Saturday, February 23, 2013

Penghinaan Terbesar Nik Aziz Buat Penerima BR1M


Tindakan Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menyamakan pemberian Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) seperti memberi makan kepada binatang cukup memalukan parti PAS.


Ketua Pergerakan Puteri UMNO, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin berkata, kenyataan Mursyidul Am PAS tersebut juga menunjukkan sikap pemimpin tertinggi tersebut yang sejak kebelakangan ini gemar menggunakan perkataan kurang manis meskipun dianggap sebagai golongan ulama.

“Kata-katanya merupakan satu bentuk penghinaan lebih-lebih lagi daripada seorang yang dianggap warak dan beragama seperti beliau.

“Adakah pihak pembangkang lupa kepada kepentingan adab serta moral dan nilai-nilai ketimuran. Lupakah mereka kepada perkara dalam Rukun Negara iaitu Kesopanan dan Kesusilaan,” katanya melalui satu kenyataan media hari ini.

Rosnah berkata, kata-kata Nik Abdul Aziz itu amat mengguris hati jutaan rakyat Malaysia yang beroleh nikmat penerima BR1M dan pastinya mereka kini berasa amat tersinggung dengan PAS.

Kata beliau, seorang pemimpin PAS yang sepatutnya berpegang kepada prinsip ajaran Islam tidak sewajarnya membuat satu kenyataan yang begitu menghina kepada penerima bantuan.

“Hinakah rakyat negara ini hanya kerana mereka memerlukan bantuan dan hinakah mereka menerima bantuan yang dihulurkan daripada Kerajaan Pusat,” soal beliau lagi.

Tambah beliau, seorang Mursyidul Am PAS sepatutnya menunjukkan teladan yang baik kerana pengikutnya yang selama ini mengangkat martabatnya di peringkat tertinggi biarpun tanpa tauliah yang diiktiraf.

Kata beliau lagi, peranan ulama bukan sahaja ditunjukkan dari cara berserban dan berjubah, tetapi harus diadaptasi dengan kelakuan yang berakhlak dan sentiasa menjaga kata-kata selari dengan ajaran Islam yang sebenar.

Justeru Rosnah menggesa Nik Abdul Aziz supaya menggerakkan satu tindakan untuk membantu ekonomi rakyat dan bukan membuat kenyataan menghina seperti itu.

Ia kerana penghinaan yang dilemparkan oleh pihak pembangkang hanya akan menambahkan rasa ‘meluat’ serta ‘menyampah’ rakyat terhadap permainan politik sempit pihak pembangkang.

“Janganlah kerana pihak pembangkang tidak mampu memberikan bantuan serta kesenangan kepada rakyat maka rakyat yang menerima bantuan dihina dan ditohmah. Hidup biar beradab, bukan hidup untuk biadap,” katanya lagi.

Sumber: Mynewshub

Add Comments

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon