Tuesday, March 03, 2020

SBDJ Siri 128: Rahsia Daun Seribu Kapit


Bila air yang dijerang sudah masak, Datuk suruh saya buat secawan kopi tanpa gula. Dua tiga helai daun seribu kapit anak dipetik dan dimasukkan ke dalam cawan kopi bersama beberapa buku garam.

Sebahagian daripada air panas itu dituangkan ke dalam baldi kecil yang dibuat dari tanah liat, (bentuknya macam periuk tanah, tingginya sekitar satu kaki dan tebalnya tidak sampai setengah inci) kemudian batang dan daun seribu kapit anak dimasukkan ke dalam baldi tanah.

Toyol jadi-jadian

"Sekarang..."

Datuk tidak menghabiskan kata-kata itu. Dia melihat awan di langit, dia melihat beburung yang terbang dan gerak dedaun yang disentuh angin petang.

Datuk kedutkan dahi lalu menelan air liur. Bibirnya kelihatan bergerak perlahan-lahan.

"Kamu bawa air kopi ni pada Khoja, paksa dia minum."

"Nanti dia muntah darah tuk?"

"Kali ini, dia tak muntah darah, lepas tu kau keluarkan dia dari dalam pasir."

"Baik tuk."

Dengan hati-hati saya membawa secawan kopi kepada Khoja Lisut. Bila saya dekatkan air kopi ke bibirnya, Khoja Lisut segera menolak.

Bila saya paksa, dia bertindak balas dengan meludah muka saya. Darah saya tersirap.

Bila saya ingatkan yang dia masih sakit dan masih berubat dengan Datuk, kemarahan saya segera menurun.

Kali ini, saya bertindak agak kasar. Saya segera mengepit kepala Khoja lisut ke celah paha.

Sebelah tangan menekan rahangnya hingga mulutnya terbuka dan sebelah lagi saya gunakan untuk menuangkan air kopi ke mulutnya.

Khoja Lisut tidak dapat mengelak lagi. Dia teguk air kopi hingga habis, malah sebahagian dari air itu masuk ke lubang hidungnya.

Khoja Lisut bersin dan air kopi yang tersembur dari lubang hidung mengenai muka saya. Khoja Lisut meraung macam gajah patah kaki.

Datuk segera berlari ke arah saya dengan wajah yang amat cemas. Dia melihat kepala Khoja Lisut terlentuk atas pasir.

"Apa yang kamu buat padanya, Tamar?"

"Tak ada apa, saya suruh dia minum air kopi."

"Kamu suruh atau kamu paksa dia?" Datuk jegilkan biji mata ke arah saya. Tiada jawapan yang saya berikan terhadap pertanyaan itu.

"Sudahlah, kamu gali pasir dan keluarkan dia dari sini, kamu mesti selesaikan semua kerja-kerja ni sebelum waktu Maghrib tiba. Bila matahari ada di pucuk pokok tu, kerja mesti selesai," sambung Datuk sambil menudingkan jari telunjuk ke arah pucuk pokok di pinggir belukar.

"Ini pencebak dan cangkul, gunakan dengan hati-hati, jangan sampai kepala Khoja terputus dari badan," Datuk melemparkan pencebak dan cangkul ke hujung kaki saya. Wajah Datuk cukup serius.

"Semuanya nak aku selesaikan malam ni juga. Dengan izin Allah usaha yang aku buat akan diperkenankan-Nya," suara Datuk bergentar.

Dia mula memeluk tubuh dan merapatkan sepasang kakinya. Saya ambil cangkul dan mula menggali pasir di sekeliling Khoja Lisut.

Dengan berpeluk tubuh, Datuk terus melangkah menuju ke pondok pisang sesikat, tanpa menghiraukan apa yang saya lakukan.

"Semuanya aku selesaikan malam ni juga..." terngiang-ngiang suara Datuk di cuping telinga, membuat saya berhenti mencangkul pasir.

"Jangan berhenti, teruskan," pekik Datuk dari pondok.

Saya kembali menggali pasir. Sikap Datuk cukup berbeza, suaranya sentiasa keras dan suka marah-marah bila saya berhenti menggali pasir.

Tugas saya menggali pasir sudah selesai. Khoja Lisut saya tarik dengan kasar sekali.

"Menyusahkan saya."

"Tak baik merungut dan marah-marah Tamar, hari ini hari pak cik, hari kamu belum tahu lagi. Entah lebih buruk dari ini," suara khoja Lisut terketar-ketar.

"Sudahlah, cakap banyak pula dia," saya menengking.

"Barangkali semuanya kerana perbuatan pak cik yang lalu," Khoja Lisut seperti mengeluh.

Saya terus menjuihkan bibir ke arahnya. Hati saya cukup panas, kerana dia saya terpaksa melakukan kerja-kerja berat begini.

Kalau diturutkan kata hati, mahu saja saya menyepak Khoja Lisut yang terjelepok atas pasir.

Dalam pergelutan perasaan marah dan benci itu, saya angkat kepala lalu renung ke pondok sesikat.

Saya lihat Datuk tegak di situ merenung tajam ke arah saya. Hati saya terus berdebar menanti perintah dan arahan darinya.

SEPARUH

Cuaca mula samar-samar, matahari cuma kelihatan separuh di kaki langit, di kelilingi awan berwarna jingga. Beburung sudah pun berhenti terbang.

Angin tidak lagi bertiup, pepokok kelihatan kaku, seolah-olah menghormati kepulangan matahari ke peraduannya, setelah menaburkan bakti kepada makhluk Allah di permukaan bumi ini.

Dalam cuaca yang samar-samar itu Datuk berlari-lari anak ke arah saya. Sebaik saja sampai dekat saya, Datuk tanpa berkata apa-apa terus mencampakkan baldi yang berisikan pokok dan daun seribu kapit anak kepada saya.

Nasib baik saya tangkas menyambut. Kalau tidak, sudah pasti baldi tanah jatuh terhempas ke pasir dan besar kemungkinan akan pecah.

Saya amat terkejut dengan tindakan Datuk itu.

Dalam keadaan tergamam itu, saya kira Datuk akan mengeluarkan arahan tertentu kepada saya.

Ternyata apa yang saya harapkan tidak menjadi kenyataan. Datuk terus berlalu dari sisi saya menuju ke sungai.

Kerana tidak mendapat apa-apa arahan, baldi tanah itu terus saya peluk dengan erat. Saya terdengar bunyi gemercik air sungai.

Rupanya, Datuk mandi dan saya bertambah resah, terlalu banyak perkara ganjil yang Datuk lakukan.

Semuanya membuat saya jadi pening dan menimbulkan seribu persoalan dalam kepala.

"Sekarang kamu terjun ke dalam sungai," Datuk tiba-tiba berdiri dekat saya sambil mengeluarkan arahan. Saya tidak sedar waktu bila dia mendekati saya.

"Dengan pakaian begini tuk?"

"Tidak, gunakan kain basahan ini."

Datuk pun memberikan pada saya kain basahan berwarna hitam yang setiap bucunya ditampal dengan secebis kain warna merah.

Jarang-jarang Datuk menggunakan kain basahan itu. Belum pernah dia membenarkan kain basahan milik peribadinya itu digunakan oleh orang lain.

Lagi sekali saya menjadi terkejut dan takjub dengan sikapnya itu. Kenapa Datuk membenarkan saya memakai kain basahannya?

"Pergi cepat," herdik Datuk.

Saya yang masih terpaku di sisinya segera mengorak langkah bersama rasa cemas dan takut.

Maklumlah, terpaksa mandi seorang diri di sungai yang ada buaya dalam suasana senja yang kian memberat.

Sampai saja di tebing sungai, kain basahan segera saya ikat ke pinggang. Kemudian saya terjun dalam sungai. Dua kali selam, saya terus berhenti mandi.

Kerana memikirkan tidak lama lagi waktu Maghrib akan tiba, saya segera mengambil air sembahyang.

Bila saya datang semula ke tempat Datuk dan Khoja Lisut, saya dapati mereka sudah tiada di situ.

Dalam suasana samar senja itu, saya masih dapat melihat kesan orang merangkak di pasir.

Saya yakin, Datuk sudah mengheret Khoja Lisut dan saya bayangkan bagaimana Khoja Lisut merintih ketika diheret.

Setelah menoleh dua tiga kali kawasan sekitar, saya teruskan perjalanan ke pondok. Sampai di pondok saya lihat pelita minyak tanah sudah terpasang.

Khoja Lisut terbaring di sudut pondok memeluk baldi tanah dengan erat sekali. Datuk duduk bersila di tengah pondok menghadapi sejadah.

"Masuk, tunggu apa lagi."

Saya melangkah dua tapak dan berhenti kerana saya terdengar sesuatu dari sebelah kanan saya.

"Masuklah, Maghrib dah tiba."

"Qamat, Tamar."

Perintah Datuk segera saya patuhi, dan sembahyang saya tidak begitu khusyuk, sering terganggu oleh keluhan dan tangisan Khoja Lisut.

Selesai saja sembahyang dan wirid, Datuk menyuruh saya menghidupkan api di halaman pondok.

Saya tidak pula bertanya, kenapa Datuk menyuruh saya berbuat demikian. Saya menduga, api itu dihidupkan untuk menghalau nyamuk.

"Tentukan api itu sentiasa menyala, biar senang kita berjalan," tutur Datuk sambil bangun mendekati Khoja Lisut di sudut pondok. Dengan berbekalkan semangat, saya terpaksa mencari kayu. Nasib saya agak beruntung, saya tidak perlu bergerak jauh dari pondok.

Datuk sudah menyediakan setimbun kayu api di belakang pondok. Kewajipan saya ialah membawa kayu sebesar paha yang sudah kering ke halaman pondok. Kerja ini tidaklah sukar sangat.

"Sudah, pergi ke sungai mandi dan ambil air sembahyang, waktu Isyak dah sampai," entah mengapa saya jadi gementar mendengar perintah Datuk.

"Pergi sekarang," sambungnya lagi.

Saya tidak ada pilihan selain dari mematuhi perintahnya itu.

"Kita sudah sembahyang Isyak, kamu boleh menolong aku," itu yang Datuk ucapkan kepada saya, sebaik saja dia menamatkan wirid Isyak yang panjang.

Saya hanya tersenyum tanda bersedia menerima perintah.

"Kamu dah baca ayat Kursi empat puluh kali, macam yang aku suruh, Tamar?"

"Sudah tuk."

"Sekarang..." Datuk berhenti bercakap.

Dia bangun lalu mendekati Khoja Lisut, kulit Khoja Lisut terus dijamahnya dengan tenang.

"Sekarang kamu pergi rebus batang dan daun seribu kapit anak, rebus sampai airnya mendidih," Datuk menyambung kata-kata yang terputus.

"Baik tuk."

Saya segera ke halaman rumah, mencari kayu yang keras untuk saya jadikan tungku.

Sementara menanti air rebusan mendidih, saya segera masuk ke pondok lalu duduk di sisi Datuk yang sedang mengurut tubuh Khoja Lisut.

KATAK

Dingin malam mula terasa cara kebetulan pula angin mula bertiup agak lemah.

Kayu di halaman pondok terus dimamah api, suara katak dan cengkerik terus berbunyi di samping suara unggas malam yang sering bertingkah antara satu sama lain.

Saya perhatikan jari jemari Datuk berlari lembut di permukaan kulit Khoja Lisut.

Bila jari jemari itu berhenti disendi-sendi tubuh untuk menyentuh urat, saya lihat Khoja Lisut menggeliat menahan kesakitan sambil merintih.

Datuk tidak ambil kisah dengan semuanya itu. Makin kuat Khoja Lisut mengerang sakit, makin kerap jari jemari Datuk mencari urat-urat tersimpul dalam tubuhnya.

Pertama kali, saya lihat sekujur tubuh Khoja Lisut bermandikan peluh.

"Bangun."

Datuk renung biji mata Khoja Lisut dan bagaikan orang kena pukau, Khoja Lisut menurut kata Datuk. Dia bangun dalam kepayahan yang amat sangat. Tiga kali Khoja Lisut mencuba dan tiga kali pula dia berdepan dengan kegagalan.

"Tamar, kamu pergi angkat air tadi atas api," mata Datuk cukup tajam menikam wajah saya.

Tanpa berlengah-lengah saya terus keluar dari pondok. Baldi tanah saya angkat, lalu diletakkan atas pasir.

Tidak sampai lima minit kemudian Datuk keluar dari pondok dengan Khoja Lisut atas bahunya.

Dengan perlahan-lahan Datuk meletakkan Khoja Lisut atas pasir.

Datuk terus ke belakang pondok mengambil kayu dan dicampakkan ke dalam api yang sedang marak.

Bebunga api terus naik udara. Datuk mahu seluruh halaman pondok terang dan cerah dengan cahaya api dari longgokan kayu yang terbakar itu.

Bila Datuk sudah puas hati dengan cahaya api yang didapati di situ, dia pun berhenti membawa kayu dari belakang pondok ke tempat api yang sedang menjulang tinggi itu.

Datuk pun mengenakan baju hitam dan seluar hitam, kain bengkung dari kain berwarna kuning.

Seperti biasa, kepalanya diikat dengan secebis kain merah. Perlahan-lahan dia mendirikan Khoja Lisut sambil menyuruh saya menjirus air rebusan daun seribu kapit anak ke arah kedua belah tempurung lutut Khoja Lisut.

Saya melakukannya lebih kurang hampir sepuluh minit, saya menggunakan tempurung dan jumlah air yang dijirus untuk kedua tempurung lutut itu ialah berjumlah sepuluh tempurung semuanya.

Selesai saja saya melakukannya, saya merasa takjub. Khoja Lisut boleh berdiri tegak. Kecacatan lain di bahagian tubuh badannya, saya lihat beransur hilang.

"Kamu melangkah perlahan, setiap kali melangkah kamu baca Bismillah dan selawatkan Nabi," kata Datuk kepada Khoja Lisut.

Cepat-cepat Khoja Lisut angkat kaki kanan untuk melangkah, tiba-tiba Datuk menjerit.

"Nanti dulu, aku belum suruh buat."

"Maafkan saya," suara Khoja Lisut lemah.

Datuk keliling Khoja Lisut tiga kali, iaitu dari kanan ke kiri. Kemudian Datuk duduk bersila atas pasir di sebelah kanan Khoja Lisut.

Badan saya mula terasa seram sejuk. Angin malam kian keras bertiup. Suara cengkerik cukup hebat berbunyi. Lolongan anjing liar jelas kedengaran dibawa angin malam. Semuanya itu membuat saya resah gelisah.

"Tamar."

Saya tumpukan sepasang mata ke arah Datuk. Bersedia mendengar apa juga perkara yang akan diutarakan kepada saya.

"Bila saja Khoja melangkah, kau pukul kakinya dengan batang seribu kapit anak, kau pukul sekuat hati kamu," Datuk keluarkan arahan. Kemudian Datuk memandang ke arah Khoja Lisut.

"Mula kamu berjalan, kemudian lari dan elakkan kaki kamu dari kena pukul oleh si Tamar, kamu faham tak?" cukup keras suara Datuk.

"Faham," jawab Khoja Lisut.

"Kamu pula macam mana Tamar?"

"Saya juga faham tuk."

"Bagus."

Dia atas pasir terus memeluk tubuh. Sepasang matanya dirapatkan, nafasnya ditarik dan dilepaskan perlahan-lahan.

Deru angin terasa amat menggerunkan. Begitu juga dengan suara burung hantu, lolongan anjing dan cengkerik.

"Bersedia."

Datuk tepuk tangan dan terus melompat. Akhirnya dia berdiri tegak macam patung sambil memeluk tubuhnya.

"Mulakan Khoja."

Khoja Lisut pun mula melangkah.

"Tugas kamu, Tamar."

Saya pun terus memukul sepasang kaki Khoja Lisut dengan batang seribu kapit anak. Saya pukul dengan sekuat hati, mungkin kerana pukulan yang tepat itu membuat Khoja Lisut mengalami rasa sakit.

Dia berusaha mengelakkan dirinya dari jadi sasaran pukulan saya. Dan saya pula berusaha untuk memukul dengan tepat seperti apa yang Datuk arahkan.

Antara kami sudah menjadi seperti musuh pada saat itu, saya mengejar untuk menyakitkan Khoja Lisut dan Khoja Lisut pula lari kerana tidak mahu jadi sasaran pukulan dari saya.

Dalam usaha mengelakkan dirinya dari jadi korban, Khoja Lisut lupa tentang dirinya yang lumpuh. Dia seperti mengalami kekuatan luar biasa, berlari dengan kencang.

Bila saya cuba berhenti, Datuk segera menjerit sambil membawa kayu panjang untuk memukul saya.

Begitu juga dengan Khoja Lisut, kalau berhenti Datuk akan melemparkan puntung yang terbakar ke arahnya. Jadi kami terpaksa berlari.

Saya mengalami kepenatan yang amat sangat, tidak terdaya mahu melangkah. Seluruh sendi saya terasa lemah dan saya jatuh atas pasir.

Sayup-sayup terdengar suara Datuk memaki hamun saya, setelah itu saya tidak tahu apa yang terjadi.

CERAH

Bila saya membuka mata, saya lihat hari sudah cerah. Datuk duduk bersimpuh di depan. Khoja Lisut berjalan dengan senang hati di halaman pondok.

"Kamu pengsan."

Itu yang duduk tuturkan kepada saya.

"Khoja macam mana?"

"Sakit lumpuhnya sudah baik, dia sudah boleh berjalan seperti sediakala, begitu juga dengan sakit-sakitnya yang lain," terang Datuk dengan nada suara yang lembut.

Bagi memulihkan kekuatan yang hilang, Datuk suruh saya minum dari dedaun yang dibuatnya. Rasanya cukup pahit dan bagaikan tidak tertelan dan mahu muntah dibuatnya.

Kerana terpaksa dan dipaksa, saya terpaksa juga minum. Setengah jam, sesudah minum air dari dedaun itu, badan saya terasa segar dan berpeluh.

"Kamu tak usah bimbang, Tamar, kamu tetap sihat," Datuk memberi jaminan, dan saya amat senang sekali mendengar kata-kata itu.

"Khoja ke mari," laung Datuk.

Tergesa-gesa Khoja Lisut berjalan ke arah Datuk.

"Jangan berjalan, kamu mesti berlari," jerit Datuk.

Khoja terpaksa berlari. Bila sampai di pondok, saya lihat Khoja Lisut tercungap-cungap. Kepenatan terbayang di wajah.

Tetapi, kecacatan yang terdapat di tubuh badannya dulu, semuanya sudah hilang dan kini, saya dapat melihat wajah Khoja Lisut yang sebenar.

Ternyata dia seorang lelaki yang tampan dan gagah. Melihat dari bentuk tubuh dan wajahnya, memanglah layak dia memegang gelaran sebagai seorang guru silat.

Ciri-ciri seorang pendekar memang ada pada dirinya tetapi, kerana kurang sabar ilmunya tercabar, fikir saya sendirian.

"Khoja, janji aku dengan kamu sudah selesai," tutur Datuk sambil menatap wajah Khoja Lisut yang terpaku di depannya.

Saya lihat Khoja Lisut tunduk penuh terharu.

"Saya tahu..." Khoja Lisut tidak meneruskan kata-katanya, saya lihat dia menangis tersedu.

"Jangan menangis," Datuk pun menjatuhkan telapak tangan kanannya atas bahu kiri Khoja Lisut.

"Cakaplah apa yang mahu cakapkan Khoja," sambung Datuk lagi.

Tetapi Khoja Lisut tidak dapat menahan kesedihan. Bagi menenangkan keadaan, Datuk mengajak saya beredar keluar pondok.

Melihat dari tingginya matahari masa itu, saya dapat menduga waktu itu lebih kurang pukul lapan pagi.

Andaian saya itu dikuatkan lagi dengan kehadiran burung murai dan merbah batu yang kerap menyanyi bila jam lapan pagi.

"Biarkan dia menangis," bisik Datuk kepada saya.

"Kesian dia tuk."

"Aku harap apa yang berlaku akan menginsafkan dirinya," tingkah Datuk lagi. Saya anggukkan kepala.

Lebih dari setengah jam saya dan Datuk berada di luar pondok, barulah Khoja Lisut datang.

Kali ini saya lihat wajahnya cukup riang, tidak ternampak kesan kesedihan, kehampaan dan kekecewaan di wajahnya.

Dia berdiri di depan Datuk, tanpa diduga dia terus memeluk tubuh Datuk dengan erat sekali.

"Dengan apa mahu saya balas budi tuan."

Saya terpampan mendengar perkataan 'tuan' yang ditujukan oleh Khoja Lisut kepada Datuk, dan saya kira Datuk kurang senang bila dirinya dipanggil begitu.

"Mengapa bertuan dengan saya, bukankah elok panggil saya abang saja, sesuai dengan umur aku yang lebih tua dari kamu," dengan senyum Datuk bersuara.

"Dengan apa mahu saya balas budi baik abang."

"Tak payah balas, apa yang aku lakukan selama ini adalah usaha atau ikhtiar aku. Dan ikhtiar itu diperkenankan oleh Allah, pada Allah kau harus bersyukur dan berterima kasih, bukannya pada aku."

"Haa..." mulut Khoja ternganga mendengar kata-kata Datuk itu.

"Tak usah banyak cerita lagi, ikut aku ke rumah. Di sana kita boleh cerita panjang," Datuk menarik tangan Khoja Lisut mengajak pulang. Bila saya memulakan langkah mahu mengikut mereka, saya segera dihalang.

"Kerja kamu belum selesai Tamar."

"Apa dia kerja saya tuk?"

"Timbus lubang dan padamkan api dengan air."

"Saya buat seorang saja tuk?"

"Ya."

Dengan tarikan nafas panjang, saya melihat Datuk dan Khoja Lisut melangkah dengan tenang meninggalkan saya.

Rasanya, mahu saja saya menjerit memprotes sikap Datuk itu. Ah! Siapa yang mahu menolong dan siapa pula yang dapat mendengar jeritan saya, timbul persoalan dalam diri sendiri.

Saya segera ambil cangkul dan memulakan tugas menimbus lubang. Berpeluh saya seorang diri.

Saya mengambil masa hampir satu jam untuk menimbus lubang, kemudian saya beralih untuk memadamkan bara api yang masih merah.

Termenung saya memikirkan bagaimana untuk membawa air sungai ke tempat bara.

"Tamar."

Khoja Lisut tercegat di depan saya.

"Datuk izinkan aku membantu kamu Tamar."

"Ini dah cukup baik, nampaknya kita kena bawa air dari sungai," kata saya.

"Tak payah, kita padamkan dengan pasir," Khoja Lisut pun mula mencangkul pasir dan ditimbus ke bara api. Saya segera membantunya dan kerja itu selesai tidak sampai dua jam.

"Aku terpaksa tinggalkan rumah Datuk selepas waktu Asar," Khoja Lisut buka rahsia ketika kami sama-sama berjalan pulang ke rumah Datuk.

"Sebelum aku pergi, aku terpaksa sembahyang Asar di surau. Datuk kamu nak adakan kenduri kesyukuran kerana sakit aku sembuh," tambah lagi.

"Ikut saja apa katanya," sanggah saya dan kami terus melangkah.

Tamat Siri Bercakap Dengan Jin 128/284

BACA: SBDJ Siri 127: Direjam Dengan Buluh Kuning
BACA: Siri Bercakap Dengan Jin (Koleksi Lengkap)

-Sentiasapanas.com

Add Comments

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon