Tuesday, September 03, 2019

SBDJ Siri 105: Mandi Di Ambang Pintu


Sebaik sahaja air sejuk berlari di kerongkong, urat saraf di setiap sendi badan terasa seperti disentap-sentap. Serentak dengan itu terdengar bunyi dentuman yang kuat di telinga macam bunyi petir. Cawan di tangan terlepas lalu jatuh di atas lantai. Pecah berderai. Tenaga saya makin lemah.

Toyol jadi-jadian

"Tamar, dengar cakap aku ini. Allah itu maha ESA, berkuasa atas segalanya. Pada Allah kita minta pertolongan, bacalah surah Al-Ikhlas, Qulhuwallah..” Uda Lamat memberi arahan.

Saya terus mengikuti arahannya. Tiga kali saya baca surah Al-Ikhlas dengan penuh khusyuk.

"Tamar, renung ke sini."

Bagaikan kilat saya menoleh ke arah datangnya suara Datuk. Serentak dengan itu Datuk memegang pergelangan tangan kanan saya.

"Renung biji mata aku, Tamar," Datuk memaksa saya merenung ke arah biji matanya.

"Baik, tuk."

"Ikut gerak bibir aku, Tamar."

"Ya, tuk."

"Tumpukan perhatian padanya, pasang telinga kau. Dengar apa yang dicakapkan," Uda Lamat memberikan petunjuk.

Saya terus anggukkan kepala. Sedia patuh dengan apa jua perintah.

Memang tidak sukar bagi saya mengikuti kalimah-kalimah yang diucapkan oleh Datuk.

Datuk membaca beberapa rangkaian ayat dari al-Quran yang pernah saya baca pada setiap malam Jumaat. Ayat-ayat itu bagaikan luput dari ingatan sejak suara aneh menguasai diri saya.

Bila Datuk menyebutnya di depan saya, barulah saya teringat dengan ayat-ayat tersebut.

Pada mulanya, pembacaan saya memang tidak lancar. Setelah tiga kali berturut-turut mendengar dan mengikuti gerak bibir Datuk barulah saya faham.

Tidak saya nafikan, setiap kali ayat-ayat yang Datuk lafazkan itu, saya ikuti dengan penuh perasaan, dada terasa amat panas. Hati tidak tentu arah, menggelabah tanpa sebab.

Uda Lamat, orang tua yang banyak pengalaman dan asam garam dalam kehidupan itu, tidak mahu meninggalkan Datuk sendirian di ruang anjung rumah.

Setiap gerak geri saya diawasinya, hinggakan gerak telinga, pernafasan, jejari saya tidak terlepas dari pengawasan Uda Lamat.

Pada hemat saya, kedatangan Uda Lamat memang dirancang untuk jadi pembantu Datuk dalam usaha memulihkan diri saya.

"Bertenang, Tamar," kata Uda Lamat.

Bila melihat tubuh saya tersentap-sentap macam terkena kejutan elektrik. Badan saya berpeluh dengan banyak.

Mungkin peluh itu terjadi akibat cuaca pagi yang kian membahang di luar atau akibat dari tekanan perasaan dalam diri saya.

"Dia dah lemah tu," sayup-sayup terdengar suara Datuk.

"Baca lagi, hingga lemah betul,” suara Uda Lamat masih dapat ditangkap oleh gegendang telinga saya.

Ketika itu, saya merasai diri saya berada dalam keadaan fana dan sepi.

Antara fana dan sepi itu, saya terlihat ada bayang-bayang nipis yang keluar dari tubuh saya, (lebih tepat dari bahagian dada).

Kepulan asap yang nipis itu berpusu-pusu di sebelah kiri saya. Aneh sekali, kepulan asap yang nipis itu membentuk sifat diri saya.

Saya tidak berkata apa-apa. Suara saya tidak keluar. Mulut bagaikan terkunci. Cuma tangan daya tergapai-gapai ke kiri dan ke kanan.

Maksud saya itu, tidak dapat ditangkap oleh Datuk dan Uda Lamat. Mungkin mereka tidak sedar dengan apa yang terjadi.

Bayang-bayang nipis dan halus yang menyerupai diri saya itu terus bergerak ke pintu rumah.

Berdiri di ambang pintu, saya lihat diri saya menangis dan meratap hiba di situ, menghempaskan diri pada jenang pintu hingga mengeluarkan darah dari kepala dan muka.

Paling akhir, saya lihat diri saya bertukar menjadi batang tubuh Amjal Kamal, pamerkan diri di depan Datuk.

Tetapi, bila Datuk melafazkan beberapa ayat dari surah Al-Imran, bebayang tubuh Amjal Kamal berkecai dan hancur lalu bersatu dengan udara, keluar dari rumah dengan meninggalkan jeritan yang halus dan cukup nyaring.

Saya bertambah lemah. Dalam usaha memulihkan saya, sama ada dari segi kekuatan tubuh dan otak, Datuk lagi sekali menggunakan ramuan tradisional.

Dia tidak memerlukan pertolongan dari nenek, kecuali untuk menyediakan dua gelas air panas, kali ini Datuk memerlukan tenaga dari Uda Lamat yang begitu matang dengan akar kayu dan pepucuk berkhasiat.

PERTAMA

Petua pertama Datuk dan Uda Lamat lakukan terhadap saya ialah mandi di ambang pintu.

Kemudian disuruh berjemur di tengah panas untuk kira-kira lima minit. Masa berjemur saya diawasi oleh Uda Lamat.

Datuk merebus pepucuk daun. Akar kayu diketuk atau dihimpit dengan satu alat keras dan berat hingga mengeluarkan air.

Pepucuk daun yang direbus, disuruh makan begitu sahaja. Kepalang pahitnya, apakan daya saya tidak terdaya membantah.

Saya disuruh berehat selama lima minit dengan berbaring hingga saya tertidur. Saya dikejutkan semula, disuruh minum air madu lebah yang dicampurkan dengan air dari akar kayu.

"Minum dengan sekali nafas sebelum minum. Baca Bismillah dan mohon pada Allah supaya diberikan kekuatan fikiran seperti sediakala, terhindar dari pengaruh tidak sihat," Datuk mengingatkan saya.

"Apa doanya tuk?"

"Berdoa dalam Bahasa Melayu. Allah mengerti apa bahasa yang diucapkan oleh makhluknya. Apa yang penting permintaan itu mesti ikhlas," sahut Datuk.

Saya lakukan apa yang Datuk suruh. Manisan lebah yang bercampur dengan air akar kayu terus saya teguk.

Rasa pahit dengan manis terus menguasai anak tekak. Datuk tersenyum melihat muka saya mula kemerah-merahan.

"Madu lebah ni, memang banyak khasiatnya. Sayangnya, orang kita tak tahu menggunakannya. Orang tua-tua yang tahu macam mana menjadikan madu lebah ini sebagai ubat, tidak pula menurunkan petua itu pada orang-orang terkemudian darinya,” Datuk memulakan satu ceramah kecil di depan saya dan Uda Lamat.

Saya tidak memberikan sebarang komentar, dada saya terasa lapang. Dalam beberapa saat sahaja badan saya berpeluh. Terasa bertenaga kembali. Fikiran tidak pula bercelaru, terasa amat lapang sekali.

"Kadang-kadang orang tua-tua ada memberikan petua. Tetapi, golongan baru tak mahu amalkan petua tu, kononnya, petua adalah pendapat kuno, tidak sesuai dengan peredaran zaman sains dan teknologi.

"Akibatnya petua itu dilupakan. Kita ni, setinggi melangit sekalipun pelajaran, pandai bergaul dan berbudaya moden, sebaik-baiknya petua orang tua-tua jangan dilupakan," Uda Lamat seperti menyokong pendapat Datuk.

"Bila kita tidak lupa asal budaya, petua nenek moyang kita sendiri, selamat kita dalam hidup,” tambah Datuk.

Saya tersenyum.

Di luar panas kian terik, angin pun tidak bertiup. Entah mengapa, dalam cuaca yang agak panas itu, saya rasa mengantuk.

Uda Lamat menasihatkan saya supaya membasuh muka. Saya terus ke dapur dan basuh muka.

"Macam mana Tamar?" tanyanya ketika saya melintasi di ruang tengah.

"Setakat ini, tidak ada apa-apa," kata saya.

"Kamu kena badi hutan."

"Entah," saya terus gelengkan kepala. Meneruskan langkah yang terhenti.

Sebenarnya, saya tidak mahu mengingati dengan apa yang telah saya alami. Dan secara kebetulan pula, beberapa bahagian dari peristiwa itu bagaikan terus hilang dari ingatan saya.

Jika ada orang yang meminta saya menceritakan kembali, mungkin sebahagian kecil sahaja yang saya ingati.

"Duduk sini," Uda Lamat memanggil saya.

Bila dilihatnya saya mahu duduk di sudut kanan anjung rumah. Sebaik sahaja saya duduk Datuk terus bangun.

Dia menuju ke halaman rumah membetulkan kedudukan beberapa batang buluh yang dijemurnya.

Menjemur batang-batang buluh yang baru ditebang, memang kerja Datuk. Bila buluh-buluh itu berubah warna, Datuk terus membelahnya untuk dijadikan bilah lokah atau dibuat raga besar bagi mengisi pisang.

Saya tersenyum, melihat muka Datuk berkerut-kerut menahan panas, kedua belah pelipisnya mula ditumbuhi peluh-peluh halus.

"Saya nak tanya," kata saya pada Uda Lamat.

"Silakan, Tamar."

"Benarkah apa yang terjadi pada saya ni, kerana kena tegur atau kena badi orang mati bunuh diri?" tanpa segan-segan saya ajukan pertanyaan pada Uda Lamat.

Satu rasa gembira, angin yang bertiup di luar rumah masuk ke ruang anjung, badan terasa sejuk. Saya renung jam yang tersangkut di dinding, sudah hampir pukul sebelas pagi.

"Kamu jangan tak tahu Tamar, itu bukannya badi, bukannya penunggu atau kena tegur, tetapi semuanya itu kerja iblis," suara Uda Lamat meninggi.

Matanya merenung ke arah Datuk yang melangkah dalam panas ke arah anjung rumah.

"Saya membaca ayat-ayat suci, waktu berdepan dengan perkara-perkara yang pelik yang saya fikirkan ada iblis atau syaitan terlibat sama," ujar saya penuh yakin. Datuk sampai ke ruang anjung, terus duduk.

"Soalnya, masa kamu menyebut ayat-ayat suci itu, adakah kamu yakin yang hati dan perasaan kamu tidak was-was padanya. Dengan bisikan jahat dan was-was inilah iblis telah menipu Nabi Adam. Menimbulkan rasa was-was, memang kerja iblis," tanpa diduga Datuk turut campur dalam perbualan saya dengan Uda Lamat.

SERONOK

Bila Datuk campur tangan dalam hal seperti ini, hati saya tidak begitu seronok. Datuk selalu bertindak mahu mengajar dan membetulkan kesilapan diri saya di depan tetamu, perbuatannya itu secara tidak langsung memperbodoh-bodohkan diri saya.

Inilah perkara yang memang tidak saya gemari. Sebabnya, saya merasakan diri saya bukan budak-budak yang berusia antara sembilan hingga sepuluh tahun.

"Apa yang Datuk kamu cakap itu memang betul," Uda Lamat renung muka saya.

Sebagai mengambil hati dan rasa hormat pada orang tua, saya terus tersengih. Datuk anggukkan kepala.

Matanya merenung ke halaman rumah yang kelihatan membahang dengan cuaca panas.

"Selain daripada bentuk asalnya, iblis dan syaitan kadang-kadang menyerupai manusia. Boleh bercakap-cakap dengan manusia, memberi nasihat pada kita," lanjut Uda Lamat dengan wajah yang serius.

"Peliknya, iblis boleh menyuruh dan menegah manusia daripada melakukan sesuatu," sampuk Datuk. Uda Lamat kelihatan bertambah bersemangat.

Kemudian, Datuk dan Uda Lamat terus menceritakan tentang peranan iblis dalam tingkah laku anak Adam.

Biasanya, iblis atau syaitan akan menggoda manusia ketika seseorang itu berada dalam keadaan:

Marah dan bernafsu, melalui rasa dengki yang membara pada diri, waktu manusia terlalu kenyang dengan makanan dan minuman, ketika manusia menyukai perhiasan yang berlebihan, seperti hiasan bangunan, pakaian dan barang-barang kemas, sifat tamak, sifat terburu-buru, menerusi sifat bakhil, menerusi rasa fanatik mazhab, waktu manusia mementingkan diri sendiri dan menerusi rasa atau sifat prasangka buruk terhadap saudaranya yang Islam.

Demikian Datuk dan Uda Lamat menguraikan peranan iblis. Saya menerima keterangannya itu sambil berfikir bahawa iblis ada seribu cara untuk meruntuhkan dan mendorong manusia ke arah jalan yang tidak diredai oleh Allah. Saya terus menarik nafas panjang.

"Bila dalam diri manusia terdapat perkara-perkara yang disebutkan tadi, mudah saja syaitan dan iblis menjalankan jarumnya,” dengan nada suara yang lembut Datuk mengungkapkan kata-kata itu.

Dia renung ke arah saya. Cepat-cepat saya menundukkan kepala. Terasa angin yang berlegar-legar dalam ruang anjung menyentuh hujung rambut di pelipis kiri.

Tanpa diduga, nenek menghidangkan satu teko kopi panas bersama dua cawan kosong.

Saya kira nenek terlalu lambat menyediakan semuanya itu. Kenapa sudah berjam-jam Uda Lamat berada di rumah, baru disogokkan dengan kopi.

Apakah Datuk mengeluarkan perintah agar nenek berbuat demikian? Timbul pertanyaan dalam diri saya.

"Minta maaf, saya terlambat," nenek bersuara.

"Awak buat apa hingga terlambat?" soal Datuk.

"Tadi, saya ke kedai nak beli tepung untuk buat kuih nak jamu awak dan Uda Lamat, sampai ke kedai runcit saya tersangkut."

"Mendengar cerita orang tau belajar mengumpat," Datuk membuat tuduhan secara terbuka pada nenek.

Saya lihat wajah nenek berubah. Sesungguhnya, tidak ada sesiapa yang gembira bila dituduh secara melulu di depan tetamu.

Sebagai isteri yang penyabar, kaya dengan pengalaman serta asam garam kehidupan, Nenek tidak memperlihatkan kemarahannya. Dia tetap tenang dengan senyum segar di bibir tua.

"Beberapa orang menasihatkan saya.." nenek berhenti bercakap. Dia tuangkan air kopi ke cawan untuk Datuk.

"Apa yang mereka nasihatkan awak?" tanya Datuk lalu berdirikan lututnya.

Telapak tangan kanannya diletakkan ke atas tempurung kepala lutut kiri. Dia terus termenung sambil mengerutkan dahinya. Tetapi sepasang matanya tertumpu ke wajah Uda Lamat.

"Siapa yang menasihatkan awak tu?" Datuk mula cungkil rahsia. Nenek tetap tenang. Dia bersila di depan Datuk.

"Tuan kedai menasihatkan kita supaya mengadakan jamuan atau semahan," nenek mulakan cerita dengan wajah bersahaja.

"Tujuannya, untuk menjamu penunggu hutan, penunggu gunung, penunggu paya supaya jangan mengganggu cucu kita dan orang-orang kampung yang lain," nenek berhenti bercakap. Dia menelan air liur.

"Tuan kedai tempat awak mengambil barang tu namanya, Haji Taufik?" Uda Lamat kemukakan pertanyaan.

Nenek anggukkan kepala. Saya lihat Datuk resah, macam ada sesuatu yang mengganggu ketenteraman dirinya.

"Kenapa Pak Haji menyuruh kita membuat sesuatu yang bertentangan dengan hukum Allah," Uda lamat seperti mengeluh.

Nenek terus bangun, menuju ke ruang dapur. Datang kembali ke anjung rumah membawa segelas air halia yang sudah ditaruh dengan beberapa titik madu lebah.

Air itu adalah untuk saya. Mungkin air halia bercampur dengan madu lebah mempunyai khasiatnya tersendiri.

Tidak mengapa, bila Uda Lamat pulang, perkara itu akan saya tanyakan pada nenek atau Datuk.

"Perbuatan khurafat," suara Datuk keras.

Sepasang biji matanya terbeliak merenung muka saya. Menggigit bibir bersama rasa kesal yang amat sangat.

"Iblis memang tidak pernah berhenti dari berusaha menjadikan manusia memandang yang buruk itu baik, yang baik itu buruk, memang sudah aku duga perkara seperti ini akan timbul," lanjut Datuk lagi.

"Tak mengapa, kita harus membetulkan anggapan yang silap itu. Kita beritahu tempat kita mengadu dan meminta hanyalah pada Allah yang Maha Besar, bukannya pada penunggu, bukannya pada keramat," Uda Lamat cuba menyejukkan hati Datuk.

"Ya, kita berusaha ke arah itu," sahut Datuk.

Saya kira, perkara yang dibincangkan itu habis di situ sahaja. Ternyata perkiraan saya itu tidak tepat, Datuk dan Uda Lamat terus bercerita tentang masalah yang bersangkut paut dengan pendirian masing-masing. Tentu sahaja perkara semacam ini, tidak menggembirakan saya.

"Saya nak keluar, jalan-jalan keliling kampung tuk," saya ajukan permintaan pada Datuk. Uda Lamat renung muka saya.

"Jalan keliling kampung tu di mana?" Datuk meminta kepastian.

Biji matanya tertumbuk ke wajah saya. Rasa cemas kembali bertandang dalam diri saya.

"Saya nak ke kebun, saya nak tengok pokok pisang, betik dan lain-lain lagi," ungkap saya penuh ikhlas.

"Tak payah," Datuk memberikan kata muktamad. Saya menelan air liur kecewa.

Uda Lamat dapat membaca rasa hampa dalam diri saya melalui riak muka.

"Tak payah pergi Tamar, dengar cakap Datuk kau tu. Kamu tak berapa sihat," Uda Lamat menyejukkan hati dan perasaan saya. Nasihatnya itu saya terima.

"Sebagai orang Melayu beragama Islam, kita adalah orang yang bertuah dan beruntung di dunia," Uda Lamat lunjurkan kedua belah kakinya, membayangkan dia mahu bercerita secara serius dan panjang pula.

"Kenapa awak kata macam tu?" tanya Datuk.

"Apa yang ada pada kita, tidak ada pada orang Jepun, tidak ada pula pada orang Inggeris dan tidak ada pada orang Amerika," jawab Uda Lamat.

Jawapannya itu tidak menyenangkan diri Datuk. Saya mula merasakan keterangan Uda Lamat itu kebudak-budakan.

Sebabnya, pada hemat saya orang-orang Jepun, Perancis, Amerika dan Inggeris satu bangsa yang maju dapat bergerak dan berkembang seiring dengan arus zaman abad kedua puluh.

Masakan orang dapat mengikuti atau memiliki dengan apa yang ada pada diri mereka.

"Apa yang tak ada pada mereka tu? Kau nak kata mereka tak berilmu? Tak ada Tuhan, tak ada adat dan budaya, sedangkan mereka menguasai semua bidang dalam dunia ini," Datuk menyanggah pendapat Uda Lamat.

Dalam hati kecil, saya setuju dengan pendapat Datuk itu. Saya kira Uda Lamat tidak dapat menghujah pendapat Datuk. Uda lamat terus termenung. Agaknya berfikir untuk mencari jawapan.

"Apa yang tak ada pada mereka?" soal Datuk lagi.

"Mereka tak ada IMAN," jawab Uda Lamat, membuatkan saya dan Datuk berpandangan sesama sendiri.

Tamat Siri Bercakap Dengan Jin 105/284

BACA: SBDJ Siri 104: Dikuasai Suara Aneh
BACA: Siri Bercakap Dengan Jin (Koleksi Lengkap)

-Sentiasapanas.com

Add Comments

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon