Tuesday, May 26, 2015

TPPA, Cara Merompak Kekayaan Secara Sah!

TPPA, Cara Merompak Kekayaan Secara Sah!

Minggu lalu, kita bercakap mengenai bab Pelaburan di bawah perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPP), termasuk bagaimana Malaysia boleh disaman syarikat luar di tribunal antarabangsa jika kerajaan kita bertegas mahu menyertainya.

TPPA

‘Keistimewaan’ diberikan TPP kepada pelabur untuk memfailkan saman terhadap negara di mana mereka beroperasi diletakkan di bawah peruntukan digelar 'Investor-State Dispute Settlement' atau Penyelesaian Pertelingkahan Pelabur-Negara (ISDS).

Tidak hairanlah jika syarikat multinasional kini berusaha ingin memastikan ISDS dimasukkan dalam teks akhir TPP yang akan ditandatangani negara peserta termasuk Malaysia.

ISDS membenarkan pelabur luar mencabar mana-mana tindakan kerajaan walaupun ia adalah undang-undang, peraturan atau keputusan mahkamah yang dibuat demi kepentingan awam jika apa yang diputuskan kerajaan itu telah atau akan menjejaskan pelaburan atau keuntungan syarikat.

Perbicaraan kes di bawah ISDS pula akan dibuat di tribunal antarabangsa, di mana undang-undang dan sistem kehakiman Malaysia tidak dapat diguna pakai.

Mungkin contoh paling sesuai dan mudah difahami mengenai ISDS dalam konteks Malaysia ialah kes antara kerajaan Afrika Selatan dan sekumpulan syarikat Eropah.

Sama seperti Dasar Ekonomi Baru di Malaysia, Afrika Selatan juga mempunyai dasar afirmatif digelar Pemerkasaan Ekonomi Rakyat Kulit Hitam (Black Economic Empowerment, BEE), susulan penamatan dasar aparteid di negara itu pada awal 1990-an.

Program BEE ini menjadi fokus paling penting dalam mana-mana dasar untuk menyeimbangkan ketidaksamaan antara kaum dalam ekonomi negara itu, sama seperti dasar Bumiputera di Malaysia.

Pada 2004, kerajaan negara itu menguatkuasakan Akta Pembangunan Sumber Petroleum dan Mineral yang memerlukan semua syarikat perlombongan mendapatkan semula lesen mereka. Untuk mendapatkan lesen baharu di bawah akta ini, kerajaan negara itu menetapkan supaya lebih banyak pegangan saham dalam syarikat perlombongan dipindahkan kepada pelabur kulit hitam serta perlu ada usaha daripada syarikat luar untuk meningkatkan peratusan rakyat kulit hitam Afrika Selatan dalam jawatan pengurusan.

Namun, kerajaan Afrika Selatan terheret dalam kes ISDS di mahkamah antarabangsa apabila sekumpulan syarikat Eropah yang terlibat dalam industri perlombongan di negara itu memfailkan tuntutan kepada Pusat Antarabangsa untuk Penyelesaian bagi Pertelingkahan Pelaburan pada 2007.

Kumpulan syarikat itu menuduh Afrika Selatan mencabuli hak perlindungan terhadap pelabur asing seperti terkandung dalam perjanjian antara negara itu dengan Itali, Belgium dan Luxembourg.

Menurut mereka, syarat untuk mendapatkan lesen baharu yang dikenakan Afrika Selatan melanggar kewajipan Afrika Selatan untuk memberikan layanan adil dan sama rata kepada semua pelabur luar seperti ditetapkan dalam perjanjian perdagangan itu.

Kes itu selesai pada 2010 dengan Afrika Selatan terpaksa memberi kelonggaran yang besar kepada pelabur untuk tidak mengikut sepenuhnya syarat ditetapkan di bawah program BEE.

Mengambil teladan daripada kes ini, kerajaan Afrika Selatan mula menilai kembali perjanjian-perjanjian lain yang didapati tidak menguntungkan rakyat dan negara mereka dan lebih berhati-hati di masa hadapan.

Mengikut amalan biasa, pelabur perlu membawa kes mereka ke pelbagai peringkat mahkamah domestik terlebih dahulu dan jika gagal, barulah boleh membawanya ke tribunal antarabangsa; tetapi di bawah TPP, kes boleh dibawa terus ke tribunal antarabangsa.

Bukan itu sahaja, sistem yang ingin digunakan di bawah ISDS juga berat sebelah apabila tribunal antarabangsa hanya membenarkan pelabur membawa kes itu ke mahkamah manakala kerajaan sesebuah negara tidak boleh membawa tuntutan ISDS ke tribunal itu jika ada pelabur melanggar peraturan kerajaan.

Selain itu, sistem ISDS yang membolehkan pelabur luar dianugerahkan pampasan bernilai berbilion ringgit oleh tribunal antarabangsa akan menimbulkan ‘kegerunan’ di pihak kerajaan yang memikirkan mereka mungkin terpaksa membayar wang yang banyak kepada syarikat luar.

Pengkritik sistem ini berpendapat, ISDS akan menyebabkan ada kerajaan sanggup mengetepikan dasar untuk kepentingan awam dan tidak mahu mengubah dasar sedia ada semata-mata kerana takut disaman pelabur luar.

Lebih membimbangkan, kemenangan dan ganjaran diputuskan tribunal antarabangsa ini tidak boleh disemak semula (selain jika terdapat kesilapan dalam penghakiman atau ketidakadilan yang serius dari segi prosedur) sama ada oleh tribunal itu sendiri atau mahkamah di mana-mana negara.

Dasar kerajaan Malaysia untuk meningkatkan daya ekonomi rakyatnya berdasarkan realiti kepelbagaian kaum di negara ini bertujuan untuk membina suasana harmonis agar syarikat antarabangsa dapat membuat pelaburan di negara ini dengan aman.

Malaysia tidak perlu mengikut telunjuk negara luar. Dalam proses perundingan TPP, kerajaan perlu tegas dalam mempertahankan dasar-dasar yang unik kepada Malaysia.

Kumpulan perunding bagi pihak Malaysia perlu memastikan mekanisma ISDS tidak dimasukkan di dalam Bab Pelaburan kerana ia akan menyebabkan kerajaan terdedah kepada tindakan mahkamah oleh pelabur luar dari negara TPP, terutama AS, yang akan menghalang kerajaan dari melaksanakan dasar bagi kepentingan awam yang dirasakan akan menyusahkan mereka. Kepentingan rakyat perlu diutamakan, terutamanya dalam perlaksanaan dasar afirmatif untuk mengimbangi keadaan sosio-ekonomi kaum-kaum di Malaysia.

Oleh itu, kerajaan perlu memilih mana lebih penting; kemasukan pelaburan yang banyak melalui firma asing atau kedaulatan serta hak negara untuk menentukan sendiri dasar yang terbaik bagi rakyat Malaysia.

MOHD NIZAM MAHSHAR: PENULIS ADALAH KETUA EKSEKUTIF MAJLIS TINDAKAN EKONOMI MELAYU (MTEM)

BACA INI JUGA: Penciptaan Wang Kertas Adalah Penipuan Licik Puak Yahudi

Sumber: Sinarharian.com.my

Friday, December 06, 2013

Panas! Malaysia Akan Di Gadai Bermula Esok!

Panas! Malaysia Akan Di Gadai Bermula Esok!

Bermula esok, akan ada satu mesyuarat paling penting yang bakal menentukan masa depan dan status kedaulatan ekonomi Malaysia dari 7 hingga 10 Disember ini.

Perkongsian Trans-Pasifik (TPP)

Mesyuarat itu adalah antara menteri-menteri perdagangan dari negara yang sedang berunding untuk menandatangani Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) terbesar pernah disaksikan dunia, Perkongsian Trans-Pasifik (TPP).

Mesyuarat dijadualkan berlangsung di Singapura itu dianggap detik penentu sama ada Malaysia akan menyertai TPP dan jika ya, apakah yang perlu dikorbankan negara dan siapakah yang akan paling terkesan akibat TPP?

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sendiri mengakui TPP bukanlah sebuah perjanjian normal seperti yang ditandatangani Malaysia sebelum ini.

“Apabila (rundingan TPP) mula memasuki bab hak harta intelek, penyelesaian pelabur-negara (ISDS), syarikat milik kerajaan, alam sekitar dan buruh, secara asasnya ada kesan kepada hak negara berdaulat untuk membuat peraturan dan dasar.

“Inilah bahagian yang rumit dan sebab inilah kami menuntut untuk diberikan fleksibiliti,” katanya dalam satu perbincangan semasa Sidang Kemuncak Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik di Bali, Indonesia pada awal Oktober lalu.

Mengapa perlu TPP di sebalik FTA sedia ada?

Penentangan terhadap TPP bukan hanya berlaku di Malaysia tetapi negara peserta lain iaitu Australia, Brunei, Kanada, Chile, Jepun, Mexico, New Zealand, Peru, Singapura, Vietnam dan Amerika Syarikat (AS) turut menerima tentangan daripada badan bukan kerajaan (NGO) dan pakar akademik masing-masing.

Apa yang paling ditakuti NGO dan pakar ekonomi adalah TPP akan memberikan terlalu banyak kuasa kepada syarikat luar negara dan membuka persaingan dalam negara tanpa mengambil kira tahap kemajuan berbeza antara negara peserta TPP.

Antara persoalan dibangkitkan NGO di negara ini adalah mengapa Malaysia begitu mahukan TPP walaupun pelbagai FTA sedia ada dan akan datang dianggap mencukupi untuk pasaran eksport negara.

Menurut Majlis Tindakan Ekonomi Melayu (MTEM), Malaysia telah pun mempunyai FTA dua hala dengan semua negara peserta TPP kecuali AS, Kanada, Mexico dan Peru.

“Daripada semua negara ini, pasaran terbesar adalah AS, jadi mungkin hujah digunakan (untuk sertai TPP) adalah untuk meningkatkan eksport barangan Malaysia ke AS apabila cukai untuk menghantar barangan atau perkhidmatan ke negara itu dihapuskan,” menurut MTEM.

Namun, kajian MTEM menunjukkan 75 peratus barangan Malaysia yang dieksport ke AS pada masa ini memasuki negara itu dengan kadar cukai 0.2 peratus sahaja atau tanpa cukai sama sekali.

“Manfaat yang akan diterima daripada penghapusan cukai jika Malaysia sertai TPP mungkin dalam sektor tekstil dan seramik sahaja.

“Bagi tekstil, untuk memasuki pasaran AS tanpa cukai, pengeluar pakaian perlu membeli benang dari AS yang jauh lebih mahal jika dibandingkan dengan China,” menurut kajian itu.

Bagi sektor seramik pula, MTEM berkata jumlah cukai yang perlu dibayar pengeluar seramik di Malaysia untuk menghantarnya ke AS hanya US$1.1 juta (RM3.54 juta) daripada nilai eksport keseluruhan US$19 juta (RM61 juta) tahun lalu.

“Kalau (nilai) ini saja yang kita dapat jimatkan dengan penyertaan Malaysia dalam TPP, berbaloikah untuk sertai TPP sedangkan banyak sektor lain seperti perolehan kerajaan perlu dibuka kepada syarikat luar, harga ubat akan lebih mahal dan kawalan modal (bagi pasaran kewangan) tidak boleh dilakukan?” soal MTEM.

Negara terdesak mahu tandatangani TPP

Di sebalik tentangan tanpa henti pelbagai pihak, TPP kini tiba di peringkat akhir rundingan, dengan ramai pemerhati menjangkakan perjanjian itu akan dimuktamadkan di Singapura,esok!

Profesor undang-undang Universiti Auckland di New Zealand, Jane Kelsey berkata, TPP akan hanya boleh dicapai jika negara peserta berkompromi secara berbahaya pada perjumpaan di Singapura nanti.

“Perjumpaan ini juga akan melihat menteri-menteri perdagangan (negara TPP) membuat keputusan yang sepatutnya dibuat antaranya oleh menteri kesihatan, kerajaan tempatan dan menteri alam sekitar.

“Dan tentu sekali, mereka akan membuat keputusan ini secara rahsia,” katanya melalui tulisan beliau dalam akhbar The New Zealand Herald bertarikh 29 November lalu.

Beliau turut mempersoal bagaimana rundingan TPP yang pada Oktober lalu seolah hampir mustahil untuk mencapai persetujuan, kini dilihat akan tetap ditandatangani negara peserta.

“Bulan lalu (Oktober), lebih separuh daripada 29 bab dalam TPP mempunyai banyak isu serius yang belum diselesaikan. Apa yang membuatkan rundingan ini hampir pasti ditandatangani sekarang?

“Ini kerana perunding bekerja mengikut mandat diberikan menteri. Mereka perlu mengikut arahan yang diberikan menteri.

“Tetapi (untuk mencapai tahap akhir rundingan ini) banyak benda perlu dikorbankan dan perunding akan memberi senarai ini kepada menteri untuk membuat keputusan pada mesyuarat di Singapura nanti,” katanya.

Rakyat Malaysia setakat ini boleh menarik nafas lega kerana teks rundingan TPP yang didedahkan laman web pembocor rahsia Wikileaks baru-baru ini menunjukkan kerajaan Malaysia menentang keras beberapa permintaan utama AS dan negara lain termasuk untuk memanjangkan tempoh hak cipta ubat-ubatan yang boleh menyebabkan harga ubat baru kekal mahal bagi tempoh lebih lama.

Masa depan kita kini berada dalam tangan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed, atau lebih dikenali sebagai Tok Pa, yang akan membawa bersama harapan dan kebimbangan Malaysia dalam mesyuarat di Singapura nanti.

Adakah Tok Pa akan terus mempertahankan hak Malaysia dalam rundingan TPP seperti yang telah dilakukannya sehingga kini atau adakah kerajaan akhirnya akan tunduk kepada permintaan negara TPP lain pada 7 Disember ini?

Sumber: Sinar Online