Tuesday, November 12, 2013

Gadis Venezuela Wanita Tercantik Di Dunia 2013

Gadis Venezuela Wanita Tercantik Di Dunia 2013

Sebahagian besar rakyat Venezuela berdepan waktu sukar. Inflasi kini di paras tertinggi sepanjang dua dekad, gaji mengecil ekoran kemerosotan nilai mata wang manakala bekalan barangan keperluan asas seperti susu dan tisu tandas turut berkurangan.

MARIA GABRIELA ISLER [2]
Juara Miss Universe ke 61.

Namun, ketika ekonomi Venezuela diambang kegawatan, negara itu masih berupaya menghasilkan jelitawan seperti Maria Gabriela Isler yang memenangi gelaran ratu cantik Miss Universe.

Ia merupakan mahkota Miss Universe ketiga untuk negara Amerika Selatan itu dalam tempoh enam tahun.

Beberapa minit selepas kemenangan Isler dalam acara yang berlangsung di Moscow itu, Presiden Nicolas Maduro menghantar ucapan tahniah beliau di laman Twitter.

"Kecemerlangan Isler sekali gus kejayaan buat negara," katanya.

Kebanggaan tersebut turut dikongsi pihak pembangkang.

"Tidak syak lagi bahawa wanita Venezuela adalah yang paling cantik di dunia," kata seorang anggota parti pembangkang berusia 68 tahun, Marco Sando-val.

Dilahirkan di bandar raya Valencia, Isler, 25, bertugas sebagai pembaca berita untuk saluran televisyen tempatan, Venevision.

Saluran tersebut memiliki hak penyiaran pertandingan ratu cantik Miss Venezuela yang merupakan acara paling popular di negara itu.

Wanita tinggi lampai berambut hitam itu mengetepi- kan finalis dari Sepanyol, Ecuador dan Filipina untuk memenangi pertandingan Miss Universe ke-61.

Venezuela memenangi lebih banyak pertandingan ratu cantik antarabangsa berbanding negara lain di dunia termasuk tujuh gelaran Miss Universe.

Ratu-ratu cantik Venezuela merupakan antara eksport terbesar negara itu seperti juga bintang besbol dan minyak.

BACA INI JUGA: Rahsia Kecantikan Selebriti Bollywood

-SENTIASAPANAS.COM

Thursday, October 10, 2013

Gara-gara Kasut Tumit Tinggi, Ratu Cantik AS Disiasat Polis

Gara-gara Kasut Tumit Tinggi, Ratu Cantik AS Disiasat Polis

Polis India menyiasat Ratu Cantik Amerika Syarikat (AS), Olivia Culpo kerana dia didakwa melanggar salah satu peraturan ketat ketika melawat bangunan Taj Mahal pada Ahad lalu, lapor akhbar Daily Mail kelmarin.

Olivia Culpo

Culpo, 21, dari Pulau Rhode, AS berada di lokasi tarikan pelancong itu selama sejam untuk satu sesi penggambaran kasut tumit tinggi.

Perbuatan tersebut tidak menghormati peraturan yang melarang sebarang bentuk pengiklanan terbuka di Tapak Warisan Dunia itu.

Badan Keajaiban Moden Dunia telah membuat aduan kepada polis berhubung kejadian itu.

Bangunan tersebut berusia 360 tahun dan terletak di Agra, negeri Uttar Prades, India.

Kejadian itu berlaku di sebuah kawasan bangku marmar dengan berlatarkan kompleks Taj Mahal.

Bekas isteri pewaris pertama takhta diraja Britain, Putera Charles, mendiang Puteri Diana pernah duduk di bangku itu pada tahun 1992.

Culpo merupakan pelajar Universiti Boston dan anak kepada dua ahli muzik profesional berada di India dari 27 September hingga 6 Oktober lepas untuk mempromosikan isu-isu kebajikan.

Dia dinobatkan sebagai Ratu Cantik Universe peringkat dunia pada tahun lalu sekali gus menjadi kemenangan pertama buat warga AS selepas Brook Lee memenangi pertandingan tersebut pada 1997.

Menurut Mahkamah Agung India, sebarang bentuk jenama atau publisiti tidak dibenarkan di sekitar bangunan itu.

Olivia Culpo

Anggota rombongan ratu itu didakwa membawa kasut yang akan dipakai ratu tersebut semasa dia mula untuk menjalani sesi fotografi.

Beberapa anggota polis dilaporkan tidak mengambil sebarang tindakan ke atas ratu tersebut.

"Kasut tinggi untuk satu jenama telah dibawa keluar oleh seseorang dalam kumpulan rombongan itu," kata kenyataan Kajian Arkeologi India yang merupakan sebuah agensi kerajaan di Jabatan Kebudayaan India kepada akhbar Hindustan Times baru-baru ini.

Pembinaan Taj Mahal bermula pada tahun 1632 dan siap sepenuhnya pada tahun 1653.

Ia mengambil masa selama 22 tahun untuk disiapkan.

Bangunan tersebut merupakan imaginasi kehidupan untuk isterinya, Mumtaz yang telah meninggal dunia.

Bangunan itu melibatkan 22,000 orang pekerja. -Agensi

Thursday, September 26, 2013

Gadis Malaysia Juara "World Muslim Woman Netizen 2013"

Gadis Malaysia Juara "World Muslim Woman Netizen 2013"

Raut wajahnya menawan, senyumannya manis dan ditambah dengan gayanya persis seorang model profesional berjaya meletakkan Nurul Husna Zainal Abidin meraih gelaran "World Muslim Woman Netizen 2013" dalam pertandingan Ratu Cantik Muslimah Dunia baru-baru ini.

Juara Ratu Cantik Muslimah Dunia.

Ini adalah penyertaan pertama peserta Malaysia dalam pertandingan anjuran bekas hos utama stesen televisyen Indonesia, Eka Shanti yang dipecat kerana keengganannya menanggalkan tudung apabila diarah berbuat demikian ketika bertugas.

Pertandingan tahun ini disifatkan sebagai sebahagian daripada protes terhadap acara Ratu Cantik Dunia yang sepatutnya diadakan di Jakarta namun terpaksa ditukar lokasinya di Bali akibat ditentang keras oleh puak konservatif Islam.

Jadi bagaimana acara tersebut berbeza dengan pertandingan ratu cantik yang lain?

Pada malam peringkat akhir, pembukaan acara itu dimulakan dengan bacaan al-Quran sebelum peserta mula berjalan ke atas pentas dengan memakai gaun malam yang mencerminkan imej muslimah dengan pelbagai gaya hijab.

“Sesetengah peserta berjalan dengan keyakinan tinggi namun ada juga peserta yang dilihat kekok berjalan memakai kasut tinggi dan mengenakan gaun labuh,” lapor Jakarta Post.

Uniknya juara bagi pertandingan tersebut dipilih oleh tetamu kehormat iaitu juri terdiri daripada 100 kanak-kanak anak yatim.

Menceritakan pengalamannya, Nurul berkata, pertandingan itu menekankan betapa Islam itu indah dan semua aktiviti seperti bacaan al-Quran dijalankan berlandaskan syariat Islam.

Selain itu, gadis berusia 21 tahun ini turut berpandangan acara yang baik sebegini boleh diadakan di negara ini.

"Saya rasa sekiranya kerajaan mengadakan acara demikian pasti menerima sambutan mengalakkan kerana ia banyak mengajar mengenai ilmu Islam tanpa meminggirkan gaya fesyen berhijab.

"Ia tidak salah kerana boleh memberi peluang kepada muslimah di luar sana menimba pengalaman baru tambahan pula kerajaan boleh mengambil kesempatan untuk mempromosikan pelancongan negara," kata gadis yang berasal dari Kuala Kangsar, Perak itu.

Nurul yang berjaya melayakkan diri sebagai 10 finalis berkata, dia mengetahui mengenai penganjuran acara itu melalui rakannnya.

"Menyertai pertandingan ini benar-benar membantu saya mendalami agama kerana semua aktiviti mengajar saya bagaimana untuk menjadi seorang muslimah dalam mendepani cabaran zaman serba moden," katanya kepada The Malaysian Insider.

Kira-kira 20 wanita dari enam negara termasuk Indonesia, Brunei dan Iran menyertai perandingan itu bagi merebut gelaran juara dengan pengetahuan dan kemahiran mereka tentang Islam diuji.

Ia diadakan pada 18 September lalu di Jakarta dengan peserta Nigeria Obabiyi Aishah Ajibola, 21, dinobatkan sebagai juara.

Nurul berkata, kemenangan meraih gelaran World Muslim Woman Netizen 2013 adalah pengalaman berharga buat dirinya.

“Terkejut dan bersyukur, ini rezeki dari Allah sebagai wakil negara saya berjaya mengharumkan negara Malaysia ,ia pengalaman paling berharga buat saya," kata pelajar Universiti Institut Teknologi Mara (UiTM ), Negeri Sembilan itu.

[Sumber]

Wednesday, August 07, 2013

Isteri Jutawan Malaysia Dakwa Dilayan Umpama Haiwan Tuntut RM2.5 Billion!

Isteri Jutawan Malaysia Dakwa Dilayan Umpama Haiwan Tuntut RM2.5 Billion!

Isteri pengasas pakaian Laura Ashley menuntut pampasan cerai 500 juta pound (RM2.5 bilion) sekali gus menjadikan kes penceraian termahal di Britain.


Bekas ratu cantik, Pauline Chai mendakwa suaminya yang juga seorang jutawan, Tan Sri Khoo Kay Peng memperlakukan hidupnya seperti banduan di sebuah estet berkeluasan 404 hektar (ha) di Britain.

Bercakap di khalayak ramai buat pertama kalinya selepas memfailkan petisyen penceraian berprofil tingggi ke atas Khoo pada Februari, Chai, 66, mendakwa dia tidak boleh meninggalkan rumah tanpa kebenaran Khoo.

Beliau berkata, pekerjanya turut memaklumkan kepada Chai dalam satu e-mel bahawa dia hanya boleh membelanjakan £50 (RM248.38) seminggu untuk membeli makanan.

“Buah-buahan dan sayur-sayuran dibenarkan untuk makan tetapi saya tidak boleh makan sesetengah makanan yang diingini. Anak perempuan saya berkata kepada saya bahawa saya diperlakuan seperti seorang hamba,” katanya dalam satu laporan oleh sebuah tabloid British, Daily Mail.

Chai, yang juga Miss Malaysia/International 1969, meluahkan rasa gembira selepas memfailkan penceraian dengan berkata dia berasa terlalu ‘dikongkong dan sunyi’ sepanjang perkahwinannya suatu ketika dulu.

“Sepanjang perkahwinan kami, dia terlalu mengongkong saya tetapi sekarang segalanya sudah berubah. Saya lebih bebas,” katanya.

Beliau berkata tidak pernah bercakap dengan suaminya selama setahun dan mereka tinggal berasingan di rumah agam bernilai 30 juta pound (RM149 juta) di sebuah estet di Rosway Park, dekat Berkhamsted, Hertfordshire.

Akhbar tabloid itu turut melaporkan Khoo dan Chai mempunyai pengawal keselamatan Gurkha sendiri untuk melindungi kawasan mereka di estet itu di mana Khoo tinggal dalam rumah agam dengan lima bilik tidur manakala Chai di ruang utama yang menempatkan 15 bilik tidur.

Buat masa ini, Khoo, 74, yang turut tersenarai antara 50 individu terkaya Malaysia yang disenaraikan Forbes dan Chai, terlibat dalam penyelesaian kes penceraian terbesar dalam sejarah Britain.

Chai mungkin menerima pampasan sehingga 500 juta pound (RM2.375 bilion) oleh Mahkamah Tinggi London, separuh daripada harta kekayaan Khoo ketika para peguam berusaha keras untuk membahagikan sama rata harta asas mereka.

Chai menyatakan ‘tingkah laku yang tidak munasabah’ sebagai alasan untuk penceraian itu.

Khoo memiliki 40 peratus pemilikan ke atas jenama antarabangsa, Laura Ashley.

Beliau juga merupakan pengerusi dan ketua eksekutif kumpulan Syarikat Malayan United Industries serta Pengarah Corus Hotel Limited di Britain.

Mereka berkahwin pada 1970 dan dikurniakan lima orang anak.

Akhbar itu turut melaporkan Khoo mahu kes itu dibicarakan di Malaysia di mana Chai akan menerima pampasan yang lebih sedikit berbanding yang bakal diterima di Britain.

Bagaimanapun, Chai menentang keputusan itu kerana dia tidak menjadi rakyat Malaysia selama 30 tahun dan berkata dia amat menyukai England dan segalanya di negara itu.

“Saya tinggal di sini untuk tempoh lama. Saya mahu pengadilan di England kerana ia adil. Itu permintaan saya,” katanya.

Chai akan diwakili peguam penceraian terkenal Britain, Ayesha Vardag manakala Khoo diwakili Fiona Shackleton.

Baru-baru ini Shackleton mewakili chef Britain, Nigella Lawson untuk kes penceraiannya dengan jutawan pengiklanan, Charles Saatchi.

Turut menggunakan khidmat Shackleton adalah Putera Charles dan mendiang isterinya, Puteri Diana.

Perbicaraan awal kes ini akan diadakan dalam tempoh beberapa bulan akan datang. -mStar

Tuesday, August 06, 2013

Pertandingan Ratu Cantik Haram Kerana Bukan Sukan!

Pertandingan Ratu Cantik Haram Kerana Bukan Sukan!

Berikutan empat peserta melayu campuran muslim digugurkan dari pertandingan ratu cantik Miss Malaysia World 2013 selepas ditegur Mufti Wilayah Persekutuan Datuk Wan Zahidi Wan Teh, dua daripadanya dikatakan mempersoal dan mempertikai keputusan pengharaman penglibatan wanita Muslim dalam pertandingan ratu cantik seperti yang telah difatwakan sebelum ini.


Mereka dilaporkan masih mahu bertanding sekiranya diberikan peluang walaupun penyertaan mereka telah ditarik oleh penganjur. Namun mereka menafikan mempertikaikan fatwa yang mengharamkan umat Islam terlibat dalam acara ratu cantik dan berkata ia hanya pendapat peribadi dan telah meminta maaf.

Pun begitu, Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) menegaskan peserta ratu cantik tersebut boleh dikenakan tindakan undang-undang syariah jika mereka nekad dengan keputusan untuk terus menyertai pertandingan tersebut.

Namun, antara keempat-empat peserta ratu cantik itu, Kathrina Rizuan, Miera Sheikh, Wafa Johanna De Korte dan Sara Amelia Bernard, yang paling cun adalah Sara walaupun dia menduduki tempat ke-9.

Kathrina dan Wafa yang menyinar di Korea masing-masing berada di kedudukan pertama dan kedua.

Namun begitu, disamping ratu cantik difatwakan haram disertai oleh wanita muslim, pertandingan ratu cantik ini merupakan satu penghinaan terhadap kaum wanita, tidak menghormati golongan wanita serta satu bentuk eksploitasi terhadap wanita demi mengaut keuntungan demi memuaskan nafsu para lelaki.

Persoalan

Antara kenyataan salah seorang daripada peserta tersebut, “Kalau mereka mahu melarang kami, kenapa mereka tidak melarang wanita Muslim yang mewakili negara dalam sukan renang dan gimnastik?”.


Namun bagi kita semua kenyataannya ada logik juga. Ya mungkin dalam ratu cantik ada slot yang memerlukan peserta memakai bikini, tapi apa bezanya dengan sukan renang, akuatik dan gimnastik yang bajunya sangat ketat sehingga menampakkan susuk badan? Dan apa bezanya pula dengan sukan bina badan yang terang-terang pesertanya pakai seluar dalam sahaja!

Adakah disebabkan ia berkaitan dengan sukan yang boleh mengharumkan nama negara, maka tiada fatwa yang melarang orang Islam daripada menyertai sukan-sukan tersebut?

Kenapa agaknya? [Sumber]

Thursday, August 01, 2013

Peserta Ratu Cantik Tidak Pernah Tahu Membuka Aurat Adalah Haram!

Peserta Ratu Cantik Tidak Pernah Tahu Membuka Aurat Adalah Haram!

Yasmin Yusuff, yang pernah mewakili Malaysia ke Miss Universe di Acapulco pada 1978, memperlihatkan pendirian kurang bersetuju apabila gadis Melayu beragama Islam tidak dibenarkan menyertai pertandingan ratu cantik.


Dalam kenyataannya kepada Daily Chilli, Yasmin seakan-akan menyindir apabila menyatakan lebih baik pertandingan ratu cantik ditukar saja namanya kepada pertandingan ‘Miss Malaysia Bukan Melayu’ (Miss Malaysia For Non-Malays) jika hak bertanding gadis Melayu dinafikan.

Tambahnya, gadis Melayu sangat cantik malah mempunyai peluang bergelar Miss Universe sekiranya dibenarkan masuk bertanding dalam pertandingan yang menjadi idaman ramai gadis itu.

Pendapat Yasmin disokong seorang lagi wanita Islam yang terlibat mengarah program TV realiti berjudul The Next Miss Universe Malaysia, Elyna Effendi.

Elyna berpendapat, perkara ini (tak benarkan bertanding ratu cantik) suatu yang memalukan. Akibatnya kata Elyna: “Ada wanita yang sangat cantik tapi mungkin tak mahu ikut bertanding disebabkan terpaksa akur dengan sesetengah persepsi dan kepercayaan.”

Minggu lalu, 4 peserta beragama Islam terpaksa disingkirkan daripada pertandingan ratu cantik Miss Malaysia World ekoran fatwa dikeluarkan pada 1996 melarang wanita Melayu dan Islam menyertai pertandingan sebegini. Wanita yang berkeras melakukannya boleh dikenakan tindakan oleh Mahkamah Syariah.

Justeru, 3 daripada peserta berkenaan iaitu Wafa Johanna De Korte, 19, Miera Sheikh, 19, dan Sara Amelia Bernard, 20, mengeluarkan kenyataan memohon maaf sementara Kathrina Ridzuan, 23, tidak dapat dihubungi.

Sekiranya mereka semua dibenarkan bertanding tempoh hari, bermakna ia mengakhiri tempoh sedekad hanya wanita bukan Islam yang berbangsa Cina, India dan lain-lain menjadi wakil Malaysia dalam pertandingan ratu cantik peringkat antarabangsa selepas kali terakhir ia diserta Erra Fazira pada 1992.

Sementara itu penasihat untuk pertandingan X Top Model, Kenji Chan berpendapat, kalau pun keempat-empat gadis yang masuk bertanding itu mendakwa tidak tahu mereka melakukan kesalahan dengan masuk bertandingan ratu cantik, hampir semua rakyat Malaysia sebenarnya sudah maklum akan hal ini.

Bagaimanapun, dia memuji tindakan yang disifatkannya mampu membuka minda sesetengah orang.

Jason Hee, pengasas dan penganjur Miss Malaysia Kebaya pula menganggap tegahan ini membunuh ‘industri’ ratu cantik. Dia memberi contoh bagaimana Yasmin Yusuff dan pelakon terkenal, Erra Fazira, antara bekas peserta yang berjaya pada hari ini disebabkan memasuki pertandingan berkenaan sebagai batu loncatan.

Jason bagaimanapun, menegaskan pertandingan ratu kebayanya yang kini masuk tahun ketiga tidak tertakluk pada fatwa yang dikuatkuasakan itu kerana ia lebih dekat kepada pertandingan ‘ratu budaya’ berbanding ‘ratu cantik’ dan mendapat lampu hijau daripada Kementerian Kebudayaan dan Pelancongan.

Persatuan Sisters In Islam (SIS) pula seperti biasa, mengeluarkan kenyataan dari sudut membela hak wanita. Pembelaan mereka dibuat bersandarkan jaminan penganjur bahawa pakaian renang tidak akan dipertandingkan sebaliknya diganti dengan pakaian sukan dalam pertandingan kelak.

Bagaimanapun di sebalik semua komen menghentam larangan menyertai pertandingan ratu cantik yang secara jelas dibuat tanpa mengambil kira hukum mutlak aurat dalam Islam yang menjadi sebab utama fatwa dikeluarkan; baik daripada mulut orang Islam mahu pun bukan Islam di atas — komen Elaine Daly mungkin paling sedap didengar.

Miss Malaysia Universe 2003 ini berkata, dalam masyarakat berbilang kaum negara ini sememangnya molek jika semua wanita diberikan hak sama rata untuk masuk bertanding ratu cantik. Begitu pun, terdapat undang-undang yang mesti dipatuhi dalam hal ini dan semua pihak mesti menghormati sensitiviti semua orang.


Admin: Alangkah jahilnya sebilangan umat Islam di Malaysia..

-Mynewshub

Monday, July 29, 2013

Empat Peserta Miss Malaysia World 'Sedih' Tidak Di Benarkan Bertanding

Empat Peserta Miss Malaysia World 'Sedih' Tidak Di Benarkan Bertanding

Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi), Datuk Che Mat Che Ali telah memaklumkan kepada penganjur Miss Malaysia World, Datuk Anna Lim bahawa empat finalis yang beragama Islam tidak boleh mengambil bahagian dalam pertandingan ratu cantik susulan daripada kajian semula terhadap fatwa yang berkaitan dengan agama Islam berdasarkan undang-undang.


Menurut Lim, Che Mat telah memanggil beliau untuk memperjelaskan mengenai undang-undang mengikut fatwa yang telah dikuatkuasakan dan sudah pun dilaksanakan. Maka tiada apa perubahan yang dilakukan.

“Keempat-empat gadis berkenaan kecewa, tertekan dan sedih,” kata Lim.

“Peserta-peserta lain gembira dan ceria. Mereka sudah pun memulakan program Miss Malaysia World,” tambahnya.

“Sedih bila mendapat tahu bahawa keempat-empat mereka tidak dapat menyertai pertandingan ini. Mereka cantik dan mempunyai banyak ciri yang berpotensi. Mereka mempunyai peluang untuk menjadi duta bagi negara kita,” kata Lim.

“Saya berharap mereka dapat mempertimbangkannya semula sekiranya terdapat kemungkinan terdapat sebarang perkara yang boleh dilakukan,” kata Lim.

Lim berkata, finalis yang digugurkan daripada program Miss Malaysia World itu bagaimanapun dijemput sebagai tetamu bagi acara berkenaan.

Tiga Daripada Empat Peserta Akhir Ratu Cantik Mohon Maaf

Kathrina Ridzuan

Tiga daripada empat peserta akhir pertandingan Miss Malaysia World 2013 yang disifatkan menghina Islam telah membuat permohonan maaf.

Salah seorang peserta, Sara Amelia Muhammad Bernard, 20, berkata dia telah membuat permohonan maaf secara formal kepada Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi).

"Saya tidak berniat untuk menyinggung perasaan umat Islam dan agama saya sendiri," katanya pada Rabu.

Seorang lagi perserta, Wafa Johanna De Korte, 19, turut memohon maaf.

"Saya tidak sama sekali ingin menentang fatwa. Saya menghormati fatwa yang diwartakan itu untuk melindungi umat Islam di Malaysia.

"Jika ada mana-mana pihak tersinggung, saya minta maaf sangat-sangat tetapi saya tidak berniat untuk menghina sesiapa," katanya.

Terdahulu, Jawi dilaporkan membuka kertas siasatan terhadap empat peserta akhir yang bertanding merebut gelaran Miss Malaysia World 2013 kerana mereka disifatkan menghina Islam.

Pengarah Jawi Datuk Che Mat Che Ali berkata, bahagian penguatkuasa Jawi akan meneliti perkara itu selepas peserta-peserta terbabit menyatakan kekecewaan mereka dengan fatwa yang mengharamkan penyertaan wanita Islam dalam pertandingan ratu cantik.

Fatwa mengharamkan penyertaan wanita Islam dalam pertandingan ratu cantik diwartakan pada 8 Februari 1996 mengikut Akta Pentadbiran Undang-undang Islam Wilayah Persekutuan 1993 yang memutuskan bahawa menyertai atau menganjurkan atau menyumbang apa-apa bentuk sumbangan untuk penganjuran apa-apa pertandingan ratu cantik adalah haram dan berdosa bagi orang Islam.

Sementara itu, Miera Sheikh, 19, enggan memberikan sebarang komen mengenai tindakan Jawi.

Bagaimanapun, dia menghormati budaya masyarakat Melayu dan berkata dia berpegang teguh kepada agama Islam.

"Saya mungkin bukan orang Islam yang sempurna tetapi saya dibesarkan dengan budaya Melayu dan Islam walaupun saya bersikap terbuka mengenai beberapa perkara dalam hidup.

"Bagi saya, agama Islam tidak akan pudar dalam hidup saya sehingga nafas yang terakhir," katanya.

Peserta keempat, Kathrina Ridzuan, tidak dapat dihubungi untuk mendapatkan komen.

-mStar/Antarapos