Friday, February 03, 2023

Minum Arak Puncak Segala Kejahatan

Minum Arak Puncak Segala Kejahatan

Dosa manakah, minum minuman yang memabukkan, berzina atau membunuh. Itulah teka-teki sebagai inti khutbah Khalifah Uthman bin Affan r.a. seperti yang diriwayatkan oleh Az-Zuhriy, dalam khutbah Uthman itu mengingatkan umat agar berhati-hati terhadap minuman khamr atau arak. Sebab minuman yang memabukkan itu sebagai pangkal perbuatan keji dan sumber segala dosa.

Arak Puncak Segala Kejahatan

Ada sebuah riwayat daripada Al-Haris yang telah mendengar Saidina Uthman r.a. berkata:

Dulu hidup seorang ahli ibadah yang selalu tekun beribadah ke masjid, lanjut khutbah Khalifah Uthman.

Suatu hari lelaki yang soleh itu berkenalan dengan seorang wanita cantik. Kerana sudah terjatuh hati, lelaki itu menurut saja ketika disuruh memilih antara tiga permintaannya, tentang kemaksiatan.

Pertama minum khamr, kedua berzina dan ketiga membunuh bayi.

Mengira minum arak dosanya lebih kecil daripada dua pilihan lain yang diajukan wanita pujaan itu, lelaki soleh itu lalu memilih minum khamr.

Tetapi apa yang terjadi, dengan minum arak yang memabukkan itu malah dia melanggar dua kejahatan yang lain.

Dalam keadaan mabuk dan lupa diri, lelaki itu menzinai pelacur itu dan membunuh bayi di sisinya.

"Kerana itulah hindarilah khamr, kerana minuman itu sebagai biang keladi segala kejahatan dan perbuatan dosa.

"Ingatlah, iman dengan arak tidak mungkin bersatu dalam tubuh manusia. Salah satu di antaranya harus keluar. Orang yang mabuk mulutnya akan mengeluarkan kata-kata kufur dan jika menjadi kebiasaan sampai akhir ayatnya, ia akan kekal di neraka."

KISAH BARSISA

Barsisa adalah seorang abid berketurunan Bani Israil, pengikut agama Nabi Musa a.s. Dia merupakan seorang guru yang mempunyai ribuan pelajar yang boleh terbang di atas angin kerana berkatnya.

Ibadah Barsisa cukup kuat hinggakan malaikat takjub melihatnya. Allah SWT bertanya kepada para malaikat, "Mengapa kalian semua takjub melihat Barsisa beribadat? Sesungguhnya Aku amat mengetahui apa kamu tidak ketahui. Barsisa yang kamu takjub itu akan mati kafir dan kekal di dalam neraka buat selama-lamanya."

Hal kematian Barsisa yang akan mati dalam keadaan kafir telah didengari oleh syaitan. Maka syaitan pun segera menuju ke tempat Barsisa sedang beribadat dengan menyamar sebagai manusia yang soleh.

Setibanya di situ syaitan lantas memanggil Barsisa, yang mendengar namanya dipanggil terus menyahut seruannya dan bertanya, "Siapakah tuan?"

Syaitan menjawab, "Saya seorang abid datang untuk menemani tuan beribadat kepada Allah SWT."

Apabila mendengar jawapan syaitan, Barsisa menjawab, "Barang siapa yang datang ke sini untuk beribadat kepada Allah, Allah akan mengadakan teman baginya, silakanlah wahai abid untuk beribadat bersama-sama saya."

Maka syaitan tadi pun beribadat 3 hari 3 malam, tidak tidur, tidak makan dan tidak pula minum, menyebabkan Barsisa berasa kagum dengan teman barunya kerana dia lebih kuat beribadat daripadanya.

Maka berkatalah Barsisa, "Aku beribadat kepada Allah SWT selama 220 tahun tetapi saya tidak pula sanggup meninggalkan tidur, makan dan minum seperti tuan. Bagaimanakah saya hendak beribadat seperti tuan?"

Kata Syaitan, "Wahai tuan, lakukanlah maksiat kepada Allah, kemudian tuan bertaubat kepada-Nya, sesungguhnya Allah SWT Maha Pengasih lagi Maha Penyayang."

Barsisa terkejut lantas bertanya, "Mengapa pula saya mesti mengerjakan maksiat kepada Allah, sedangkan saya telah lama beribadat kepada-Nya?"

Jawab syaitan, "Manusia apabila melakukan dosa, mereka sangat berhajat untuk meminta keampunan daripada-Nya hingga tuan boleh merasai betapa lazatnya melakukan ketaatan kepada Allah SWT setelah melakukan dosa."

Barsisa bertanya lagi, "Apakah dosa yang kamu maksudkan?"

Jawab syaitan, "Cubalah berzina."

Barsisa bertegas untuk tidak melakukannya. Lantas syaitan berkata, "Kalau tidak mahu berzina, bunuhlah seorang Muslim."

Sekali lagi Barsisa menolak nasihat syaitan.

Tanpa berputus asa, syaitan meneruskan lagi, "Kalau tidak mahu membunuh, maka minumlah minuman yang memabukkan."

Barsisa menjawab, "Ya! itulah yang lebih ringan. Di manakah saya boleh dapatkan minuman itu?"

"Pergilah ke desa sekian-sekian."

Maka Barsisa pun pergi ke desa yang dimaksudkan untuk mendapatkan minuman tersebut. Di sana dia bertemu seorang wanita sedang menjual khamar (arak).

Barsisa membeli minuman tersebut dan meminumnya sehingga dia mabuk. Dalam keadaan mabuk dia memperkosa wanita penjual khamar.

Tiba-tiba suami wanita itu pulang ke rumah. Oleh kerana takut rahsianya terbongkar, Barsisa membunuh suami wanita tersebut.

Syaitan yang mengubah penampilannya menjadi manusia pergi bertemu dengan raja untuk melaporkan kesalahan Barsisa membunuh orang. Raja memerintahkan agar Barsisa ditangkap.

Setelah sabit kesalahan, Barsisa dirotan 80 kali kerana kesalahan meminum khamar, 100 kali sebatan kerana merogol dan juga dijatuhkan hukuman sula kerana membunuh suami wanita itu.

Ketika Barsisa sedang berdiri terpacak di tiang sula, syaitan mendatanginya lalu bertanya, "Wahai Barsisa, bagaimanakah keadaanmu sekarang?"

Jawab Barsisa, "Beginilah keadaanku apabila terpedaya dengan seorang teman yang jahat lagi pengkhianat."

Syaitan berkata lagi, "Ketika saat kamu mahu disula ini, mahukah kamu jika aku lepaskan dengan satu syarat?"

Jawab Barsisa, "Apakah syarat tersebut, aku sedia memenuhinya."

Jawab syaitan, "Sujudlah kepadaku satu kali."

Barsisa menjawab, "Bagaimanakah aku hendak sujud kepadamu sedangkan aku terpaku di tiang sula ini?"

Kata syaitan, "Cukuplah dengan isyarat menganggukkan kepala sahaja."

Barsisa pun patuh, dia melakukan sujud kepada syaitan (Iblis Laknatullah) dengan cara menganggukkan kepalanya kepada iblis.

Ketika itulah Raja mengarahkan hukuman dilaksanakan, maka matilah Barsisa bertuhankan syaitan yang terkutuk.

Wallahu a'lam.

-Sentiasapanas.com

Tuesday, January 31, 2023

Kisah Kota LGBT Yang Di Lenyapkan Dari Muka Bumi!

Kisah Kota LGBT Yang Di Lenyapkan Dari Muka Bumi!

Sejarah Laut Mati menyimpan peristiwa bencana yang amat dahsyat, sehingga bukan sahaja menimpa seluruh penduduknya malah melenyapkan terus sebuah negeri dan peradaban. Peristiwa tersebut dirakamkan oleh Allah SWT dalam al-Quran. Kaum yang dimaksudkan itu ialah penduduk Sodom dan Amurah.

Kisah Valley of Salt

Laut Mati ialah laut yang mempunyai air yang sangat masin, sehingga tiada suatu hidupan yang mampu hidup. Jika mandi di laut ini, kita akan mendapati badan kita terapung-apung dan tidak tenggelam, lantaran kepekatan garamnya.

Firman-Nya yang bermaksud, "Maka ketika datang azab Kami, Kami balikkan negeri itu, bahagian atas menjadi bahagian bawah dan Kami hujani mereka dengan batu daripada tanah yang terbakar dengan bertubi-tubi, yang (batu-batu itu) ditandakan (diarahkan) oleh Tuhanmu dan Ia tidaklah jauh daripada orang yang zalim itu." (Surah Hud 11: 8283)

Lokasi bandar Sodom dan Amurah (dalam bible disebut Gommorah) dikenal pasti oleh ahli sejarah di barat daya Laut Mati. Beberapa penemuan sejarah ditemui di kawasan itu kini suatu lembah yang digelar Valley of Salt.

Bumi di situ didapati mengandungi kandungan sulfur dan garam yang tinggi. Dipercayai azab yang diturunkan ke atas mereka daripada hunjaman batu-batu belerang, yang mana selain membunuh manusia, ia membakar bangunan batu-batu kapur (limestone), yakni bahan membina bangunan pada waktu itu.

Tanah dan abu yang dijumpai di kawasan itu mengandungi kalsium sulfat dan kalsium karbonat, hasil daripada batu kapur dan sulfur (batu belerang) yang terbakar.

Kedegilan Kaum Nabi Lut Mengundang Azab Allah

Kaum ini dalam kehidupan mereka mengamalkan perkara yang sangat keji iaitu hubungan homoseksual atau liwat dikalangan lelaki dan lesbian dalam kalangan wanita.

Rata-rata mereka berminat sesama kaum sejenis. Ditambah dengan pelbagai maksiat dan kemungkaran lain seperti penindasan, rompakan, kecurian serta rampasan harta benda dan sebagainya.

Yang kuat mendapat kuasa, manakala yang lemah menjadi korban penindasan serta penganiayaan.

Allah SWT mengutus Nabi Lut a.s. untuk berdakwah dan menyeru kaum Sodom agar kembali menyembah Allah dan meninggalkan perkara keji itu, tetapi mereka mengingkari dakwah Nabi Lut a.s.

Malah mereka suka memperolok-olokkan Nabi Lut sehingga mencabar beliau meminta didatangkan azab daripada Tuhan.

Firman Allah yang bermaksud, "Dan (Kami utus) Nabi Lut. Ingatlah ketika ia berseru kepada kaumnya: 'Kenapa kamu lakukan pekerjaan keji (homoseks) yang tidak pernah dikerjakan oleh seorang jua pun sebelum kamu di muka bumi ini? Sesungguhnya kamu menyalurkan syahwatmu (nafsu seks kamu) kepada lelaki, bukan kepada wanita. Nyatalah kamu kaum yang melampaui batas.' Jawapan kaumnya tidak lain hanya mengatakan, 'Halau mereka (Nabi Lut dan pengikut-pengikutnya) dari negeri kamu ini. Sesungguhnya mereka ialah orang yang berpura-pura menyucikan diri.'" (Surah al-A’raf 7: 80-82)

"Maka jawab kaumnya tidak lain hanya mengatakan: 'Datangkan kepada kami azab Allah, jika kamu termasuk orang-orang yang benar.'" (Surah al-Ankabut 29: 29)

Utusan Allah SWT Datang Kepada Kaum Lut

Kemudian Allah SWT mengutus dua malaikat menjelma sebagai pemuda tampan ke negeri kaum Lut.

Ibn Kathir menyebut: Dalam kalangan ahli tafsir menyebut: Setelah para malaikat iaitu Jibril, Mikail, dan Israfil meninggalkan Ibrahim a.s., maka mereka mendatangi negeri Sodom dalam rupa pemuda yang sangat tampan, sebagai bentuk ujian dari Allah SWT atas kaum Lut dan untuk menegakkan hujjah atas diri mereka.

Sebelum itu, malaikat ini pernah bertamu ke rumah Nabi Ibrahim a.s. untuk menyampaikan berita gembira bahawa isteri baginda akan hamil dan dikurniakan cahaya mata. Malaikat itu juga telah menyatakan bahawa mereka akan ke negeri kaum Lut untuk membinasakan mereka.

Nabi Lut a.s. ialah anak saudara kepada Nabi Ibrahim a.s. Ayahnya bernama Hasan bin Tareh, saudara kandung Nabi Ibrahim a.s.

Firman Allah SWT, "Dan ketika utusan Kami (para malaikat) datang kepada Ibrahim membawa khabar gembira, mereka mengatakan: 'Sesungguhnya kami akan menghancurkan penduduk (Sodom) ini. Sesungguhnya penduduknya ialah orang yang zalim.'" (Surah al-Ankabut 29: 31)

Firman-Nya lagi yang bermaksud, "Berkata Ibrahim: 'Sesungguhnya di kota itu ada Lut.' Para malaikat berkata: 'Kami lebih mengetahui siapa di kota itu. Kami akan selamatkan dia dan pengikutnya kecuali isterinya. Dia termasuk orang yang dibinasakan.'" (Surah al-Ankabut 29: 32)

Para malaikat itu kemudiannya meninggalkan Ibrahim dan menuju ke Sodom.

Al-Suddi berkata: Para malaikat tersebut pergi daripada tempat Nabi Ibrahim menuju ke negeri Lut. Mereka datang ke negeri tersebut pada waktu tengah hari.

Sesampainya mereka di sungai negeri Sodom, mereka bertemu dengan puteri Lut yang sedang mengambil air untuk keluarganya. Ketika itu, Lut memiliki dua anak perempuan. Puteri yang pertama bernama Raitsa dan yang kecil bernama Zaghrata.

Para malaikat tersebut berkata kepadanya, "Wahai anak perempuan, apakah ada tempat untuk singgah?" Dia menjawab: "Ya, ada tempat bagi kamu. Namun, janganlah kamu masuk sebelum aku datang lagi kepada kamu."

Dia merasa kasihan jika kaumnya memperlakukan mereka dengan tidak wajar. Lalu dia menemui ayahnya dan berkata, "Wahai ayah! Ada beberapa pemuda yang ingin bertemu denganmu di pintu masuk kota. Aku belum pernah melihat wajah yang lebih tampan dari wajah mereka. Jangan engkau biarkan kaummu mengganggu mereka dan mempermalukan mereka."

Pada waktu itu, kaum Lut telah melarangnya untuk menerima tetamu. Mereka berkata, "Biarkan kami menerima tetamu lelaki."

Mereka pun bertamu kepada Lut ketika matahari tenggelam. Lut merasa khuatir sekiranya tidak menyambut mereka, maka akan didahului oleh orang lain kerana menyangka bahawa mereka adalah manusia biasa.

Lut membawa mereka – para malaikat tersebut – tanpa diketahui oleh seorang pun kecuali isterinya.

Allah SWT berfirman yang maksudnya, "Dan apabila datang utusan-utusan Kami kepada Nabi Lut ia merasa dukacita dengan kedatangan mereka dan merasa tidak terdaya untuk mengawal mereka (dari gangguan kaumnya), sambil berkata: "Ini adalah hari yang amat mencemaskan." Surah Hud (77)

Malangnya, isteri Lut keluar menemui kaumnya dan berkata, "Di rumah Lut ada beberapa lelaki yang sangat tampan yang belum pernah aku lihat sebelumnya."

Lalu tersebarlah berita dikalangan kaumnya kedatangan lelaki-lelaki tampan di rumah Lut. Lalu mereka berkumpul di hadapan rumah baginda.

Berteriaklah mereka memanggil Lut untuk melepaskan anak-anak muda itu, agar diberi kepada mereka untuk memuaskan nafsu.

Nabi Lut tidak membuka pintu bagi mereka dan berseru agar mereka kembali ke rumah masing-masing dan jangan menggunggu tetamu yang sepatutnya dihormati dan dimuliakan.

Lalu berkatalah Nabi Lut a.s. kepada para tamunya, "Sesungguhnya aku tidak berdaya menahan orang-orang itu menyerbu ke dalam. Aku tidak memiliki senjata dan kekuatan fizikal yang dapat menolak kekerasan mereka, tidak pula mempunyai keluarga atau sanak saudara yang disegani mereka yang dapat aku minta pertolongannya, maka aku merasa sangat kecewa, bahawa sebagai tuan rumah aku tidak dapat menghalau gangguan terhadap tetamu dirumahku sendiri."

"Para utusan malaikat berkata, 'Hai Lut, sesungguhnya kami ialah utusan-utusan Tuhanmu. Mereka sekali-kali tidak akan mengganggumu. Sebab itu pergilah dengan membawa keluarga dan pengikut-pengikutmu pada akhir malam dan janganlah ada seorang pun antara kamu yang tertinggal, kecuali isterimu.'" (Surah Hud 11: 81)

Pengakhiran Kaum LGBT

Nabi Lut a.s. keluar dari kampungnya bersama keluarganya iaitu kedua anak perempuannya dan tidak ada seorang pun yang mengikutinya.

Lalu ketika matahari menyingsing maka azab pun menimpa kaumnya.

Allah SWT berfirman yang maksudnya, "Maka apabila datang (masa perlaksanaan) perintah, Kami jadikan negeri kaum Lut itu diterbalikkan (tertimbus segala yang ada di muka buminya) dan kami menghujaninya dengan batu-batu dari tanah yang dibakar, menimpanya bertalu-talu. Batu-batu itu ditandakan di sisi Tuhanmu (untuk membinasakan mereka), dan Ia pula tidaklah jauh dari orang-orang yang zalim itu." Surah Hud (82-83)

Jibril memporak-porandakan tempat tinggal mereka yang berjumlah tujuh kota, dengan hujung sayapnya. Mereka menyebut bahawa jumlah mereka adalah empat ratus orang. Ada yang mengatakan jumlah mereka empat ribu orang ditambah dengan haiwan-haiwan. Tempat-tempat dan daerah-daerah di sekitar itu juga diporak-porandakan. (Lihat Qasas al-Anbiya’, hlm. 274)

Mujahid berkata, "Yang mula-mula terjatuh adalah para pembesar dari kalangan kaum Lut."

Allah SWT berfirman yang maksudnya, "Maka apabila datang (masa perlaksanaan) perintah Kami, Kami jadikan negeri kaum Lut itu diterbalikkan (tertimbus segala yang ada di muka buminya) dan kami menghujaninya dengan batu-batu dari tanah yang dibakar, menimpanya bertalu-talu.

Al-Baghawi berkata: Tatkala datang azab Kami, nescaya Kami jadikan yang di atas ke bawah. Ini kerana, Jibril memasukkan sayapnya di bawah perkampungan kaum Lut yang mengandungi lima tempat.

Padanya terdapat empat ratus ribu orang. Ada pendapat menyatakan empat ribu orang. Maka diangkat kota-kota semuanya sehingga kedengaran ahli langit bunyi kokokan ayam dan salakan anjing.

Dan tiada berubah ketika itu bekasan mereka dan tidak tersedar orang yang sedang tidur. Kemudian dibalikkannya sehingga yang di atas diterbalikkan ke bawah. (Lihat Ma'alim al-Tanzil, 4/193)

Firman Allah SWT, iaitu pada setiap batu tersebut tertulis nama orang yang akan dikenakan kepalanya sebagaimana yang tertera dalam firman Allah SWT yang maksudnya, "Batu-batu itu ditandakan di sisi Tuhanmu, untuk membinasakan orang-orang yang melampaui batas (dalam keingkarannya)." Surah al-Zariyat (34)

Al-Suhaili berkata, "Ketika mereka telah pergi dari negerinya dan matahari telah terbit, turunlah kepada kaumnya azab yang dahsyat. Jibril dengan hujung sayapnya membalikkan tujuh kota. Dia jadikan bahagian atas kota itu menjadi bahagian bawah. Tempat tinggal mereka menjadi laksana laut berbau busuk yang bergelombang dengan air yang sangat masin sehingga pahit. (Lihat Qasas al-Anbiya’, hlm. 260-284)

"Mereka dibinasakan oleh suara keras yang mengguntur, ketika matahari akan terbit. Maka Kami jadikan bahagian atas kota itu terbalik ke bawah dan Kami hujani mereka dengan batu daripada tanah yang keras." (Surah al-Hijr 15: 74)

Pendapat Ahli Penyelidik

Terdapat satu bab dalam Majalah al-Siyasah al-Usbu’iyyah yang menyebut: Beberapa kitab samawi menceritakan, Allah SWT telah membinasakan dua buah kota, iaitu Sodom dan Amurah, serta tiga kota lain yang berhampiran.

Allah SWT telah menghujani mereka dengan api dan belerang dari langit, sehingga tidak ada seorang pun penduduk di situ selamat, kecuali Nabi Ibrahim a.s. bersama ahli keluarganya serta Nabi Lut a.s. dan kedua-dua anak perempuannya.

Nabi Ibrahim a.s. bukan penduduk asal kota itu, tetapi secara kebetulan Baginda sedang melalui kota tersebut dari arah utara untuk mencari rumput, yang biasa dilakukan oleh kelompok nomad pada waktu itu.

Hinanya Perlakuan LGBT

Begitulah kesudahan kaum Lut yang dibinasakan dan dilenyapkan dari muka bumi yang menjadi pengajaran kepada manusia hingga ke hari kiamat.

"Dan sesungguhnya kota itu benar-benar terletak di jalan yang masih tetap (di lalui manusia). Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda (kekuasaan Allah) bagi orang yang beriman." (Surah al-Hijr 15: 76-77).

Wallahu a'lam.

sumber: (1)(2)

Thursday, January 26, 2023

Dahsyatnya Kelebihan Ayat Kursi

Dahsyatnya Kelebihan Ayat Kursi

Abu Hurairah r.a. pernah ditugaskan oleh Rasulullah SAW untuk menjaga gudang zakat di bulan Ramadhan. Tiba-tiba muncul seseorang, lalu mencuri segenggam makanan. Namun kepintaran Abu Hurairah r.a. memang patut dipuji, kemudian pencuri itu kemudian berjaya ditangkapnya.

Kelebihan ayat Kursi

"Akan aku adukan kamu kepada Rasulullah SAW," gertak Abu Hurairah.

Bukan main takut pencuri itu mendengar ancaman Abu Hurairah, hingga kemudian ia pun merengek-rengek, "Saya ini orang miskin, tanggungan saya banyak, sementara saya sangat memerlukan makanan."

Maka pencuri itu pun dilepaskan. Bukankah zakat itu pada akhirnya akan diberikan kepada fakir miskin? Hanya saja caranya memang mengelirukan. Mestinya jangan keliru.

Keesokan harinya, Abu Hurairah r.a. melaporkan kepada Rasulullah SAW. Maka bertanyalah beliau, "Apa yang dilakukan kepada tawananmu semalam, ya Abu Hurairah?"

Ia mengeluh, "Ya Rasulullah, bahawa ia orang miskin, keluarganya ramai dan sangat memerlukan makanan," jawab Abu Hurairah r.a.

Lalu diterangkan olehnya bahawa ia kasihan kepada pencuri itu, lalu dilepaskannya.

"Dia bohong," kata Nabi SAW.

"Malam ini dia akan datang lagi."

Kerana Rasulullah SAW berkata begitu, maka penjagaannya diperketat dan kewaspadaan pun ditingkatkan. Dan benar, pencuri itu kembali lagi, lalu mengambil makanan seperti semalam. Dan kali ini ia pun tertangkap.

"Akan aku adukan kamu kepada Rasulullah SAW," ancam Abu Hurairah, sama seperti kelmarin.

Dan pencuri itu pun sekali lagi meminta ampun, "Saya orang miskin, keluarga saya ramai. Saya berjanji esok tidak akan kembali lagi."

Kasihan Abu Hurairah mendengar keluhan orang itu dan kali ini pun ia kembali dilepaskan.

Pada paginya, kejadian itu dilaporkan kepada Rasulullah SAW dan beliau pun bertanya seperti kelmarin. Dan setelah mendapat jawapan yang sama, sekali lagi Rasulullah menegaskan, "Pencuri itu bohong dan nanti malam ia akan kembali lagi."

Malam itu Abu Hurairah r.a. berjaga-jaga dengan kewaspadaan penuh. Mata, telinga dan perasaannya dipasang baik-baik. Diperhatikannya dengan teliti setiap gerak-geri disekelilingnya. Sudah dua kali dia dibohongi oleh pencuri.

Jika pencuri itu benar-benar datang seperti dikatakan Rasulullah SAW dan ia berjaya menangkapnya, dia telah bertekad tidak akan melepaskannya sekali lagi.

Hatinya sudah tidak sabar lagi menunggu-nunggu datangnya pencuri itu. Ia kesal. Kenapa pencuri kelmarin itu dilepaskan begitu saja sebelum diseret ke hadapan Rasulullah SAW? Kenapa mahu saja ia ditipu olehnya?

"Awas!" katanya dalam hati.

"Kali ini tidak akan kuberikan ampun."

Malam semakin larut, jalanan sudah sepi, ketika tiba-tiba muncul sesosok bayangan yang datang menghampiri longgokan makanan yang dia jaga.

"Nah, benar, ia datang lagi," katanya dalam hati.

Dan tidak lama kemudian pencuri itu telah bertekuk lutut di hadapannya dengan wajah ketakutan. Diperhatikannya benar-benar wajah pencuri itu. Ada semacam kepura-puraan pada gerak-gerinya.

"Kali ini kau pastinya aku adukan kepada Rasulullah. Sudah dua kali kau berjanji tidak akan datang lagi ke mari, tapi ternyata kau kembali juga.

"Lepaskan saya," pencuri itu memohon.

Tapi, dari tangan Abu Hurairah yang menggenggam erat-erat dapat difahami, bahawa kali ini dia tidak akan dilepaskan lagi.

Maka dengan rasa putus asa akhirnya pencuri itu berkata, "Lepaskan saya, akan saya ajari tuan beberapa kalimat yang sangat berguna."

"Kalimat-kalimat apakah itu?" tanya Abu Hurairah dengan rasa ingin tahu.

"Bila tuan hendak tidur, bacalah ayat Kursi, "Allaahu laa Ilaaha illaa Huwal-Hayyul Qayyuuumu... dan seterusnya sampai akhir ayat. Maka tuan akan dipelihara oleh Allah dan tidak akan ada syaitan yang berani mendekati tuan sampai pagi."

Maka pencuri itu pun dilepaskan oleh Abu Hurairah. Agaknya naluri keilmuannya lebih menguasai jiwanya sebagai penjaga gudang.

Dan keesokan harinya, ia kembali menghadap Rasulullah SAW untuk melaporkan pengalamannya yang luar biasa malam tadi. Ada seorang pencuri yang mengajarinya kelebihan ayat Kursi.

"Apa yang dilakukan oleh tawananmu semalam?" tanya Rasul sebelum Abu Hurairah sempat menceritakan segalanya.

"Ia mengajariku beberapa kalimat yang katanya sangat berguna, lalu ia saya lepaskan," jawab Abu Hurairah.

"Kalimat apakah itu?" tanya Nabi.

Katanya, "Kalau kamu tidur, bacalah ayat Kursi, "Allaahu laa Ilaaha illaa Huwal-Hayyul Qayyuuumu... dan seterusnya sampai akhir ayat."

Dan ia katakan pula, "Jika engkau membaca itu, maka engkau akan selalu dijaga oleh Allah dan tidak akan didekati syaitan hingga pagi hari."

Menanggapi cerita Abu Hurairah r.a., Nabi SAW berkata, "Pencuri itu telah berkata benar, sekalipun sebenarnya ia tetap seorang pendusta."

Kemudian Nabi SAW bertanya pula, "Tahukah kamu, siapa sebenarnya pencuri yang bertemu denganmu tiap malam itu?"

"Entahlah," jawab Abu Hurairah.

"Itulah syaitan."

Batu loncatan ke syurga

Membaca ayat al-Kursi mempunyai kelebihan tersendiri sebagaimana disebut dalam hadis daripada Abi Umamah RA.

Hadis itu menyatakan, kita disunatkan membaca ayat al-Kursi setiap kali selepas menunaikan solat fardu.

Abi Umamah RA berkata bahawa Nabi SAW bersabda yang bermaksud: "Barangsiapa yang membaca ayat al-Kursi setiap selepas kali solat fardu, tidak akan terhalang baginya untuk memasuki syurga melainkan mati." (Riwayat al-Thabarani dan al-Nasa'ie - dinilai sahih oleh Imam Ibn Hibban)

Imam al-San'ani juga pernah berkata mengenai kelebihan ayat al-Kursi.

Menurut kitab Subul al-Salam, kelebihan ayat Kursi adalah disebabkan padanya terhimpun segala nama dan sifat Allah seperti Wahdaniyyah (Maha Esa), al-Hayah (Maha Hidup), al-Qayyumiyyah (Maha Kekal), al-'Ilm (Maha Mengetahui), al-Mulk (Maha Menguasai), al-Qudrah (Maha Berkuasa) dan juga al-Iradah (Maha Berkehendak).

Ia adalah sebahagian ayat al-Quran. Jika membacanya dengan niat membaca al-Quran, maka sudah pasti terkumpul pada bacaan itu kelebihan membaca al-Quran yang sangat banyak.

Wallahu a'lam.

-Sentiasapanas.com

Friday, January 20, 2023

Kisah Lima Perkara Aneh

Kisah Lima Perkara Aneh

Abu Laits as-Samarqandi adalah seorang ahli fiqh yang masyhur. Suatu ketika dia pernah berkata, ayahku menceritakan bahawa antara Nabi-nabi yang bukan Rasul ada menerima wahyu dalam bentuk mimpi dan ada yang hanya mendengar suara.

Kisah Lima Perkara Aneh

Maka salah seorang Nabi yang menerima wahyu melalui mimpi itu, pada suatu malam bermimpi diperintahkan yang berbunyi, "Esok engkau dikehendaki keluar dari rumah pada waktu pagi menghala ke barat.

"Engkau dikehendaki berbuat, pertama; apa yang engkau lihat (hadapi) maka makanlah, kedua; engkau sembunyikan, ketiga; engkau terimalah, keempat; jangan engkau putuskan harapan, yang kelima; larilah engkau daripadanya."

Pada keesokan harinya, Nabi itu pun keluar dari rumahnya menuju ke barat dan kebetulan yang pertama dihadapinya ialah sebuah bukit besar berwarna hitam.

Nabi itu kebingungan sambil berkata, "Aku diperintahkan memakan pertama aku hadapi, tapi sungguh aneh sesuatu yang mustahil yang tidak dapat dilaksanakan."

Maka Nabi itu terus berjalan menuju ke bukit itu dengan hasrat untuk memakannya. Ketika dia menghampirinya, tiba-tiba bukit itu mengecilkan diri sehingga menjadi sebesar buku roti.

Maka Nabi itu pun mengambilnya lalu disuapkan ke mulutnya. Bila ditelan terasa sungguh manis bagaikan madu. Dia pun mengucapkan syukur 'Alhamdulillah'.

Kemudian Nabi itu meneruskan perjalanannya lalu bertemu pula dengan sebuah mangkuk emas. Dia teringat akan arahan mimpinya supaya disembunyikan, lantas Nabi itu pun menggali sebuah lubang lalu ditanam mangkuk emas itu, kemudian ditinggalkannya.

Tiba-tiba mangkuk emas itu terkeluar semula. Nabi itu pun menanamnya semula sehingga tiga kali berturut-turut.

Maka berkatalah Nabi itu, "Aku telah melaksanakan perintahmu." Lalu dia pun meneruskan perjalanannya tanpa disedari oleh Nabi itu yang mangkuk emas itu terkeluar semula dari tempat ia ditanam.

Ketika dia sedang berjalan, tiba-tiba dia ternampak seekor burung helang sedang mengejar seekor burung kecil. Kemudian terdengarlah burung kecil itu berkata, "Wahai Nabi Allah, tolonglah aku."

Mendengar rayuan burung itu, hatinya merasa simpati lalu dia pun mengambil burung itu dan dimasukkan ke dalam bajunya.

Melihatkan keadaan itu, lantas burung helang itu pun datang menghampiri Nabi itu sambil berkata, "Wahai Nabi Allah, aku sangat lapar dan aku mengejar burung itu sejak pagi tadi. Oleh itu janganlah engkau patahkan harapanku dari rezekiku."

Nabi itu teringatkan pesanan arahan dalam mimpinya yang keempat, iaitu tidak boleh putuskan harapan. Dia menjadi kebingungan untuk menyelesaikan perkara itu.

Akhirnya dia membuat keputusan untuk mengambil pedangnya lalu memotong sedikit daging pehanya dan diberikan kepada helang itu. Setelah mendapat daging itu, helang pun terbang dan burung kecil tadi dilepaskan dari dalam bajunya.

Selepas kejadian itu, Nabi meneruskan perjalannya. Tidak lama kemudian dia bertemu dengan satu bangkai yang amat busuk baunya, maka dia pun bergegas lari dari situ kerana tidak tahan menghidu bau yang menyakitkan hidungnya.

Setelah menemui kelima-lima peristiwa itu, maka kembalilah Nabi ke rumahnya.

Pada malam itu, Nabi pun berdoa, "Ya Allah, aku telah pun melaksanakan perintah-Mu sebagaimana yang diberitahu di dalam mimpiku, maka jelaskanlah kepadaku erti semuanya ini."

Dalam mimpi beliau telah diberitahu oleh Allah SWT bahawa, "Yang pertama engkau makan itu ialah marah. Pada mulanya nampak besar seperti bukit tetapi pada akhirnya jika bersabar dan dapat mengawal serta menahannya, maka marah itu pun akan menjadi lebih manis daripada madu.

Kedua; semua amal kebaikan (budi), walaupun disembunyikan, maka ia tetap akan nampak jua.

Ketiga; jika sudah menerima amanah seseorang, maka janganlah kamu khianat kepadanya.

Keempat; jika orang meminta kepadamu, maka usahakanlah untuknya demi membantu kepadanya meskipun kau sendiri berhajat.

Kelima; bau yang busuk itu ialah ghibah (menceritakan hal seseorang). Maka larilah dari orang-orang yang sedang duduk berkumpul membuat ghibah.

Pengajaran

Kelima-lima perkara ini sentiasa saja berlaku dalam kehidupan kita sehari-hari. Perkara yang tidak dapat kita elakkan setiap hari ialah mengata hal orang, memang menjadi tabiat seseorang itu suka mengata hal orang lain.

Haruslah kita ingat bahawa kata-mengata hal seseorang itu akan menghilangkan pahala kita, sebab ada sebuah hadis mengatakan di akhirat nanti ada seorang hamba Allah akan terkejut melihat pahala yang tidak pernah dikerjakannya.

Lalu dia bertanya, "Wahai Allah, sesungguhnya pahala yang Kamu berikan ini tidak pernah aku kerjakan di dunia dulu."

Maka berkata Allah SWT, "Ini adalah pahala orang yang mengata-ngata tentang dirimu."

Dengan ini haruslah kita sedar bahawa walaupun apa yang kita kata itu memang benar, tetapi kata-mengata itu akan merugikan diri kita sendiri. Oleh kerana itu, hendaklah kita jangan mengata hal orang walaupun ia benar.

Wallahu a'lam.

-Sentiasapanas.com

Friday, January 13, 2023

Al-Qur'an Sebagai Pembela Di Hari Akhirat

Al-Qur'an Sebagai Pembela Di Hari Akhirat

Abu Umamah r.a. berkata: "Rasulullah SAW telah menganjurkan supaya kami semua mempelajari Al-Qur'an, setelah itu Rasulullah SAW memberitahu tentang kelebihan Al-Qur'an."

Telah bersabda Rasulullah SAW: "Belajarlah kamu akan Al-Qur'an, di akhirat nanti dia akan datang kepada ahli-ahlinya, yang mana di kala itu orang sangat memerlukannya."

Mukjizat Al-Quran

Ia akan datang dalam bentuk seindah-indahnya dan ia bertanya, "Kenalkah kamu kepadaku?"

Maka orang yang pernah membaca akan menjawab: "Siapakah kamu?"

Maka berkata Al-Qur'an: "Akulah yang kamu cintai dan kamu sanjung, dan juga telah bangun malam untukku dan kamu juga pernah membacaku di waktu siang hari."

Kemudian berkata orang yang pernah membaca Al-Qur'an itu: "Adakah kamu Al-Qur'an?"

Lalu Al-Qur'an mengakui dan menuntun orang yang pernah membaca mengadap Allah S.W.T.

Lalu orang itu diberi kerajaan di tangan kanan dan kekal di tangan kirinya, kemudian dia meletakkan mahkota di atas kepalanya.

Pada kedua ayanh dan ibunya pula yang muslim diberi perhiasan yang tidak dapat ditukar dengan dunia walau berlipat ganda, sehingga keduanya bertanya: "Dari manakah kami memperolehi ini semua, pada hal amal kami tidak sampai ini?"

Lalu dijawab: "Kamu diberi ini semua kerana anak kamu telah mempelajari Al-Qur'an."

Wallahu a'lam.

BACA INI JUGA:
-Sentiasapanas.com

Friday, November 11, 2022

Benarkah Bulan Sabit Dan Bintang Adalah Simbol Islam?

Benarkah Bulan Sabit Dan Bintang Adalah Simbol Islam?

Adakah simbol bulan sabit dan bintang merupakan simbol wajib bagi agama Islam kerana kebanyakan masjid atau surau di Malaysia menggunakan simbol bulan sabit di atas kubah. Bahkan, di bendera Malaysia juga terdapat bulan sabit dan bintang yang melambangkan Islam sebagai agama persekutuan negara.

Bulan bintang simbol Islam

Maklum dan masyhur bahawa seni pembinaan masjid di Malaysia akan meletakkan simbol bulan sabit dan bintang di atas kubah atau menara. Ini juga tidak terkecuali bagi pembinaan masjid di negara-negara Islam yang lain.

Bahkan menara-menara di Tanah Haram dan Madinah juga menggunakan simbol bulan dan bintang. Simbol ini telah menjadikan ia sinonim bagi agama Islam.

Di dalam Bahasa Arab bulan sabit adalah Hilal هلال manakala bintang pula adalah Najm النَّجْم.

Di dalam Al-Quran juga terdapat surah khusus berkenaan bintang dan terdapat beberapa ayat yang menyatakan berkenaan bulan sabit.

Namun begitu, simbol bulan sabit dan bintang tidak ada dinyatakan di dalam Al-Quran sebagai simbol rasmi bagi agama Islam.

ASAL USUL SIMBOL BULAN SABIT DAN BINTANG

Mengikut sejarah yang dinukilkan di dalam kitab Nizam al-Hukumah al-Nabawiah @ al-Taratib al-Idariah, pengarang kitab menyatakan bahawa:

"Pada asalnya Philip II of Macedon (beliau adalah raja Macedon atau Macedonia yang kini dikenali sebagai Greece yang hidup pada tahun 359 sebelum masihi dan telah dibunuh pada tahun 336 sebelum masihi).

Beliau adalah ayah kepada Alexander the Great atau Alexander III of Macedon atau Iskandar Zulkarnain.

Ketika dia menyerang bersama tenteranya ke atas Empayar Byzantium iaitu Kota konstantinopel (salah satu kota jajahan bagi empayar Byzantium). Selepas beberapa malam tenteranya bertahan, mereka berjaya mengalahkan dan mengusir tentera empayar Byzantium dari kota tersebut.

Kejadian tersebut berlaku pada waktu sahur, lalu mereka mengambil gambar bulan sabit sebagai lambang rasmi dan pemberi semangat juga peringatan terhadap peristiwa tersebut.

Maka daripada lambang ini ia diguna pakai pada istana-istana, kemudian kerajaan Utsmaniyah berjaya mengalahkan mereka dan simbol ini telah masuk ke negara Qazan (kini dikenali sebagai Rusia)."

ISLAM TIADA SIMBOL RASMI

Dalam menjawab persoalan yang diajukan, adakah bulan sabit dan bintang merupakan simbol wajib bagi agama Islam? Sebenarnya tidak ada simbol yang wajib dan rasmi bagi agama Islam seperti bulan sabit dan bintang atau sebagainya.

Bahkan perkara ini telah dibincangkan oleh Sheikh Muhammad Abdul al-Hayy al-Kattani di dalam kitabnya yang menyatakan bahawa:

"Meletakkan gambar bulan sabit pada puncak menara-menara masjid adalah perbuatan yang baru di dalam agama (bidaah), tetapi sebaliknya ia digunakan oleh pemerintah Utsmaniyah simbol bulan sabit sebagai simbol rasmi yang diambil daripada lambang istana di Romawi." (Rujuk Nizam al-Hukumah al-Nabawiah @ al-Taratib al-Idariah, jld. 1, m/s 265).

Namun begitu, al-Imam Ibnu Hajar al-Asqalani di dalam kitabnya al-Isabah fi Tamyiz as-Sahabah ada menukilkan sebuah hadis berkenaan bendera yang terdapat simbol bulan sabit padanya:

"Saad bin Malik bin al-Aqyasar bin Malik bin Qari’ bin Zuhal bin Dail bin Malik al-Azdi Abu al-Kanud berkata Ibnu Yunus beliau pernah bertemu Rasulullah SAW. Kemudian Nabi SAW memasangkan sebuah bendera untuk dia bawa kepada kaumnya yang berwarna hitam dan padanya terdapat simbol bulan sabit berwarna putih dan berikutnya dilihat pada pembukaan Mesir, riwayat anak kepada Qasim bin Abi Kanud riwayat Said Afir dari Amru bin Zahir bin Asmar bin Abi Kanud berjumpa dan mengingatinya." (Rujuk kitab al-Isabah fi Tamyiz as-Sahabah, jld.3, m/s 72, No. 3194)

Khabar ini menyatakan bahawa pada zaman Nabi SAW telah wujudnya penggunaan bulan sabit sebagai simbol bagi agama Islam.

Namun begitu, khabar ini telah dikritik oleh para Ulama sebagai khabar yang tidak sahih kerana ia merupakan khabar yang Mu'dhal (iaitu apa yang gugur daripada sanad dua orang perawi dan ke atas secara berturut-turut sama ada gugur itu pada awal dan akhir sanad) dan ia tidak boleh dijadikan hujah.

Simbol bulan bintang ini tidak pernah digunakan pada bendera di zaman Rasulullah SAW.

Menerusi Kitab Fathul Bari karangan al-Imam Ibnu Hajar al-Asqalani menyatakan bahawa: "Bendera Nabi SAW bertuliskan kalimah tauhid." (Rujuk Kitab Fathul Bari, Jld. 6, m/s 147)

Kesimpulan

Penggunaan simbol bagi sesuatu perkara adalah bertujuan untuk memudahkan atau memberi pengenalan identiti bagi sesuatu, begitu juga agama lain seperti Kristian menggunakan simbol salib sebagai simbol bagi agamanya dan Yahudi menggunakan simbol bintang sebagai simbol agama mereka.

Bahkan di dalam Islam, simbol bulan sabit dan bintang merupakan simbol yang ghalib bagi agama Islam.

Adapun begitu, simbol ini tidak pernah dianggap sebagai simbol yang disembah atau simbol mewakili bagi Allah SWT.

Menggunakan simbol tersebut merupakan satu perkara yang tidak menyalahi dari sudut syara' bahkan ia merupakan uruf yang boleh diterima dan digunakan.

Wallahu a'lam.

BACA INI JUGA:
sumber: (1)