Saturday, February 17, 2018

Asal-usul Saka Harimau Jadian

Asal-usul Saka Harimau Jadian

Sehingga ke hari ini, masyarakat yang terbelenggu dengan amalan-amalan seperti ilmu melibatkan semangat harimau termasuk saka, harimau keramat dan harimau jadian yang merupakan amalan yang melibatkan alam ghaib.

Asal-usul Saka Harimau Jadian

Namun menurut pengamal perubatan Islam, hanya kejadian saka harimau sahaja yang lebih banyak didengari dalam masyarakat pada hari ini.

Mengikut, harimau jadian memang pernah menjadi satu amalan bagi masyarakat di Kerinchi, Sumatera suatu masa dahulu.

Apabila sebahagian masyarakat ini berhijrah ke Tanah Melayu, mereka membawa bersama ilmu dan amalan tersebut, sebahagian besarnya bertujuan sebagai perlindungan dan keselamatan.

Namun, harimau jadian sudah jarang didengari dalam masyarakat. Hanya saka harimau seringkali menjadi masalah pada hari ini.

Mengikut kajian, ada segelintir masyarakat Kerinchi di zaman dahulu menuntut ilmu harimau dengan bertapa di kawasan pergunungan di daerah itu selama 40 hari.

Dalam proses itu, seseorang itu perlu melakukan ritual seperti merenung bayangan bulan di dalam kolam di atas gunung itu selama tempoh itu.

Sesiapa yang melihat manusia yang memiliki ilmu harimau ini akan seolah-olah ternampak seekor harimau. Ini sudah tentu akan menakutkan orang ramai. Selain itu, binatang buas termasuk harimau betul juga tidak berani mengganggu pengamal ilmu harimau ini.

Amalan ilmu harimau jadian sudah jarang didengari pada hari ini dan mereka yang memiliki ilmu itu dianggap hebat dan ditakuti masyarakat.

Dalam kes saka harimau, jin yang membelenggu pesakit sebenarnya merupakan saka yang diwariskan oleh nenek moyang mereka sama ada dalam keadaan sedar atau tidak.

Apabila mereka enggan mewarisi saka itu, maka ia mengganggu kehidupan seharian mereka. Badan mereka jadi sakit-sakit dan pergerakan seharian menjadi tidak selesa.

Gangguan saka berkenaan bukan tertumpu kepada kejadian seseorang meracau, mengamuk dirasuk seperti yang sering dilihat, tetapi gangguan itu juga ada yang menyebabkan mereka mengalami masalah kesihatan fizikal seperti sakit kaki, sakit kepala, dada, sukar tidur, lenguh badan dan sendi.

Selain itu, seseorang itu juga boleh diserang rasa malas, cepat melenting, pemarah dan putus asa.

Saka harimau akan menjadikan tubuh badan seseorang mempunyai ruang yang akan dimasuki jin sebagai perumahnya. Ada kes terdapat banyak saka harimau yang telah beranak-pinak di dalam badan seorang pesakit.

Soalan biasa ketika merawat pesakit adalah seperti masalah kesihatan, makanan, mimpi, emosi dan cara tidur akan ditanya kepada pesakit. Daripada jawapan itu, perawat akan dapat mengenal pasti jenis jin saka yang mengganggu pesakit.

Biasanya, semasa rawatan, jin saka harimau akan disuruh keluar dari badan pesakit. Jika ia berdegil, proses ‘menyembelih’ saka harimau akan dilakukan.

Kemudian, pesakit akan diminta mengamalkan mandi ais batu selama tujuh hari berturut-turut dan kemudian seminggu sekali. Ia merupakan rawatan yang paling mujarab untuk melawan jin yang mengganggu manusia.

Ini kerana, api perlu dilawan dengan ais yang sejuk. Ia bagi memastikan jin-jin ini tidak memasuki lagi ruang-ruang yang terdapat di dalam badan. Ini akan berlaku sekiranya terdapat banyak jin saka harimau yang beranak-pinak itu.

Gangguan saka harimau akan memudaratkan kehidupan seseorang itu kerana ia mengganggu aktiviti harian apabila ada ketika dan waktu, seseorang yang mempunyai saka harimau akan bertindak dalam keadaan tidak sedarkan diri seperti gelisah, menjadi marah, membaling barangan atau memukul.

Kehadiran saka harimau juga akan mempengaruhi sikap seseorang seperti menjadi pemalas, degil, malas solat dan pelbagai lagi masalah kehidupan yang jika tidak dibendung atau dirawat, akan menjadi lebih parah.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA: Asal-usul Orang Bunian, Benarkah Dari Keturunan Nabi Adam?

sumber: utusan

Saturday, February 10, 2018

Tanda-tanda Anda Diganggu Saka

Tanda-tanda Anda Diganggu Saka

Jika anda merasakan ada tanda-tanda saka di dalam badan, cepat-cepatlah berikhtiar dan berubat. Buanglah ego dan ketepikan kata-kata bahawa mempercayai saka adalah kolot dan tidak boleh dipercayai.

Tanda-tanda Anda Diganggu Saka

Saka telah wujud sejak dahulu lagi dan akan ada sampai bila-bila tetapi, bagaimana pula jika anda sendiri tidak tahu ada saka di dalam badan atau telah mendampingi dalam tubuh?

Bagaimana anda ada saka sedangkan tiada pun mengamalkan apa-apa ilmu atau mengambil saka keturunan?

Untuk pengetahuan anda, saka ada beberapa jenis dan kami akan memberi sedikit penjelasan ringkas bagaimana untuk mengetahuinya.

1. Saka Keturunan

Saka ini mendampingi seseorang dengan persetujuan tuannya untuk diserahkan kepada waris baru dan waris baru ini perlu bersetuju untuk menerima saka tersebut.

Biasanya saka keturunan adalah seperti membela hantu raya, toyol atau sebagainya.

Kemudian, yang mengambil saka akan membuat upacara jamu seperti menghidang pulut kuning, telur atau ayam panggang dan sebagainya.

2. Saka Tanpa Sedar

Saka yang datang kepada waris adalah saka yang turun kepada seseorang atau waris tanpa pengetahuan. Saka itu datang sendiri dan memilih tuannya.

Kebiasaannya, saka ini akan memilih anak sulung, anak tengah atau anak bongsu dari warisnya.

Individu itu mungkin mempunyai ciri-ciri seperti tuannya yang dahulu iaitu nenek moyang kita, dari segi perangai, perwatakan atau wajah.

3. Saka Harta Pusaka

Selain itu, saka juga boleh datang apabila kita menerima sesuatu barang seperti cincin, gelang, pinggan dan sebagainya.

Mungkin kita menganggap barang-barang ini seperti harta pusaka saja atau kita ambil sebagai kenangan, tetapi tanpa sedar sesetengahnya ada saka.

Macam mana nak tahu kita ada saka?

Ada beberapa ciri yang kita boleh tengok tada seseorang itu mempunyai saka.

Mimpi

Pertama, kalau perempuan dia akan mengalami mimpi. Kebiasaannya mimpi mendukung seorang bayi comel.

Perempuan ini akan mendukung dan menyusukan bayi tersebut, walhal bukan anaknya. Mimpi ini akan berulang-kali.

Pada lelaki pula, dia akan bermimpi menerima atau diberi sesuatu barang.

Lebam

Selain itu, tidak kira lelaki atau perempuan, akan selalu mendapat lebam-lebam pada tubuh badan. Lebam ini tidak menyakitkan.

Tiada zuriat

Seseorang itu sihat dari segi fizikal atau jasmani tapi walaupun sudah lama berkahwin, mereka tidak dikurniakan zuriat.

Sukar mati

Saka tidak akan menyebabkan seseorang itu sakit. Seseorang itu akan hidup sihat, boleh bekerja seperti biasa, cuma apabila sampai usia tua, barulah datang masalah terutamanya ketika hampir ajal.

Biasanya seseorang itu sukar hendak meninggal dunia. Sakit terlantar lama diatas katil walaupun doktor kata harapan untuk hidup sangat tipis.

Nyawa akan jadi liat selagi saka tidak mendapat waris baru.

Perubatan Islam

Jika anda merasakan kehadiran saka, berubatlah dengan pengamal perubatan Islam yang ikhlas memberikan bantuan.

Jangan tunggu lama kerana kehadiran saka biasanya akan memberikan masalah kepada anda dan keluarga.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA: Bagaimana Mengetahui Jin Dan Syaitan Sedang Mengganggu

-SENTIASAPANAS.COM

Sunday, November 26, 2017

Apa Itu Saka?

Apa Itu Saka?

SAKA adalah jin yang telah berada dalam tubuh manusia yang sudah sekian lama sehingga sebati dengan diri manusia tersebut dan berlaku samada seseorang itu sedar atau tidak kerana ianya diwarisi dari keturunannya.

Apa Itu Saka

Saka ini wujud apabila nenek moyang terdahulu mempelajari ilmu tertentu yang membabitkan jin dan diperturunkan kepada pembawa saka tanpa diketahui atau boleh jadi juga jin tersebut sendiri memilih untuk mendampingi keturunan yang dikehendaki.

Semasa mereka hidup, mereka telah bersahabat dan membela jin-jin tersebut yang dikenali dengan pelbagai nama.

Nama-nama seperti hantu raya, pelesit, pontianak, polong dan lain-lain memang terkenal di kalangan masyarakat melayu.

Namun hakikatnya semuanya adalah sama iaitu makhluk Allah s.w.t. yang dikenali dengan nama jin dan syaitan.

Amalan kebatinan mempertahankan diri ini juga melibatkan ilmu kebal, ilmu penggerun, ataupun amalan yang lebih bersifat peribadi seperti ilmu seri muka, ilmu kebidanan tradisional atau ilmu andaman tradisional.

Pemilik saka yang melibatkan ilmu perbomohan ataupun dukun yang diwarisi oleh seseorang akan membolehkan pewaris memiliki kebolehan untuk melakukan rawatan dan sebagainya yang berkaitan dengan ilmu kebatinan seperti yang pernah dilakukan oleh pewaris tadi, berupaya melakukan rawatan dalam keadaan menurun biarpun dia tidak pernah mempelajari ilmu kebatinan yang khusus.

Dari sinilah lahirnya orang yang tidak sedarkan diri atau separuh tidak sedarkan diri, menurun lalu melakukan rawatan, berupaya menilik sesuatu yang tidak dapat dilihat oleh mata kasar dan sebagainya.

Hal demikian berlaku kerana makhluk tadi meresap dalam tubuh orang berkenaan, menguasai otak, jasad, lidah dan pergerakkan lalu menggunakan jasad manusia untuk bertindak.

Keadaan seperti ini dikenali sebagai ‘menurun’ dimana makhluk halus tadi telah menurun atau meresap dalam tubuh manusia lalu bertindak melakukan sesuatu menurut tujuan asal makhluk ini meresap dalam tubuh manusia.

Pelbagai natijah luar biasa (nadir) mencarik kebiasaan adat dan tidak dapat difikiri oleh akal punca dan sebab musabab berlaku seperti yang dijelaskan.

Iaitu boleh melakukan rawatan, menilik benda-benda ghaib, menjadi kebal, digeruni, mengangkat benda-benda berat dan sebagainya yang tidak upaya dilakukan oleh manusia biasa.

Saka telah meninggalkan impak yang sangat besar dan meluas dalam kehidupan manusia kerana ia merangkumi dalam semua aspek jenis kehidupan sama ada dari segi fizikal, spritual, keagamaan, ekonomi, sosial dan sebagainya.

Walaupun saka lebih dilihat ilmu atau amalan yang melibatkan makhluk halus seperti jin dan syaitan tetapi kesan penglibatan saka ini merebak ke segenap aspek kehidupan manusia.

Dengan sebab saka, manusia boleh mendapat penyakit fizikal, menyebabkan pergaduhan suami isteri, menyebabkan manusia tidak bekerja, melakukan aktiviti yang bercanggah dengan Islam dan sebagainya.

Saka ini pula hidup semakin kuat dan angkuh hasil daripada kerjasama manusia dengan jin dan syaitan sepertimana yang diterangkan oleh Allah s.w.t dalam Surah al-An’am, ayat 128 yang bermaksud:-

“Dan ingatlah hari kiamat padanya Allah himpunkan mereka semua (lalu Allah berfirman) “Wahai sekelian jin dan syaitan sesungguhnya kamu telah menyesatkan ramai manusia. Maka berkata manusia yang menjadi penolong-penolong jin dan syaitan itu; “Wahai Tuhan kami, sebahagian kami telah dapat kesenangan dengan sebahagian yang lain tapi dalam keadaan itu ajal kami yang Engkau tetapkan sampai (kami mati tanpa sempat bertaubat). Maka Allah berfirman “nerakalah tempat kamu, kamu kekal didalamnya kecuali apa yang Allah kehendaki”. Sesungguhnya Tuhanmu (wahai Muhammad) Maha Bijaksana lagi Maha Mengetahui.”

Wallahu a'lam.

BACA INI JUGA:

sumber: darulkahfi