Thursday, January 19, 2017

Ibu Nafi Lindsay Lohan Masuk Islam

Ibu Nafi Lindsay Lohan Masuk Islam

Menerusi sebuah portal Gossip Cop berpengkalan di New York, Amerika Syarikat, melaporkan ibu Lindsay, Dina dan jurucakap pelakon itu mengesahkan yang dia tidak menukar agama kepada Islam.

Lindsay Lohan

Kontroversi membabitkan pelakon dan penyanyi Hollywood, Lindsay Lohan yang dikatakan telah memeluk Islam nyata hanyalah khabar angin sahaja.

Menurut ibunya, Lindsay hanya ingin berehat dari media sosial susulan semua gambar di Twitter dan Instagram anaknya itu dipadam baru-baru ini.

Jurucakap pelakon Mean Girls itu turut mengesahkan Lindsay memang sedang mendalami agama lain termasuk Islam tetapi belum menjadi seorang Muslim.

“Dia tidak masuk Islam,” kata jurucakapnya.

Sementara itu, terdapat sebuah portal yang menilai sesebuah laporan sama ada benar atau khabar angin mengesahkan berita Lindsay memeluk Islam hanyalah khabar angin dan berita palsu semata-mata.

Sebelum ini, pelakon berusia 30 tahun itu telah menulis perkataan ‘Alaikum Salam’ dan memadam semua gambar di akaun laman sosialnya sehingga netizen menganggap dia mungkin telah memeluk agama Islam dan ramai tertanya-tanya, apa agama Lindsay Lohan sekarang.

Tindakan pelakon kanak-kanak dalam filem The Parent Trap ini mendapat respon yang baik daripada netizen beragama Islam yang mengucapkan tahniah jika benar dia sudah memeluk agama Islam.

Berita mengenai bekas bintang Disney ini berkemungkinan sudah memeluk Islam tersebar sejak 2015 apabila dia dirakam memegang kitab suci Al-Quran ketika melakukan kerja khidmat masyarakat di Brooklyn.

Khabar angin mengenai Lindsay Lohan memeluk agama Islam semakin menular kuat apabila aktres itu bertudung dan mengenakan pakaian muslimah lengkap berselendang ketika melawat Turki.

Bagaimanapun, Lindsay sendiri tidak menyatakan dia memeluk Islam dan tidak menjawab ketika diminta mengulasnya.

Ini bukanlah kali pertama selebriti luar negara dikhabarkan memeluk agama Islam kerana sebelum ini pelakon Fast & Furious, Tyrese Gibson juga dilaporkan telah memeluk agama Islam namun dinafikan.

BACA INI JUGA: Kisah Ustaz Harun Din Dan Pemuda Yang Masuk Islam

Sumber: mynewshub

Saturday, December 31, 2016

Kisah Perceraian Dan Kontroversi Selebriti Malaysia 2016

Kisah Perceraian Dan Kontroversi Selebriti Malaysia 2016

Saban tahun, ia bagaikan tidak sah jika kisah kontroversi dan perceraian dalam dunia hiburan tidak berlaku dan kalendar hiburan 2016 tidak terkecuali apabila pelbagai kisah melibatkan artis tempatan menjadi perhatian peminat.

Antara paling diingati adalah kisah penyanyi Zila Seeron (AF4) yang ditangkap khalwat dengan seorang lelaki berstatus suami orang pada 13 Ogos lalu.

Penangkapannya mendapat liputan meluas ekoran Zila ketika itu juga masih bergelar isteri kepada pelawak Along Cham dan lelaki itu akhirnya memutuskan untuk bercerai pada 29 Ogos lalu.

'Percakaran' melibatkan penyanyi Elly Mazlein dan pelakon Faye Kusyairi juga antara yang menggamatkan industri hiburan selain pengakuan aktor Adi Putra yang berkahwin dua.

Tidak terhenti di situ, kontroversi melibatkan Ammar Alfian, Atikah Suhaimi dan Idris Khan yang didakwa terlibat dalam video seks tahun lalu kembali hangat pada 2016 apabila gambar dikatakan mirip Atikah dan Idris tersebar luas di internet.

Walau bagaimanapun, kes perceraian di kalangan selebriti menunjukkan penurunan ketara dan harap-harapnya 2017 tiada terdengar artis ingin bercerai!

Berikut adalah himpunan beberapa kisah perceraian dan kontroversi yang menjadi perhatian sepanjang 2016:

Perceraian 2016

1. Rizman Khuzaimi & Kartina Ayoob (13 Januari 2016)

Cerai

Pembukaan kalendar 2016 menyaksikan perceraian pasangan pelakon Rizman Khuzaimi dengan Kartina Ayoob pada 13 Januari lalu.

Rizman atau Mohd Rizman Mohd Khuzaimi, 45, memberitahu mahkamah perceraian itu terpaksa dilakukan kerana mereka sudah tidak mempunyai persefahaman lagi.

Riezman dan Kartina, 46, berkahwin pada 24 Februari 2001 dan dikurniakan dua orang anak iaitu Afiq Kiraman, 12, dan Ruzain Nars, 7.

Kartina turut mempunyai seorang anak iaitu Tatiana Batrisya, 20, hasil perkahwinan terdahulunya.

2. Fasha Sandha & Jejai (20 Januari 2016)

Cerai

Dunia hiburan dikejutkan dengan berita perceraian pelakon Fasha Sandha dengan Rizal Ashram Ramli atau Jejai pada 20 Januari lalu.

Fasha dalam satu kenyataan ringkas kepada pihak media sejurus prosiding berlangsung memberitahu sudah berusaha menyelamatkan perkahwinan itu dan reda dengan perpisahan tersebut.

Pasangan itu bernikah pada 27 April 2012 dan dikurniakan dua cahaya mata iaitu Putra Rayfal yang berusia dua tahun dan Putri Raysha Jemyma yang berumur setahun.

Sebelum itu Jejai pernah bekahwin dengan Nora Danish pada 20 Jun 2006 dan bercerai pada 10 Julai 2008 dan hasil perkahwinan itu mereka mendapat seorang anak lelaki iaitu Putra Rayqal yang kini berusia tujuh tahun.

3. Farah Asyikin & Zaahier Stanley (28 Januari 2016)

Cerai

Selepas dua tahun turun naik mahkamah bagi menyelesaikan kes perceraian, akhirnya penyanyi Farah Asyikin sah bercerai dengan Zaahier Stanley secara tebus talak pada 28 Januari lalu.

Lafaz berkenaan dibuat oleh hakim lantikan mahkamah iaitu Mohd Fateh Salleh yang mewakili Zaahier, 39, selaku defendan kes berkenaan di hadapan Hakim Syarie, Umamuddin Yunus.

Terdahulu, Farah atau nama sebenarnya Farah Asyikin Zulkifli, 36, memfailkan perceraian mengikut Seksyen 47 Akta Undang-undang Keluarga Islam Wilayah Persekutuan 1984 pada Oktober 2014.

Zaahier yang juga seorang warganegara Afrika Selatan berketurunan Melayu Cape berkahwin pada 15 Februari 2013 selepas berkenalan selama setahun menerusi Twitter.

Hasil perkahwinan tersebut pasangan ini dikurniakan seorang cahaya mata lelaki bernama Ebrahim Owais yang berusia 18 bulan.

4. Syanie Hisham & Nadi Putra Mohd Zainol (23 Februari 2016)

Cerai

Pelakon Syanie Hisham mengejutkan peminatnya apabila perkahwinan keduanya dengan Nadi Putera Mohd Zainol berakhir selepas bercerai pada 23 Februari lalu.

Enggan mendedahkan punca sebenar perceraian itu Syanie, 43, bagaimanapun memberitahu dia mengambil keputusan untuk berpisah kerana merasakan dirinya tidak dihargai oleh bekas suaminya itu.

Pasangan itu dinikahkan dalam satu majlis yang diadakan di Sandy Beach Resort, Langkawi, Kedah dengan sekali lafaz pada 1 Mac 2014.

Pelakon itu sebelum ini pernah mendirikan rumah tangga dengan Mohd Attirmidi Abdul pada 1996 namun bercerai enam tahun kemudian.

5. Ally Iskandar & Nurfarahin Romli (17 Ogos 2016)

Cerai

Personaliti TV3, Ally Iskandar, mengesahkan telah bercerai talak satu dengan isterinya, Nurfarahin Romli pada 17 Ogos lalu.

Ally menerusi status di laman Facebooknya menjelaskan lafaz cerai itu dibuat di hadapan Hakim Syarie, Azeeman Omar di Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Lumpur.

Dalam pada itu, dalam status sama, Ally berkata, biarpun sudah tidak mempunyai ikatan perkahwinan namun hubungan mereka masih kekal baik.

Ally atau nama sebenarnya Ally Iskandar Mohd Mardzi, 40 dan Farahin bernikah pada 20 Januari 2012 dan dikurniakan anak perempuan, Maream Esabel, 2 tahun.

6. Along Cham & Zila AF4 (29 Ogos 2016)

Cerai

Kontroversi yang melanda rumah tangga Along Cham dan Zila (AF4) berakhir dengan perceraian apabila pelawak itu melafazkan talak satu terhadap Zila pada 29 Ogos lalu.

Along terdahulu memfailkan permohonan cerai selepas memberitahu mahkamah sudah tinggal berasingan selama lima bulan ekoran Zila keluar daripada rumah tanpa kebenarannya.

Jelasnya lagi, isterinya itu bertindak keluar daripada rumah kerana tidak suka dimarahi plaintif disebabkan sikapnya yang malas memasak.

Episod duka Along bertambah parah apabila Zila ditangkap oleh sepasukan pegawai penguatkuasa Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) dalam kejadian pada 13 Ogos 2016 selepas dipercayai berkhalwat dengan seorang lelaki di Bukti Jalil.

Semasa serbuan dibuat, wanita berkenaan ditemui bersembunyi di belakang almari dalam sebuah bilik.

Pasangan itu berkahwin pada Januari 2010 dan dikurniakan seorang cahaya mata iaitu Ahmad Danial yang kini berusia lima tahun.

Kontroversi 2016

1. Suami Adira Peluk Ruhainies (Julai 2016)

Ruhainies

Pelakon Ruhainies menerima kritikan hebat selepas videonya keluar bersama suami Adira iaitu Datuk Seri Abu Adnan didedahkan.

Ruhainies, 24, bagaimanapun tidak cepat melatah dalam menangani kontroversi tersebut sebalik mengaku pernah keluar bersama ahli perniagaan itu selepas dipelawa oleh Adnan atau lebih dikenali sebagai Datuk Red.

Bagaimanapun katanya, dia tidak mempunyai hubungan dengan lelaki berkenaan dan mendakwa telah diperangkap kerana tidak menyedari perbuatan lelaki itu memeluknya.

Malah pelakon itu percaya pihak yang mengambil gambar tersebut diupah untuk merakam kami seperti sedang bermesra dan disebarkan kepada umum, ujarnya.

2. Gambar Perkahwinan Kedua Adi Putra Tersebar (Julai 2016)

Adi Putra

Nama pelakon Adi Putra menjadi perhatian apabila foto perkahwinan rahsianya dengan seorang wanita berusia 33 tahun yang juga seorang janda anak satu tersebar luas di media sosial.

Adi kemudiannya mengesahkan sudah berkahwin dengan wanita yang dikenali sebagai Nur Shahida itu pada 20 Jun lalu dalam satu sidang media yang diadakan pada Julai lalu.

Sidang media itu bagaimanapun bertukar kecoh apabila bekas adik ipar isteri pelakon itu muncul mempersoalkan tindakan Adi memburukkan abangnya selain ingin membersihkan nama keluarganya yang tercalar akibat kejadian itu.

Rumah tangga Adi dan isterinya pertamanya, Aida sebelum ini pernah berhadapan dengan masalah apabila Adi memfailkan perceraian di Mahkamah Rendah Syariah Kuala Lumpur terhadap wanita itu pada 11 Mei 2012 namun membatalkan hasrat itu kemudiannya.

Hasil perkahwinan mereka sejak 14 April 2006, pasangan itu tidak mendapat cahaya mata kerana Aida sering keguguran namun mereka mempunyai seorang anak angkat perempuan berusia empat tahun.

3. Uqasha Senrose Buka Tudung (Ogos)

Uqasha Senrose

Pelakon Uqasha Senrose dikritik hebat apabila membuat keputusan untuk tidak lagi berhijab sejak Ogos lalu selepas dikatakan 'gagal mendapat hidayah'.

Uqasha menjelaskan tindakannya itu kerana dia tidak mahu terus hidup dalam kepura-puraan kerana keputusannya bertudung sebelum ini tidak dibuat daripada hatinya sendiri.

Malah dia juga bersedia menerima segala kritikan dan kecaman daripada peminat berhubung keputusannya itu.

4. Gambar Bogel Menyerupai Atikah Suhaimi & Idris Khan (September 2016)

Atikah Suhaimi

Industri hiburan digemparkan dengan penyebaran gambar bogel yang dikatakan menyerupai pelakon Atikah Suhaimi dan Idris Khan.

Atikah baik Idris bagaimanapun enggan mengulas mengenai penyebaran gambar berkenaan dan menyerahkan perkara itu kepada pihak berkuasa menjalankan siasatan.

Pada tahun lalu, mereka turut dihimpit kontroversi sama kononnya mempunyai video seks bersama seorang lagi pelakon iaitu Ammar Alfian.

Bagaimanapun ketiga-tiga mereka tampil menafikan perkara itu dan meminta pihak yang menyebar khabar angin itu menunjukkan bukti.

5. Fara Fauzana Batal Kahwin Saat-Saat Akhir (September 2016)

Fara Fauzana

Personaliti radio popular Fara Fauzana mengejutkan peminat apabila mengambil keputusan membatalkan perkahwinannya dengan Mohamed Hafiz Badiuzzaman, 30, pada saat akhir yang sepatutnya berlangsung pada 17 September lalu.

Fara, 36, bagaimanapun enggan berkongsi punca dia mengambil keputusan itu dan hanya menyatakan ia sebagai sebab peribadi.

Sikap berdiam diri Fara telah menimbulkan pelbagai spekulasi sehingga timbul dakwaan dia membatalkan perkahwinan itu kerana Hafiz sudah pun berkahwin.

Hafiz tampil menafikan perkara itu dan meminta pihak media bertanya sendiri tentang sebab sebenar Fara membatalkan perkahwinan mereka.

6. Elly Mazlein, Azmi Hatta & Faye Kusyairi (Oktober 2016)

Elly Mazlein

Nama Elly Mazlein hangat diperkatakan sepanjang 2016 selepas kisah disebalik perceraiannya dengan pengarah Azmi Hatta pada 15 Oktober tahun lalu menjadi kecoh.

Timbul pelbagai tuduh-menuduh di antara pasangan itu sehingga mengaitkan pelakon Faye Kusyairi sebagai orang ketiga yang menggangu keharmonian rumah tangga mereka.

Faye yang kemudiannya mengaku menjalinkan hubungan cinta dengan Azmi dikecam hebat walaupun menjelaskan mereka hanya rapat selepas pasangan itu bercerai.

Azmi pula dalam satu sidang media tergemparnya pada Oktober lalu tampil dengan surat akuan bersumpah selepas tidak tahan dengan pelbagai tuduhan dibuat bekas isterinya itu.

Pengarah itu turut mendakwa punca perceraiannya dengan penyanyi itu kerana sikap cemburu wanita itu yang melampaui batas.

BACA INI JUGA: 3 Mobile App Popular Perosak Perkahwinan!

Sumber: mStar

Thursday, August 25, 2016

Awas! Hidangan Steak Daripada Gam Daging!

Awas! Hidangan Steak Daripada Gam Daging!

Peringatan buat penggemar steak, sejak kebelakangan ini, tersebar berita bahawa menu tersebut tidak lagi diolah denga baik!

Steak+Lazat
Gambar hiasan.

Steak daging merupakan salah satu menu makanan Barat yang digemari ramai dan bagi mereka yang menyukai makanan ini pastinya tahu, daging dengan perapan khas akan membuatkan ia menjadi lembut dan sedap.

Tapi, jangan terlalu terbuai dengan keenakan makanan itu. Bermula hari ini, anda perlu berhati-hati kerana tidak semua steak daging yang digunakan terjamin kualiti dan kebersihannya.

Menurut seorang chef dari Restoran Perbacco, San Francisco, hampir semua restoran besar, kafe dan hotel disana tidak lagi menggunakan daging bermutu sebagai bahan utama dalam masakan steak daging.

Mereka sebaliknya memilih menggunakan potongan daging berkualiti rendah yang disatukan dengan gam daging.

Gam Daging

Gam daging atau lem daging juga dikenali sebagai Transglutaminase, sejenis enzim pelekat yang terbuat daripada plasma darah haiwan.

Selama puluhan tahun, sumber tunggal enzim tersebut adalah daripada plasma darah babi.

Namun, kini terdapat sumber lain untuk menghasilkan enzim seperti darah kambing dan darah lembu.

Sumber tersebut kemudian diproses melalui kaedah penapaian bakteria sehingga menjadi serbuk.

Fungsi Transglutaminase adalah sebagai pelekat yang digunakan untuk mencantumkan cebisan atau potongan daging menjadi kepingan daging yang lebih besar.

Cebisan daging yang telah dicampurkan dengan gam ini akan disusun sebelum dibalut dalam bekas plastik kedap udara.

Selepas 24 jam, cebisan daging dengan campuran Transglutaminase akan membesar sehingga tiga kali ganda daripada berat asal.

Daging yang hanya seberat 4 kilogram akan bertambah menjadi sehingga 11 kilogram!

Bagi pengusaha daging, kaedah ini sememangnya sangat menguntungkan. Dan disebabkan itulah ramai pengusaha daging di AS menggunakannya untuk menghasilkan daging yang banyak bermula dengan hanya sedikit cebisan daging.

American Meat Institute (AMI) melaporkan, kira-kira, 3,628,739 kilogram daging dihasilkan untuk membuat steak palsu setiap tahun!

Gam daging yang sama seperti daging sebenar biasanya dijual dengan meluas untuk hidangan steak, barbeku dan burger.

Gam daging sebenarnya telah menjadi sebahagian daripada industri makanan sejak beberapa dekad yang lalu.

Selain daging lembu, gam daging juga digunakan untuk 'mencipta' pelbagai jenis daging, ikan, ayam, nuget, fish ball dan fish cake.

Dari segi rasanya pula, hampir mustahil untuk mengesan perbezaan antara gam daging dengan daging sebenar. Anda tidak akan tahu steak yang dimakan itu sumbernya daripada daging tulen atau tiruan.

Bahaya Gam Daging

Gam daging telah menimbulkan beberapa isu keselamatan makanan kerana sering mengakibatkan komplikasi selepas dimakan.

Kandungan bakteria di dalam gam daging didapati jauh lebih banyak berbanding daging sebenar.

Daging yang dimasak separuh mentah seperti cara Barat juga didapati mengandungi bakteria E.coli dibahagian permukaan dan disetiap potongan daging yang dicantum.

Bakteria ini biasanya sangat sukar 'dibunuh' dan akan hanya mati jika dimasak pada suhu melebihi 77 darjah selsius.

Dan jika tidak dimasak dengan betul, ia boleh menyebabkan masalah keracunan makanan, cirit-birit dan kegagalan buah pinggang.

Menurut pakar mirobiologi, bakteria yang terdapat pada steak yang menggunakan gam daging jauh lebih banyak berbanding steak biasa.

Sekiranya dimakan secara berterusan dengan cara membakarnya, ia boleh membawa risiko penyakit kanser.

Sebelum ini, Food and Drug Administration (FDA) telah mengiktiraf transglutaminase sebagai Generally Recognized as Safe (GRAS), bermaksud selamat digunakan.

Kanada, Australia dan banyak negara Eropah turut mengklasifikasikan serbuk ini sebagai bahan pemproses makanan yang selamat.

Namun, sejak bulan Mei 2010, Parlimen Eropah telah menyuarakan kebimbangan terhadap penggunaan gam daging.

Mereka turut memboikot produk gam daging malangnya, produk ini masih boleh didapati dipasaran.

Bagi umat Islam, berhati-hatilah kerana selain tidak suci, kesannya kepada kesihatan jelas membawa bahaya.

BACA INI JUGA: Daun Magik Herba Rerama Pakcik Khamarul Sembuhkan Kanser, AIDS, SLE?

-SENTIASAPANAS.COM

Wednesday, April 06, 2016

Kenapa Skandal 'Panama Papers' Dianggap Sebagai Jenayah?

Kenapa Skandal 'Panama Papers' Dianggap Sebagai Jenayah?

Dunia masih lagi dikejutkan dengan skandal terbesar yang melibatkan beberapa pemimpin dunia yang dikenali sebagai ‘Panama Papers’.

Scandal

Tapi, apa sebenarnya skandal Panama Papers ini? Kenapa ianya dikatakan menjadi satu kesalahan? Apa sebenarnya kesalahan mereka ini?

Bagi memudahkan kita semua memahami skandal Panama Papers ini, DanGLiesack dan Vox menerangkan skandal ini dalam bentuk kartun.

1. Katakan anda menyimpan wang dalam tabung di bilik anda.

Scandal

2. Tetapi ibu anda sering memeriksa berapa yang anda masukkan dan bawa keluar dari tabung itu. Anda tidak suka perkara itu.

Scandal

3. Jadi anda beli satu tabung baru.

Scandal

4. Dan bawanya ke rumah rakan anda, Johnny.

Scandal

5. Emak Johnny sibuk dan beliau tidak ada masa untuk memeriksa tabung anda. Jadi anda boleh menabung tanpa ada orang kacau.

Scandal

6. Kanak-kanak lain di kejiranan anda merasakan ianya satu perkara yang bijak.

Scandal

7. Jadi mereka semua turut meletakkan tabung mereka di bilik Johnny.

Scandal

8. Tetapi satu hari, emak Johnny akhirnya tahu berkenaan tabung-tabung itu.

Scandal

9. Beliau marah dan membuat panggilan ke semua ibu bapa kepada budak yang menyimpan tabung di bilik Johnny.

Scandal

10. Tidak semua yang menabung itu membuat kesalahan. Contohnya, anda hanya mahu privasi dari emak anda sahaja pada mulanya.

Scandal

11. Akhirnya kegiatan anda terbongkar juga.

Scandal

Diadaptasikan kes ini kepada Panama Papers, ramai individu yang berkuasa menyimpan tabung di rumah Johnny di Panama.

Anda mungkin tidak bersalah dalam soal ini. Tetapi rakan anda, Michael mencuri wang ibunya dan memasukkannya ke dalam tabung di rumah Johnny. Jacob pula mengambil duit poket pelajar lain dan menyimpannya di rumah Johnny supaya ibunya tidak tahu.

Wartawan seluruh dunia sedang membaca Panama Papers untuk lebih mengetahui tentang aktiviti yang berlaku di rumah Johnny di Panama; Sama ada segala urusan itu sah atau melanggar undang-undang, mereka tetap akan menghadapi masalah kerana memiliki tabung rahsia adalah perbuatan yang salah.

Buat masa ini, Perdana Menteri Iceland, Sigmundur Gunnlaugsson telah meletak jawatan selepas namanya dikaitkan dengan skandal Panama Papers ini.

Pemimpin lain seperti Vladimir Putin, Perdana Menteri Pakistan, Raja Arab Saudi dan Presiden Azerbaijan yang turut dikaitkan dalam skandal ini masih belum membuat kenyataan balas.

Ada yang menyatakan ini adalah agenda Amerika untuk melemahkan dan memburukkan nama pemimpin-pemimpin dunia ini.

Jadi kita tunggu dan lihat sahaja perkembangan terbaru tentang skandal ini.

BACA INI JUGA: Awas! 12 Jenis Penipuan Paling Popular Di Malaysia

Sumber: thevocket

Apa Sebenarnya 'Panama Papers'?

Apa Sebenarnya 'Panama Papers'?

Panama Papers adalah suatu siri pembongkaran dokumen dan aktiviti rahsia milik golongan elit dari seluruh dunia.

Skandal Panama Papers

Kesemua rekod tersebut diperoleh daripada sumber yang tidak dikenali oleh akhbar harian Jerman, Sueddeutsche Zeitung dan dikongsi media di seluruh dunia me­lalui Konsortium Wartawan Penyiasatan Antarabangsa (ICIJ).

Skandal Panama Papers 'meletup' apabila kumpulan media mula mendedahkan keputusan siasatan selama setahun mengenai 11.5 juta dokumen daripada firma guaman Panama, Mossack Fonseca, yang pakar dalam mewujudkan syarikat luar pesisir.

Dokumen-dokumen daripada sekitar 214,000 akaun luar pesisir meliputi tempoh hampir 40 tahun itu datang dari Mossack Fonseca, sebuah firma guaman berpangkalan di Panama yang mempunyai rangkaian pejabat di lebih 35 negara.

Berikut adalah beberapa fakta ringkas tentang Panama Papers

1. Apa itu Panama Papers?

Penerbitan hasil siasatan yang mendedahkan aktiviti kewangan luar pesisir golongan elit dunia.

Ia mendedahkan 11.5 juta rekod kewangan ahli perniagaan, selebriti, bintang sukan serta pemimpin dunia dari tahun 1970-an hingga 2015.

2. Siapa terajui siasatan?

Pada 2015, terdapat sumber memberi dokumen dari sebuah firma perundangan di Panama, Mossack Fonseca kepada akhbar Jerman Süddeutsche Zeitung.

Akhbar berkenaan serah dokumen kepada Konsortium Antarabangsa Wartawan Siasatan (ICIJ), sebuah kumpulan gabungan media antarabangsa.

Dokumen itu kemudian dianalisis oleh 400 wartawan dari 107 organisasi media.

3. Siapa dan negara manakah yang dikaitkan dengan Panama Papers?

Panama Papers mendedahkan beberapa transaksi kewangan oleh bekas pemimin, pemimpin kini, pegawai kerajaan dan ahli keluarga dan orang terdekat pemimpin negara dari lebih 40 negara.

Antara pemimpin yang dikaitkan adalah Presiden Rusia Vladmir Putin, Presiden Argentina Mauricio Macri, Presiden Ukraine Petro Poroshenko, Presiden Emiriah Arab Bersatu Khalifa bin Zayed Al Nahyan, Perdana Menteri Iceland Sigmundur Davíð Gunnlaugsson.

Antara selebriti yang dikaitkan dalam laporan ini adalah bintang Bollywood Amitabh Bachan, Aishwarya Rai Bachan, pelakon Hollywood Jackie Chan dan bintang sukan Lionel Messi.

4. Reaksi Mossack Fonseca

Memetik laporan CNN.com, Mossac Fonseca dalam satu kenyataan menjelaskan bahawa industri mereka tidak difahami oleh orang umum dan pendedahan dokumen ini akan mengelirukan lagi orang ramai.

"Jelas sekali, tiada siapa yang suka mempunyai harta mereka dicuri, dan kami berhasrat untuk melakukan apa sahaja yang kita boleh untuk memastikan pihak yang bersalah dibawa ke muka pengadilan,” kata firma Mossack Fonseca.

Pengasas bersama, Mossack Fonseca Ramon Fonseca Mora, berkata bahawa terdapat maklumat yang tidak tepat dalam laporan ICIJ dimana beberapa pihak bukan dan tidak pernah menjadi pelanggan Mossack Fonseca.

5. Laporan penuh pada Mei

Panama Papers mula didedahkan pada 3 April.

Pihak ICIJ bakal menyiarkan senarai penuh kesemua syarikat yang terlibat pada Mei.

BACA INI JUGA: 10 Negara Dengan Matawang Paling Mahal Di Dunia

Sumber: Astroawani/Kosmo

Thursday, November 12, 2015

Alvin Tan Hina Al-Quran

Alvin Tan Hina Al-Quran

Blogger lucah, Alvin Tan, terus-terusan menghina Islam apabila ada sahaja postingnya yang membuat perlakuan hingga mencetuskan kemarahan umat Islam.

Alvin Tan Hina Al-Quran [2]

Terbaru, Alvin Tan bertindak kurang ajar apabila sekali lagi mencetuskan kontroversi dan kali ini lebih dasyat apabila menghina Al-Quran.

Dalam posting terbaru di laman sosial Facebook miliknya dia telah menggunakan helaian kertas Al-Quran untuk lap najisnya.

Kali ini Alvin kononnya membuat jalan cerita suka membaca buku sambil berada di dalam tandas dan buku yang dimaksudkan itu adalah Al-Quran.

Alvin kemudian membuat dialog tisu tandas yang digunakannya habis maka helaian Al-Quran dikoyaknya untuk lap najisnya.

Lebih menjijikkan setiap gambar yang dimuat naik memaparkan najisnya sendiri.

Alvin Tan Hina Al-Quran

Tindakan Alvin kali ini pasti mencetus kemarahan netizen yang ternyata sebelum ini pun sudah marah dengan sikap dan tindakannya yang sering membangkitkan kemarahan orang ramai termasuklah mereka yang bukan beragama Islam atas dasar sikap saling menghormati agama lain.

Blogger lucah ini semakin liar dan bertindak diluar batasan selepas melarikan diri ke Amerika Syarikat bagi mendapatkan perlindungan suaka.

Sebelum ini Alvin dikecam kerana kongsi gambar tatu Allah pada pehanya yang telah mencetuskan api kemarahan umat Islam di Malaysia.

Malah Alvin juga pernah memuatnaik video dirinya sedang melaungkan azan diiringi piano dan memberikan nasihat kepada umat islam yang kononnya hanya buat tak tahu bila azan dilaungkan sehinggakan dia digelar “Ustaz Alvin”.

BACA INI JUGA: Senarai 10 Dara ‘Paling Mahal’ Di Dunia

Sumber: BNBBC

Wednesday, May 20, 2015

Kisah Sebenar Ustaz Kontroversi 'Hina' Rakyat Negeri Sembilan

Kisah Sebenar Ustaz Kontroversi 'Hina' Rakyat Negeri Sembilan

Video penceramah bebas, Azman Abdul Halim yang didakwa menghina rakyat Negeri Sembilan, kini menjadi viral sehingga mendapat maklum balas negatif daripada pengguna sebuah laman sosial.

Ustaz Azman

Difahamkan, video berdurasi 58 saat itu memaparkan ceramah ustaz terbabit di sebuah masjid di Selangor yang memberitahu di Negeri Sembilan tiada tazkirah dan ilmu agama dianjurkan selain menggunakan perkataan ‘bebal’ dan ‘bengap’ seolah-olah menghina rakyat negeri ini.

Susulan penyebaran video tersebut, Mufti Negeri Sembilan, Datuk Mohd Yusof Ahmad tampil memberi penjelasan tentang video lama yang dirakam pada 2012 itu.

Kata Mohd Yusof, beliau sudah bertemu Ustaz Azman dan dia telah menerangkan perkara sebenar.

“Menurut Ustaz Azman, video asal ceramahnya berdurasi lebih sejam, namun sudah diedit menjadi 58 saat, yang mana bahagian menampakkan dirinya ‘teruk’ dan bersikap kasar itu diviralkan.

“Dia (Azman) memaklumkan kejadian itu tidak disengajakan, berikutan pada waktu itu terdapat seorang individu bertanya mengenai solat terawih 10 rakaat di Negeri Sembilan," katanya.

Tambahnya, di negeri ini, solat terawih dibuat 10 rakaat dibenarkan dan bukannya menjadi satu kesalahan.

"Ia hanyalah solat sunat, berapa banyak kita nak buat pun tak menjadi kesalahan.

“Namun, apabila terlalu emosi dengan soalan ditanyakan penonton, Ustaz Azman terlepas mengeluarkan perkataan kesat, sehingga menyinggung perasaan masyarakat Negeri Sembilan yang mendengar video pendek yang diviralkan itu,” katanya.

Tambahnya, perkataan ‘bengap‘ dan ‘bebal’ itu sebenarnya ditujukan kepada orang bertanya, kerana tidak memahami cara mengerjakan solat terawih itu, namun dia terlepas cakap dengan mengeluarkan perkataan yang tidak sepatutnya.

Katanya, isu ini tidak perlu dipanjangkan dan diperbesarkan lagi.

“Dia sudah pun mengaku membuat silap dan meminta maaf di atas keterlanjuran perkataan yang digunakan semasa ceramah tersebut, tidak perlulah kita panjangkan lagi.

“Walaupun perkataan tersebut tidak ditujukan kepada orang Negeri Sembilan, tetapi sebagai penceramah perlu menjaga adab dan tingkah laku,” katanya.

Dalam pada itu, Azman kini dinasihatkan supaya ‘berehat’ seketika daripada memberi mana-mana ceramah bagi meredakan keadaan.

Azman, 30-an telah diberi tauliah pada tahun 1996 oleh Jabatan Mufti, dan dibenarkan memberi ceramah di seluruh negeri ini tanpa had masa.

Sementara itu, Azman ketika dihubungi memberitahu bahawa kejadian yang berlaku itu adalah tidak disengajakan, dan memohon maaf dengan kekasaran bahasa yang digunakan itu.

“Saya minta maaf dan akui perkataan digunakan itu adalah sesuatu yang tidak sepatutnya diungkapkan, namun saya hanyalah manusia biasa.

“Jangan menghukum saya, jika sekadar mendengar video yang berdurasi 58 saat itu sahaja, perlu melihat video penuh. Tidak adil jika saya dipersalahkan hanya sekadar video tersebut, sedangkan apa sebenarnya yang berlaku orang tidak tahu,” katanya.

Katanya, dia yakin ada pihak tertentu yang cuba menjatuhkan imej dan merosakkan reputasinya, agar tidak memberi ceramah di Negeri Sembilan.

BACA INI JUGA: Kenapa Islam Haramkan Melukis Gambar Wajah Nabi Muhammad?

Sumber: Sinarharian.com.my