Wednesday, February 13, 2013

Ketua Baru CIA Beragama Islam?

Ketua Baru CIA Beragama Islam?

John Brennan yang dicalonkan oleh Presiden Barack Obama untuk mengetuai CIA, dilaporkan telah memeluk agama Islam ketika beliau bertugas sebagai ketua CIA di Riyadh antara 1996 hingga 1999.


Brennan memeluk Islam di Arab Saudi dan telah melawat Mekah serta Madinah ketika musim haji bersama pegawai kerajaan Arab Saudi.

Perkara itu didedahkan oleh bekas ejen FBI, John Guandolo kepada program radio U.S Trento.

Guandolo yang bersara daripada FBI pada 2008 berkata demikian dalam temubual melalui Skype.

Dia yang dikenali sebagai anti Islam, mendedahkan perkara berkenaan dengan tujuan untuk menyatakan bahawa Brennan tidak layak mengetuai CIA, hanya semata-mata kerana Brennan beragama Islam.

Brennan yang juga seorang veteran CIA pernah memegang beberapa jawatan penting termasuk Timbalan Penasihat Keselamatan untuk keselamatan dalam negeri dan anti pengganas.

Beliau yang berusia 57 tahun itu, telah dicalonkan oleh Presiden Barack Obama untuk mengetuai CIA, Isnin lalu.

Brennan akan menggantikan Jeneral David Petraeus, yang bersara susulan skandal hubungan sulit dengan penulis biografinya.

[Sumber]

Elaun Penjawat Awam Akan Dinaikkan?

Elaun Penjawat Awam Akan Dinaikkan?

CUEPACS dijangka mengemukakan beberapa cadangan berhubung kenaikan elaun penjawat awam dalam pertemuan kesatuan sekerja itu bersama Ketua Setiausaha Negara (KSN), Datuk Seri Dr Ali Hamsa di Putrajaya, hari ini.


Antaranya mengenai Imbuhan Tetap Perumahan (ITP), Elaun Sara Hidup (COLA), tuntutan penginapan, status jawatan kontrak, gaji maksimum dan peranan ketua jabatan.

Presidennya, Datuk Omar Osman, berkata sebagai contoh CUEPACS mencadangkan supaya COLA diselaraskan kepada RM300, manakala ITP pula ditingkatkan daripada RM180 kepada RM450 berdasarkan kos hidup yang semakin meningkat dari semasa ke semasa.

Omar berkata, mengenai tuntutan penginapan pula, pihaknya berharap ia akan ditingkatkan kepada RM200 berbanding RM120 ketika ini, kerana kebanyakan hotel sudah menaikkan harga.

“Jumaat lalu, beliau (Ali) mengumumkan lebih 80 jenis elaun penjawat awam akan dikaji semula dan memandangkan kepemimpinan tertinggi CUEPACS mengadakan pertemuan bersamanya esok (hari ini), maka kita akan turut mengemukakan beberapa cadangan untuk dipertimbangkan kerajaan.

“Kesediaan kerajaan untuk mengkaji semula perkara (elaun) itu, menunjukkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak tidak pernah melupakan soal kebajikan penjawat awam,” katanya kepada BH, semalam.

Tujuan lebih 80 jenis elaun penjawat awam termasuk elaun sara hidup dikaji semula bagi melihat kesamarataan, kesaksamaan dan kemunasabahannya sebelum diumumkan Perdana Menteri.

Omar berkata, selain itu CUEPACS juga akan membincangkan secara terperinci mengenai penjawat awam yang sudah mencapai tangga gaji maksimum serta kadar kenaikan (gaji) yang bakal diperoleh mereka.

“Sebelum ini dimaklumkan bahawa mereka mungkin menerima kenaikan antara dua hingga lima peratus, bagaimanapun ia hanya membabitkan kakitangan awam yang mempunyai prestasi cemerlang serta mencatat markah 80 dan ke atas dalam Laporan Nilaian Prestasi Tahunan (LNPT).

“CUEPACS berharap kenaikan itu membabitkan semua kakitangan daripada kumpulan terbabit yang turut menyumbang kepada perkhidmatan awam. Kita juga akan berbincang mengenai peranan segelintir ketua jabatan yang kadang-kala menimbulkan rasa tidak puas hati dalam kalangan pekerja,” katanya.

-Bharian

Wanita Mati Terlebih Minum Air Berkarbonat

Wanita Mati Terlebih Minum Air Berkarbonat

Seorang koroner mengesahkan bahawa punca kematian ibu lapan anak, Natasha Harris, 30 adalah akibat minum terlalu banyak minuman berkarbonat.


Harris minum sehingga 10 liter air berkarbonat setiap hari, bersamaan lebih dua kali ganda had selamat harian kafein dan hampir satu kilogram gula.

Mendiang meninggal pada pada 25 Februari 2010 akibat serangan jantung. Pasangannya, Christopher Hodgkinson menemuinya dalam keadaan terduduk di atas kerusi tandas, tersandar pada dinding dan mengalami kesukaran bernafas.

Syarikat minuman berkarbonat terbabit mempertikaikan bahawa kuantiti besar yang diminum setiap hari oleh Harris tidak dapat dibuktikan sebagai punca menyumbang kematiannya.

Namun dalam penemuan dikeluarkan semalam, koroner David Crerar berkata Harris mungkin tidak mati jika dia tidak terlalu bergantung kepada minuman berkarbonat itu.

“Saya mendapati, apabila semua bukti yang diperoleh dipertimbangkan, jika Natasha Harris tidak mengambil kuantiti besar air berkarbonat, agak mustahil dia akan mati seperti sekarang,” katanya.

Hodgkinson berkata, beberapa bulan sebelum kematiannya, keadaan kesihatan Harris merosot.

“Dia tiada tenaga dan merasa tidak sihat sepanjang masa. Dia akan bangun dan muntah pada waktu pagi,” katanya.

Beliau berkata tabiat minum air berkarbonat pasangannya menjadi satu ketagihan.

“Dia akan marah-marah dan sakit kepala jika tidak minum air berkarbonat dan juga tidak bertenaga,” katanya.

-Agensi

Tuesday, February 12, 2013

BR1M 3.0 Dan BR1M 4.0 Bakal Menyusul

BR1M 3.0 Dan BR1M 4.0 Bakal Menyusul

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, sebentar tadi mengumumkan pemberian BR1M3.0 dan BR1M4.0 akan diteruskan kepada kepada kumpulan penerima sama bagi membantu golongan berpendapatan rendah dan sederhana.


Beliau berkata demikian pada majlis sambutan Tahun Baru Cina Peringkat Johor di Kulaijaya, dekat sini.

“Barisan Nasional (BN) sebagai kerajaan yang prihatin dengan nasib rakyat,” katanya.

Najib berkata bagi memastikan kerajaan boleh meneruskan dasar membantu rakyat, orang ramai mesti memberi mandat kepada Barisan Nasional (BN) untuk membentuk kerajaan pada pilihan raya umum nanti.

“Jika kita mampu memperoleh kerajaan yang kuat, masa depan kita dan negara akan lebih cerah lagi,” katanya.

Menerusi BR1M dan BR1M2.0 penerima yang layak adalah mereka yang berpendapatan di bawah RM3,000 sebulan yang mendapat RM500.

Bagi yang bujang dan berpendapatan RM2,000 sebulan ke bawah layak mendapat RM250.

-BHarian

Wednesday, February 06, 2013

Perogol Bersiri Di Penjara 115 Tahun

Perogol Bersiri Di Penjara 115 Tahun

Lelaki yang digelar Rambo Bentong, Rabidin Satir, 42, menerima pembalasan terhadap perbuatan kejamnya apabila Mahkamah Sesyen, di sini, semalam, menjatuhkan hukuman penjara 115 tahun dan 50 sebatan selepas mengaku bersalah terhadap empat tuduhan rogol serta satu tuduhan melakukan seks luar tabii.

Anggota polis membawa masuk Rabidin ke Mahkamah Sesyen Raub.

Hakim Murtazadi Amran dalam keputusannya berkata, perbuatan tertuduh tidak berperikemanusiaan, apatah lagi mangsa masih muda dan di bawah umur.

“Tertuduh bukan saja perlu meminta maaf kepada mahkamah dan polis, tetapi juga perlu memohon kemaafan kepada mangsa dan keluarga mereka. Saya berharap tertuduh menyesal dengan perbuatannya dan memohon keampunan daripada Tuhan,” katanya.

Rabidin yang berasal dari Tambunan, Sabah, ketika diberi peluang merayu berkata, “Ketika itu (kejadian) saya berada dalam keadaan mabuk dan tidak sedar. Saya memohon kemaafan dan minta hukuman diringankan.”

Murtazadi menjatuhkan hukuman penjara 25 tahun dan 10 sebatan terhadap setiap pertuduhan membabitkan jenayah rogol manakala penjara 15 tahun dan 10 sebatan bagi pertuduhan melakukan seks luar tabii.

[Sumber]

Juruteknik Wanita Nyaris Jadi Mangsa Rogol

Juruteknik Wanita Nyaris Jadi Mangsa Rogol

Seorang juruteknik wanita nyaris diperkosa ketika dalam perjalanan ke tempat kerja apabila dia yang berjalan seorang diri diterkam seorang lelaki tidak dikenali sebelum menariknya ke dalam semak berhampiran Jalan SS 9A/17, Sungai Way, di sini, Sabtu lalu.


Dalam kejadian jam 6 pagi itu, mangsa berusia 23 tahun menjerit meminta tolong sebelum jeritannya itu didengari seorang lelaki yang melalui kawasan itu.

Menurut sumber, lelaki terbabit cuba melarikan diri dari tempat kejadian selepas perbuatannya disedari lelaki berkenaan, tetapi diberkas sebelum diserahkan kepada anggota unit peronda (MPV) dari Balai Polis Sungai Way.

“Mangsa sudah menyedari kehadiran lelaki terbabit di jalan berkenaan, tetapi tidak menghiraukannya kerana sudah biasa menggunakan laluan itu dan tidak pernah berlaku kejadian tidak diingini.

“Namun, sebaik mangsa menghampiri lelaki terbabit tiba-tiba dia diterkam dan tangannya ditarik manakala mulutnya ditutup,” katanya.

[Sumber]

Monday, February 04, 2013

Panas! Apple Bakal Saman Blackberry Pula?

Panas! Apple Bakal Saman Blackberry Pula?

Pakar teknologi percaya Apple akan memfailkan saman ke atas Blackberry sekiranya jualan iPhone mengalami penurunan kerana model Blackberry Z10 mirip menyerupai model tersebut.

Model telefon Blackberry Z10 yang 
dikatakan sama dengan model iPhone.

Bagaimanapun, syarikat pengeluar telefon pintar dari Kanada itu enggan melayan sebarang pertanyaan berhubung Z10 yang menyerupai iPhone.

Pengarah Urusan Blackberry Eropah, Stephen Bates dalam satu temu bual bersama Radio 5 telah ditanya soalan sebanyak lima kali sama ada syarikat itu telah belajar sesuatu daripada Apple, namun dia tidak memberi jawapan sepatutnya.

"Blackberry merupakan salah satu pelabur dalam pasaran telefon pintar,'' jawapan sama yang diberikan Bates setiap kali penemu ramah bertanyakan soalan sehingga dia berputus asa.

Malah, penemu ramah itu turut menyindir Bates dengan menyifatkan jawapan 'bos' Blackberry tersebut hanya seolah-olah beliau sedang membaca kenyataan akhbar.

Dalam pada itu, ramai pakar mendakwa gajet terbaharu Blackberry itu 'meminjam' sistem operasi daripada beberapa syarikat telefon pintar termasuk Apple.

''Ia seolah-olah satu penggabungan daripada pelbagai sistem,'' kata Stuart Miles pengasas laman web Pocket-Lint.

''Kekunci skrin Blackberry mirip telefon milik Windows, paparan aplikasi pula menyerupai iPhone manakala halaman aplikasi pula hampir menyerupai Android.

''Saya tidak fikir pengguna akan keliru dengan telefon Blackberry yang lebih kelihatan berbentuk segi empat tepat,'' kata Miles.

Sementara itu, pakar undang-undang berkata, Apple mungkin berdepan kesukaran untuk mengambil tindakan undang-undang ke atas Blackberry ekoran pertikaian berpanjangan antara syarikat dengan Samsung.

-AGENSI

Guru Mati Terkejut Melihat Katak

Guru Mati Terkejut Melihat Katak

Akibat terperanjat melihat seekor katak dalam keretanya, seorang guru yang memandu panik menyebabkan kenderaannya hilang kawalan, lalu merempuh sebatang pokok menyebabkan dia maut, seorang anaknya parah manakala seorang lagi anaknya patah kaki.

Katak yang ditemui dalam kereta mangsa.

Dalam kejadian jam 5.30 petang di Jalan Kota Puteri berhadapan kolam pancing Batu Arang, Jumaat lalu itu, guru berkenaan yang memandu Proton Exora dalam perjalanan pulang ke rumahnya selepas tamat sesi mengajar.

Mangsa, Moey Yin, 36, maut di tempat kejadian akibat parah di dada manakala dua anaknya termasuk seorang parah.

Anak perempuan mangsa, Lee Jet Yu, berusia sembilan tahun, belum sedarkan diri dan kini dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Sungai Buloh, manakala adik lelakinya, Lee Jet Yang, berusia lapan tahun, dilaporkan stabil, tetapi patah kaki kiri.

Difahamkan, anak lelaki mangsa yang baru tersedar dari koma pagi semalam memaklumkan ibunya gagal mengawal kenderaan selepas terkejut melihat seekor katak berada dalam kereta.

[Sumber]

Sniper Terhandal AS Mati Ditembak

Sniper Terhandal AS Mati Ditembak

Seorang bekas tentera elit Amerika Syarikat (AS) yang dikenali sebagai penembak tepat paling berbahaya dalam sejarah negara itu, ditembak mati Texas, semalam.


Chris Kyle, 38, yang berkhidmat dalam unit elit tentera laut AS, SEAL, ditemukan mati di sebuah pusat menembak di Texas.

Media AS melaporkan, seorang lelaki berusia 25 tahun ditahan telah pihak polis dan siasatan berhubung motif serangan itu masih dijalankan.

Kyle yang pernah berkhidmat di Iraq, telah membunuh seramai 150 orang, menjadikannya penembak tepat paling berbahaya dalam sejarah AS.

-dpa

Sunday, February 03, 2013

Bayi Malang Maut Ditimpa TV

Bayi Malang Maut Ditimpa TV

Seorang bayi berusia empat bulan, Kian McMillan meninggal dunia dalam keadaan tragis selepas sebuah televisyen seberat 30 kilogram menimpa kepalanya akibat perbuatan ibunya yang mabuk dan sedang khayal dengan dadah.


Wanita itu, Natalie McMillan, 25, dipenjarakan selama 15 bulan.

Kejadian itu berlaku ketika bayi itu sedang terbaring di atas karpet di rumah berkenaan di Lancashire.

Ketika itu, ibunya cuba mengalihkan televisyen untuk membolehkannya memasang plug dvd.

Akibat kecuaian dan kebodohannya, peti televisyen itu menimpa anaknya sendiri.

Bagaimanapun Natalie ketika memberikan keterangan menafikannya dan memberitahu bahawa bekas kekasihnya yang juga bapa bayi itu, Edward Hanratty, 41, melakukan perbuatan berkenaan.

Jelasnya, ketika kejadian dia sedang tidur di tingkat atas rumah itu.

Natalie juga menafikan dia berada di bawah pengaruh arak dan dadah namun ujian yang dijalankan mengesahkan dia mengambil heroin dan valium.

Hanratty juga mengambil dadah ketika kejadian, namun dia tidak sedarkan diri di dapur rumah mereka.

Natalie bernasib baik tidak didakwa melakukan pembunuhan sebaliknya hanya didakwa kerana cuai.

Ketika hukuman dijatuhkan, hakim juga menempelak pasangan itu kerana tidak mempedulikan kebajikan bayi tersebut dan dalam masa sama sibuk mengambil dadah demi kepentingan diri mereka sendiri.

“Pada malam kejadian, anda berdua khayal dengan dadah dan arak hinggakan awak berdua melupakannya sehingga mendorong kematian anak tersebut dengan begitu tragis,” katanya.

[Sumber]

Friday, February 01, 2013

WSJ Diserang Penggodam Tentera Siber China

WSJ Diserang Penggodam Tentera Siber China

Penggodam daripada China telah menyusup sistem komputer Wall Street Journal (WSJ), serangan kedua dilaporkan pada outlet berita utama Amerika Syarikat (AS) itu.


Journal berkata, penggodam cuba untuk memantau liputan di China.

The New York Times melaporkan bahawa penggodam China "berterusan" menembusi sistem sejak empat bulan lepas.

Beijing telah dituduh oleh beberapa kerajaan dan syarikat dalam menjalankan pengintipan siber selama bertahun-tahun.

Bagaimanapun Kementerian Luar China menolak tuduhan New York Times sebagai "tidak berasas" dan "benar-benar tidak bertanggungjawab".

"China adalah juga mangsa serangan penggodaman. Undang-undang Cina jelas melarang serangan penggodaman, dan kita berharap pihak-pihak yang berkenaan mengambil sikap bertanggungjawab mengenai isu ini," kata jurucakap Hong Lei.

Penerbit WSJ, Dow Jones & Co, mengeluarkan satu kenyataan pada Khamis berkata, serangan penggodaman yang berkaitan liputan China adalah "satu isu yang berterusan."

"Bukti menunjukkan bahawa usaha penyusupan sasaran pemantauan liputan Journal China, dan tidak satu cubaan untuk mendapat kelebihan komersial atau salahnya maklumat pelanggan," kata jurucakap akhbar.

"Kami akan terus bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa dan pakar keselamatan luar, mengambil langkah-langkah yang menyeluruh untuk melindungi pelanggan, pekerja, wartawan dan sumber," ujar beliau dipetik laporan BBC.

WSJ katanya, telah selesai membaik pulih rangkaian untuk meningkatkan keselamatan.

Sementara itu, New York Times berkata, serangan ke atas sistem itu bertepatan dengan laporan penyiasatan ke atas dakwaan bahawa keluarga Perdana Menteri China Wen Jiabao telah mengumpulkan kekayaan berbilion-bilion dolar.

Ia berkata, pakar telah mendapati bahawa serangan "bermula dari komputer universiti yang sama digunakan oleh tentera Cina untuk menyerang ketenteraan Amerika Syarikat pada masa lalu."

Beijing telah dituduh oleh beberapa kerajaan, syarikat-syarikat asing dan organisasi menjalankan pengintipan siber yang luas selama bertahun-tahun, cuba untuk mengumpul maklumat dan untuk mengawal imej China.

[Sumber}

Aktivis Korea Selatan Bakal Bina Tugu Hamba Seks Di Singapura

Aktivis Korea Selatan Bakal Bina Tugu Hamba Seks Di Singapura

Republik Singapura kelmarin berkata ia menolak rancangan aktivis Korea Selatan untuk mendirikan sebuah tugu di tengah ibu kota ini bagi memperingati wanita yang dipaksa menjadi hamba seks oleh Jepun ketika Perang Dunia Kedua.


Kementerian kebudayaan menafikan dakwaan oleh Majlis Wanita Kerahan Untuk Perhambaan Seksual Tentera Korea, yang berkata ada perbincangan mengenai rancangan mendirikan patung terbabit.

“Itu tidak benar,” kata kementerian kepada AFP dalam satu kenyataan menerusi emel.

“Tiada pertemuan atau perbincangan berterusan antara kerajaan Singapura dan Majlis berhubung isu berkenaan. Begitu juga tiada patung sebegitu akan didirikan di Singapura.”

Di Seoul minggu lalu, aktivis mendedahkan rancangan mendirikan tugu berkenaan, mewakili “wanita pendamping” yang dipaksa mendiami rumah pelacuran tentera Jepun ketika perang, di sejumlah negara Asia bermula di republik ini.

Mereka juga berkata sedang mengadakan rundingan dengan pihak berkuasa Singapura dan menambah satu delegasi akan dihantar ke sini untuk memuktamadkan rancangan itu.

Kumpulan Korea Selatan itu menjadi perancang tugu gangsa seorang gadis muda dengan seekor rama-rama pada bahunya yang didirikan pada 2011 berhadapan Kedutaan Jepun di Seoul. Tugu lain juga dirancang didirikan di China, Malaysia dan Indonesia, kata mereka.

–AFP

Permohonan Bantuan Lesen BL1M Dibuka

Permohonan Bantuan Lesen BL1M Dibuka

Borang permohonan bagi program Bantuan Lesen 1Malaysia (BL1M) bagi memudahkan golongan muda mendapatkan lesen motosikal B2, mula diedar kepada orang ramai selama dua minggu mulai hari ini.


Pengerusi Eksekutif MYEG Services Berhad, Datuk Norraesah Mohamad, berkata borang boleh didapati di kesemua pejabat komponen Barisan Nasional di 222 kawasan Parlimen seluruh negara dan secara talian di laman web www.bl1m.my atau www.myeg.com.my.

Manakala yuran RM199 yang dikenakan hanya akan diterima dalam bentuk kiriman wang dan diperlukan semasa penyerahan borang lengkap di pusat yang diluluskan.

“Bayaran dalam bentuk tunai adalah tidak dibenarkan pada bila-bila masa dalam program BL1M ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Program BL1M di bawah kelolaan Sekretariat Hal Ehwal Bandar Pemuda Barisan Nasional dilancarkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak hari ini sempena program Himpunan Orang Muda di Stadium Sultan Abdul Halim, Kedah.

Dalam pada itu, Norraesah mengingatkan orang ramai bahawa BL1M, Pemuda BN dan MYEG tidak pernah melantik mana-mana ejen atau agensi untuk mendaftar dan memungut yuran bagi pihak BL1M, sama ada dari pintu ke pintu mahupun di tempat awam.

Katanya, MYEG adalah satu-satunya agensi yang dilantik bagi mengurus dan mentadbir perjalanan program itu.

Yakin program itu akan meningkatkan tahap keselamatan jalan raya secara am, Norraesah berkata, sambutan menggalakkan yang diterima secara talian oleh MYEG sejak ia diumumkan pertengahan bulan ini, menunjukkan bahawa orang ramai memandang positif terhadap manfaat program itu.

Program yang yang menawarkan harga mendapatkan lesen B2 sebanyak 50 peratus lebih rendah adalah terbuka kepada warganegara berusia antara 17 dan 40 tahun dan yuran RM199 adalah meliputi permohonan lesen, gambar, kelas latihan amali, ujian teori, undang-undang berkomputer dan praktikal di institut memandu.

Dalam pada itu, beliau berkata mana-mana institut memandu yang mahu menyertai program BL1M perlu mendapat kelulusan Jabatan Pengangkutan Jalan terlebih dahulu dan memenuhi kriteria tertentu serta menjalani sistem pembidaan terbuka.

Untuk maklumat lanjut, beliau berkata orang ramai boleh melayari laman web http://www.bl1m.my atau menghubungi talian bantuan di 03-7801 8888.

BACA INI JUGA: Kenapa Tun Mahathir Menganggap Pemberian BR1M Rasuah Kepada Rakyat?

-SENTIASAPANAS.COM

Thursday, January 31, 2013

Perogol Bersiri Hanya Dipenjara 5 Tahun!

Perogol Bersiri Hanya Dipenjara 5 Tahun!

Seorang lelaki yang juga perogol bersiri, dijatuhi hukuman penjara lima tahun dan empat sebatan oleh Mahkamah Majistret di sini semalam selepas menukar pengakuan kepada bersalah mencabul seorang gadis berusia 23 tahun pada 18 Mac tahun lalu.


Tertuduh, Amran Che Jaafar, 30, seorang duda berasal dari Bachok, sebelum ini mengaku tidak bersalah sehingga kes tersebut menjalani perbicaraan yang agak panjang iaitu hampir setahun.

Penjenayah seks yang dikaitkan dengan 20 kes rogol dan cubaan rogol di seluruh Kelantan itu sedang menjalani hukuman penjara selama 28 tahun dan 13 sebatan atas pelbagai kesalahan jenayah berat seperti merogol, merompak, memecah masuk kediaman dan menikam paha gadis yang gagal dirogolnya.

Majistret Mohd. Fazaly Ali Mohd. Ghazaly menetapkan hukuman penjara lima tahun itu berkuat kuasa bermula hari ini.

[Sumber]

Wednesday, January 30, 2013

Wanita Gemuk Meninggal Dunia Selepas Dihalang Menaiki Pesawat

Wanita Gemuk Meninggal Dunia Selepas Dihalang Menaiki Pesawat

Seorang lelaki Amerika Syarikat (AS), Janos Soltesz yang 'kehilangan' isterinya pada tahun lalu selepas tiga syarikat penerbangan enggan membawa isterinya itu dari Eropah ke AS, bertindak menyaman syarikat-syarikat terbabit berjumlah AS$6 juta (RM18 juta), semalam.


Syarikat-syarikat penerbangan itu enggan membawa isteri plaintif, Vilma Soltesz kerana wanita itu mempunyai berat badan yang berlebihan, menurut saman yang difailkan lelaki itu di Mahkamah Persekutuan di Manhattan.

Ketika kejadian itu, Soltesz dilaporkan mempunyai berat badan sebanyak 193 kilogram, selain berkerusi roda dan menghidap penyakit diabetis serta buah pinggang.

Soltesz ditemui meninggal dunia di kediaman percutian mereka di Hungary pada Oktober 24 Oktober lalu.

Menurut saman yang difailkan, ketiga-tiga syarikat penerbangan itu menyebabkan kematian dan melakukan kecuaian melampau.

Pasangan itu meninggalkan rumah mereka di Bronx pada September lalu untuk bercuti di Hungary dengan menaiki pesawat Delta Air Lines dengan Vilma diberikan dua tempat duduk.

Namun, pada 2 Oktober lalu, Soltesz terpaksa dirawat di hospital Hungary selepas jatuh sakit, tetapi dibenarkan keluar hospital dan menaiki pesawat dengan syarat dia haruslah berjumpa doktor sejurus selepas tiba, menurut tuntutan saman tersebut.

Dua minggu selepas itu, pasangan tersebut cuba meninggalkan negara itu menggunakan kaedah sama seperti mereka pergi ke negara ini sebelum ini, tetapi penerbangan KLM Royal Dutch Airlines, Delta dan Lufthansa menolaknya dengan memberi alasan tertentu.

Selepas beberapa minggu mencuba, mereka masih gagal dan Soltesz yang keletihan dan sakit akhirnya hanya terbaring di atas katil di rumah percutian mereka di Veszprem sehinggalah dia ditemui meninggal dunia oleh suaminya pada 24 Oktober lalu. - REUTERS

-Utusan

Penduduk Korea Utara Makan Anak Sendiri Akibat Kelaparan

Penduduk Korea Utara Makan Anak Sendiri Akibat Kelaparan

Penduduk Korea Utara yang kelaparan didakwa bertindak membunuh anak mereka untuk dijadikan makanan bagi mengelak kelaparan, lapor The Sunday Times.

Gambar kanak-kanak Korea Utara yang kebuluran

Seorang ayah dikatakan telah dijatuhi hukuman mati selepas didapati bersalah membunuh dua anaknya untuk dijadikan makanan, ketika kebimbangan lebih banyak lagi kes seperti itu berlaku di negara komunis ini.

Menurut The Sunday Times, mereka memperolehi maklumat itu daripada wartawan yang menyaksikan beberapa kejadian mengerikan itu di negara ini.

Kes lain yang dilaporkan termasuklah seorang penduduk yang menggali kubur cucunya untuk dijadikan makanan dan anak warga emas itu bertindak memasak daging anaknya sendiri.

Beribu-ribu rakyat Korea Utara dikhuatiri mengalami kebuluran, meskipun perkara itu dinafikan oleh pemimpin negara ini, Kim Jong-un.

Lebih 10,000 penduduk negara ini didakwa terbunuh di wilayah selatan Pyongyang akibat kebuluran.

Menurut seorang pemberi maklumat di Hwanghae, seorang lelaki di kampungnya dijatuhi hukuman mati pada Mei lalu selepas membunuh dua anaknya dan cuba memakan mayat anaknya.

Menurutnya, lelaki itu ditahan selepas isterinya membuat aduan kepada pihak berkuasa dan mayat kanak-kanak itu ditemui.

Laporan itu dikumpulkan oleh Asia Press menggunakan 'wartawan penduduk tempatan'.

Ramai penduduk Korea Utara mengalami kebuluran akibat kejatuhan pengeluaran makanan di negara ini, terutama akibat dilanda musim kemarau. - AGENSI

-Utusan