Monday, August 03, 2020

Sejarah 'Lompat Katak' Parti Politik Di Sabah

Sejarah 'Lompat Katak' Parti Politik Di Sabah

Isu melompat parti atau nama jijiknya 'lompat katak' dan percubaan untuk menukar kerajaan negeri bukanlah fenomena baharu dalam politik di Sabah, kerana kejadian serupa pernah berlaku sebelum ini termasuklah pada pilihan raya umum ke 14 tahun 2018 dahulu.

Lompat Katak Tiada Maruah

Malah, kejadian bekas ketua menteri Musa Aman terkandas di pintu istana, ketika dia berusaha untuk bertemu dengan Yang Di-Pertua Negeri Juhar Mahiruddin untuk merayu agar DUN tidak dibubarkan dan seterusnya mengangkat sumpah sebagai ketua menteri, juga mengimbau kejadian serupa sebelum ini.

Walaupun dalam konteks berbeza, kejadian itu mempunyai persamaan dengan pengalaman pengasas Parti Bersatu Sabah (PBS) Joseph Pairin Kitingan susulan pilihan raya pada 1985 dan 1994.

Pilihan raya 1985 dan 1986

Pilihan raya negeri pada April 1985 menyaksikan parti berusia 47 hari yang dipimpin Joseph Pairin Kitingan memenangi pilihan raya.

PBS berjaya mengalahkan Parti Bersatu Jelata Sabah (Berjaya) dipimpin Harris Salleh yang mendapat sokongan Umno.

Sebelum itu, Pairin, yang banyak mengetengahkan isu masyarakat Kadazan-Dusun di Sabah berselisih dengan Harris menyebabkan dia digugurkan dari kabinet pada tahun 1982.

Turut bertanding pada pilihan raya negeri 1985 itu ialah Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (Usno), yang dipimpin oleh bekas ketua menteri Mustapha Harun, yang turut berselisih dengan Harris.

PBS dan Usno ketika itu bekerjasama bagi memastikan Berjaya tidak menjadi kerajaan. Sebelum pilihan raya, kedua-dua parti itu dikatakan mencapai persefahaman untuk menubuhkan kerajaan gabungan sekiranya tidak berjaya mendapat majoriti.

PBS menang dengan memperoleh 25 daripada 48 kerusi. Ia kemudian menjadi 26 selepas wakil rakyat Pasok memihak kepada PBS. USNO memenangi 16 kerusi sementara Berjaya hanya memperoleh enam kerusi.

Namun, pemimpin Berjaya dikatakan telah bertemu Mustapha dan meyakinkan beliau berjumpa dan memaksa Yang Di-Pertua Negeri ketika itu, Adnan Roberts untuk membenarkannya mengangkat sumpah sebagai ketua menteri.

Mahkamah Tinggi akhirnya berpihak kepada Pairin dalam saman yang dikemukakan Mustapha.

Dalam tempoh ini juga siri demonstrasi dan rusuhan yang melibatkan letupan bom di Kota Kinabalu serta beberapa bandar lain di Sabah berlaku.

Menurut penganalisis politik, James Chin, demonstrasi dan rusuhan dalam tempoh itu dispekulasikan sebagai usaha untuk mengisytiharkan darurat dan secara tidak langsung mengenepikan Pairin dan PBS.

Tidak sampai setahun selepas pilihan raya negeri 1985, susulan situasi politik yang tegang ketika itu, Pairin mengumumkan pilihan raya mengejut.

Pada pilihan raya itu, Pairin dan PBS mengukuhkan mandat dengan memenangi 34 kerusi.

Pada tahun itu, Perdana Menteri, Tun Mahathir Mohamad menerima PBS menjadi parti komponen BN.

Pilihan raya 1994

Di bawah BN, PBS memenangi 36 kerusi dalam pilihan raya negeri 1990, namun gabungan PBS-BN berdepan pelbagai isu termasuk dakwaan layanan tidak adil oleh kerajaan persekutuan.

Pada Oktober 1990, sebaik pencalonan untuk pilihan raya umum selesai, Pairin mengumumkan PBS meninggalkan BN untuk memilih Gagasan Rakyat yang diterajui Tengku Razaleigh Hamzah.

Langkah politik itu menyebabkan BN yang diterajui Mahathir mengubah strategi dengan melantik calon baru pada saat akhir dan akhirnya membawa masuk wakil Umno ke negeri itu dan bertanding dalam pilihan raya 1994.

Pada pilihan raya Februari 1994, Pairin menang dengan hanya majoriti dua kerusi walaupun telah membentuk pakatan dengan Usno. Sementara itu, Umno Sabah memperoleh hampir semua kerusi majoriti Muslim.

Antara yang menang ialah calon yang bertanding pertama kali, Mohamad Salleh, anak Yang Di-Pertua Negeri itu ketika itu, Mohammad Said Keruak, yang memenangi kerusi DUN Usukan untuk Umno.

Pairin ketika itu bergegas ke istana untuk mengesahkan kedudukan dan kemenangannya, bagaimanapun terpaksa menunggu selama 36 jam di depan pintu istana.

Menurut penganalisis Mohammad Agus Yusoff, Yang-di-Pertua Negeri ketika itu tidak sihat.

"Pairin menunggu di depan pintu istana, mengatakan dia ingin mengelakkan kejadian memalukan yang telah terjadi pada tahun 1985," tulis Agus dalam makalah tahun 2001 mengenai topik tersebut.

Namun, kejadian wakil rakyat melompat parti yang didakwa diatur oleh timbalan perdana menteri ketika itu, Anwar Ibrahim, berjaya menjatuhkan kerajaan Pairin.

Yang Di-Pertua Negeri ketika itu menolak permintaan Pairin untuk membubarkan DUN.

Ini adalah kali pertama lompat parti secara besar-besaran menyebabkan kejatuhan sebuah kerajaan negeri dan dalam tempoh dua minggu, Pairin akhirnya diganti.

Seperti yang dijanjikan sebelumnya oleh Umno, negeri itu kemudian mengamalkan sistem giliran untuk menentukan ketua menteri, bergilir setiap dua tahun antara Muslim-bumiputera, dan bukan Muslim-bumiputera atau Cina.

Namun, amalan ini dihentikan setelah Musa Aman mengambil alih teraju kerajaan negeri pada 2003.

Pilihan raya umum 2018

Penyamun Di Sanjung

Pada pilihan raya umum 2018, kejadian wakil rakyat lompat parti berlaku sekali lagi, yang menyaksikan Warisan dan sekutunya Pakatan Harapan mengambil alih kerajaan negeri dari Umno-BN setelah sekian lama.

Pada pilihan raya itu, BN Sabah dan Warisan, yang diketuai oleh bekas menteri BN Mohd Shafie Apdal, masing-masing memenangi 29 kerusi daripada 60 kerusi DUN.

Parti Solidariti Tanah Airku (Star), di bawah presiden Jeffrey Pairin Kitinggan, yang merupakan adik kepada Joseph Pairin, menjadi kingmaker.

Star yang memenangi dua kerusi berjanji akan menyokong Musa, yang kemudiannya mengangkat sumpah sebagai ketua menteri pada 10 Mei 2018.

Namun, hanya sehari kemudian, enam wakil rakyat BN lompat parti menyokong Warisan dan seterusnya memberi laluan kepada Shafie mengangkat sumpah sebagai ketua menteri.

Musa mengemukakan cabaran undang-undang di Mahkamah Tinggi terhadap Yang Di-Pertua Negeri dan Shafie untuk membatalkan presiden Warisan itu, namun keputusan mahkamah tidak berpihak kepada Musa.

Yang Di-Pertua Negeri, Juhar Mahiruddin, kemudiannya membuat laporan polis terhadap Musa atas dakwaan ugutan jenayah, tetapi beliau menafikan dakwaan itu.

Mungkin sebab itu jugalah Juhar membuat keputusan menyebelahi Shafie untuk pembubaran DUN.

"Kita mesti memberi penghargaan kepada Yang di-Pertua Negeri. Rakyat diberi peluang untuk memilih kali ini, bukan hanya membenarkan ketua menteri baru angkat sumpah (seperti pada tahun 1994 dan 2018).

"Ini adalah demokrasi. Sekiranya mereka hanya angkat sumpah sebagai kerajaan negeri baru, akan timbul tuntutan undang-undang seperti sebelumnya," kata Yang di-Pertua Negeri.

Pilihan raya mengejut juga membolehkan rakyat mempertimbangkan keadaan politik semasa, bukan hanya di Sabah tetapi di peringkat persekutuan, seperti perubahan kerajaan pusat pada Februari 2020 yang lalu.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: malaysiakini

Wednesday, June 24, 2020

Buat Tun Mahathir, 'Don't Overstay Your Welcome'

Buat Tun Mahathir, 'Don't Overstay Your Welcome'

Don't overstay your welcome, demikian kata-kata yang pernah diucapkan oleh Tun Mahathir Mohamad ketika kehangatan musim pertandingan antara Anwar Ibrahim dengan Tun Ghafar Baba (kini arwah) bagi jawatan Timbalan Presiden UMNO pada tahun 1993 dahulu.

Don't Overstay Your Welcome

Tun Mahathir melafazkan kata-kata tersebut di Kuala Terengganu yang dipercayai ditujukan kepada Tun Ghafar yang ketika itu juga adalah Timbalan Perdana Menteri.

Berikutan kata-kata tersebut, pencalonan untuk Anwar mencanak-canak naiknya, sementara pencalonan untuk Tun Ghafar terus ketinggalan jauh di belakang.

Walaupun difahami oleh semua orang bahawa ungkapan pedih itu ditujukan kepada Tun Ghafar, tetapi Tun Mahathir tidak pernah mengia atau menafikannya sehingga kata-kata tersebut didendangkan dengan meluas sebagai gambaran Tun Ghafar tidak diperlukan lagi di dalam parti dan kerajaan.

Sebagai seorang yang berjiwa besar, walaupun tidak bersekolah tinggi, Tun Ghafar akhirnya mengumumkan menarik diri daripada bertanding jawatan Timbalan Presiden UMNO dan meletakkan jawatan sebagai Timbalan Perdana Menteri.

Tujuan Tun Ghafar berbuat demikian adalah untuk memudahkan Tun Mahathir mentadbir parti dan kerajaan dengan bebas berdasarkan kehendaknya selepas itu.

Susulan itu, Anwar telah diumumkan menang tanpa bertanding sebagai Timbalan Presiden UMNO dan seterusnya dilantik Timbalan Perdana Menteri.

Bagi kebanyakan orang yang mengikuti perjalanan politik dan sumbangan Tun Ghafar, terutama dalam menstabilkan parti berikutan perletakan jawatan Tun Musa Hitam pada 1986, pertandingan 1987 serta berbagai krisis lainnya dalam negara, tindakan Tun Mahathir mengucapkan kata-kata demikian dilihat tidak wajar sama sekali.

Beliau seolah-olah tidak menghargai, malah tidak mengenang sama sekali jasa serta sumbangan Tun Ghafar terhadapnya.

Hari ini, setelah 27 tahun berlalu, apa yang diucapkan Tun Mahathir kepada Tun Ghafar itu sebiji terkena kepada dirinya.

Di dalam PH, beliau jelas tidak diperlukan lagi, tetapi tetap bersungguh-sungguh mahu jadi Perdana Menteri lagi buat kali ketiga.

Anwar yang merupakan Pengerusi PH dan Presiden PKR telah secara mutlak menolak hasrat Tun Mahathir yang mencadangkan dirinya sendiri sebagai calon Perdana Menteri bagi gabungan itu.

Di dalam Bersatu pula, beliau telah terbuang dan terlucut kedudukannya sebagai Pengerusi parti tersebut.

Dalam kelompok rakyat pelbagai kaum di seluruh negara, rata-rata telah menolak Tun Mahathir untuk kembali lagi sebagai Perdana Menteri, bukan saja kerana beliau telah dua kali menduduki jawatan tersebut, malah disebabkan usia tuanya sudah mencecah 95 tahun.

Manakala budak-budak sekolah, apabila mereka terdengar perbualan yang menyebut nama Tun Mahathir, spontan ada yang bertanya, "Bila lagi Atuk ni mahu berhenti?"

Kepada Tun Mahathir – don't overstay your welcome – isyarat yang sepatutnya beliau berundur sudah sangat jelas sekarang ini, bahkan lebih jelas daripada apa yang dialami oleh Tun Ghafar pada 1993 dahulu.

Kalau Tun Ghafar boleh berjiwa besar untuk berundur, apakah Tun Mahathir lebih memilih untuk "berjiwa tikus", walaupun berpendidikan lebih tinggi daripada arwah?

BACA INI JUGA:

sumber: shahbudindotcom

Saturday, June 13, 2020

'Parti Apa Aku Dapat' Sindiran Sinis Tun Mahathir Kepada Rasuah 'Halal' Di Malaysia

'Parti Apa Aku Dapat' Sindiran Sinis Tun Mahathir Kepada Rasuah 'Halal' Di Malaysia

Di tengah perpecahan berterusan dalam BERSATU, bekas perdana menteri Tun Mahathir Mohamad secara sinis mencetuskan idea untuk membentuk sebuah lagi parti berasaskan Melayu, yang  akan dinamakan "Parti Apa Aku Dapat" dan terbuka kepada semua orang Melayu yang belum diberi jawatan dalam kerajaan Perikatan Nasional.

Pakatan Nasional Parti Apa Aku Dapat

Tun Mahathir dipercayai merujuk kepada dakwaan yang mengatakan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin menawarkan jawatan kepada anggota parlimen Umno bagi mendapatkan sokongan mereka.

"PARTI APA AKU DAPAT"

1. Saya bercadang untuk tubuh sebuah parti politik.

2. Banyak orang Melayu suka tubuh parti politik. Dahulu saya tubuh parti Pribumi Bersatu Malaysia. Sekarang parti sudah berpecah dua.

3. Sebab itu saya ingin tubuh satu lagi parti politik Melayu.

4. Nama parti ini ialah Parti AAD atau "Parti Apa Aku Dapat".
  • Tujuan: Memperkaya orang Melayu yang belum dapat.
  • Cara: Melantik sebagai pegawai dalam badan-badan yang akan ditubuh khusus untuk memenuhi hasrat memberi pendapatan yang lumayan kepada mereka yang belum dapat dan yang ingin dapat banyak lagi.
  • Jemputan: Siapa yang belum dapat boleh buat permohonan
  • untuk jadi ahli, atau Presiden, Timbalan Presiden, Naib Presiden dan dll.
  • Yuran: Tidak perlu.

Tulisan Tun Mahathir itu muncul berikutan spekulasi PH dan sekutunya kini mendapat sokongan lebih ramai anggota parlimen termasuk mereka yang berada dalam kerajaan.

Tun Mahathir dan lima yang lain baru-baru ini memfailkan tindakan mahkamah terhadap Muhyiddin dan tiga yang lain berhubung apa yang mereka dakwa sebagai pemecatan salah daripada parti itu.

Muhyiddin terperangkap dalam kontroversi selepas sebuah laman Facebook yang memihak kepada Tun Mahathir mengeluarkan siri rakaman audio yang dikatakan dirakam pada mesyuarat Majlis Tertinggi Bersatu pada 23 Feb 2020 lalu.

Dalam salah satu audio yang bocor, seorang individu yang suaranya mirip Muhyiddin didengar mengatakan bahawa anggota parlimen Umno boleh dipikat untuk menyertai Bersatu jika mereka ditawarkan jawatan menteri atau jawatan dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

Setakat 21 Mei, dilaporkan 82.3 peratus daripada 113 anggota Parlimen PN dilantik dalam kabinet, menjadi timbalan menteri, dilantik dalam GLC mahupun diplomat khas.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: 1 | 2

Tuesday, June 09, 2020

Musa Aman Bebas 46 Tuduhan Rasuah, Pengubahan Wang Haram

Musa Aman Bebas 46 Tuduhan Rasuah, Pengubahan Wang Haram

Bekas Ketua Menteri Sabah Tan Sri Musa Aman bersyukur kerana telah diberikan keadilan(?) untuk membersihkan segala tuduhan yang dibuat ke atas dirinya berkaitan kes rasuah dan pengubahan wang haram.

Musa Aman bebas tuduhan rasuah, pengubahan wang haram

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur melepas dan membebaskan Musa, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Sungai Sibuga, atas 46 pertuduhan rasuah dan pengubahan wang haram berhubung kontrak konsesi balak di Sabah.

Musa berkata, permohonan bagi membatalkan pendakwaan yang telah difailkan awal tahun 2020 ini, telah dibuat secara teliti dengan disokong oleh keterangan serta dokumen bukti cukup jelas dan nyata yang tidak dapat dipertikaikan.

“Terima kasih kepada barisan peguam saya bersama pembantu mereka yang telah memberi perkhidmatan cukup baik dan berdedikasi sepanjang tempoh ini.

”Saya juga ingin mengambil kesempatan ini mengucapkan penghargaan kepada badan pendakwaan dan badan kehakiman negara terutama mereka yang telah bertindak secara objektif, profesional, berkecuali dan tanpa prejudis dalam menilai fakta kes ini sejak dua tahun lalu,” katanya dalam kenyataan.

Dalam pada itu, Musa berkata apa yang telah berlaku terhadap diri dan keluarganya, biarpun dilihat terjadi kerana perbezaan politik, namun, beliau menganggap ia sebagai satu ujian serta dugaan buat mereka sekeluarga.

Pada prosiding mahkamah itu, Hakim Datuk Muhammad Jamil Hussin melepas dan membebaskan Musa Aman daripada semua pertuduhan setelah Timbalan Pendakwa Raya Datuk Azhar Abdul Hamid memberitahu mahkamah, pihak pendakwaan menarik balik semua pertuduhan dalam kedua-dua kes (rasuah dan pengubahan wang haram) yang dihadapi Musa.

Bagi kes rasuah, Musa, 69, yang diwakili Peguam Francis Ng Aik Guan, menghadapi 30 pertuduhan, sebagai ejen kerajaan negeri Sabah iaitu Ketua Menteri Sabah merangkap Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Sabah, telah secara rasuah memperoleh untuk diri sendiri, suapan daripada lapan pemilik konsesi balak berjumlah AS$50.1 juta.

Beliau juga menghadapi 16 pertuduhan wang haram iaitu secara tidak langsung membabitkan diri dalam pengubahan wang haram daripada beberapa individu.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: malaysiakini

Sunday, May 17, 2020

Gaji Menteri Ahli parlimen Malaysia RM55,000 Sebulan Tidak Termasuk Elaun Lumayan!

Gaji Menteri Ahli parlimen Malaysia RM55,000 Sebulan Tidak Termasuk Elaun Lumayan!

Kalau bukan kerana bekas Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, menyerahkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk menyiasat kes kehilangan wang dari kediamannya, pasti ramai dari kita tidak akan tahu berapa sebenarnya gaji seorang menteri.

Syed Saddiq Gaji Menteri

Menurut Syed Saddiq, beliau telah memberi kerjasama kepada SPRM sejak kes tersebut mula disiasat hampir dua bulan dan beliau sendiri telah membuat laporan polis berhubung kehilangan berjumlah RM250,000.

Persoalan menarik yang beliau timbulkan adalah, mengapa ada keperluan untuk Menteri makan rasuah memandangkan gaji dan elaun seorang Menteri adalan sangat tinggi.

Gaji Dan Elaun Ahli Parlimen

Belum masuk one-off payments yang diterima, gaji Menteri yang juga Ahli Parlimen ialah RM55,000 sebulan.

Jumlah tersebut tidak termasuk bayaran yang diterima apabila Menteri balik ke kawasan mereka ataupun menghadiri program yang jauh dari pejabat kerana terdapat insentif tambahan.

Elaun Pinggan Mangkuk

Menurut Syed Saddiq lagi, ahli parlimen turut menerima elaun sekali bayar berjumlah RM42,000 untuk pinggan dan mangkuk dan elaun tahunan percutian sebanyak RM70,000.

Elaun Makan

Menteri Parlimen turut menerima elaun harian makan yang boleh dituntut sehingga RM180 kerana belanja makan tanpa mengira jumlah orang yang dibelanja.

Secara ringkasnya, Elaun Makan seorang menteri Parlimen adalah sebanyak RM65,700 setahun atau RM5,475 sebulan!

Elaun Kena Pecat

Katanya lagi, beliau turut menerima elaun pindah rumah sebanyak RM10,000 selain pembayaran sekali bayar sebanyak RM150,000 apabila diberhentikan sebagai Menteri.

"Sampai sekarang saya tidak faham mengapa ada keperluan untuk Menteri makan rasuah," katanya.

Menurut Syed Saddiq, beliau menceburi bidang politik untuk membersihkan politik, bukan untuk kedudukan dan kewangan.

Malah katanya, terdapat cubaan untuk mengaitkannya dengan kes rasuah suatu masa dahulu namun sampai sekarang tidak berjaya dibuktikan langsung.

Kesimpulannya, kini anda dah tahu berapa sebenarnya gaji seorang menteri.

Tetapi apa yang pelik adalah, ahli politik di Malaysia ramai yang kaya raya dan jika ada yang merasakan jumlah ini sangat lumayan, kita tetap tertanya-tanya, bagaimana mereka mampu mengumpul aset beratus juta ringgit dalam akaun peribadi?

Dan 'kejujuran' Syed Saddiq ini setelah sekian lama rakyat tertanya-tanya adalah contoh terbaik bahawa ahli politik itu benarnya satu, tapi bohong dan putar belitnya beribu.

Wallahu a'lam.

BACA INI JUGA:

sumber: malaysiagazette

Tuesday, March 10, 2020

Fakta Senarai Menteri Kabinet Perikatan Nasional Muhyiddin Yassin

Fakta Senarai Menteri Kabinet Perikatan Nasional Muhyiddin Yassin

Perdana Menteri Muhyiddin Yassin akhirnya mengumumkan barisan kabinet untuk bersama-sama pentadbirannya dan dalam sidang media memberitahu, jawatan timbalan perdana menteri tidak diwujudkan sebaliknya beliau melantik empat orang menteri kanan yang berfungsi membantu Perdana Menteri.

Menteri Perikatan Nasional

Menurut pengkritik, kabinet baharu Pakatan Nasional yang diumumkan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin jelas bertujuan memuaskan kehendak parti-parti yang menyertai usaha pakatan ini. Ianya kabinet di mana semua mendapat habuannya.

Berikut merupakan senarai kabinet baharu:

1. Perdana Menteri - Muhyiddin Yassin

2. Menteri Kanan - Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri
  • Mohamed Azmin Ali
  • Timbalan Menteri: Lim Ban Hong (akan dilantik sebagai senator)

3. Menteri Kanan - Menteri Pertahanan
  • Ismail Sabri Yaakob
  • Timbalan Menteri: Ikhmal Hisham Abdul Aziz

4. Menteri Kanan - Menteri Kerja Raya
  • Fadillah Yusof
  • Timbalan Menteri: Shahruddin Md Salleh

5. Menteri Kanan - Menteri Pendidikan
  • Mohd Radzi Md Jidin
  • Timbalan Menteri I: Dr Mah Hang Soon (akan dilantik sebagai senator)
  • Timbalan Menteri II: Muslimin Yahaya

6. Menteri Kewangan
  • Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz (akan dilantik sebagai senator)
  • Timbalan Menteri I: Abd. Rahim Bakeri
  • Timbalan Menteri II: Mohd Shahar Abdullah

7. Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi)
  • Mustapa Mohamed
  • Timbalan Menteri: Arthur Joseph Kurup

8. Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-tugas Khas)
  • Mohd Redzuan Md Yusof
  • Timbalan Menteri: Mastura Yazid

9. Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang)
  • Takiyuddin Hassan
  • Timbalan Menteri: Eddin Syazlee Shith

10. Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama)
  • Zulkifli Mohamad Al-Bakri (akan dilantik sebagai senator)
  • Timbalan Menteri: Ahmad Marzuk Shaary

11. Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak)
  • Maximus Johnity Ongkili
  • Timbalan Menteri: Hanifah Hajar Taib

12. Menteri Pengangkutan
  • Wee Ka Siong
  • Timbalan Menteri: Hasbi Habibollah

13. Menteri Alam Sekitar
  • Tuan Ibrahim Tuan Man
  • Timbalan Menteri: Ahmad Masrizal Muhammad (akan dilantik sebagai senator)

14. Menteri Sumber Manusia
  • Saravanan A/L Murugan
  • Timbalan Menteri: Awang Hashim

15. Menteri Wilayah Persekutuan
  • Annuar Musa
  • Timbalan Menteri: Santhara Kumar

16. Menteri Wanita dan Keluarga
  • Rina Mohd Harun
  • Timbalan Menteri: Siti Zailah Mohd Yusoff

17. Menteri Pengajian Tinggi
  • Noraini Ahmad
  • Timbalan Menteri: Mansor Othman

18. Menteri Tenaga dan Sumber Asli
  • Shamsul Anuar Nasarah
  • Timbalan Menteri: Ali Anak Biju

19. Menteri Dalam Negeri
  • Hamzah Zainuddin
  • Timbalan Menteri I: Ismail Mohamed Said
  • Timbalan Menteri II: Jonathan Yassin

20. Menteri Kesihatan
  • Adham Baba
  • Timbalan Menteri I: Noor Azmi Ghazali
  • Timbalan Menteri II: Aaron Ago Dagang

21. Menteri Pertanian dan Industri Makanan
  • Ronald Kiandee
  • Timbalan Menteri I: Ahmad Hamzah
  • Timbalan Menteri II: Che Abdullah Mat Nawi

22. Menteri Pembangunan Luar Bandar
  • Abd Latiff Ahmad
  • Timbalan Menteri I: Abdul Rahman Mohamad
  • Timbalan Menteri II: Henry Sum Agong

23. Menteri Luar Negeri
  • Hishammuddin Tun Hussein
  • Timbalan Menteri: Kamaruddin Jaffar

24. Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna
  • Alexander Nanta Linggi
  • Timbalan Menteri: Rosol Wahid

25. Menteri Komunikasi dan Multimedia
  • Saifuddin Abdullah
  • Timbalan Menteri: Zahidi Zainul Abidin

26. Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan
  • Zuraida Kamaruddin
  • Timbalan Menteri: Ismail Abd Mutalib

27. Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi
  • Khairy Jamaluddin
  • Timbalan Menteri: Ahmad Amzad Hashim

28. Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi
  • Wan Junaidi Tuanku Jaafar
  • Timbalan Menteri: Mas Ermieyati Samsudin

29. Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi
  • Mohd Khairuddin Aman Razali
  • Timbalan Menteri I: Wee Jeck Seng
  • Timbalan Menteri II: Willie anak Mongin

30. Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan
  • Nancy Shukri
  • Timbalan Menteri: Jeffrey G. Kitingan

31. Menteri Perpaduan Negara
  • Halimah Mohamed Sadique
  • Timbalan Menteri: Tiong King Sing

32. Menteri Belia dan Sukan
  • Reezal Merican Naina Merican
  • Timbalan Menteri: Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal (akan dilantik sebagai senator)

Mufti Wilayah Persekutuan Dilantik Menteri

Mufti Wilayah Persekutuan, Zulkifli Mohamad Al-Bakri muncul sebagai mufti pertama di negara ini dilantik menganggotai barisan jemaah Kabinet.

Agamawan kelahiran Terengganu itu akan menganggotai barisan Kabinet sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama).

Perkara itu diumumkan Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin ketika mengumumkan barisan anggota Kabinet baharu di bawah pentadbiran beliau.

Menurut Muhyiddin, Zulkifli terlebih dahulu akan dilantik sebagai Senator bagi membolehkan beliau memegang jawatan itu.

FAKTA KABINET PAKATAN NASIONAL 2020

Selepas Muhyiddin Yassin selaku Perdana Menteri ke 8 mengumumkan kabinet baru, pertanyaannya adalah, seberapa besar kabinet? Berapa ramai wanita? Siapa pemimpin besar yang tidak tersenarai?

Dipetik dari malaysiakini, kami ingin membantu anda mendapatkan jawapannya, jadi teruskan membaca.

Adakah kabinet ini lebih besar?

Ya. Kabinet Tun Mahathir Mohamad mempunyai 27 menteri, yang mana Dr Wan Azizah Wan Ismail memegang dua portfolio dan melantik 26 timbalan menteri.

Kabinet Muhyiddin Yassin memiliki 32 portfolio dan perdana menteri telah melantik 38 timbalan menteri. Tujuh kementerian mempunyai dua timbalan menteri.

Siapa di kalangan kabinet bukan ahli politik?

Kerajaan baru PN telah melantik dua orang bukan ahli politik ke dalam barisan jemaah menteri, bekas CEO Kumpulan CIMB, Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz, 46 dan bekas mufti Wilayah Persekutuan Zulkifli Mohamad Al-Bakri, 51. Mereka akan dilantik sebagai senator.

Tengku Zafrul berpengalaman luas selama 24 tahun dalam bidang industri kewangan, manakala Zulkifli pula dikenali dengan pendekatannya yang sederhana selama menjadi mufti sejak 2014.

Berapa kerusi mengikut parti?

Bersatu menguasai sebahagian besar jawatan kabinet dan timbalan menteri, walaupun berada di tangga kedua dari segi jumlah anggota parlimen penyokong kerajaan.

Bersatu mengawal 34 peratus jawatan dalam kabinet walaupun mempunyai hanya 26 peratus jumlah anggota parlimen.

Umno berada di kedudukan kedua dengan menguasai 28 peratus jawatan kabinet walaupun memiliki 35 peratus MP penyokong kerajaan.

Gabungan Parti Sarawak (GPS) berada di tempat ketiga walaupun dari segi jumlah MP, ia sama dengan PAS.

Kedua-dua PAS dan GPS mempunyai 18 MP tetapi gabungan dari Sarawak itu mendapat empat jawatan menteri kabinet manakala PAS mempunyai tiga orang.

Keseluruhannya, Bersatu mempunyai 11 menteri, manakala Umno sembilan, empat GPS, PAS tiga, MCA dua, MIC satu dan PBS satu.

Bagi timbalan menteri, Bersatu akan mempunyai 14 orang, diikuti oleh Umno dengan sembilan timbalan menteri, PAS dan GPS pada masing-masing lima, MCA tiga, PBRS satu dan Star satu.

Pemimpin kanan parti manakah tidak dilantik sebagai menteri?

Kedua-dua Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi dan Timbalan Presiden Umno Mohamad Hassan tidak dilantik ke dalam barisan jemaah menteri kerajaan PN.

Pemimpin Umno paling kanan yang dilantik ke dalam kabinet ialah Noraini Ahmad (menteri pendidikan tinggi).

Beliau ialah ketua Wanita Umno, yang pada tahun 2019 lepas, selepas pindaan perlembagaan parti telah dinaikkan setaraf dengan kedudukan timbalan presiden Umno.

Hanya satu daripada tiga naib presiden Umno yang dilantik ke dalam kerajaan PN.

Ismail Sabri Yaakob kini menjadi menteri pertahanan, manakala Khaled Nordin dan Mahdzir Khalid tidak tersenarai ke dalam kabinet.

Presiden PAS Abdul Hadi Awang tidak termasuk dalam kerajaan baru tetapi timbalannya Tuan Ibrahim Tuan Man dilantik sebagai menteri alam sekitar.

Tidak mengejutkan apabila Naib Presiden PAS yang juga Menteri Besar Terengganu Ahmad Samsuri Mokhtar dan Timbalan MB Kelantan Mohd Amar Abdullah tidak dilantik kerana masing-masing sedang mentadbir kerajaan negeri.

Walau bagaimanapun, seorang lagi naib presiden PAS, Idris Ahmad, yang tidak memegang jawatan kepimpinan negeri, tidak dilantik ke dalam kabinet.

Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan dilantik sebagai menteri di JPM yang bertanggungjawab terhadap urusan undang-undang dan hal ehwal parlimen, jawatan penting yang boleh mempengaruhi perubahan perundangan.

Presiden MIC, S Vigneswaran juga tidak termasuk dalam kabinet. Beliau kini merupakan Yang di-Pertua Dewan Negara. Timbalannya, M Saravanan telah dilantik sebagai menteri sumber manusia.

Bagi GPS pula, presiden PBB (Abang Johari Openg), PRS (James Masing) dan SUPP (Sim Kui Hian) difahamkan tidak termasuk ke dalam kabinet kerana mereka sudah menjadi sebahagian daripada kabinet Sarawak.

Pengecualian kepada Presiden PDP Tiong King Sing, yang dilantik sebagai timbalan menteri perpaduan negara.

Berapa nisbah wanita jadi menteri ahli kabinet, timbalan menteri?

Terdapat lima menteri kabinet wanita dan empat timbalan menteri. Jumlah ini tidak berubah sebagaimana kabinet sebelumnya.

Bagaimanapun, perlu diingatkan Dr Wan Azizah memegang dua jawatan kabinet pada masa itu dan dari segi nisbah sekarang terdapat lebih ramai lagi timbalan menteri.

Berapa banyak kem Azmin Ali dapat jawatan?

Bekas timbalan presiden PKR, Mohamed Azmin Ali, yang memainkan peranan penting dalam membentuk kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang baru, selepas merancang sekumpulan ahli parlimen untuk berpaling tadah kepada gabungan baru.

Termasuk Azmin, terdapat 10 MP yang meninggalkan PKR untuk menyertai Bersatu susulan "Langkah Sheraton."

Daripada kumpulan bekas anggota parlimen PKR ini, Rashid Hasnon merupakan satu-satunya MP yang tidak menjadi menteri kabinet atau timbalan menteri. Perlu diingatkan Rashid masih lagi timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat.

Pelantikan kem Azmin adalah seperti berikut:

Menteri:
  • Azmin Ali
  • Saifuddin Abdullah
  • Zuraida Kamaruddin

Timbalan menteri:
  • Ali Biju
  • Jonathan Yassin
  • Kamaruddin Jaffar
  • Mansor Othman
  • Santhara Kumar
  • Willie Mongin

Berapa ramai menteri, timbalannya dari Sabah, Sarawak?

Terdapat empat menteri kabinet dari Sarawak dan dua dari Sabah. Ini menjadikan enam menteri dari Malaysia Timur, naik dari hanya empat ketika kabinet sebelumnya.

Jadi, pada masa ini, 18.75 peratus menteri kabinet berasal dari Malaysia Timur walaupun kira-kira 20 peratus MP yang menyokong Muhyiddin dari sini.

Adakah kementerian bubar? Adakah terdapat kementerian baru?

Paling ketara, tiada lagi jawatan timbalan perdana menteri di dalam kabinet buat masa ini. Walau bagaimanapun, Muhyiddin masih boleh menamakan timbalannya kemudian.

Muhyiddin juga telah menghapuskan Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional di Jabatan Perdana Menteri dan menggantikannya dengan Kementerian Perpaduan Negara yang berdiri sendiri.

Empat kementerian pula sama ada dinamakan semula atau disatukan:
  • Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani
  • Kementerian Tenaga, Teknologi, Sains, Perbahan Iklim dan Alam Sekitar
  • Kementerian Air, Tanah dan Sumber Asli
  • Kementerian Industri Utama.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

-Sentiasapanas.com