ke arah Teluk, disertai skuadron pengebom strategik. Ia adalah pementasan kuasa, bukan semata-mata pencegahan.

6. Analisis Operasi Lapangan (Dawn, 23 Januari)

Semua petunjuk yang dikumpulkan menunjukkan kini situasi berada di ambang krisis.

Dari perspektif taktikal, tiga domain — udara, laut, dan diplomatik — menunjukkan penyelarasan luar biasa antara Washington dan sekutunya:

Udara: Typhoon Britain di Qatar dan F-15 AS di Jordan menandakan perimeter serangan dan pertahanan sudah siap.

Laut: Armada kapal pengangkut sedang menghampiri Teluk. Ini bukan latihan rutin — ia adalah persiapan untuk kemungkinan pelancaran misi preemptive strike terhadap sasaran nuklear Iran.

Diplomatik: Pesawat C-37A ke UAE dan SAM986 ke Amman mencerminkan gerakan terakhir sebelum tindakan besar — penyelarasan keselamatan serantau dan pemindahan potensi warga asing dari kawasan risiko.

Israel: Sumber intelijen menunjukkan Israel telah mengaktifkan status “Home Front Preparedness” — persediaan penuh untuk menghadapi peluru berpandu balasan Iran, termasuk dari Hizbullah di Lubnan.

7. Senario Strategik: Tiga Jalan ke Hadapan

Dari perspektif strategik, situasi ini boleh berkembang ke tiga arah besar:

a. Eskalasi Terkawal (Controlled Escalation)

Dalam senario ini, Washington dan Tehran akan bertukar serangan terhad — mungkin satu atau dua serangan peluru berpandu ke atas kemudahan tentera — tetapi dengan cepat disusuli oleh rundingan tidak rasmi melalui Oman atau Qatar. Ia membenarkan kedua-dua pihak "menyelamatkan muka" tanpa perang besar-besaran.

b. Serangan Penuh Spektrum (Full Spectrum Strike)

Jika Iran tersilap langkah — contohnya menyerang kapal Amerika atau pangkalan di Bahrain — AS mungkin melancarkan serangan menyeluruh terhadap infrastruktur ketenteraan Iran, termasuk pelabuhan, lapangan terbang dan loji tenaga nuklear.

Tindakan sebegini akan mengheret seluruh rantau ke dalam Night of Fire — malam api yang disebut oleh wartawan Talal Nahle.

c. Perang Bayangan (Shadow War)

Kemungkinan paling halus tetapi berisiko panjang: operasi rahsia, serangan siber dan sabotaj melalui proksi seperti milisi Syiah di Iraq, Houthi di Yaman, atau Hizbullah di Lubnan.

Inilah bentuk konflik yang tidak diumumkan tetapi berlarutan bertahun-tahun — perang tanpa pengisytiharan, namun dengan korban sebenar.

8. Kepentingan Strategik Timur Tengah

Mengapa semua ini berlaku sekarang? Jawapannya terletak pada tiga elemen utama geopolitik: tenaga, kuasa, dan ideologi.

1. Tenaga (Energy) – Teluk Parsi menampung hampir 30% eksport minyak dunia. Ketidakstabilan di rantau ini akan melonjakkan harga minyak, menggoncang pasaran global dan menguntungkan Rusia dalam jangka pendek.

2. Kuasa (Power Projection) – Bagi Amerika Syarikat, mengekalkan penguasaan di Teluk adalah lambang keunggulan global. Kehilangan pengaruh di rantau ini bermakna membenarkan China dan Rusia mengisi kekosongan strategik.

3. Ideologi (Ideological Warfare) – Bagi Iran, ini bukan sekadar pertahanan wilayah; ia adalah pertarungan ideologi menentang apa yang mereka anggap sebagai hegemoni Barat dan Zionisme.

9. Dimensi Psikologi dan Propaganda

Perang moden tidak lagi dimenangi hanya dengan peluru berpandu dan jet pejuang, tetapi dengan kawalan naratif. Kedua-dua pihak kini berlumba mencipta persepsi kemenangan.

Media Iran menyiarkan imej peluru berpandu Sejjil dan Khorramshahr dengan kapsyen "Within Range", sementara media Barat menunjukkan rakaman jet F-15 yang berlegar di langit Jordan sebagai simbol kesiapsiagaan.

Ini bukan sahaja mempengaruhi pandangan global, tetapi juga moral tentera dan rakyat di kedua-dua belah pihak.

10. Amaran Akhir dan Kesimpulan

Di sebalik segala dramatik diplomatik dan retorik keras, dunia kini berdepan situasi yang amat genting.

Apa yang berlaku pada dinihari 23 Januari ini mungkin kelihatan seperti "ketenangan", tetapi ia sebenarnya detik sebelum nyalaan api besar.

Jika satu sahaja peluru berpandu Iran tersasar mengenai pangkalan Amerika di Qatar atau jika satu serangan siber memadam sistem radar di Teluk, rantau ini akan menyaksikan permulaan krisis yang boleh menandingi Perang Teluk 1991 — bahkan mungkin lebih buruk.

Namun, sejarah juga menunjukkan bahawa di tengah-tengah ancaman, kadangkala keseimbangan kuasa yang menakutkan itu sendiri menjadi faktor penstabil.

Kedua-dua pihak memahami harga sebenar perang moden: bukan sekadar kehilangan nyawa, tetapi kemusnahan ekonomi global.

Oleh itu, walaupun kita kini berada di ambang "Malam Api", masih ada kemungkinan ia berakhir dengan “Subuh Diplomasi” — satu perjanjian senyap di belakang tabir, tanpa pengumuman rasmi, tetapi dengan hasil yang menyelamatkan dunia daripada perang besar yang baru.

Dan seperti pepatah dalam dunia risikan: "Kadang-kadang, mencegah perang adalah bentuk peperangan yang paling sukar."

Fb: Mohd Ezli Mashut

-Sentiasapanas.com

Wednesday, January 21, 2026

SBDJ Siri 236: Mangsa Raja Sihir

SBDJ Siri 236: Mangsa Raja Sihir

Buat beberapa detik terasa cemas. Kuku di hujung di kelingking terus digigit. Bermacam-macam perkara buruk bermain di kepala. Semuanya berkisar tentang hal diri. Apakah kami boleh melepaskan diri dari dikuasai lelaki berdarah dahi. Apakah selepas ini masih ada perkelahian yang tidak diminta?

Mangsa Raja Sihir

"Perkara itu berlaku waktu malam?"

Saya kira, si pemandu sengaja mengemukakan pertanyaan demikian untuk memancing rahsia. Lelaki berdarah dahi masuk perangkap. Pertanyaan itu membuat dia termenung seketika. Macam ada sesuatu yang difikirkannya.

"Iya, betul," jawab lelaki berdarah dahi.

"Perkara itu terjadi di depan mata kamu?"

"Iya," lelaki berdarah dahi anggukkan kepala.

Si pemandu menarik nafas dalam-dalam. Kemudian berdehem beberapa kali sambil menjeling ke arah saya. Semasa mengalihkan pandangan merenung ke arah kawasan yang ditumbuhi pepohon renek, renungan kami bertembung.

Tanpa disengajakan, masing-masing melepaskan senyum yang dibalut keraguan terhadap lelaki berdarah dahi.

"Kamu kagum dengan kebolehan mereka?"

"Iya," angguk lelaki berdarah dahi.

"Seterusnya, kamu berjinak-jinak dengan mereka untuk menuntut ilmu harimau jadi-jadian," si pemandu terus bertanya.

"Betul," lelaki berdarah dahi mengaku macam orang bodoh.

"Kamu tahu, orang itu boleh menjadi harimau pada waktu malam, waktu siang ilmu itu tidak menjadi."

"Tak tahu," berkali-kali lelaki berdarah dahi gelengkan kepala.

Dia macam terkejut.

"Orang tu tak beritahu kamu?"

Lelaki berdarah dahi gelengkan kepala.

"Ertinya, kamu belajar ilmu setengah tiang," si pemandu terus memperkecilkan lelaki berdarah dahi.

Saya ketawa dan sikap saya itu memang tidak disenangi oleh lelaki berdarah dahi. Rasa marah dan geram dilahirkannya dengan satu jelingan yang tajam.

JELING

Menyedari kesalahan itu, saya segera menundukkan kepala. Merenung rerumput di kaki. Tidak berani menentang sinar matanya yang tajam penuh dengan api kemarahan.

Dengan ekor mata saya menjeling ke arah lelaki berdarah dahi. Dia masih marah. Jalan tengah segera diambil. Wajahnya saya tatap bersama senyum persahabatan dan kemaafan. Niat baik dipersendakan. Sungguh menyakitkan hati. Dia menjuihkan bibir ke arah saya.

"Eh..." Si pemandu memetik jarinya ke arah lelaki berdarah dahi. Satu perbuatan yang memang tidak disenangi.

Nasib baik lelaki berdarah dahi tidak menunjukkan tindak balas agresif. Kalau tidak, perkelahian yang padam akan kembali menyala.

"Kau nak cakap apa?" Tiba-tiba saja lelaki berdarah dahi menyergah si pemandu.

"Kamu tahu, ilmu dua lelaki yang boleh menjadi harimau itu tak mampan buat Tuan Syed. Dia boleh mengatasi kebolehan mereka," kata si pemandu.

Saya tidak tahu, apakah cakap itu benar atau sekadar memperdayakan lelaki berdarah dahi tadi. Tetapi apa yang pasti, setelah mendengar si pemandu, lelaki berdarah dahi terus kerutkan dahi.

LANGIT

Dua tiga kali dia renung ke dada langit, melihat gumpalan awan yang bergerak perlahan ke arah laut. Sesekali merapatkan sepasang kelopak matanya dari dimasuki debu yang dibawa angin petang yang bertiup agak kencang.

"Kamu jangan cuba mempermainkan aku," secara mendadak lelaki berdarah dahi bersuara separuh menjerit. Mungkin dia berbuat demikian kerana mahu menutup kelemahan dirinya.

"Terpulanglah pada kamu, sama ada mahu percaya atau tidak," satu jawapan tegas.

Lelaki berdarah dahi menggosok pangkal hidungnya dua tiga kali. Kemudian dia menggelengkan kepala.

"Mustahil Tuan Syed mempunyai ilmu setinggi itu."

"Terpulang," balas si pemandu.

Saya semakin bertambah bingung menghadapi suasana yang dikira serba tidak kena. Kenapa mesti banyak bercakap daripada bertindak, fikir saya dalam hati.

Muka si pemandu saya renung. Mata pun saya kenyitkan. Maksudnya saya mahu dia bertindak lebih pantas menyelesaikan masalah yang sedang dihadapi. Si pemandu mengerti keinginan saya.

"Tamar, kamu sayang datuk kamu?" muncul pertanyaan dari si pemandu yang nampaknya resah.

"Kamu jangan bergurau."

"Aku tak bergurau, kalau kamu sayang ikut aku. Jangan banyak berdalih, mari kita bantu dia bersama Tuan Syed," Si pemandu minta sebuah kepastian.

Saya tiada pilihan lain, mesti patuh dengan ajakkannya. Saya kira lelaki berdarah dahi juga tidak dapat menolak.

Dia terpaksa menolong si pemandu yang satu merga dengannya. Malah kawan seperguruan semasa menuntut di Kasiran Sumatera Utara satu ketika dulu.

"Apa yang ditunggu lagi Tamar, mari."

"Ayuh," saya menjawab.

Dan kami pun melangkah serentak dengan pantas sekali.

"Aku ikut sama," jerit lelaki berdarah dahi.

Dia yang ketinggalan beberapa langkah di belakang mempercepatkan langkahnya hingga menyamai langkah di pemandu dan saya. Tetapi, apa yang dirasakan sungguh ganjil. Macam ada sesuatu yang tidak betul.

Si pemandu yang menjadi kepala jalan seperti kehilangan arah. Rasanya, sudah jauh benar berjalan hingga seluruh tubuh berpeluh. Tetapi, bila menoleh ke belakang batu besar masih dekat dengan kami.

PELUH

Dalam erti kata lain, langkah kami tidak ke mana-mana. Masih berlegar-legar sekitar batu besar. Pada hal kami bertiga terasa amat penat sekali. Peluh yang keluar, usah dikira, kalau dikumpulkan hampir setengah baldi.

"Kita berhenti, aku penat," dalam keadaan tercungap-cungap saya memberitahu si pemandu. Keluhan itu disokong oleh lelaki berdarah dahi.

Dan si pemandu terus simpati, langkah perjalanan segera dimatikan. Kami bertiga tersadai dan terbaring atas rumput di kawasan lapang merehatkan diri dari kepenatan.

"Tamar,"

"Iya, kenapa?"

Dalam kepenatan yang belum berakhir itu, maka si pemandu saya renung. Dia nampak keletihan sekali. Nafasnya tercungap-cungap. Sedangkan lelaki berdarah dahi dengan tenang mendepangkan sepasang tangannya atas rumput.

"Aku rasa kita diperdayakan orang Tamar."

"Boleh jadi," balas saya.

Si pemandu terus mengesat peluh yang mengalir di kiri kanan keningnya dengan telapak tangan. Buat seketika, tidak ada komentar yang lahir dari mulut lelaki berdarah dahi.

Suasana hari terus beranjak ke petang. Dalam tempoh beberapa jam lagi, matahari pasti jatuh di kaki langit.

Dan dewi senja mengambil alih tugas dari matahari. Kalau suasana hari sudah didatang berbunga senja, segala-galanya akan menjadi sukar.

SUASANA

Usaha mencari datuk dan Syed Hamid Al-Hadad akan menjadi bertambah sulit. Satu perbincangan kecil segera diadakan antara saya dengan si pemandu. Lelaki berdarah dahi hanya mendengar saja.

Akhirnya, kami mengambil keputusan untuk kembali semula ke arah batu besar, tempat di mana kami mula bertolak tadi.

Sambil menyandarkan badan ke batu besar, langit yang terbentang luas menjadi habuan mata. Keluang dan bangau terbang tinggi bagaikan berlumba-lumba di awan.

Suara agak liar jelas kedengaran. Bunyi deru kenderaan yang lalu di jalanraya di balik terus menyumbat lubang telinga.

"Bagaimana semuanya ini boleh berlaku?" terhambur pertanyaan dari kelopak bibir.

Muka si pemandu saya renung. Dan si pemandu pula merenung muka lelaki berdarah dahi. Pokoknya, wajah kami terus dibalut keresahan. Terus diselubungi kecemasan dan ketakutan.

"Kita disihir," terpancut kata dari sepasang bibir tebal lelaki berdarah dahi.

"Kenapa kamu cakap macam tu?" Soal si pemandu sambil melagakan gigi atas dengan gigi bawah berkali-kali. Tiada daya dia menyembunyikan rasa marah dan geram.

Tiada jawapan yang diberikan oleh lelaki berdarah dahi. Si pemandu bergerak ke kanan dan ke kiri.

Akhirnya berhenti dan berdiri di sebelah kanan saya. Sepasang matanya kembali tertumpu kulit muka lelaki berdarah dahi.

"Tentu ada sebab kamu cakap macam itu. Kalau tak ada angin, mana mungkin pokok bergoyang. Cakap sekarang," keras benar tekanan nada suara si pemandu.

Tiada reaksi dari lelaki berdarah dahi. Hati si pemandu terus membara.

"Cakap, bedebah."

Telapak tangan kanan pemandu yang kasar dan lebar jatuh ke atas bahu kiri lelaki berdarah dahi.

Cengkaman dari lima jari yang panjang dengan otot-otot yang menonjol di belakang tangan membuat lelaki berdarah dahi merendahkan tubuhnya menahan rasa sakit. Wajahnya nampak berkerut.

"Cakap," si pemandu terus mendesak.

Lelaki berdarah dahi tetap membatu.

Kemarahan terus membakar hati nurani si pemandu. Cengkaman jari-jemarinya semakin kuat menekan tulang selangka. Makin lama, makin rendah kedudukan lelaki berdarah dahi.

Dengan sekali tolakan, lelaki berdarah dahi. Dengan sekali tolakan, lelaki berdarah dahi terkejut dan terpampan.

Saya memang merestui tindakan si pemandu. Entah mengapa, saya seperti didorong sesuatu terus menerpa di sisi lelaki berdarah dahi. Leher bajunya terus dicekak. Wajahnya pucat lesi.

"Jangan bunuh aku," dia merayu.

Baju yang dicekak saya lepaskan sambil kaki menyepak lemah ke punggungnya.

"Kamu mesti membantu kami," si pemandu terus mengherdiknya.

"Sebenarnya, aku tidak mampu melawan, selain dari ilmu tikus putih, kamu juga mempelajari ilmu (silat) harimau melindungi anak, ilmu yang tidak ada pada aku," lelaki berdarah dahi meluahkan sebuah pengakuan.

Si pemandu terus merenung ke arah saya sambil mengangkat tangan kanan separas telinga kiri, memberi isyarat minta bantuan.

"Kamu bercakap jujur dengan kami. Bekerjasama dengan kami. Itu saja yang kami minta," kata-kata itu terhambur dari mulut sebagai memenuhi isyarat dari si pemandu.

"Bantulah kami," saya terus merayu dan memujuk.

Tiada jawapan yang diberikan. Lelaki berdarah dahi lebih menggigit ibu jari dari memberikan perhatian terhadap kata-kata yang saya hamburkan.

PUJUK

Walau apapun, saya memang mengharapkan pujukan itu akan berhasil. Kalau tidak berhasil, saya dan si pemandu akan menghadapi jalan sukar. Mungkin nasib Syed Hamid Al-Hadad dan datuk akan menjadi lebih teruk lagi.

"Saya bersetuju bekerjasama dengan kamu berdua."

Satu jawapan yang memang diharapkan. Saya dengan pemandu berbalas senyum dan bertepuk bahu antara satu sama lain.

"Dengan ikhlas," tanya saya.

"Sudah tentu," sahut si pemandu.

Kami bertiga terus berjabat tangan. Kemudian berpelukan penuh kemesraan sambil membulatkan azam untuk melawan musuh.

"Ceritalah, apa yang kamu tahu," sengaja saya lembutkan tekanan nada suara. Penuh diplomasi.

"Semuanya sudah diatur. Sejak kami tahu Syed Hamid Al-Hadad melalui jalan ini untuk ke Medan. Semua persiapan sudah kami aturkan..." lelaki berdarah dahi berhenti bercakap.

Dengan penuh sopan dia mengajak saya dan si pemandu duduk atas batang nibung yang sudah lama rebah. Sudah tentu permintaannya tidak kami tolak begitu saja.

Kami juga mengharapkan, semoga dia tidak berdalih atau berhelah.

Semoga dia tidak akan mengambil kesempatan dari kebaikan kami untuk memperlambatkan apa yang bakal kami lakukan. Dengan berhelah atas berdalih boleh membuatkan kami terleka.

Dan masa akan terus berjalan menuju ke senja, akhirnya menyambut malam. Bila hal ini terjadi, akan memberi kesempatan kepada dua lelaki yang memburu Syed Hamid Al-Hadad menjadi harimau.

Andainya, dua lelaki itu boleh menukarkan bentuk tubuhnya dari manusia menjadi harimau. Sudah pasti, Syed Hamid, datuk, si pemandu dan saya tinggal nama saja.

"Cakaplah cepat, jangan berbelit-belit dan bercerita tentang kisah lain," dengan pantas saya memotong, bila menyedari yang lelaki berdarah dahi memulakan cerita tentang keturunan yang tidak ada kena mengena dengan perkara yang sedang dihadapi.

Sialnya, lelaki berdarah dahi senyum sinis. Hati saya terbakar dibuatnya.

"Masa semakin suntuk," tekan saya meninggi.

"Tahu," jawabnya acuh tak acuh.

Dua tiga kali, dia meraba dan menggosok-gosok hujung dagunya dengan kuku jari kelingking.

Memang menyakitkan. Tindak-tanduknya mengundang kemarahan saya dan si pemandu. Tetapi, kami berdua masih dapat mengawal perasaan.

Tidak ada gunanya berkeras boleh menimbulkan ketegangan. Bila ini terjadi, tiada siapa yang untung dan orang yang paling rugi kami berdua.

"Kalau terus begini, diri kita semua yang celaka," Ungkapan yang dihamburkan oleh si pemandu membuat saya menghela nafas panjang.

Tidak menolak kemungkinan perkara itu berlaku. Lelaki berdarah dahi mendongakkan mukanya ke dada langit.

Barangkali dia melihat langit biru dan awan gemawan yang putih berarak lembut. Mungkin juga mencari ilham untuk membuat keputusan yang bakal diambil. Hembusan angin semakin rancak menyentuh pepucuk daun sekitar.

"Ceritalah, apa yang kamu tahu," Sebuah rayuan bersama air muka minta dikasihani dari si pemandu.

Ternyata taktik ini berkesan.

RENUNG

Lelaki berdarah dahi renung kiri, renung kanan. Kemudian dia mendongak wajah ke langit macam tadi. Bagaikan ada sesuatu yang dicarinya. Dua langkah pula dia undur ke belakang. Dengan cepat dia menukar tempat.

Berdiri di tengah-tengah, antara saya dan si pemandu, saya kira ini satu perbuatan yang luar biasa. Dan saya tersenyum, bila dia menjolok lubang hidungnya yang luas dengan jari telunjuk.

"Uhhu..."

Tanpa memberi sebarang amaran, lelaki berdarah dahi melepaskan dua penumbuk serentak, kiri dan kanan pada perut kami.

Hasilnya, saya dan si pemandu tersedak dan batuk panjang. Air liur bersemburan dan mata terus berair. Perut terasa sakit (senak) yang amat sangat. Tidak dapat menegakkan tubuh, terpaksa membongkok menahan sakit.

Di saat hati tertanya-tanya. Kenapa perkara begini dilakukan, lelaki berdarah dahi terus mengeluarkan arahan yang agak ganjil dan dan aneh bunyinya.

"Buka baju kamu berdua."

Arahan itu segera dipatuhi.

"Sapukan ke muka kamu berdua, inilah usaha terakhir kita," tambah lelaki berdarah dahi. Seperti tadi, arahannya kami patuhi tanpa memikirkan buruk baiknya.

Kami bagaikan dipukau. Mengikut apa saja arahan darinya. Bila semua arahannya dipatuhi, pandangan saya jadi samar-samar.

Lubang hidung terus disumbat dengan bau cabai kering dan bawang bakar. Lagi sekali kami berdua tersedak serentak.

Keadaan ini memang tidak disenangi, ada keraguan dalam sanubari. Mungkin ini satu helah untuk memerangkap saya dan si pemandu.

Dan ini mungkin amaran secara halus, seolah-olah memberitahu, pintu kematian sudah berada di depan kami.

Si pemandu menggigit bibir sambil merenung ke langit. Matahari sudah condong benar. Sinarannya tidak segarang tadi.

Percayalah, dalam sedikit masa lagi, matahari pasti terbenam di kaki langit. Senja pasti datang berlenggang. Ketika itu, semua usaha tidak bermakna lagi.

"Ada tercium bau bawang dan cabai kering terbakar."

MENGGIGIT

Suara dari lelaki berdarah dahi, membunuh kesangsian yang berbunga dalam dada. Si pemandu saya lihat menggigit hujung jari sambil mengecilkan kelopak mata kanannya.

Pasti, dia masih ragu-ragu untuk menjawab pertanyaan yang diajukan oleh lelaki berdarah dahi yang nampak masih berdiri dalam keadaan bersahaja.

"Ada."

Saya mendahului si pemandu memberikan jawapan.

"Ertinya, pantang dan petua berjaya saya tawarkan," lelaki berdarah dahi bersuara lantang.

Ada tanda kepuasan bermain dimukanya. Buat beberapa minit, dia berlari dan mengelilingi batu besar berulang kali.

"Gila," saya merungut.

"Kita tengok dulu," balas si pemandu.

Kalau tidak silap menurut hitungan rambang, tujuh kali lelaki berdarah dahi mengelilingi batu besar.

Dalam keadaan yang amat penat dia melangkah longlai ke arah kami, sebaik sampai dia terus rebah di bumi, kira-kira setengah kaki dari hujung jari kaki kami.

Berguling-guling sambil memeluk sepasang lutut. Bunyi nafasnya cukup keras macam bunyi nafas kerbau yang sedang marah.

Kalau pada mulanya, dia menggulingkan tubuh di bumi dengan penuh tenaga dan cepat, begitu juga dengan bunyi nafas. Tetapi, setelah sepuluh minit masa berlalu, gulingannya tidak sehebat tadi.

Begitu juga dengan bunyi nafasnya. Semakin lama, semakin lemah dan akhirnya terus berhenti.

Tamat Siri Bercakap Dengan Jin 236/284

BACA: SBDJ Siri 235: Terdesak Jadi Harimau
BACA: Siri Bercakap Dengan Jin (Koleksi Lengkap)

-Sentiasapanas.com