Friday, March 10, 2023

Kisah Asal Usul Bekas Tapak Kaki Di Makam Nabi Ibrahim a.s.

Kisah Asal Usul Bekas Tapak Kaki Di Makam Nabi Ibrahim a.s.

Setelah Nabi Ismail bersetuju untuk membantu Nabi Ibrahim membangunkan Kaabah, maka Nabi Ibrahim bersama dengan anaknya pun mula membina Kaabah setelah Allah SWT menunjukkan kepada mereka tempat yang harus dibina Baitullah itu.

Asal usul Makam Ibrahim

Ada dua riwayat yang mengatakan bahawa Allah SWT meninggikan tapak Baitullah sebelum dibina oleh Nabi Ibrahim dan anaknya, sehinggakan tapak Baitullah tidak terkena bala bencana taufan sewaktu taufan besar melanda.

Satu riwayat lagi mengatakan bahawa tapak Baitullah itu telah runtuh dalam taufan besar sepertimana runtuhnya binaan-binaan besar yang lain. Setelah peristiwa taufan besar melanda maka sesungguhnya tidak ada orang lain yang memulakan pembinaannya semula kecuali Nabi Ibrahim dan anaknya.

Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail memulakan pembinaan Baitullah. Nabi Ibrahim menyusun naik batu sementara Nabi Ismail pula mengutip batu-batu besar seperti yang difirman oleh Allah SWT yang bermaksud, "Dan (ingatlah) ketika Nabi Ibrahim bersama-sama anaknya Nabi Ismail meninggikan binaan (tapak) Baitullah (Kaabah) sambil keduanya berdoa dengan berkata, Wahai Tuhan kami! Terimalah, daripada kami amal kami sesungguhnya Engkau amat mendengar lagi Amat Mengetahui." (surah al-Baqarah ayat 127).

Apabila binaan sudah meninggi, Nabi Ismail menghulurkan batu besar yang cukup tinggi dan diambil oleh Nabi Ibrahim dan membina Baitullah sehingga ia siap pembinaannya.

Maka dengan kehendak Allah SWT, sebaik sahaja Nabi Ibrahim meletakkan kakinya di batu besar itu, maka terlekatlah tapak kaki Nabi Ibrahim sepertimana dapat kita melihatnya sehingga hari ini di Baitullah. Dan ini adalah suatu tanda kebesaran Allah SWT.

Apabila agama Islam datang, Allah SWT mensyariatkan untuk bersembahyang di belakang makam Ibrahim sepertimana firman Allah SWT yang bermaksud, "Dan jadikanlah oleh kamu makam Ibrahim itu tempat sembahyang." (surah al-Baqarah ayat 125).

Yang dikatakan makam Nabi Ibrahim itu adalah kedua belah bekas tapak kaki beliau dan bukan kubur Nabi Ibrahim.

Setelah selesai pembinaan Baitullah, maka Allah SWT memerintahkan Nabi Ibrahim memberi kebenaran kepada umat manusia menunaikan haji di Baitullah.

Firman Allah SWT yang bermaksud, "Dan serulah umat manusia untuk datang mengerjakan haji, nescaya mereka akan datang ke (Rumah Allah)mu dengan berjalan kaki, dengan berkenderaan berjenis-jenis unta yang kurus, yang datangnya dari berbagai jalan (ceruk rantau) yang jauh." (surah al-Haj ayat 27).

Setelah itu Nabi Ibrahim naik ke gunung (Jabal) Abi Qubais satu gunung yang paling dekat dengan baitullah dan di sana beliau memanggil dengan nama Allah SWT, "Wahai sekalian manusia, sesungguhnya Tuhan kamu telah membina satu rumah-Nya bagi kamu, oleh itu hendaklah kamu semua tunaikan haji di sana."

Nabi Ibrahim menyeru ke kanan dan ke kiri seolah-olah orang melaungkan azan.

Allah SWT menyampaikan seruan Nabi Ibrahim a.s. pada setiap orang yang diciptakan dalam bacaan talbiah dan itulah pernyataan semua orang yang mengerjakan fardhu haji, kerana haji itu tidak akan sah tanpa talbiah.

Bacaan talbiah antara lainnya, "Labbaikallahhummalabbaik" yang bermakna, "Aku datang untuk menunaikan panggilan-Mu ya Allah."

Menunaikan haji adalah salah satu rukun Islam, oleh itu hendaklah kita menunaikannya apabila kita sudah mampu melaksanakannya.

Banyak orang menunaikan haji, tetapi sekembali mereka dari menunaikan haji yang sangat menyedihkan ialah terdapat juga orang yang melakukan maksiat lebih teruk dari masa sebelum menunaikan haji.

Oleh itu, hendaklah kita mulakan dengan sembahyang, puasa, zakat dan seterusnya menunaikan haji.

Kalau kita menunaikan haji tanpa mengerjakan sembahyang lima waktu maka sia-sia sahaja haji yang kita lakukan sebab ia tidak akan diterima oleh Allah SWT.

Dan ini adalah salah satu punca mereka yang kembali dari menunaikan haji melakukan bermacam-macam maksiat.

Bagi mereka yang mendapat kenikmatan haji mereka ini tidak akan berani melakukan kerja-kerja yang dimurkai oleh Allah SWT sebaliknya mereka akan berusaha untuk menjadi muslim yang sempurna.

Tanpa mengerjakan sembahyang, maka semua kerja-kerja yang berbentuk amal, sedekah, zakat dan sebagainya semuanya itu tidak akan diterima oleh Allah SWT.

Wallahu a'lam.

-Sentiasapanas.com

Monday, March 06, 2023

Ayat Kursi Pendinding Diri Dari Kejahatan Iblis, Syaitan Dan Manusia

Ayat Kursi Pendinding Diri Dari Kejahatan Iblis, Syaitan Dan Manusia

Dalam menghadapi hidup setiap hari, kita memerlukan satu kaedah yang jitu bagi menjaga keselamatan diri kita, anak isteri, rumah dan harta benda, perniagaan serta urusan dan pekerjaan yang kita jalankan.

Setiap hari berlaku rompakan, penipuan, perkosaan, pukau, kemalangan, pembunuhan, penzaliman, penindasan serta pelbagai musibah keatas umat Islam serata dunia.

Ayat Kursi pendinding diri

Tiada daya dan kekuatan yang dapat memberikan perlindungan kecuali dari Allah SWT.

Amalkan kaedah ini:
  • Baca Istiqfar - 3 kali.
  • Baca Selawat - 3 kali.
  • Baca Fatihah - 1 kali.
  • PASANG NIAT untuk memagar: "Sahaja aku membaca Ayat-Kursi untuk memagar diri, keluarga, rumah dan urusanku kerana Allah."

1. Baca Ayat Al-Kursi 1 kali

Baca doa ini: Ya Allah Ya Tuhanku, jadikanlah DI HADAPAN diriku, keluargaku, rumahku dan segala urusanku, dari hambaMu yang banyak dosa serta daif ini, Kota Besi, Kota Tembaga yang tidak dapat dikhianati oleh iblis, jin, manusia dan haiwan.

2. Baca Ayat Al-Kursi untuk kali ke-2

Baca doa ini: Ya Allah Ya Tuhanku, jadikanlah DI BELAKANG diriku, keluargaku, rumahku dan segala urusanku, dari hambaMu yang banyak dosa serta daif ini, Kota Besi, Kota Tembaga yang tidak dapat dikhianati oleh iblis, jin, manusia dan haiwan.

3. Baca Ayat Al-Kursi untuk kali ke-3

Baca doa ini: Ya Allah Ya Tuhanku, jadikanlah DI KANAN diriku, keluargaku, rumahku dan segala urusanku, dari hambaMu yang banyak dosa serta daif ini, Kota Besi, Kota Tembaga yang tidak dapat dikhianati oleh iblis, jin, manusia dan haiwan.

4. Baca Ayat Al-Kursi untuk kali ke-4

Baca doa ini: Ya Allah Ya Tuhanku, jadikanlah DI KIRI diriku, keluargaku, rumahku dan segala urusanku, dari hambaMu yang banyak dosa serta daif ini, Kota Besi, Kota Tembaga yang tidak dapat dikhianati oleh iblis, jin, manusia dan haiwan.

5. Baca Ayat Al-Kursi untuk kali ke-5

Baca doa ini: Ya Allah Ya Tuhanku, jadikanlah DI ATAS diriku, keluargaku, rumahku dan segala urusanku, dari hambaMu yang banyak dosa serta daif ini, Kota Besi, Kota Tembaga yang tidak dapat dikhianati oleh iblis, jin, manusia dan haiwan.

6. Baca Ayat Al-Kursi untuk kali ke-6

Baca doa ini: Ya Allah Ya Tuhanku, jadikanlah DI BAWAH diriku, keluargaku, rumahku dan segala urusanku, dari hambaMu yang banyak dosa serta daif ini, Kota Besi, Kota Tembaga yang tidak dapat dikhianati oleh iblis, jin, manusia dan haiwan.

7. Baca Ayat Al-Kursi untuk kali ke-7

Baca doa ini: Ya Allah Ya Tuhanku, jadikanlah segenap sendi dan liang bulu roma hambaMu yang banyak dosa serta daif ini, Kota Besi, Kota Tembaga yang tidak dapat ditembusi nafsu amarah yang didalangi oleh syaitan dan iblis.

8. Baca Selawat keatas Rasulullah SAW

Dari Anas bin Malik r.a. berkata, "Rasulullah SAW bersabda: Apabila seseorang dari umatku membaca ayat Kursi 12 kali, kemudian dia berwuduk dan mengerjakan solat subuh, nescaya Allah akan menjaganya dari kejahatan syaitan dan darjatnya sama dengan orang yang membaca seluruh al-Qur'an sebanyak tiga kali, dan pada hari kiamat ia akan diberi mahkota dari cahaya yang menyinari semua penghuni dunia."

Berkata Anas bin Malik, "Ya Rasulullah, apakah hendak dibaca setiap hari?"

Sabda Rasulullah SAW, " Tidak, cukuplah membacanya pada setiap hari Jumaat."

Wallahu a'lam.

-Sentiasapanas.com

Friday, March 03, 2023

Kerana Sombong Iblis Terbuang Dari Syurga

Kerana Sombong Iblis Terbuang Dari Syurga

Dalam sebuah kitab karangan Imam al-Ghazali menyebutkan bahawa iblis itu sesungguhnya namanya disebut sebagai al-Abid (ahli ibadah) pada langit yang pertama, pada langit yang kedua disebut az-Zahid. Pada langit ketiga, namanya disebut al-Arif. Pada langit keempat, namanya adalah al-Wali. Pada langit kelima, namanya disebut at-Taqi. Pada langit keenam, namanya disebut al-Kazin. Pada langit ketujuh namanya disebut Azazil, manakala dalam Luh Mahfudz, namanya ialah iblis.

Khutbah iblis

Dia (iblis) lupa akibat urusannya, maka Allah SWT telah memerintahkannya sujud kepada Adam.

Lalu iblis berkata, "Adakah Engkau mengutamakannya daripada aku, sedangkan aku lebih baik daripadanya. Engkau jadikan aku daripada api dan Engkau jadikan Adam daripada tanah."

Lalu Allah SWT berfirman yang maksudnya, "Aku membuat apa yang aku kehendaki."

Oleh kerana iblis memandang dirinya penuh keagungan, maka dia enggan sujud kepada Adam a.s. kerana bangga dan sombong.

Dia berdiri tegak sampai saatnya malaikat bersujud dalam waktu yang berlalu dan ketika para malaikat mengangkat kepala, mereka mendapati iblis tidak sujud sedang mereka telah selesai sujud.

Maka para malaikat bersujud lagi bagi kali kedua kerana bersyukur, tetapi iblis tetap angkuh dan enggan sujud. Dia berdiri tegak dan memaling dari para malaikat yang sedang bersujud. Dia tidak ingin mengikut mereka dan tidak pula dia merasa menyesal atas keengganannya.

"Dan (ingatlah) ketika Kami berfirman kepada para malaikat: Sujudlah kamu kepada Adam, maka sujudlah mereka kecuali Iblis; ia enggan dan takabur dan adalah ia termasuk golongan orang-orang yang kafir."

Kemudian Allah SWT merubah wajahnya daripada asal yang sangat indah kepada bentuk seperti babi hutan.

Allah SWT membentukkan kepalanya seperti kepala unta, dadanya seperti daging yang menonjol di atas punggung, wajah yang ada di antara dada dan kepala itu seperti wajah kera, kedua matanya terbelah pada sepanjang permukaan wajahnya.

Lubang hidungnya terbuka seperti cerek tukang bekam, kedua bibirnya seperti bibir lembu, taringnya keluar seperti taring babi hutan dan janggut terdapat sebanyak tujuh helai.

Setelah itu, lalu Allah mengusirnya dari syurga, bahkan dari langit, dari bumi dan ke beberapa jazirah. Dia tidak akan masuk ke bumi melainkan dengan cara sembunyi.

"Maka keluarlah kamu dari syurga; sesungguhnya kamu adalah makhluk yang terkutuk." (QS Shaad: 77)

Allah SWT melaknatinya sehingga ke hari kiamat kerana dia menjadi kafir.

Walaupun iblis itu pada sebelumnya sangat indah cemerlang rupanya, mempunyai empat sayap, banyak ilmu, banyak ibadah serta menjadi kebanggaan para malaikat dan pemukanya, dia juga pemimpin para malaikat karubiyin dan banyak lagi, tetapi semua itu tidak menjadi jaminan sama sekali baginya.

Ketika Allah SWT membalas tipu daya iblis, maka menangislah Jibril dan Mikail.

Lalu Allah SWT berfirman yang bermaksud, "Apakah yang membuat kamu menangis?"

Lalu mereka menjawab, "Ya Allah! Kami tidaklah aman dari tipu dayamu."

Firman Allah bagi bermaksud, "Begitulah aku. Jadilah engkau berdua tidak aman dari tipu dayaku."

Setelah diusir, maka iblis pun berkata, "Ya Tuhanku, Engkau telah mengusir aku dari Syurga disebabkan Adam dan aku tidak menguasainya melainkan dengan penguasaan-Mu."

Lalu Allah berfirman yang bermaksud, "Engkau dikuasakan atas dia, yakni atas anak cucunya, sebab para nabi adalah maksum."

Berkata lagi iblis, "Tambahkanlah lagi untukku."

Allah berfirman yang maksudnya, "Tidak akan dilahirkan seorang anak baginya kecuali tentu dilahirkan untukmu dua padanya."

Berkata iblis lagi, "Tambahkanlah lagi untukku."

Lalu Allah berfirman yang maksudnya, "Dada-dada mereka adalah rumahmu, engkau berjalan di sana sejalan dengan peredaran darah."

Berkata iblis lagi, "Tambahkanlah lagi untukku."

Maka Allah berfirman lagi yang bermaksud, "Dan kerahkanlah terhadap mereka pasukan berkuda dan pasukan yang berjalan kaki, (ertinya mintalah tolong menghadapi mereka dengan pembantu-pembantumu, baik yang menaiki kuda mahupun yang berjalan kaki). Dan bersekutulah dengan mereka pada harta, iaitu mendorong mereka mengusaha dan mengarahkannya ke jalan yang haram."

"Dan pada anak-anak, iaitu dengan menganjurkan mereka dalam membuat perantara mendapat anak dengan cara yang dilarang, seperti melakukan senggama dalam masa haid, berbuat perkara-perkara syirik mengenai anak-anak itu dengan memberi nama mereka Abdul Uzza, menyesatkan mereka dengan cara mendorong ke arah agama yang batil, mata pencarian yang tercela dan perbuatan-perbuatan yang jahat dan berjanjilah dengan mereka."

Perkara ini ada disebutkan dalam surah al-Isra ayat 64 yang bermaksud, "Gerakkanlah orang yang engkau kuasai di antara mereka dengan suara engkau dan kerahkanlah kepada mereka tentera engkau yang berkuda dan yang berjalan kaki dan serikanlah mereka pada harta dan anak-anak dan berjanjilah kepada mereka. Tidak ada yang dijanjikan iblis kepada mereka melainkan (semata-mata) tipuan."

Ambil Pengajaran

Kita selalu membayangkan iblis dengan hal-hal yang negatif, padahal ada perkara positif yang boleh kita ambil pengajaran darinya.

Salah satu yang sangat penting adalah, ibadah tidak menjamin kita masuk ke dalam syurga, makanya kita harus berhati-hati dan selalu berdoa kepada Allah SWT supaya meninggal dunia dalam keadaan khusnul khotimah.

Sabda Rasulullah SAW, "Tidak ada amalan seorangpun yang dapat memasukkannya ke dalam syurga dan menyelamatkannya dari neraka. Tidak juga dengan ku, kecuali dengan rahmat Allah SWT." (HR Muslim).

Wallahu a'lam.

-Sentiasapanas.com

Friday, February 24, 2023

Kisah Wali Allah Yang Solat Di Atas Air

Kisah Wali Allah Yang Solat Di Atas Air

Sebuah kapal yang sarat dengan muatan dan bersama 200 orang temasuk ahli perniagaan berlepas dari sebuah pelabuhan di Mesir. Apabila kapal itu berada di tengah lautan maka datanglah ribut petir dengan ombak yang kuat membuat kapal itu terumbang-ambing dan hampir tenggelam.

Siapa Wali Allah

Berbagai usaha dibuat untuk mengelakkan kapal itu dipukul ombak ribut, namun semua usaha mereka sia-sia saja. Kesemua orang yang berada di atas kapal itu sangat cemas dan menunggu apa yang akan terjadi pada kapal dan diri mereka.

Ketika semua orang berada dalam keadaan cemas, terdapat seorang lelaki yang sedikitpun tidak merasa cemas. Dia kelihatan tenang sambil berzikir kepada Allah SWT.

Kemudian lelaki itu turun dari kapal yang sedang terunbang-ambing dan berjalanlah dia di atas air dan mengerjakan solat di atas air.

Beberapa orang peniaga yang bersama-sama dia dalam kapal itu melihat lelaki yang berjalan di atas air dan dia berkata, "Wahai wali Allah, tolonglah kami. Janganlah tinggalkan kami!"

Lelaki itu tidak memandang ke arah orang yang memanggilnya.

Para peniaga itu memanggil lagi, "Wahai wali Allah, tolonglah kami. Jangan tinggalkan kami!"

Kemudian lelaki itu menoleh ke arah orang yang memanggilnya dengan berkata, "Apa hal?"

Seolah-olah lelaki itu tidak mengetahui apa-apa.

Peniaga itu berkata, "Wahai wali Allah, tidakkah kamu hendak mengambil berat tentang kapal yang hampir tenggelam ini?"

Wali itu berkata, "Dekatkan dirimu kepada Allah."

Para penumpang itu berkata, "Apa yang mesti kami buat?"

Wali Allah itu berkata, "Tinggalkan semua hartamu, jiwamu akan selamat."

Kesemua mereka sanggup meninggalkan harta mereka. Asalkan jiwa mereka selamat.

Kemudian mereka berkata, "Wahai wali Allah, kami akan membuang semua harta kami asalkan jiwa kami semua selamat."

Wali Allah itu berkata lagi, "Turunlah kamu semua ke atas air dengan membaca Bismillah."

Dengan membaca Bismillah, maka turunlah seorang demi seorang ke atas air dan berjalan menghampiri wali Allah yang sedang duduk di atas air sambil berzikir.

Tidak berapa lama kemudian, kapal yang mengandungi muatan berharga itu pun tenggelam ke dasar laut.

Habislah kesemua barang-barang perniagaan yang mahal-mahal terbenam ke laut. Para penumpang tidak tahu apa yang hendak dibuat, mereka berdiri di atas air sambil melihat kapal yang tenggelam itu.

Salah seorang daripada peniaga itu berkata lagi, "Siapakah kamu wahai wali Allah?"

Wali Allah itu berkata, "Saya ialah Awais Al-Qarni."

Peniaga itu berkata lagi, "Wahai wali Allah, sesungguhnya di dalam kapal yang tenggelam itu terdapat harta fakir-miskin Madinah yang dihantar oleh seorang jutawan Mesir."

Wali Allah berkata, "Sekiranya Allah kembalikan semua harta kamu, adakah kamu betul-betul akan membahagikannya kepada orang-orang miskin di Madinah?"

Peniaga itu berkata, "Betul, saya tidak akan menipu, ya wali Allah."

Setelah wali itu mendengar pengakuan dari peniaga itu, maka dia pun mengerjakan solat dua rakaat di atas air, kemudian dia memohon kepada Allah SWT agar kapal itu ditimbulkan semula bersama-sama hartanya.

Tidak berapa lama kemudian, kapal itu timbul sedikit demi sedikit sehingga terapung di atas air. Kesemua barang perniagaan dan lain-lain tetap seperti asal. Tiada yang kurang.

Setelah itu dinaikkan kesemua penumpang ke atas kapal itu dan meneruskan pelayaran ke tempat yang dituju.

Apabila sampai di Madinah, peniaga yang berjanji dengan wali Allah itu terus menunaikan janjinya dengan membahagi-bahagikan harta kepada semua fakir miskin di Madinah sehingga tiada seorang pun yang tertinggal.

SIAPA WALI ALLAH?

Wali Allah (auliya) adalah orang-orang yang memiliki hubungan dekat dengan Allah Taala. Mereka memiliki keistimewaan dan kekhususan di sisi-Nya. Al-Quran menjelaskan para waliyullah ini adalah orang beriman dan bertakwa dalam surah Yunus ayat 62-63.

"Ketahuilah! Sesungguhnya wali-wali Allah, tidak ada kebimbangan (dari sesuatu yang tidak baik) terhadap mereka, dan mereka pula tidak akan berdukacita. (Wali-wali Allah itu ialah) orang-orang yang beriman serta mereka pula sentiasa bertaqwa." (QS Yunus: 62-63)

Dalam satu hadis turut disebut golongan inilah yang dijelaskan oleh Rasulullah kepada Saidina Umar Ibnu Al Khattab r.a.

Rasulullah: Para Nabi dan para syuhada akan cemburu kepada segolongan hamba Allah kelak di akhirat kerana kedudukan mereka yang tinggi di sisi Allah, pada hal mereka bukan para Nabi.

Umar r.a.: Siapakah mereka wahai Rasul?

Rasulullah: Mereka ialah satu kaum yang saling mengasihi sesama mereka semata-mata kerana Allah, bukan kerana hubungan silaturrahim atau kerana harta. Demi Allah, sesungguhnya wajah mereka bercahaya, mereka di atas mimbar yang bercahaya. Mereka tidak takut di kala manusia lain merasa takut dan mereka tidak sedih di kala manusia lain merasa sedih. Lalu Rasulullah pun membaca ayat 62-63 dari surah Yunus.

“Ketahuilah! Sesungguhnya wali-wali Allah, tidak ada kebimbangan (dari sesuatu yang tidak baik) terhadap mereka, dan mereka pula tidak akan berdukacita. (Wali-wali Allah itu ialah) orang-orang yang beriman serta mereka pula sentiasa bertaqwa. (QS Yunus: 62-63).

Keistimewaan Wali Allah

Salah satu keistimewaan Wali Allah ini ada diterangkan oleh Baginda Nabi, dari Abu Hurairah radhiyallahu’anhu berkata: Rasulullah SAW bersabda: "Sesungguhya Allah Ta'ala berfirman: "Siapa yang memusuhi wali-Ku maka telah Aku umumkan perang terhadapnya. Tidak ada taqarrubnya seorang hamba kepada-Ku yang lebih Aku cintai kecuali beribadah dengan apa yang telah Aku wajibkan atasnya. Dan hamba-Ku yang selalu mendekatkan diri kepada-Ku dengan nawafil (perkara-perkara sunnah di luar yang fardhu) maka Aku akan mencintainya. Dan jika Aku telah mencintainya maka Aku adalah pendengarannya yang dia gunakan untuk mendengar, penglihatannya yang dia gunakan untuk melihat, tangannya yang digunakannya untuk memukul dan kakinya yang digunakan untuk berjalan. Jika dia meminta kepadaku niscaya akan Aku berikan dan jika dia minta perlindungan dari-Ku niscaya akan Aku lindungi." (Riwayat Al-Bukhari).

3 Wirid Para Wali Allah

Ada tiga wirid yang tidak pernah berpisah dengan para auliya (solihin) kerana faedah membaca wirid ini sangat besar fadilatnya di dunia mahupun di akhirat.

1. Membaca 100 Kali sebelum solat Subuh

سبحان الله وبحمده سبحان الله العظيم ،استغفرالله

Subhanallahi wa Bihamdihi Subhanallahil 'Azhiimi, Astaghfirullaah.

Ertinya: Maha suci Allah dan segala pujian kepada-Nya, Maha suci Allah yang Maha Besar aku mohon keampunan kepadaMu ya Allah.

Wirid ini juga terkenal dengan sebutan istighfarnya para Malaikat.

Membaca 100 kali sesudah solat Zuhur

لاإله إلا الله الملك الحق المبين

Laa ilaha illallah Al-Malikul haqqul Mubiin.

Membaca zikir ini sebelum tidur

سبحان الله

Subhanallah 33x

الحمدلله

Alhamdulillah 33x

الله اكبر

Allahu Akbar 34x

Dan menutupnya dengan kalimat:

لَا إِلَهَ إِلَّا اللهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، لَهُ الْمُلْكُ وَلَهُ الْحَمْدُ وَهُوَ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ

Laa ilaaha illallah wahdahu laa Syarika lah, Lahul Mulku wa Lahul hamdu Yuhyii wa Yumiitu wa Huwa 'Alaa kulli Syai-in Qadiir.

Inilah juga kalimah yang diajarkan Rasulullah kepada puteri dikasihinya Saidatul Fatimah radhiyallahu ‘anha dan juga kepada menantunya, Saidina Ali.

Para ulama mengatakan ada rahsia yang sangat besar dalam tasbih zikir ini.

Semoga bermanfaat dan kita dimudahkan dalam mengamalkannya. Aamiin.

Wallahu a'lam.

-Sentiasapanas.com

Friday, February 17, 2023

'Allah Senantiasa Menolong Seorang Hamba Selama Hamba Itu Menolong Saudaranya'

'Allah Senantiasa Menolong Seorang Hamba Selama Hamba Itu Menolong Saudaranya'

Suatu hari Rasulullah SAW mahu berbelanja. Dengan bekal wang sebanyak 8 dirham, beliau hendak membeli pakaian dan kelengkapan rumah. Belum juga sampai di pasar, beliau mendapati seorang wanita sedang menangis.

Allah Senantiasa Menolong Seorang Hamba Selama Hamba Itu Menolong Saudaranya

Beliau bertanya kenapa menangis. Apakah sedang ditimpa musibah? Perempuan itu menyampaikan bahawa ia adalah seorang hamba yang kehilangan wang sebanyak 2 dirham. Dia menangis kerana takut didera oleh majikannya.

Dua dirham dikeluarkan dari saku Rasulullah untuk menghibur hamba yang malang tersebut. Kini tinggal 6 dirham. Beliau bergegas membeli gamis, pakaian kesukaanya.

Akan tetapi baru beberapa langkah dari pasar, seorang tua lagi miskin sambil berteriak berkata, "Barang siapa yang memberiku pakaian, Allah akan mendandaninya kelak."

Rasulullah memeriksa lelaki tersebut. Pakaiannya lusuh, tak pantas lagi dipakai. Gamis yang baru dibelinya dilepas dan diberikan dengan sukarela kepadanya. Beliau tak jadi memakai baju baru.

Dengan langkah ringan beliau hendak segera pulang. Akan tetapi lagi-lagi Baginda harus bersabar.

Kali ini beliau kembali menemui hamba perempuan yang diberi dua dirham tadi yang mengadukan persoalan, bahawa dia takut pulang. Ia khuatir akan dihukum oleh majikannya kerana terlambat.

Sebagai seorang hamba, saat itu nilainya tidak lebih dari seekor binatang. Hukuman fizikal sudah sangat lazim diterima.

Rasulullah diutus ke dunia untuk memberikan pembelaan terhadap rakyat jelata. Dengan senang hati Baginda menghantarkan hamba perempuan tersebut ke rumah majikannya.

Sesampainya di rumah, beliau ucapkan salam. Sekali, dua kali belum ada jawapan. Baru salam yang ketiga dijawab oleh penghuni rumah. Nampaknya semua penghuni rumah tersebut adalah perempuan.

Ketika ditanya kenapa salam beliau tidak dijawab, pemilik rumah itu mengatakan sengaja melakukannya dengan maksud di doakan Rasulullah dengan salam tiga kali.

Selanjutnya Rasulullah menyampaikan maksud kedatangannya. Beliau menghantar perempuan yang menjadi hamba tersebut kerana takut mendapat hukuman.

Rasulullah kemudian menyampaikan, "Jika perempuan hamba ini salah dan perlu dihukum, biarlah aku yang menerima hukumannya."

Mendengar ucapan Rasulullah itu, penghuni rumah terkesima. Mereka merasa mendapat pengajaran yang sangat berharga dari baginda Rasulullah.

Lalu mereka menyampaikan, "Hamba belian ini merdeka kerana Allah."

Betapa bahagianya Rasulullah mendengar pernyataan itu. Beliau sangat bersyukur dengan wang 8 dirham mendapat keuntungan ribuan dirham, yakni harga hamba itu sendiri.

Beliau berkata, "Tiadalah aku melihat lapan dirham demikian besar berkatnya daripada lapan dirham yang ini.

Allah telah memberi ketenteraman bagi orang yang ketakutan, memberi pakaian orang yang telanjang, dan membebaskan seorang hamba belian."

Akhirnya, rahmat dan kasih sayang, bantuan dan pertolongan kepada masyarakat akan mendatangkan kesejahteraan dan kemajuan.

Allah berfirman dalam sebuah hadits Qudsyi, "Bahawanya Allah menolong hamba-Nya, selama ia menolong saudaranya."

Wallahu a'lam.

-Sentiasapanas.com

Bangga Dan Menayang Amalan Menghilangkan Pahala

Bangga Dan Menayang Amalan Menghilangkan Pahala

Keikhlasan itu sesuatu yang sangat berharga. Bayangkan anda sedang menjunjung sebuah peti emas yang terbuka dan berjalan di sekitar bandar raya yang sesak. Sudah pasti anda akan bersungguh-sungguh menjaganya. Begitu juga segala amal kita lakukan. Kita tidak mahu segala pahala kita dirompak begitu saja bukan?

Bahaya Takjub Riak Ujub

Seorang itu bangun solat Tahajud di malam hari dan kemudian dalam hatinya merasa seronok dan bangga selepas dia bersolat, itu adalah tanda-tanda kewujudan sifat ujub dan riak kepada Allah.

Dia yang beramal itu menyangka apa yang dilakukannya (walaupun dia merahsiakannya dari manusia) akan menyelamatkan dirinya dari azab api neraka sedangkan manusia yang soleh itu sebenarnya memenuhi syurga Allah hanya kerana RAHMAT dari ALLAH dan bukan apa yang diusahakannya untuk merasa selamat.

Syidad bin Ausi berkata, "Suatu hari saya melihat Rasulullah SAW sedang menangis, lalu saya pun bertanya beliau, Ya Rasulullah, mengapa anda menangis?"

Sabda Rasulullah SAW, "Ya Syidad, aku menangis kerana khuatir terhadap umatku akan perbuatan syirik, ketahuilah bahawa mereka itu tidak menyembah berhala tetapi mereka berlaku riak dengan amalan perbuatan mereka."

Rasulullah SAW bersabda lagi, "Para malaikat penjaga akan naik membawa amal perbuatan para hamba dari puasanya, solatnya, dermanya dan sebagainya. Para malaikat itu mempunyai suara seperti suara lebah dan mempunyai sinar matahari dan bersama mereka itu 3,000 malaikat dan mereka membawa ke langit ketujuh."

Malaikat yang diserahi ke langit berkata kepada para malaikat penjaga, "Berdirilah kamu semua dan pukulkanlah amal perbuatan ini ke muka pemiliknya dan semua anggotanya dan tutuplah hatinya, sungguh saya menghalangi sampainya kepada Tuhan saya setiap amal perbuatan yang tidak dikehendaki untuk Tuhan selain daripada Allah (membuat sesuatu amal bukan kerana Allah)."

"Berlaku riak di kalangan ahli fiqh adalah kerana inginkan ketinggian supaya mereka menjadi sebutan. Di kalangan para ulama pula untuk menjadi popular di kota dan di kalangan umum. Allah SWT telah memerintahkan agar saya tidak membiarkan amalnya melewati saya akan sampai selain kepada saya."

Malaikat penjaga membawa amal orang-orang soleh dan kemudian dibawa oleh malaikat di langit sehingga sampai kepada Allah SWT.

Mereka berhenti di hariban Allah dan memberikan persaksian terhadap amal orang tersebut yang betul-betul soleh dan ikhlas kerana Allah.

Kemudian Allah SWT berfirman yang bermaksud, "Kamu semua adalah para malaikat Hafazdah (malaikat penjaga) pada amal-amal perbuatan hamba-Ku, sedang Aku-lah yang mengawasi dan mengetahui hatinya, bahawa sesungguhnya dia menghendaki amal ini bukan untuk-Ku, laknat para malaikat dan laknat segala sesuatu di langit."

BURUKNYA SIFAT RIYA' (RIAK)

Perlu kita fahami apa yang dimaksudkan dengan riya' supaya tidak tersalah faham tentang maknanya yang sebenar.

"(laitu) mereka yang berkeadaan lalai daripada menyempurnakan sembahyangnya. (Juga bagi) orang-orang yang berkeadaan riak (bangga diri dalam ibadat dan bawaannya)." (Surah al-Ma'un: 5-6)

Imam Fakhruddin al-Razi menjelaskan bahawa riya' ialah menzahirkan sesuatu yang tidak ada pada hatinya supaya orang ramai melihatnya sebagai orang kuat pegangan agama. (Rujuk Mafatih al-Ghaib (32/301))

"Oleh itu, sesiapa yang percaya dan berharap akan pertemuan dengan Tuhannya, hendaklah ia mengerjakan amal yang soleh dan janganlah ia mempersekutukan sesiapapun dalam ibadatnya kepada Tuhannya." (Surah al-Kahfi: 110)

"Aku bebas dari segala sekutu yang ada pada amalan yang dilakukan di mana dia mensyirikan-Ku dengan yang lain. Maka aku akan tinggalkannya dan sekutunya itu." Riwayat Muslim (7666)

Al-Qadhi Iyadh menyebut, "Hadis ini membawa makna (seakan-akan Allah menyebut) Aku menolak amalannya. Sifat riya' itu adalah dalil kebodohan, pandangan yang teruk dan juga tanda buruknya amalan." Rujuk Faid al-Qadir (4/483)

Sheikh Farid al-Ansari membahagikan riya' kepada beberapa bahagian, iaitu riya' pada agama, tubuh badan, percakapan, percakapan dan lain-lain.

Contoh Riya' pada agama dan badan ialah menzahirkan kekurusan dan ketidak kemasan supaya orang menganggapnya bersungguh-sungguh melakukan ibadah serta seakan-akan dia bersedia menghadapi hari akhirat.

Riya' pada percakapan ialah memberi nasihat dan peringatan dengan niat menzahirkan keprihatinan terhadap hal ehwal orang islam ataupun berzikir kuat-kuat di hadapan orang ramai.

Riya' pada amalan seperti contoh menzahirkan qiyam dan ruku' yang panjang ketika bersolat di hadapan orang ramai.

Abu Umamah al-Bahili ketika melihat orang yang menangis ketika sujud di dalam masjid beliau berkata, "Hei kamu, alangkah baiknya (jika menangis) di rumah."

SIFAT RIAK DI MEDIA SOSIAL

Sebenarnya ada yang sudah mengetahui bahawa riak itu berdosa, tetapi masih juga menunjuk-nunjuk kerana rasa diri lebih baik dari orang lain. Mengapa begitu? Tidak percaya akan azab ALLAH SWT?

Rahsiakan ibadat

Ramai sangat insan suka mengucapkan salam subuh setiap kali selesai menunaikan solat pagi setiap hari.

Amalan seperti solat, puasa Isnin dan Khamis dan apa juga sedekah yang kita lakukan seharusnya disembunyikan daripada pengetahuan masyarakat supaya keikhlasan itu dapat dijaga.

Kita harus pandai menggunakan peluang yang ada untuk mengajak orang ramai untuk melakukan perkara yang baik tetapi pada masa sama, merahsiakan amal ibadat. Ia adalah rahsia antara kita dan Allah SWT sahaja.

Puji anak berlebihan

Boleh dikatakan setiap hari update pasal anak, anak cantik la, anak bijak la di facebook, instagram, sampaikan orang naik menyampah. Sepatutnya anda peka dengan rakan-rakan anda yang mungkin belum berpeluang merasa ada anak, pasti mereka rasa sedih.

Check in hospital mahal

Snap gambar dalam hospital, suruh ralan-rakan doakan anak supaya cepat sembuh. Tetapi caption hastag nama hospital-hospital terkenal, hospital yang mahal-mahal. Sebenarnya dalam hati nak beritahu yang dia mampu pergi hospital mahal. Bukan nak suruh doakan anak tu sangat.

Bersyukur tak habis-habis

Tak habis-habis update pasal duit yang banyak. Bersyukur katanya. Selang seminit update Alahmdulillah. "Alhamdulillah duit masuk lagi."

Sebenarnya bersyukur itu perbuatan yang baik, tetapi salah caranya. Jika betul hendak besyukur, solat dan buat sujud syukur. Bukan hebohkan di laman sosial.

Tunjuk kereta mahal

Tangkap gambar dalam kereta, nampak stereng sekali. Captionnya ‘teruk jam jalan hari ni’. Sebenarnya nak bagitau yang dia bawa kereta mahal. Orang yang ada kereta lebih mahal dari dia pun tak riak!

Shopping

Suka shopping lepas tu ambil gambar dan update di laman sosial, caption pulak 'letih shopping hari ini, sikit-sikit je keluar duit hari ni' tapi dalam gambar bukan main banyak barang yang dibeli. Nak berlagak pun tak payah nak menunjuk sangat kan?

Serba baru

Dekat nak raya nanti ada la yang update pasal sofa baru, langsir baru, baju baru. Sila jaga perasaan orang yang tak mampu. Dah beli barang baru tu senyap saja, jangan nak heboh.

Muka lawa

Suka ambil gambar sendiri dan upload di Facebook, caption 'tak lawa macam makwe awak-awak semua' tetapi sebenarnya nak orang komen pujian. Nanti kalau orang komen cakap memang tak lawa pun, marah pulak. Pelik kan!

TIPU DAYA IBLIS

Riak adalah permainan iblis untuk menggoda manusia. Ia adalah masalah hati yang sukar dilihat dengan mata kasar.

Disebabkan itu, tiada sesiapa pun yang dikecualikan daripada terjerumus ke dalam sifat tersebut kerana alim ulama sekalipun cenderung untuk bersifat begini jika hatinya terpesong walaupun sesaat.

Iblis telah mengaku di hadapan ALLAH SWT bahawa hanya satu golongan manusia sahaja yang akan selamat iaitu mereka yang ikhlas dalam amalannya.

"Wahai Tuhanku (kata Iblis), oleh kerana ENGKAU telah memutuskan bahawa aku sesat, pasti aku akan menjadikan mereka (umat manusia) memandang baik (kepada perbuatan maksiat) di muka bumi, dan pasti aku akan menyesatkan mereka semuanya (melakukan kemungkaran termasuk riak dalam beramal), kecuali hamba-hamba ENGKAU yang ikhlas di antara mereka." Surah al-Hijr, ayat 39 hingga 40

Kesimpulan

Riak adalah menampakkan ibadah dengan tujuan dilihat manusia, lalu mereka memuji pelaku amalan itu.

Sifat riak boleh memakan diri sendiri. Ia berbeza jika sesuatu yang dilaksanakan bertujuan untuk mendidik.

Sebagai contoh, seorang ayah menderma ke dalam tabung masjid dan dilihat oleh anaknya, lalu si ayah berpesan agar mencontohi amalan yang dilakukannya itu. Perbuatan ini tidak dipanggil sebagai riak.

Oleh itu, sentiasalah beristighfar. Sebaik-baiknya sembunyikanlah segala amalan dan perbuatan kita. Sentiasa luruskan niat kerana ALLAH SWT. Amalan yang dibuat kerana manusia tidak akan mendatangkan pahala dan manfaat di sisi-NYA.

Daripada Sa’ad Abi Waqqas r.a., Rasullullah SAW bersabda, "Sesungguhnya Allah mencintai hamba yang bertakwa, hamba yang hatinya selalu merasa cukup dan yang suka mengasingkan diri." (HR Muslim)

Wallahu a'lam.

-Sentiasapanas.com