Tuesday, November 11, 2014

Panduan Permohonan Online BR1M 4.0 Tahun 2015

Panduan Permohonan Online BR1M 4.0 Tahun 2015

Borang Permohonan BR1M 4.0 Tahun 2015 Online. Permohonan Online BRIM 4.0 tahun 2015 akan dibuka pada minggu kedua bulan Disember 2014.

Panduan-BR1M-2015

Penerima BR1M sedia ada tidak perlu mendaftar lagi, tetapi perlu mengemas kini maklumat peribadi termasuk alamat, maklumat anggota keluarga dan akaun bank.

Bagi pemohon baru, pengguna boleh mendaftar secara dalam talian (Online) atau secara manual dengan mengisi borang permohonan BR1M 2015 secara percuma.

Kadar Bayaran BRIM 4.0 Tahun 2015

1. Pendapatan Isi Rumah dibawah RM3,000: RM950

Bayaran ansuran sebanyak tiga kali setahun iaitu RM300 akan dibayar pada Januari dan Mei, manakala bakinya sebanyak RM350 dibayar mulai September 2015.

2. Pendapatan Isi rumah bulanan antara RM3,000 hingga RM4,000: RM750

Ansuran RM200 akan dibayar pada Januari dan Mei, manakala bakinya sebanyak RM350 juga akan dibayar mulai September.

3. Individu Bujang 21 tahun keatas dan berpendapatan tidak melebihi RM2,000 sebulan: RM350

Kadar BR1M dinaikkan daripada RM300 kepada RM350. Bantuan akan dibayar sekali gus pada bulan Januari 2015.

Syarat Kelayakan BR1M 4.0 Tahun 2015
  • Warganegara Malaysia
  • Berumur 21 Tahun Keatas
  • Isi Rumah Berpendapatan Bulanan RM3,000 dan Kebawah
  • Isi Rumah Berpendapatan Bulanan RM3,000- RM4,000
  • Individu Bujang 21 tahun keatas yang Bekerja dan Berpendapatan Bulanan RM2,000 dan kebawah

Skim Khairat Kematian RM1,000

Kerajaan juga akan menggantikan skim insurans takaful berkelompok (i-BR1M) yang telah diperkenalkan sebelum ini kepada Skim Khairat Kematian yang akan memberi manfaat kepada waris penerima BR1M dengan bantuan RM1,000 yang akan berkuat kuasa selama setahun.

Borang Permohonan Secara Online BR1M 4.0

Friday, October 10, 2014

BR1M 2015 Dinaikkan Kepada RM950

BR1M 2015 Dinaikkan Kepada RM950

Kadar BR1M 2015. Dengan mengambil kira peningkatan hasil Cukai Barang dan Perkhidmatan (CBP) dan kemampuan fiskal, kerajaan hari ini mengumumkan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) dinaikkan untuk semua kategori penerima.

Bayaran BR1M 2015

Isi rumah berpendapatan RM3,000 ke bawah

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata kadar BR1M dinaikkan daripada RM650 kepada RM950 untuk isi rumah berpendapatan bulanan RM3,000 ke bawah.

Beliau berkata bantuan ini akan dibayar sebanyak tiga kali setahun iaitu RM300 akan dibayar pada Januari dan Mei, manakala bakinya sebanyak RM350 dibayar mulai September 2015.

Najib yang juga Menteri Kewangan berkata demikian ketika membentangkan “Bajet 2015:Ekonomi Keperluan Rakyat” di Dewan Rakyat di sini hari ini.

Isi rumah berpendapatan RM3,000 hingga RM4,000

Beliau menambah, bagi isi rumah berpendapatan bulanan antara RM3,000 hingga RM4,000, kerajaan akan meningkatkan kadar BR1M daripada RM450 kepada RM750 iaitu sebanyak RM200 akan dibayar pada Januari dan Mei, manakala bakinya sebanyak RM350 juga akan dibayar mulai September.

Individu Bujang

Perdana Menteri menarik perhatian, bagi kategori individu bujang berumur 21 tahun ke atas dan berpendapatan tidak melebihi RM2,000 sebulan, kadar BR1M dinaikkan daripada RM300 kepada RM350.

“Bayaran bantuan ini akan dibuat sekali gus mulai awal tahun hadapan,” katanya.

Insurans takaful berkelompok (i-BR1M)

Najib turut mengumumkan, kerajaan juga akan menggantikan insurans takaful berkelompok (i-BR1M) yang telah diperkenalkan sebelum ini dengan Skim Khairat Kematian yang akan memberi manfaat kepada waris penerima BR1M dengan bantuan RM1,000 yang akan berkuat kuasa selama setahun.

Sebelum ini, kerajaan memberikan sebanyak RM500 kepada isi rumah berpendapatan bulanan RM3,000 ke bawah menerusi BR1M 1.0 yang diperkenalkan pada 2012.

Untuk BR1M 2.0 pada 2013, jumlah yang sama diberikan kepada golongan tersebut dan kerajaan memperkenalkan bantuan sebanyak RM250 pula diberikan kepada individu bujang berumur 21 tahun ke atas dan berpendapatan tidak melebihi RM2,000 sebulan.

Pada BR1M 3.0, bantuan kepada isi rumah berpendapatan bulanan RM3,000 ke bawah dinaikkan daripada RM500 kepada RM700 merangkumi bantuan wang sebanyak RM650 dan bantuan Insurans Takaful Berkelompok Rakyat 1Malaysia (i-BR1M) sebanyak RM50.

Kerajaan juga pada BR1M3.0 memberikan sebanyak RM300 kepada kategori individu bujang berumur 21 tahun ke atas dan berpendapatan tidak melebihi RM2,000 sebulan.

Pada BR1M 3.0 juga, bantuan buat pertama kalinya diperluaskan kepada isi rumah berpendapatan bulanan antara RM3,000 hingga RM4,000 dengan nilai bantuan sebanyak RM450.

Sumber: BERNAMA

Tuesday, April 29, 2014

Rayuan BR1M Dilanjut Hingga 31 Mei

Rayuan BR1M Dilanjut Hingga 31 Mei

Permohonan rayuan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) dilanjutkan sehingga 31 Mei ini bagi memberi lebih peluang kepada mana-mana individu yang layak mengemukakan rayuan masing-masing.

Rayuan BR1M

Timbalan Menteri Kewangan Datuk Ahmad Maslan berkata sehingga 20 April lepas, kerajaan menerima sebanyak 246,911 rayuan BR1M daripada mereka yang tidak terpilih sebagai penerima.

“Sebelum ini, kementerian ada menghantar surat kepada pemohon yang gagal mendapatkan BR1M dengan menyatakan sebab mengapa permohonan mereka ditolak.

“Jadi bagi rayuan ini, mereka perlu sertakan dokumen sokongan mengikut sebab penolakan tersebut bersama-sama borang rayuan BR1M sebagai bukti yang mereka sebenarnya layak terima bantuan itu,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata rayuan boleh dibuat di mana-mana cawangan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) atau memuat turun borang rayuan di laman web LHDN dan setiap rayuan mesti disertakan dokumen sokongan untuk pertimbangan.

Ahmad berkata bagi tempoh sehingga 20 April lepas, peruntukan sebanyak RM2.47 bilion diagihkan kepada 3,805,643 penerima BR1M berpendapatan isi rumah RM3,000 ke bawah manakala perbelanjaan sebanyak RM633.8 juta pula digunakan untuk bayaran kepada 2,112,906 individu bujang dengan pendapatan RM2,000 ke bawah.

Katanya bagi isi rumah berpendapatan RM3,001 hingga RM4,000 pula, kerajaan membelanjakan sebanyak RM157 juta untuk diagihkan kepada 349,226 penerima layak.

“Sehingga kini, kerajaan mengagihkan peruntukan sebanyak RM3.4 bilion kepada 6.5 juta penerima BR1M seluruh negara, jadi mana-mana individu yang merasakan mereka layak mendapatkan bantuan itu, segera kemukakan rayuan sebelum 31 Mei ini,” katanya.

Beliau berkata pembayaran BR1M bagi permohonan rayuan hanya akan dilakukan selepas tarikh tutup rayuan itu. -BERNAMA

Tuesday, March 25, 2014

Rayuan BR1M 3.0 Bermula 1 April 2014

Rayuan BR1M 3.0 Bermula 1 April 2014

Mereka yang gagal dalam permohonan mendapatkan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) 2014 boleh membuat rayuan bermula 1 April ini.

Rayuan BR1M 3.0 2014

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah berkata, borang rayuan boleh didapati di mana-mana cawangan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

“Borang rayuan yang lengkap diisi beserta dokumen berkaitan perlu dihantar ke pejabat LHDN sebelum 30 April 2014,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ahmad Husni dalam pada itu memaklumkan, tempoh perlindungan takaful i-BR1M untuk penerima bantuan itu bermula 1 Januari hingga 31 Disember 2014.

Menurutnya, perlindungan untuk kes kematian bukan kemalangan sebanyak RM1,000, kematian akibat kemalangan dan hilang upaya kekal menyeluruh akibat kemalangan masing-masing RM30,000.

Tambah beliau, borang tuntuan i-BR1M boleh didapati di pejabat pengendali Takaful atau boleh di dimuat-turun menerusi laman web www.malaysiantakaful.com.my atau https://ebr1m.hasil.gov.my.

“Sebarang pertanyaan berkenaan tuntutan i-BR1M, boleh menghubungi Pusat Perkhidmatan Pelanggan i-BR1M di talian 03-2716 2716 atau melalui e-mel kepada i-BR1M@takaful-ikhlas.com.my,” katanya.

Sementara itu, katanya, sebanyak 69 kes penipuan atau salah guna baucar BR1M dikesan setakat ini dan siasatan terperinci sedang dilakukan.

Perbuatan itu merupakan kesalahan di bawah Seksyen 193 Kanun Keseksaan (Akta 574) yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tiga tahun dan denda dan disenarai hitam sebagai penerima BR1M.

Ahmad Husni memaklumkan, seramai 6.8 juta orang layak menerima BR1M 2014 melibatkan peruntukkan sebanyak RM3.37 bilion dan 57 peratus atau 3.68 juta dariapada mereka telah menerima bantuan itu menerusi akaun bank masing-masing.

Manakala, 43 peratus atau 2.80 juta penerima yang tidak mengemukakan akaun bank termasuk transaksi pindahan kredit tidak berjaya, bayaran akan diterima secar aberperingkat melalui Majlis Pengagihan BR1M dan seterusnya penerima boleh menunaikan terus di BSN, Public Bank, Maybank dan CIMB. -Mynewshub.my

Monday, March 03, 2014

Cara Permohonan Rayuan BR1M 3.0 2014

Cara Permohonan Rayuan BR1M 3.0 2014

Beberapa pemohon kesal apabila permohonan mereka untuk mendapatkan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) tidak diterima.

Cara Permohonan Rayuan BR1M 3.0 2014

Difahamkan, pendapatan isi rumah mereka tidak melebihi RM3,000 dan mengikut syarat BR1M 3.0 yang telah ditetapkan kerajaan.

Kerajaan melakukan semakan di pelbagai jabatan berkaitan bagi memastikan BR1M hanya diberikan kepada yang benar-benar layak, namun terdapat kes yang mana permohonan yang layak turut ditolak atas sebab tertentu.

Pemohon Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) 3.0 yang ditolak permohonannya masih mempunyai peluang untuk membuat rayuan.

Contohnya, permohonan BR1M oleh seorang bapa ditolak kerana dia baharu membeli sebuah kereta Proton Perdana.

Namun, dia yang membuat rayuan menjelaskan bahawa kereta tersebut adalah milik anaknya dan dengan penambahan maklumat tersebut, permohonannya diluluskan.

Mengikut satu kenyataan yang dikeluarkan oleh Kementerian Kewangan, pemohon boleh membuat rayuan dengan merujuk laman sesawang Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) atau ke jabatan tersebut.

Cara-cara membuat rayuan;
  1. Individu perlu tampil sendiri ke pejabat LHDN berdekatan untuk menghantar permohonan rayuan BR1M 3.0 2014
  2. Individu berkenaan juga perlu mengemukakan semula pelbagai dokumen sokongan termasuk penyata gaji dan tanggungan lain untuk disemak semula oleh LHDN dan 10 lagi agensi lain termasuk Bank Negara dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).
  3. Selepas individu terbabit mengemukakan dokumen sokongan dan rayuan bertulis kepada LHDN maka keputusan permohonan rayuan Br1M 3.0 2014 untuk mendapatkan BR1M akan dipertimbang untuk diluluskan.
  4. Pembayaran Br1M 3.0 2014 akan dibuat ke akaun pemohon setelah keputusan menerima BR1M 3.0 diluluskan.

Pastinya dengan ledakan kenaikan kos sara hidup hari ini terutamanya melibatkan rakyat malaysia yang tinggal dan di kawasan bandar, permohonan rayuan BR1M 3.0 2014 andaikata dapat diluluskan sekurang-kurangnya dapat menampung penurunan belanja boleh guna (disposable income) rakyat Malaysia setiap bulan.

-Sentiasapanas.com

Saturday, February 22, 2014

BR1M, Kenapa Ada Yang Terima RM450 Sahaja?

BR1M, Kenapa Ada Yang Terima RM450 Sahaja?

Hari ini beberapa kelompok tertentu rakyat Malaysia mula mengukir senyuman manis selepas menerima wang tunai Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M3.0) melalui akaun bank masing-masing.

BR1M 2014

Sesetengah dari mereka ada yang menerima RM650 dan ada di antara mereka yang lain menerima RM450.

Bagaimanapun, difahamkan ada cakap-cakap di belakang tabir berkenaan ada penerima BR1M yang merungut kerana hanya mendapat RM450 sahaja berbanding RM650 seperti diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dalam pembentangan Bajet 2014 tahun lepas.

Bagi penerima yang menerima wang bernilai RM450, gabungan pendapatan di dalam isi rumah atau keluarga mereka adalah antara RM3,000 dan RM4,000.

BR1M 2014

Mereka sebenarnya menerima RM500 tetapi ditolak RM50 untuk kemudahan Insurans Takaful Berkelompok Rakyat 1Malaysia (i-BR1M).

Perlindungan insurans itu akan melindungi penerima BR1M sehingga RM30,000 jika meninggal dunia.

Sementara itu, bagi penerima BR1M yang menerima RM650, mereka sebenarnya hadir dari keluarga atau isi rumah berpendapatan bawah RM3,000.

Mereka pula menerima bantuan BR1M keseluruhan RM700 dan RM50 ditolak untuk perlindungan insurans berkenaan.

Jika penerima BR1M meninggal dunia secara biasa, keluarga akan menerima RM1,000 hasil perlindungan itu. Bagaimanapun, jika penerima BR1M meninggal dunia secara tiba-tiba akibat kemalangan ahli keluarga akan menerima RM30,000 daripada perlindungan.

Perlindungan insurans itu diperkenalkan buat pertama kali pada BR1M 2014 ini bukti kerajaan sentiasa membuat penambahbaikan kepada BR1M yang mula dilaksanakan pada 2012.

BR1M 2014

Selain itu warga Malaysia yang bujang berusia 21 tahun ke bawah dan berpendapatan bawah RM2,000 turut menerima BR1M berjumlah RM250 pada 2013 meningkat kepada RM300 tahun ini.

Penjelasan terperinci berkaitan BR1M diberikan di laman Facebook Najib “Najib Razak” bagi mengelakkan kekeliruan berkaitan penerimaan dan cara bantuan itu diagihkan.

Kepada yang bercakap-cakap tu, eloklah rujuk ke laman Facebook ini kerana turut ditampilkan lakaran grafik menarik.

Buat penerima BR1M, eloklah digunakan wang itu untuk tujuan yang memberikan manfaat untuk diri anda dan isi rumah kerana itu bukan duit untuk anda bersuka-ria, ia adalah milik isi rumah iaitu keluarga anda.

Sumber: Mynewshub

Tuesday, February 11, 2014

Pembayaran BR1M 3.0 Ke Akaun Penerima Bermula 22 Feb

Pembayaran BR1M 3.0 Ke Akaun Penerima Bermula 22 Feb

Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) 3.0 akan dikreditkan terus ke dalam akaun bank pemohon pada 22 Februari ini, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

BR1M 3.0

Menerusi laman Facebooknya hari ini, Najib berkata bagi pemohon yang tiada akaun bank atau tidak sempat mengemaskini maklumat perbankan mereka, bayaran BR1M akan dibuat secara berperingkat bermula 23 Februari.

Pendaftaran permohonan BR1M bagi pemohon baharu ditutup pada 31 Januari lalu, sementara bagi penerima sebelum ini mereka hanya perlu mengemaskini maklumat peribadi termasuk alamat, maklumat anggota keluarga dan akaun bank.

(Baca: Manusia Yang Miskin Tetapi Kaya)

Dalam pembentangan Bajet 2014 yang diumumkam Najib pada Oktober lalu, isi rumah berpendapatan bulanan RM3,000 dan ke bawah yang layak akan menerima bantuan BR1M sebanyak RM650.

Sementara individu bujang yang berpendapatan tidak lebih RM2,000 sebulan akan menerima bantuan RM300.

Sejumlah RM4.6 bilion diperuntukkan kerajaan bagi melaksanakan bantuan itu yang bakal dinikmati hampir 7.9 juta rakyat Malaysia.

Sumber: BERNAMA

Saturday, February 01, 2014

Semak Status Terima BR1M 3.0 Anda

Semak Status Terima BR1M 3.0 Anda

Adakah anda salah seorang pemohon untuk Bantuan Rakyat 1 Malaysia 2014 atau BR1M 3.0? Jika ya, bolehlah cuba semak samada anda layak atau tidak terima BR1M 3.0.

BR1M 3.0

Jika dah daftar, tentu nak tahu samada permohonan diterima atau tidak. Untuk itu, ada dua cara untuk semak keputusan terima BR1M 2014 ini.

Talian 1-800-88-2716
Anda boleh cuba menelefon talian telefon diberikan yang beroperasi dari jam 9 pagi hingga 5 petang pada hari bekerja sahaja. Jadi, talian tersebut hanya boleh anda dail untuk semak keputusan BR1M dari Isnin sehingga Jumaat sahaja.

Email BR1M
Satu lagi cara ialah dengan menghantar email ke alamat email berikut: br1m2@treasury.gov.my

Anda perlu nyatakan nama serta nombor kad pengenalan dalam email anda tersebut.

(Baca: Harapan Tidak Pernah Mati, Ia Cuma Cahaya Yang Telah Hilang)

Buat mereka yang mahu menyemak menggunakan email yang tertera di atas, pastikan anda ada kesabaran sedikit. Ini adalah kerana kemungkinan jawapan menerusi email akan ambil masa, paling kurang pun dalam 2-3 hari.

Untuk BR1M 3.0 kali ini, penerima akan menerima bantuan kewangan yang dimaksudkan terus ke akaun bank.

Hanya akaun bank milik individu sahaja dibenarkan. Akaun bank ASB dan Tabung Haji tidak dibenarkan.

Sumber: Hasrulhassan.com

Monday, January 27, 2014

Pembayaran BR1M 3.0 Bermula Pertengahan Februari

Pembayaran BR1M 3.0 Bermula Pertengahan Februari

Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) 3.0 akan mula diagihkan kepada 7.9 juta rakyat Malaysia yang layak pada pertengahan Februari ini.

Pembayaran BR1M 3.0

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata dengan pemberian BR1M ini ia akan dapat meringankan beban rakyat yang sedang menghadapi kenaikan harga barangan pada masa ini.

“Majlis Tertinggi (MT) Umno mengambil maklum bahawa BR1M akan dilaksanakan dalam masa dua minggu lagi iaitu pada pertengahan bulan Februari, ia akan membantu rakyat dalam menghadapi masalah kenaikan harga barang,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat MT Umno di sini hari ini.

Ketika mengumumkan Bajet 2014 pada Oktober tahun lepas, Najib yang juga Menteri Kewangan berkata kerajaan memperuntuk sejumlah RM4.6 bilion bagi melaksanakan BR1M 3.0.

Pada tahun ini, pemberian bantuan itu akan dinaikkan daripada RM500 kepada RM650 kepada isi rumah berpendapatan bulanan RM3,000 dan ke bawah, manakala bagi individu bujang berumur 21 tahun dan ke atas yang berpendapatan tidak melebihi RM2,000 sebulan, nilai bantuan dinaikkan daripada RM250 kepada RM300.

(Baca: Panduan Permohonan Dan Kemaskini BR1M 2014)

Buat pertama kalinya juga, BR1M 3.0 akan diperluaskan kepada isi rumah yang berpendapatan bulanan antara RM3,000 hingga RM4,000 dengan nilai bantuan sebanyak RM450.

Najib berkata tidak dinafikan bahawa rakyat mengalami masalah berhubung kenaikan harga barang dan kerajaan komited untuk menangani perkara itu menerusi pelbagai program serta langkah yang sedang dan akan diambil.

Presiden Umno itu berkata Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mempengerusikan Jawatankuasa Khas Menangani Kos Sara Hidup Rakyat juga sedang menunggu hasil kajian daripada makmal khas yang ditubuhkan bagi mengurangkan beban rakyat.

“Di samping itu, kita turut melihat masalah rantaian bekalan yang wujud di mana pihak pemborong yang menaikkan harga pada peruncit bukan pada dasar (harga) yang berpatutan.

“Kita juga mengambil maklum kesan dari musim tengkujuh yang melanda menyebabkan barang naik harga, namun dengan langkah yang diambil kerajaan kita akan bendung perkara ini,” katanya.

Najib berkata MT Umno juga memberikan sokongan padu dan sepenuhnya kepada semua dasar kerajaan dan langkah-langkah yang sedang diambil bagi meringankan beban rakyat memandangkan asas ekonomi negara masih teguh.

“Dari segi pelaburan, pertumbuhan ekonomi, inflasi, bursa saham ia berada dalam keadaan baik dan meyakinkan, asas ekonomi kita mendapat pengiktirafan bukan sahaja dalam negara malah di luar negara,” katanya.

Sumber: BERNAMA

Monday, January 13, 2014

Penerima BR1M Diminta Maklumkan Nombor Akaun

Penerima BR1M Diminta Maklumkan Nombor Akaun

Penerima Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) diminta memaklumkan nombor akaun bank mereka kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) jika belum berbuat demikian sebelum 31 Jan bagi proses pembayaran.

BR1M-2014

Menteri Kewangan Kedua Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah berkata mulai tahun ini, kerajaan akan menyalur bantuan itu ke akaun bank penerima bagi mengelak mereka beratur panjang di program pemberian BR1M seperti sebelum ini.

“Penerima BR1M yang tidak ada akaun ini tidak ramai, kira-kira 10 peratus sahaja,… sejak program BR1M dilaksana dua tahun lepas, kita mahu adakan penambahbaikan, kita akan masukkan ke dalam akaun bank,” katanya kepada pemberita hari ini.

(Baca: Panduan Permohonan Dan Kemaskini BR1M 2014)

Beliau juga berkata mereka yang berpendapatan RM3,000 ke bawah dan berkeluarga serta individu berumur 21 tahun ke atas dengan pendapatan RM2,000 yang menerima BR1M sebelum ini tidak perlu mendaftar lagi, sebaliknya hanya perlu memaklumkan nombor akaun bank sahaja kepada LHDN, jika belum berbuat demikian.

Bagi mereka yang berpendapatan antara RM3,001 dan RM4,000 serta berkeluarga namun tidak pernah menerima bantuan itu, perlu mendaftar dengan LHDN sebelum 31 Jan ini, katanya.

Sumber: BERNAMA

Monday, December 23, 2013

Panduan Permohonan Dan Kemaskini BR1M 2014

Panduan Permohonan Dan Kemaskini BR1M 2014

Permohonan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) 2014 sudah dibuka bermula hari ini sehingga 31 Januari 2014 menurut Kenyataan Kementerian Kewangan.

Panduan BR1M 2014

Menurut kenyataan itu, penerima BR1M sedia ada tidak perlu mendaftar lagi, tetapi perlu mengemas kini maklumat peribadi termasuk alamat, maklumat anggota keluarga dan akaun bank.

Bagi pemohon baharu pula boleh mendaftar secara dalam talian atau secara manual dengan mengisi borang permohonan BR1M 2014 secara percuma mulai tarikh tersebut.

Borang permohonan BR1M 2014 boleh didapati di pejabat cawangan dan pusat khidmat Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Jabatan Pembangunan Persekutuan dan Jabatan Kebajikan Masyarakat atau dimuat turun melalui laman web LHDN di www.hasil.gov.my.

Pembayaran akan dibuat kepada yang layak bermula Februari dan BR1M 2014 dijangka memberi manfaat kepada 5.9 juta isi rumah serta dua juta individu bujang.

Untuk maklumat lanjut, orang ramai boleh menghubungi talian hotline 1-800-88-2716 yang dibuka mulai 23 Disember ini, dari Isnin hingga Jumaat bermula 9 pagi hingga 5 petang.

Pemberian BR1M 2014 kepada isi rumah berpendapatan bulanan RM3,000 ke bawah akan dinaikkan daripada RM500 kepada RM650, manakala untuk indvidu bujang berusia 21 tahun dan ke atas dengan pendapatan tidak lebih RM2,000 sebulan dinaikkan sebanyak RM50 kepada RM300.

Selain itu caruman Insurans Takaful Berkelompok Rakyat 1Malaysia atau i-BR1M bernilai RM50 akan diberi kepada semua penerima isi rumah BR1M bagi memberi perlindungan maksimum sehingga RM30,000 kepada penerima sekiranya berlaku kematian atau hilang upaya kekal.

Warga emas berusia 60 tahun ke atas dan tinggal sebatang kara juga akan menerima kenaikan jumlah bantuan daripada RM500 kepada RM650.

Cara kemaskini BRIM 2014 secara Online

Cara kemaskini BR1M 2014 secara Online

Berikut disertakan cara-cara bagi mengemaskini data bagi mereka yang pernah menerima BRIM 2.0 sebelum ini.

1. Mula-mula sila masuk ke SINI pilih sama ada permohonan baru atau kemaskini.

2. Masukkan no kad pengenalan anda dan tarikh lahir dan klik kemaskini permohonan BRIM 2.0 pada butang yang terdapat di sebelah bawah kanan.

3. Pilih untuk mengemaskini data seperti:-
a. No telefon rumah
b. No telefon bimbit
c. Pekerjaan
d. Maklumat bank
e. Alamat e-mel
f. Alamat surat menyurat terkini

4. Setelah mengisi semua yang dirasakan perlu contoh alamat baru atau maklumat bank dan masukan kod pengesahan akan keluar satu "dialog box" untuk pengesahan.

5. Tandakan pada kotak saya setuju dengan terma dan syarat di atas dan klik pada kotak setuju dan hantar.

6. Satu dialog box akan keluar dan memberi tahu yang permohonan telah berjaya di kemaskini.

7. Sedia untuk cetak.

8. Selesai.

UPDATE: Sah! BR1M di Bayar Terus Ke Akaun Bank

Berikut emel jawapan yang telah aku terima dari Kementerian Kewangan
Salam 1Malaysia
Tuan/Puan,

Maklumat akaun bank diperlukan dalam permohonan BR1M 2014 kerana pembayaran dijangka akan dimasukkan ke dalam akaun. Anda dinasihatkan supaya membuka akaun simpanan atas nama pemohon (jika belum mempunyai akaun simpanan) di mana-mana cawangan bank tempatan (BSN/Maybank/CIMB/PBB dan sebagainya) dan maklumkan maklumat nombor akaun dalam Borang Permohonan BR1M 2014 (permohonan baru atau kemaskini maklumat).

Anda perlu membuat pengemaskinian maklumat bagi memasukkan maklumat data peribadi terkini merangkumi alamat surat-menyurat, nombor telefon, alamat emel, pekerjaan dan maklumat bank secara atas talian di https://ebr1m.hasil.gov.my/ atau secara manual dengan mengisi Borang Permohonan BR1M 2014 untuk kategori Kemaskini Maklumat.

Bagi pindaan Status Perkahwinan atau Maklumat Ahli Isi Rumah, perlu dikemaskini hanya secara manual.

Borang Permohonan BR1M 2014 boleh didapati di semua cawangan Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDNM), Jabatan Pembanguan Persekutuan, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) atau dimuat turun melalui https://ebr1m.hasil.gov.my/ (klik Borang BR1M 2014).

Sila hantar borang tersebut yang telah lengkap diisi bersama dokumen sokongan (jika berkenaan) ke cawangan LHDNM yang berdekatan sebelum 31 Januari 2014.

Jika tiada maklumat yang perlu dikemaskini, anda tidak perlu berbuat demikian.

Status kelayakan lulus BR1M 2014 hanya boleh disemak secara berperingkat mulai Februari 2014 dengan memaklumkan nama penuh dan nombor kad pengenalan pemohon.

Sebarang persoalan boleh menghubungi talian hotline 1-800-88-2716 yang beroperasi dari jam 9 hingga 5 petang, Isnin hingga Jumaat.

Terima Kasih.

Bilik Operasi BR1M

-Sentiasapanas.com

Saturday, October 26, 2013

BR1M Kini Individu Bujang Dapat RM300

BR1M Kini Individu Bujang Dapat RM300

Pemberian Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) kepada isi rumah berpendapatan bulanan RM3,000 dan ke bawah akan dinaikkan daripada RM500 kepada RM650, manakala bagi individu bujang berumur 21 tahun dan ke atas yang berpendapatan tidak melebihi RM2,000 sebulan, nilai bantuan akan dinaikkan daripada RM250 kepada RM300.

BR1M

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak ketika membentangkan Bajet 2014 di Dewan Rakyat hari ini, berkata sebagai tambahan, buat pertama kalinya BR1M 3.0 akan diperluaskan kepada isi rumah yang berpendapatan bulanan antara RM3,000 hingga RM4,000 dengan nilai bantuan sebanyak RM450.

“Pemberian ini adalah berdasarkan kepada kenaikan kos sara hidup yang perlu ditanggung oleh golongan berpendapatan sederhana rendah,” katanya.

Najib yang juga Menteri Kewangan mencadangkan caruman Insuran Takaful Berkelompok Rakyat 1Malaysia atau i-BR1M bernilai RM50 diberi kepada semua penerima isi rumah BR1M bagi memberi perlindungan maksimum sehingga RM30,000 kepada penerima BR1M sekiranya berlaku kematian atau hilang upaya kekal.

“Pendek kata, secara keseluruhannya, penerima BR1M dari kalangan isi rumah berpendapatan bulanan tidak melebihi RM3,000 akan menikmati bantuan sebanyak RM700,” katanya.

NaJib berkata bagi isi rumah berpendapatan bulanan antara RM3,000 hingga RM4,000 yang menerima bantuan BR1M sebanyak RM450, juga akan menerima caruman i-BR1M bernilai RM50 yang menjadikan jumlah keseluruhan BR1M sebanyak RM500.

Bagi melaksanakan kesemua pakej BR1M 2014 ini, kerajaan akan memperuntuk sejumlah RM4.6 bilion yang dijangka dapat memanfaatkan sebanyak 7.9 juta penerima.

BR1M mula diperkenal pada 2012, yang memberi manfaat kepada golongan berpendapatan rendah, dengan memberi bantuan tunai sebanyak RM500 kepada ketua isi rumah berpendapatan RM3,000 dan ke bawah.

Pada tahun lepas, BRIM 2.0 diteruskan dan diperluaskan kepada individu bujang berumur 21 tahun dan ke atas yang berpendapatan tidak melebihi RM2,000 sebulan. Pemberian bantuan kepada individu bujang ini sebanyak RM250.

Sumber: BERNAMA

Wednesday, October 02, 2013

Hentikan Pemberian BR1M - Dr Mahathir

Hentikan Pemberian BR1M - Dr Mahathir

Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad pada Selasa berkata Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) tidak perlu diteruskan dalam Belanjawan 2014, dan ini sekali gus mengurangkan kebergantungan rakyat kepada kerajaan.

Hentikan BR1M

Kerajaan sebaliknya perlu mencari jalan untuk melatih golongan kurang berkemampuan itu dengan sesuatu kebolehan supaya dapat menjadi sumber pendapatan mereka, katanya kepada pemberita selepas berucap di majlis Program Bicara Petang Bersama Tun Dr Mahathir Mohamad di sini Selasa.

“Sepatutnya dalam masyarakat kita, kita tak suka jadikan orang kita ini, orang yang selalu bergantung kepada kerajaan dan tak mahu membuat kerja.

“Apa yang kita dapat secara percuma tidak akan dihargai sebab itu walaupun banyak BR1M diberi,” katanya sambil menambah, “Kalau betul-betul daif, miskin dan tak berupaya barulah boleh diberi bantuan.”

Beliau berkata demikian apabila ditanya mengenai cadangannya untuk Belanjawan 2014 yang akan dibentangkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak di Parlimen pada 25 Oktober ini.

Sementara itu, Dr Mahathir berkata ekonomi negara dijangka tidak akan mengalami kesan yang besar akibat penutupan operasi kerajaan Amerika Syarikat, ini kerana perdagangan dua hala antara kedua-dua buah negara kini semakin berkurangan.

Dr Mahathir

Beliau berkata jumlah dagangan negara tidak bergantung sepenuhnya dengan ekonomi Amerika Syarikat, kecuali ia terjadi di masa yang lepas.

“Kesannya sedikit sebanyak ada, tetapi kita bukan berdagang semuanya dengan Amerika Syarikat,” katanya.

Dr Mahathir berkata jumlah perdagangan Malaysia dengan Amerika Syarikat mencapai 20 peratus satu masa dahulu tetapi sekarang sudah merosot kerana kemampuan membeli di Amerika Syarikat telah berkurangan.

Operasi kerajaan Amerika Syarikat terpaksa dihentikan selepas Kongres menolak pelan kesihatan yang dibawa Presiden Barack Obama.

BACA INI JUGA: Rasuah Halal Dan Rasuah Haram Di Malaysia?

Sumber: BERNAMA

Tuesday, February 26, 2013

BR1M Dipelopori Kerajaan Firaun - Hadi Awang

BR1M Dipelopori Kerajaan Firaun - Hadi Awang

Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, pemberian Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M), yang diperkenalkan Barisan Nasional (BN) sejak tahun lalu, bukan satu perkara baru kerana sejarah telah menunjukkan bahawa ia pernah dipelopori kerajaan Firaun.


“Cerita BR1M bukan cerita baru, sejak zaman Firaun pernah bagi BR1M, Firaun jadikan rakyat ringan akal (diperbodohkan).

“..tanggungjawab kita (pemimpin) untuk bijakkan rakyat bukan diajar menjadi pengemis, mereka (UMNO) bukan nak bela rakyat pun,” kata beliau dalam ucapannya pada Konvensyen Pakatan Rakyat Keempat di sini semalam.

Kata Hadi, menerusi manifesto Pakatan Rakyat yang dilancarkan semalam, banyak masalah rakyat yang gagal ditangani oleh BN sepanjang lima dekad lalu dapat diatasi.

“Buktikan dahulu kerajaan itu bersih, kita (Pas) perintah Kelantan lebih 20 tahun, walaupun banyak sekatan peruntukan, banyak cabaran tapi kita mampu bersabar.

“..jauh sekali untuk khianat hasil bumi negeri, malah mampu tadbir negeri dengan bersih dan bebas rausah serta salah guna kuasa,” kata beliau sambil memberi amaran kepada Umno-BN bahawa masalah penggangguran yang kian meningkat di negara ini tidak mungkin diselesaikan dengan pemberian insentif terbabit.

Hadi turut menyindir slogan perdana menteri yang dilaungkan ‘Janji Ditepati’ yang tidak bersungguh-sungguh kerana peluang yang diberikan kepada mereka sejak 50 tahun lalu tidak dimanfaatkan sepenuhnya demi rakyat.

“Janji akan ditepati bukan janji 50 tahun, kita tak nak rakyat dihina dan diperkudakan lagi, Buku Jingga selesaikan masalah yang ditinggalkan Kerajaan BN,” tegasnya.

Pada ucaptamanya, Hadi menggariskan lima dasar utama dalam Manifesto PR kali ini yang bertemakan “Pakatan Rakyat Harapan Rakyat”, antaranya perpaduan masyarakat majmuk, adil terhadap semua, demokrasi hak rakyat sebenar, kehebatan undang-undang yang adil dan kerajaan yang bersih.

-SinarHarian

Saturday, February 23, 2013

Penjelasan Nik Aziz Kenyataan Hina Penerima BR1M

Penjelasan Nik Aziz Kenyataan Hina Penerima BR1M

Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat mempertahankan kenyataannya bahawa langkah kerajaan Persekutuan memberi bantuan wang termasuk Bantuan Rakyat 1Malaysia (BRIM) kepada rakyat umpama memberi makanan kepada haiwan, untuk menarik sokongan.


Beliau yang juga Mursyidul Am PAS berkata ini berbeza dengan kerajaan PAS Kelantan yang mengunakan ilmu agama untuk menarik rakyat menyokong perjuangan parti tersebut.

Bagaimanapun, beliau mahu rakyat terus menerima sebarang bentuk bantuan yang diberikan kerajaan Persekutuan kerana wang tersebut bukan wang parti tetapi wang kerajaan yang menjadi hak rakyat.

“Saya kata beri duit, terima, tapi pangkah PAS, duit itu masih hak mereka kerana duit kerajaan bukan Umno,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis perjumpaan bersama warga Yayasan Islam Kelantan (YIK) di sini Sabtu.

Nik Abdul Aziz dikritik pelbagai pihak berikutan kenyataannya Rabu lepas yang menyamakan usaha murni kerajaan pusat memberi pelbagai bantuan kepada rakyat seolah-olah memberi hampas kelapa, padi dan jerami kepada ayam dan lembu.

Ditanya adakah beliau akan membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) itu lebih awal bagi memberi laluan kepada pilihan raya, Nik Abdul Aziz berkata pembubaran DUN itu akan dibuat serentak dengan pembubaran Parlimen kelak.

Mengenai senarai calon PAS untuk bertanding di negeri ini, beliau berkata sebahagian besar senarai calon itu sudah selesai.

Sementara itu, ketika berucap pada majlis itu, beliau berkata kerajaan negeri berhasrat menjadikan semua penjawat awam negeri itu memiliki ilmu pengetahuan dalam pelbagai bidang termasuk sains dan teknologi.

Beliau berkata bagi merealisasikan hasrat tersebut, kerajaan negeri mewujudkan sekolah agama aliran sains bagi membolehkan pelajar mempunyai pendidikan bukan sahaja ilmu agama tetapi juga ilmu sains dan teknologi.

–BERNAMA

Penghinaan Terbesar Nik Aziz Buat Penerima BR1M

Penghinaan Terbesar Nik Aziz Buat Penerima BR1M

Tindakan Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menyamakan pemberian Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) seperti memberi makan kepada binatang cukup memalukan parti PAS.


Ketua Pergerakan Puteri UMNO, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin berkata, kenyataan Mursyidul Am PAS tersebut juga menunjukkan sikap pemimpin tertinggi tersebut yang sejak kebelakangan ini gemar menggunakan perkataan kurang manis meskipun dianggap sebagai golongan ulama.

“Kata-katanya merupakan satu bentuk penghinaan lebih-lebih lagi daripada seorang yang dianggap warak dan beragama seperti beliau.

“Adakah pihak pembangkang lupa kepada kepentingan adab serta moral dan nilai-nilai ketimuran. Lupakah mereka kepada perkara dalam Rukun Negara iaitu Kesopanan dan Kesusilaan,” katanya melalui satu kenyataan media hari ini.

Rosnah berkata, kata-kata Nik Abdul Aziz itu amat mengguris hati jutaan rakyat Malaysia yang beroleh nikmat penerima BR1M dan pastinya mereka kini berasa amat tersinggung dengan PAS.

Kata beliau, seorang pemimpin PAS yang sepatutnya berpegang kepada prinsip ajaran Islam tidak sewajarnya membuat satu kenyataan yang begitu menghina kepada penerima bantuan.

“Hinakah rakyat negara ini hanya kerana mereka memerlukan bantuan dan hinakah mereka menerima bantuan yang dihulurkan daripada Kerajaan Pusat,” soal beliau lagi.

Tambah beliau, seorang Mursyidul Am PAS sepatutnya menunjukkan teladan yang baik kerana pengikutnya yang selama ini mengangkat martabatnya di peringkat tertinggi biarpun tanpa tauliah yang diiktiraf.

Kata beliau lagi, peranan ulama bukan sahaja ditunjukkan dari cara berserban dan berjubah, tetapi harus diadaptasi dengan kelakuan yang berakhlak dan sentiasa menjaga kata-kata selari dengan ajaran Islam yang sebenar.

Justeru Rosnah menggesa Nik Abdul Aziz supaya menggerakkan satu tindakan untuk membantu ekonomi rakyat dan bukan membuat kenyataan menghina seperti itu.

Ia kerana penghinaan yang dilemparkan oleh pihak pembangkang hanya akan menambahkan rasa ‘meluat’ serta ‘menyampah’ rakyat terhadap permainan politik sempit pihak pembangkang.

“Janganlah kerana pihak pembangkang tidak mampu memberikan bantuan serta kesenangan kepada rakyat maka rakyat yang menerima bantuan dihina dan ditohmah. Hidup biar beradab, bukan hidup untuk biadap,” katanya lagi.

Sumber: Mynewshub