Saturday, January 21, 2017

Perkhidmatan Sewa Teman Lelaki Sempena Tahun Baru Cina!

Perkhidmatan Sewa Teman Lelaki Sempena Tahun Baru Cina!

Permintaan terhadap perkhidmatan sewa teman lelaki mula melonjak di China apabila perayaan Tahun Baharu Cina semakin hampir.

Teman Lelaki

Pada tahun 2017 ini sempena dengan kedatangan tahun ayam, perkhidmatan itu dilaporkan semakin popular dan kadar sewa juga meningkat berbanding tahun sebelumnya.

Tahun Baharu Cina adalah musim perayaan paling penting bagi kaum Cina dengan semua ahli keluarga berkumpul untuk makan bersama-sama pada malam perayaan itu.

Bagaimanapun, bagi wanita bujang, perayaan itu menjadi satu keadaan yang merimaskan apabila ibu bapa atau keluarga sering bertanya mengenai teman lelaki.

Tradisi Cina melihat perkahwinan sesuatu yang sangat penting dan wanita bujang yang melepasi usia 27 tahun dianggap sebagai ‘Shengnu’ atau wanita tidak laku.

Namun, beberapa lelaki bujang melihat keadaan itu sebagai peluang menambah pendapatan dan menyewakan diri bagi menjadi teman lelaki kepada wanita yang terdesak untuk pulang ke kampung.

Kini, perkhidmatan sewa teman lelaki tersebut dilaporkan media tempatan semakin menjadi trend popular di China.

Tahun ini, harga sewa teman lelaki melonjak sehingga ada yang mencecah 1,544 yuan (kira-kira RM1,000) sehari dan ada pula yang menawarkan mengikut jam.

‘Sewa teman lelaki’ juga menjadi perkataan paling banyak ditaip di enjin pencarian Internet, termasuk di laman sesawang membeli-belah.

BACA INI JUGA: Penguin Mengamuk Lihat 'Isteri' Curang Viral

Sumber: mynewshub

Friday, January 20, 2017

Sejarah Dan Asal Usul Perayaan Tahun Baru Cina

Sejarah Dan Asal Usul Perayaan Tahun Baru Cina

Budaya Tahun Baru Cina merupakan adat dan pantang larang yang diamalkan oleh masyarakat Cina semasa Tahun Baru Cina seperti memberi angpau kepada kanak-kanak, berkumpul untuk hidangan malam pada malam sebelum Tahun Baru Cina dan sebagainya.

Tahun Baru Cina

Sebenarnya Tahun Baru Cina juga dikenali sebagai Xin (baru) Nian (tahun) dan mengikut orang Cina, Tahun Baru Cina dirayakan selama 15 hari iaitu dari hari pertama sehingga ke hari kelima belas pada bulan pertama dalam kalendar orang Cina.

Hari kelima belas itu juga disebut sebagai Yuen Shiau atau lebih diketahui sebagai Cap Go Meh di Malaysia.

Tahun Baru Cina disambut pada hari dan bulan pertama kalendar masyarakat Cina, dimana perayaan Tahun Baru Cina lazimnya akan disambut secara besar-besaran sebagai kedatangan tahun baru, sekeliling rumah akan dibersihkan dan ada juga perabot yang akan ditukar kepada yang baru.

Asal-usul Tahun Baru Cina

Asal-usul kedatangan Tahun Baru Cina ialah Nian iaitu berasal daripada perkataan Cina yang bererti makhluk garang. Makhluk ini menyerupai singa yang sering kali keluar menangkap kanak-kanak pada tahun baru pada zaman dahulu.

Pada suatu tahun baru, beberapa orang kanak-kanak bermain di depan rumah, tiba-tiba muncul Nian yang cuba membaham seorang kanak-kanak.

Kebetulan ibu kanak-kanak itu berada di depan pintu, lalu pada saat-saat kecemasan itu dan ibu sedang memegang sehelai kain merah. Dengan penuh ketakutan ibu mencampakkan kain merah itu ke arah Nian. Nian takut dan melarikan diri.

Mulai tahun itu, semua orang mula menggantung kain merah di depan pintu untuk menghalau Nian. Dari situlah timbul kepercayaan warna merah membawa tuah dan mampu menghalau unsur buruk yang berbahaya.

Pada masa dahulu, kanak-kanak menghadapi ancaman hidup yang pelbagai seperti penyakit, malapetaka dan masalah sosial.

Oleh itu, kanak-kanak yang berjaya melalui hidupnya setiap tahun dianggap sebagai kesyukuran. Dengan ini, ibu bapa menyelitkan wang di dalam bungkusan di bawah bantal setiap kanak-kanak pada akhir tahun agar dia dapat hidup dengan sihat pada tahun depan.

Muncullah konsep angpau yang kini dijadikan sebagai lambang wajib Tahun Baru Cina.

Sehari sebelum Tahun Baru Cina tiba, semua ahli keluarga akan berhimpun beramai-ramai untuk makan bersama-sama. Jamuan berkumpul diadakan untuk menjalinkan perhubungan sesama anggota keluarga setelah tidak bertemu agak lama.

Menjelang waktu tengah malam kedatangan Tahun Baru Cina, akan diadakan upacara memuja dewa langit sebagai aluan kepada kedatangan hari yang berbahagia.

Selepas pemujaan dilakukan, kanak-kanak akan bergembira dengan membakar mercun, kadangkala pembakaran mercun terus dilakukan hingga ke pagi.

Walau bagaimanapun ini merupakan tradisi sahaja, di negara kita sudah dilarang bermain mercun.

Hari pertama Tahun Baru Cina selalunya disambut dengan meriah, setiap orang akan menggayakan pakaian baru dengan warna yang cerah terutamanya warna merah.

Ang Pow

Semua orang dikehendaki makan makanan vegetarian, manakala mereka yang sudah berkahwin dikehendaki memberi angpau kepada saudara-mara dan sahabat yang belum berumah tangga.

Angpau ialah sejenis sampul berwarna merah yang diisi sejumlah wang, sampul merah membawa makna kesejahteraan yang berpanjangan.

Seelok-eloknya setiap penghuni rumah tidak keluar ke mana-mana pada hari pertama tahun baru. Namun pantang larang ini telah tidak begitu dipatuhi lagi pada masa sekarang.

Kunjung mengunjung yang lebih meriah dilakukan pada hari kedua dan ketiga. Apabila berziarah ke rumah jiran atau sahabat, biasanya akan membawa sedikit makanan dan buah-buahan sebagai buah tangan untuk diberikan kepada tuan rumah. Pemberian itu selalunya akan dibalas oleh orang yang menerimanya.

Proses saling bertukar bungkusan telah menjadi satu budaya yang diamalkan oleh masyarakat Cina.

Pantang Larang

Sepanjang dua hari pertama Tahun Baru Cina ini, orang Cina dilarang menyapu kerana dikhuatiri akan menghalau keluar segala tuah. Sekarang, pantang larang ini tidak lagi diikuti sepenuhnya.

Walau bagaimanapun, kepercayaan tentang nasib sial yang dibawa oleh penyapu masih mendasari pemikiran orang Cina. Selepas hari ketiga barulah rumah akan dibersihkan semula.

Buah limau mandarin dan kuih bakul menjadi lambang perayaan Tahun Baru Cina dan ungkapan yang paling popular diucapkan apabila bersua adalah Gong Xi Fa Cai yang bermaksud salam sejahtera dan murah rezeki.

Untuk menjaga supaya nasib yang baik itu tidak hilang, seseorang itu tidak boleh berkelahi, mengeluarkan kata-kata yang kesat, berpergian jauh dari rumah dan menjahit sepanjang perayaan. Perbuatan-perbuatan ini ditegah kerana dianggap boleh membawa sial.

Bagi suku kaum Hokkien, hari kesembilan merupakan hari yang paling besar sepanjang perayaan Tahun Baru Cina pada hari tersebut, mereka akan melakukan pemujaan terhadap dewa langit, hari kesembilan disambut seolah-olah sebagai menandakan tamatnya perayaan Tahun Baru Cina.

Pesta Cap Go Meh

Tetapi bagi suku kaum yang lain, mereka berpesta hingga hari kelima belas yang dikenali sebagai Cap Go Meh.

Pesta Cap Go Meh mempunyai sejarah yang panjang iaitu sejak dua ribu tahun lalu dan mula disambut oleh kerajaan Han.

Pesta ini diiringi upacara pemujaan dewa-dewi untuk meminta perlindungan supaya kehidupan ahli keluarga sentiasa bahagia dan tidak ditimpa sebarang malapetaka.

Pesta ini biasanya berlangsung selama tiga hari tiga malam, sepanjang masa itu, setiap rumah akan diterangi dengan cahaya lampu. Keramaian pesta ini dimeriahkan dengan tarian singa dan tarian naga.

Pesta ini diakhiri dengan upacara melempar buah limau mandarin ke dalam laut oleh pemuda dan pemudi yang berhasrat untuk mendapatkan jodoh yang sesuai.

Adat ini semakin kurang dilakukan kerana remaja kini lebih suka mencari pasangan mereka melalui pergaulan seharian.

Walaupun begitu, pasangan muda-mudi suka berkumpul dan bersiar-siar di tepi pantai sewaktu upacara itu berlangsung dengan harapan perhubungan mereka akan berkekalan sampai ke jinjang pelamin. Pesta ini disambut sebagai menandakan tamatnya perayaan Tahun Baru Cina.

Upacara-upacara yang dijalankan itu dianggap penting kerana ia sebagai sistem simbol yang digunakan akan memberi suatu gambaran yang lebih jelas tentang kepercayaan dan nilai hidup masyarakat Cina.

BACA INI JUGA: Kisah Warna Merah Dan Sambutan Tahun Baru Cina

Sumber: utusan

Thursday, January 19, 2017

9 Tertib Sebelum Makan Yee Sang Dan Signifikannya Di Tahun Baru Cina

9 Tertib Sebelum Makan Yee Sang Dan Signifikannya Di Tahun Baru Cina

Setiap kali tibanya sambutan Tahun Baru Cina, ucapan Gong Xi Fa Cai yang bermaksud “selamat dan sejahtera” akan banyak didengari di kalangan orang Cina khususnya.

Yee Sang

Selain itu, jamuan yee sang dan kuih bakul begitu dekat dengan perayaan ini turut memeriahkan suasana. Sebut tentang yee sang, kami nak berkongsi pengalaman seorang kawan berkenaannya.

Dia pernah rasa yee sang, sekali, sewaktu belajar di sebuah pusat bahasa Inggeris yang rata-rata pelajar dan stafnya berbangsa Cina.

Jadi, sambutan Tahun Baru Cina di situ agak meriah dan dia pun berkesempatan tumpang sama berkongsi kemeriahan mereka.

Buat pertama kalinya dia berpeluang merasa hidangan yang dipanggil yee sang atau ‘Prosperity Toss Salad’.

Apa Itu Yee Sang

Yee sang, merupakan salah satu makanan popular orang Cina yang berwarna-warni dan lazimnya dihidang semasa Tahun Baru Cina.

Hidangan ini merupakan sejenis menu tradisional orang Cina dan memberi simbol kepada kejayaan, kemewahan dan kesihatan yang baik. Biasanya dimakan beramai-ramai dan disajikan dalam satu pinggan yang besar.

Yee sang boleh dikategorikan sebagai salad yang terdiri daripada beberapa jenis sayuran yang dihiris nipis, kepingan ikan mentah dan dimakan bersama sos istimewa.

Terdapat juga yee sang yang mengandungi abalon, kepingan kulit popia rangup dan sayur jeruk.

Adat popular semasa menikmati yee sang adalah dengan menyepit sayur-sayuran dan kepingan ikan mentah tersebut lalu diangkat setinggi yang boleh dengan menggunakan penyepit. Kemudian semua bahan digaul bersama dengan sos.

Dikatakan signifikannya adat ini adalah untuk dilimpahi kekayaan, kemewahan dan kejayaan yang melimpah ruah pada tahun berkenaan.

Dikatakan semakin tinggi yee sang diangkat, semakin banyak kekayaan dan kemewahan yang akan diperolehi.

Jadi, kita dapat lihat betapa gembiranya orang Cina di musim Tahun Baru Cina sambil mengangkat yee sang setinggi yang boleh bersama sanak saudara pada majlis makan besar.

Tertib Sebelum Makan Yee Sang

Yee Sang

Saya pernah baca 1 artikel tentang 9 tertib sebelum makan yee sang. Ia bukan sekadar menjulang tinggi yee sang. Ada cara yang perlu dilakukan dan ada kata-kata pengharapan yang perlu diucapkan.

1. Angkat bahan-bahan Yee Sang seperti hirisan lobak merah, lobak putih, buah pic, oren, tembikai dan timun. Kemudian letak di bahagian tengah sambil sebut “fat chai yi sen”. Yi sang bermaksud kemakmuran.

2. Limau nipis diperah di atas bahagian ikan sambil berkata “ta ci ta li” yang bermaksud “semoga kebersamaan, ketenteraman selalu ada pada keluarga”.

3. Seterusnya, rempah ditaburkan di atas ikan dan dikacau rata sambil ucap “fung thiaw yi sun” yang bererti “semoga selalu diberi kemudahan dan kelancaran dalam hidup”.

4. Kemudian baru letak ikan di atas yee sang sambil sebut “nien nien yiu yi” yang bermaksud “semoga tiap tahun rezeki selalu bertambah”.

5. Selepas itu minyak dituang di atas yee sang sambil cakap “yu man fu thien” yang bererti “semoga kekayaan anda terus bertambah”.

6. Ia disusuli dengan minyak bijan pula di atas yee sang sambil kata “thien thien mie mie” yang bermaksud “semoga kedamaian dan kebahagian selalu menyertai anda”.

7. Letak keropok di atas yee sang sambil ucap “wang cing man ti” yang bererti “semoga kehidupan sentiasa bersinar bagaikan emas”.

8. Diakhiri dengan letak halia di atas yee sang sambil sebut “hong win tang ho” yang bermaksud “semoga keberuntungan selalu menyertai anda”.

9. Kemudian barulah seluruh ahli keluarga berdiri dan mengacau Yee Sang bersama sambil mengucap “lo hey lo hey lo kow fong sang sue hey”. Ayat itu bermaksud “silakan aduk yee sang, makin tinggi makin tinggi kemakmuran”.

Keadaan menjadi riuh dan ketawa gembira saat masing-masing cuba mengangkat tinggi yee sang.

BACA INI JUGA: Maksud Gong Xi Fa Cai Yang Ramai Tak Tahu

Sumber: thevocket

Monday, February 08, 2016

Maksud Gong Xi Fa Cai Yang Ramai Tak Tahu

Maksud Gong Xi Fa Cai Yang Ramai Tak Tahu

“Gong Xi Fa Cai” ialah ayat di dalam bahasa Mandarin yang membawa maksud “tahniah moga mendapatkan lebih kekayaan”. Ucapan ini telah digunakan secara meluas sejak sebelum zaman Dinasti Qin lagi iaitu 221 Sebelum Masihi!

Gong Xi Fa Cai

Menurut Prof Dr Yam Kah Kean dari Universiti Malaya, ayat tersebut tidak melambangkan semangat Tahun Baru Cina yang kuat kerana maksudnya yang lebih menjurus ke arah material berbanding semangat kebersamaan.

Maka, ada diantara orang Cina lebih menyukai sebutan “Xin Nian Kuai Le” yang bermaksud “selamat tahun baru”.

Cara sebutannya: “zeen neean kwai luh”. “Kuai Le” bermaksud “happy” atau “joyous” dan “Xin Nian” bermaksud “tahun baru”.

Jadi, siapa yang sesuai mengucapkan “Gong Xi Fa Cai” sebagai greetings Tahun Baru Cina?

Kebiasaannya, “Gong Xi Fa Cai” disebut oleh mereka yang sesama berniaga dan rakan sekerja.

Gong Hey Fat Choy” pula ialah sebutan di dalam bahasa Kantonis yang membawa maksud yang sama seperti “Gong Xi Fa Cai” iaitu “tahniah dan kekayaan”.

Gong Xi” (恭禧) bermaksud tahniah atau dengan hormat berhasrat kegembiraan. “Fa Cai” (發財) bermaksud menjadi kaya atau mahu buat duit. Cara sebutannya yang betul ialah “gong zee fah chai”.

Selain “Gong Xi Fa Cai”, “Xin Nian Kuai Le” dan “Gong Hey Fat Choy”, ada satu lagi cara yang menyeronokkan apabila menyapa seseorang di musim Tahun Baru Cina ini, iaitu, “Hong Bao Na Lai” yang bermaksud “angpau merah please!”

BACA INI JUGA: Asal-usul Pesta Tadau Kaamatan (Pesta Menuai)

Sumber: The Star, Good Characters, Life Is Like That

Thursday, February 19, 2015

Perbezaan Sambutan Tahun Baru Cina Di China Dan Malaysia

Perbezaan Sambutan Tahun Baru Cina Di China Dan Malaysia

Menjelang Tahun Baru Cina, lazimnya makanan adalah bahagian paling penting pesta keramaian tradisi ini dalam kalangan masyarakat Cina di seluruh dunia.

Tahun Baru Cina

Bagi orang Cina di Malaysia, Yu Sang or Yee Sang, salad ikan mentah-cara Teochew yang berasal dari Selatan China adalah satu daripada makanan popular yang biasa dihidangkan pada Tahun Baru Cina.

Makanan ini yang terdiri daripada hirisan sayur-sayuran pelbagai warna serta ikan mentah biasanya dihidangkan sebagai pembuka selera sebelum makan tengah hari atau makan malam.

Ketika menggaul yee sang ini, masing-masing akan berkata dengan suara kuat apa yang mereka inginkan pada tahun baru agar semua dapat mendengar ucapan mereka dan tercapailah impian masing-masing.

Namun, makanan ini hanya dikenali di Malaysia dan Singapura.

HIDANGAN UTARA CHINA

Le Gao, berusia 26 tahun dari bandar Dalian, utara China tidak tahu langsung tentang Yee Sang apabila penulis bertanya mengenainya.

“Dengar macam menarik tapi baru kali ini saya dengar,” katanya kepada Bernama.

Menurut Le, di Dalian, makanan yang mesti ada untuk sambutan Tahun Baru Cina terutama sekali pada petangnya termasuk ‘dumpling’, ‘dumpling’ pulut, ‘lettuce’ kurma, kuih pulut dan ikan.

“Kami juga ada meletakkan duit syilling yang bersih,biasanya 50 sen emas dalam beberapa ‘dumpling’ (jiaozi dalam bahasa Cina),” katanya, sambil menambah duit syilling adalah tanda nasib baik untuk menikmati tahun yang baik juga.

Di samping dumpling, kata Le makanan yang dihidang pada petang Tahun Baru Cina semuanya membawa makna yang simbolik.

Contohnya, kuih pulut simbol menjadi lebih meningkat atau lebih kaya setiap tahun; ikan bermakna mempunyai lebih banyak wang, lettuce simbol harta yang bertambah sementara dumpling pulut memperoleh banyak wang setiap tahun.

Le memberitahu penulis, semua ahli keluarganya akan berkumpul di rumah untuk makan dumpling dari waktu makan tengah hari sehingga tengah malam sambil main kad dan bersama-sama menonton program televisyen.

TRADISI DI BAHAGIAN TENGAH CHINA

Di Malaysia, satu daripada pantang larang Tahun Baru Cina ialah menyapu rumah pada hari pertama. Ini kerana orang Cina bimbang akan menyapu untung baik.

Bagaimanapun, masyarakat Cina di wilayah Hubei, bahagian tengah China tidak mengamalkan pantang larang ini.

“Sudah tentu kami menyapu rumah pada hari pertana Tahun Baru Cina.

“Mestilah sapu, ramai yang akan datang ke rumah, lantai mudah kotor,” kata Yang Jing yang berusia 32 tahun.

Sehingga 50 orang saudara-mara Yang akan berkunjung ke rumahnya pada perayaan Tahun Baru Cina.

“Pada petang Tahun Baru Cina, biasanya kami makan ikan, ‘spring roll’ dan lotus. Sudah tentunya wain juga dihidangkan,” kata beliau sambil menambah sejak tahun-tahun kebelakangan ini, wain ala-Barat disajikan berbanding wain tradisi.

“Hari ini semuanya ala-Barat. Malahan tidak ada lagi makan besar di rumah. Sebaliknya kami makan di restoran pada petang Tahun Baru Cina sehingga hari ketiga atau keempat,” katanya.

Bagaimanapun, masyarakat di Hubei masih mengamalkan tradisi seperti membakar mercun, menghiasi rumah dengan tanglung merah, main mahjong dan berkunjung ke kuil.

BAGI ANG POW

Mendapat Ang Pow atau wang dalam sampul merah dianggap antara yang paling dinanti-nantikan pada perayaan Tahun Baru Cina.

Bagi kanak-kanak Cina, Ang Pow ini seolah-olah idaman mendapat hadiah Krismas.

Bagi masyarakat Cina di Malaysia, Ang Pow biasanya diberi oleh pasangan yang sudah berkahwin kepada rakan yang masih bujang dan ahli keluarga mereka.

Pemberian Ang Pow ini sebagai simbol mendapat rahmat sementara ibu bapa pula akan memberi Ang Pow kepada anak mereka yang belum berkahwin.

Bagaimanapun, lain pula halnya di Beijing, ibu negara China. Di sini, orang dewasa yang sudah bekerja, sama ada yang berkahwin atau bujang, perlu memberi Ang Pow kepada generasi muda dalam keluarga mereka yang belum ada pendapatan.

“Ibu bapa kami tidak akan memberi kami Ang Pow selepas kami mula bekerja. Sebaliknya kami akan memberi mereka Ang Pow sebagai tanda sayang dan untuk mendapat restu mereka,” kata Zhang Zhe.

Menurut Zhang, seperti masyarakat Cina di wilayah lain, masyarakat di Beijing akan menikmati makanan seperti dumpling, kuih pulut dan ikan ketika menyambut Tahun Baru Cina.

“Biasanya, masyarakat tempatan akan berkunjung ke kuil pada hari besar itu,” tambah Zhang.

Pesta kuil adalah satu daripada kegiatan tahunan yang popular di China semasa perayaan Tahun Baru Cina.

Banyak pesta diadakan di mana terdapat beratus-ratus gerai menjual pelbagai jenis kudapan, makanan, kraftangan serta barangan antik.

BACA INI JUGA: Budaya Pelik Perkahwinan Mayat Di China

Sumber: bernama

Friday, January 31, 2014

Kisah Warna Merah Dan Sambutan Tahun Baru Cina

Kisah Warna Merah Dan Sambutan Tahun Baru Cina

Buah nanas adalah lambang tuah dan masa depan cemerlang manakala buah limau bali melambangkan kesejahteraan, kesihatan dan ikatan kekeluargaan.

Merah

Lantas tidak hairanlah dua buah-buahan tempatan ini mempunyai makna yang begitu penting buat masyarakat Cina malah dua simbol ini digunakan dengan pelbagai cara ketika sambutan Tahun Baru Cina negara ini.

Antaranya isi buah limau bali adalah ramuan utama sajian Yee Sang, manakala pelbagai hiasan termasuk tanglung berupa buah nanas menjadi hiasan yang biasa dilihat di rumah-rumah yang menyambut perayaan itu.

Populasi dunia berketurunan Cina juga mempunyai pandangan tinggi terhadap merah dan kuning, yang mana dua warna ini boleh dikira memonopoli dalam pelbagai upacara dan sambutan sepanjang perayaan yang disambut selama 15 hari itu.

Hiasan rumah, pelbagai lampu dan tanglung serta angpau pasti dimonopoli dengan warna yang melambangkan kebahagiaan, kemakmuran dan semangat untuk hidup serta nasib baik itu.

Merah juga melambangkan keadaan yang terang dan ceria dalam kehidupan seharian malah dikaitkan dengan segenap hidupan dalam budaya masyarakat itu sendiri iaitu musim panas, elemen api dan arah selatan.

Bagi warna kuning pula, selain menjadi warna kebesaran raja-raja negara China zaman dahulukala, ia dilambangkan sebagai harapan supaya tahun baru yang menjelma itu akan mendatangkan lebih banyak rezeki.

Penggunaan warna kuning barangkali lebih penting dan mempunyai makna yang lebih menarik ketika zaman monarki masih menguasai China memandangkan ia adalah lambang dan kekuasaan takhta diraja.

Lagipun, maharaja pertama negara itu digelar Maharaja Kuning, negara China sendiri digelar bumi kuning (Yellow Earth) dan induk semua sungai ialah Sungai Kuning.

Antara lain, catatan sejarah negara itu menyatakan bahawa jubin-jubin kuning digunakan untuk membina istana Kota Larangan ketika zaman Dinasti Song (960-279).

Dikatakan juga semua maharaja selepas dinasti berkenaan mengenakan jubah kebesaran berwarna kuning ketika mencemar duli, malah menaiki kenderaan seperti kerusi sedan berwarna kuning, berjalan di atas laluan kuning (Yellow Path) dan mempunyai bendera rasmi yang juga berwarna kuning.

Maharaja Kuning

Apapun, dua warna yang ceria itu memang begitu penting semasa sambutan Tahun Baru Cina sehingga ahli keluarga yang berkumpul beramai-ramai ketika menghadiri upacara makan besar secara tradisinya akan berpakaian merah untuk wanita dan kuning untuk lelaki.

Mengenai kepentingan warna merah ketika Tahun Baru Cina, seorang pengantin baru, Foo Swee Ling, 36, menyediakan angpau merah buat pertama kali untuk anak saudaranya tahun ini.

"Biasanya secara tradisi, angpau merah diberi oleh mereka yang sudah berkahwin kepada orang tua dan sanak saudara yang lebih muda dan bujang," katanya.

Memandangkan wang ringgit Malaysia yang bernilai RM10 juga berwarna merah, beliau seperti ramai yang lain memilih untuk mengisi sampul angpau dengan wang itu.

Warna merah tidak hanya penting semasa musim perayaan, malah beliau juga masih dapat mengingati, semasa masih kecil, bagaimana warna merah menguasai pesta perkahwinan masyarakat Cina di kampungnya yang terletak di Selayang.

"Antaranya, terdapat banyak lilin merah besar yang diukir dalam bentuk naga yang dipercayai bertujuan menghalau roh-roh jahat.

"Pengantin wanita juga biasanya memakai warna merah sebagai tanda kebahagiaan dan kesetiaan, manakala adik beradik yang masih bujang turut mengenakan warna merah sebagai tanda berkongsi bahagia," tambahnya.

Bagaimanapun, kebanyakan belia kaum Cina masa kini lebih selesa mengadakan upacara perkahwinan dalam bentuk resepsi ala-barat dengan mengenakan gaun dan tuksedo.

China, sebagai negara yang berusia beribu tahun serta amat kaya dengan pelbagai legenda dan mitos, cara sambutan Tahun Baru Cina dan kaitannya dengan warna merah juga mempunyai kisah tersendiri.

Penglipur lara negara China mengaitkan permulaan Tahun Baru Cina dengan usaha menghalau seekor raksasa lapar yang bergelar 'Nian'.

Nian Myth

Ini kerana setiap tahun pada permulaan musim bunga yang menandakan kehadiran tahun baru, Nian akan menjarah kawasan perkampungan dan memakan ternakan, tanaman dan penduduk kampung terutama kanak-kanak.

Lantas, demi keselamatan, penduduk kampung akan meletakkan makanan di hadapan pintu rumah dan segera bersembunyi mengurung diri mereka sehinggalah Nian datang, makan dan beredar dari situ.

Mereka percaya sekiranya Nian telah makan hingga kenyang, ia tidak akan mengganggu mereka lagi sehinggalah tahun baru berikutnya.

Rutin itu berterusan sehinggalah pada suatu hari, penduduk kampung menyedari kelemahan raksasa itu apabila seorang kanak-kanak berpakaian merah terlepas dan berlari tidak jauh dari Nian.

Ini amat mengejutkan Nian yang segera beredar dari tempat itu memandangkan ia sangat takutkan warna merah.

Sejak itu, penduduk kampung mula menggantungkan pelbagai tanglung dan skrol kaligrafi merah pada pintu dan tingkap rumah mereka setiap kali sebelum Tahun Baru Cina.

Mereka juga membakar mercun merah dan mengetuk pelbagai alat muzik bergendang untuk menakutkan dan menghalau raksasa itu.

Sejak itu kelibat raksasa berkenaan, dipercayai tidak lagi kelihatan malah dikatakan ia telah ditangkap oleh seorang sami Taoisme yang telah menyumpah raksasa itu menjadi Gunung Hongjun Laozu.

Walaupun ia sekadar mitos, tetapi tradisi berpakaian merah, berkumpul dengan ahli keluarga, mercun dan gendang telah menjadi kemestian dalam perayaan Tahun Baru Cina di seluruh dunia.

Ang Pow

Kembali menyentuh mengenai Tahun Baru Cina untuk tahun 2014 ini, masyarakat Cina akan meraikan kedatangan tahun kuda dengan elemen kayu dan warna hijau.

Tahun ini dipercayai dicirikan dengan tiga sifat termasuk sebagai tahun yang kaya dengan belas kasihan iaitu mereka yang memerlukan akan lekas mendapat bantuan dan perlindungan.

Dua lagi sifat tahun ini ialah optimis yang membolehkan kita menghadapi kerumitan kewangan dengan percaya bahawa tuah akan hadir lambat laun, dan sifat baik hati yang memberikan kita rakan-rakan yang sedia memberi sokongan ketika perlu.

BACA INI JUGA: 8 Fakta Menarik Sambutan Perayaan Kuih Bulan Yang Anda Harus Tahu