Selasa, Julai 02, 2019

Benarkah Hadis Islam Tak Benarkan Isytihar Harta?


Loading...

Muslim dan bukan Muslim telah bertanya apakah benar dakwaan yang menyatakan Nabi SAW tidak membenarkan orang politik mengistiharkan harta? Bagi yang bukan Muslim mereka nampak semacam begitu kecewa jika demikian ajaran Islam.

Islam Larang Isytihar Harta

Saya rasa saya perlu berikan penjelasan tentang hal ini agar agama Islam tidak disalah faham sehingga memberikan imej yang salah terhadap Islam. Di sini saya ingin jelaskan hal ini pada nota-nota:

Nabi SAW sendiri dalam pentadbiran kerajaan baginda memastikan para petugas atau pegawai yang dilantik tidak memiliki harta atas salah guna kedudukan. Baginda menegur harta yang dimiliki oleh para petugas yang diperolehi dengan cara yang tidak betul. Ertinya, baginda memeriksa dakwaan harta yang mereka miliki.

Sabda Nabi SAW (bermaksud):

“Apa jadi dengan pegawai yang kita utuskan, kemudian pulang dan berkata: Ini bahagian kamu, ini bahagian aku. Silakan dia duduk di rumah ayah dan ibunya, lalu tunggu adakah akan diberikan hadiah kepadanya atau tidak? Demi Allah, dia (pegawai berkenaan) tidak mengambil sesuatu melainkan pada Hari Kiamat nanti dia akan menanggung pemberian itu atas tengkoknya.” (Riwayat al-Bukhari).

Dalam Islam, Muslim diwajibkan membayar zakat. Zakat yang wajib dibayar oleh Muslim membabitkan pelbagai harta; tanaman, ternakan, emas (wang) dan selainnya. Jumlah zakat wajib seseorang berdasarkan kadar harta yang dimiliki.

Bagi ternakan ada kiraannya, bagi emas ada kiraannya, bagi tanaman ada kiraannya, bagi galian ada kiraannya dan seterusnya. Lebih banyak harta, pasti lebih banyak kadar yang wajib dibayar.

Ulul amri (pemerintah) merupakan amil zakat yang berkewajipan memastikan mereka yang wajib membayar zakat, menunaikan tanggungjawab mereka.

Jika agama melarang Muslim mengistiharkan harta, pastilah Muslim tidak boleh membayar zakat kepada amil zakat kerana itu menyebabkan jumlah hartanya diketahui.

Maka, dakwaan bahawa Islam tidak membenarkan jumlah harta seseorang dimaklumkan kepada pihak pemerintah adalah batil dan tidak berasas.

Antara pendekatan memastikan integriti urus tadbir pemerintahan Khalifah ‘Umar bin al-Khattab ialah memeriksa harta pegawai-pegawai yang dilantik dan mencatatkannya. Ini bagi mengawal supaya mereka tidak mengambil kesempatan mengumpul harta dengan cara yang salah melalui jawatan yang dipegang. Polisi ini telah lama dijalankan oleh Saidina ‘Umar bin al-Khattab dalam pentadbirannya.

Dalam al-Tabaqat al-Kubra oleh al-Imam Ibn Sa’d (meninggal 230H) dan juga dipetik oleh al-Imam al-Sayuti (meninggal 911H) dalam Tarikh al-Khulafa (bermaksud):

“Sesungguhnya ‘Umar apabila melantik pegawai, beliau mencacatkan hartanya.” (Tabaqat Ibn Sa’d 3/307 Beirut: Dar Sadir)

Al-Imam Ibn Qayyim al-Jauziyyah (meninggal 751H) menyebut dalam karyanya tentang polisi ‘Umar tersebut dengan berkata:

“‘Umar memeriksa harta para pegawainya. Dia mengambil separuh harta mereka jika itu mereka perolehi melalui jawatan mereka yang bercampur dengan kedudukan istimewa mereka. Umar membahagikan harta itu kepada dua bahagian, separuh untuk mereka, separuh untuk kaum Muslimin (rakyat).” (Ibn Qayyim al-Jauziyyah, al-Turuq al-Hukmiyyah, m.s 17)

Umar bin al-Khattab Isytihar Harta

Justeru itu al-Syeikh Dr ‘Ali Muhammad al-Sallabi menyebut dalam karyanya Umar bin al-Khattab:

“Umar itu menghitung (jumlah) harta para pegawai dan gabenor sebelum pelantikan. Ini bertujuan untuk mengira harta mereka yang bertambah selepas pelantikan yang tidak termasuk dalam penambahan yang munasabah.” (‘Ali Muhammad al-Sallabi, ‘Umar bin al-Khattab, ms 356)

Kemudian, kita hendaklah faham bahawa dalam soal pentadbiran, Islam itu sifatnya begitu luas. Apa sahaja yang membawa kemaslahatan kepada rakyat, diiktiraf sebagai politik atau urus tadbir yang selaras dengan syarak. Ini termasuklah soal pengistiharan harta.

Pemerintah berhak menentukan kaedah yang diyakini terbaik dalam memastikan integriti dan urus tadbir yang baik. Jangan kita jumud dan mempergunakan dalil-dalil agama sehingga menyempitkan ruang politik yang diluaskan oleh syarak.

Kata al-Imam Ibn Qayyim al-Jauziyyah dalam hal ini:

“Jika engkau maksudkan dengan perkataanmu, ‘Tiada siyasah melainkan apa yang menepati syarak’ iaitu tidak menyanggahi apa yang syarak sebut, maka itu betul. Jika engkau maksudkan tiada siyasah melainkan apa yang syarak sebut maka itu salah. Itu juga bererti menyalahkan para sahabah.

"Apabila zahirnya tanda-tanda keadilan dan wajahnya memancar sinar dalam apa jalan sekalipun, maka di situlah syariat Allah dan agama-Nya. Allah SWT itu lebih mengetahui, lebih bijaksana dan lebih adil untuk hanya membataskan jalan-jalan keadilan dan tanda-tanda serta alamat-alamatnya dengan sesuatu perkara (sahaja) kemudian menafikan (kewujudan keadilan) yang lebih nyata daripada itu, lebih kuat dalilnya, lebih jelas tandanya dan (mustahil) Allah tidak menerima dan mengambil kira kewujudannya serta menegakkan tuntutannya.

"Bahkan Allah SWT telah menjelaskan bahawa tujuan dia mensyariatkan mengenai jalan-jalan (hukum agama) ialah untuk menegakkan keadilan dalam kalangan hamba-hamba-Nya dan membolehkan manusia (hamba-hamba-Nya) menegakkan keadilan.

"Apa sahaja jalan yang dapat menghasilkan keadilan dan kesaksamaan maka itu daripada (ajaran) agama ini, dan ia tidak menyanggahinya. Maka tidak boleh untuk dikatakan bahawa siyasah yang adil itu menyanggahi apa yang diungkapkan oleh syarak.

"Sebaliknya ia (siyasah yang adil) itu menepati syarak. Bahkan siyasah yang adil itu satu juzuk dari syarak.

"Kita menamakannya siyasah (politik) mengikut istilah mereka, padahal sebenarnya ia adalah keadilan Allah dan rasul-Nya yang zahir menerusi tanda-tanda dan bukti-bukti.” (Ibn Qaiyim al-Jauziyah, al-Turuq al-Hukmiyyah fi al-Siyasah al-Shar’iyyah, 19-20. Beirut: Dar Ihya al-‘Ulum (tt).

Maksud sebenar hadis

Adapun hadis yang digunakan oleh pihak berkaitan (bermaksud):

“Bantulah menjayakan hajat-hajat dengan menyembunyikan (hajat-hajat tersebut) kerana setiap yang mempunyai nikmat itu didengki.”

Dari kedudukan hadis, secara paling ringkas hadis ini diriwayatkan daripada Muaz bin Jabal, ‘Ali bin Abi Talib, Ibn ‘Abbas, Abi Burdah dan Abu Hurairah.

Hampir keseluruhan jalur periwayatan mempunyai ‘illah (penyakit yang mencacatkan kekuatan riwayat).

Al-Imam Ibn Jauzi (meninggal 567H) menghukumnya sebagai palsu. Demikian al-Imam Ahmad (meninggal 241H) dan Yahya bin Ma’in (meninggal 233H). Al-Hafiz al-‘Iraqi (meninggal 806H) ketika mentakhrij hadis-hadis Ihya ‘Ulum al-Din mendaifkan sanad hadis ini.

Namun al-Albani dalam Silsilah al-Ahadith al-Sahihah telah menilai sahih sanad yang datang melalui Sahl bin ‘Abd al-Rahman al-Jurjani daripada Muhammad bin Mutarrif daripada Muhammad bin Munkadir daripada ‘Urwah bin al-Zubair daripada Abu Hurairah. (lihat: al-Silsilah al-Sahihah hadis 1453)

Dari segi maksud, hadis tersebut bukan seperti yang difahami oleh pihak berkaitan. Hadis ini menggalakkan menyembunyi perkara-perkara yang membawa kepada hasad dengki.

Namun, jika ada keperluan maka hajat serta nikmat boleh bahkan mungkin wajib didedahkan. Ini terutama kepada pihak yang mempunyai kepentingan. Jika tidak, maka pasti orang ramai akan mengelakkan membayar zakat harta atas alasan hadis ini.

Demikian juga, akan ada yang menyembunyikan perkahwinan kerana bimbang orang lain dengki, sedangkan Nabi SAW suruh mengiklankan nikah.

Demikian juga mungkin ada yang tidak mahu membayar cukai pendapatan, cukai jalan raya dan lain-lain kepada pemerintah atas alasan bimbang pihak lain tahu harta mereka. Ini semua tafsiran yang salah.

Diharapkan semua pihak tidak sewenang-wenangnya menggunakan nama Nabi SAW dalam mencapai hasrat mereka. Islam akan disalah faham jika tidak berhati-hati menyandarkan hal-hal yang tidak tepat kepada Nabi SAW.

Wallahu a'lam.

***

Nota: Penulis adalah MOHD ASRI ZAINUL ABIDIN, mufti Perlis.

BACA INI JUGA:

sumber: malaysiakini

Seorang blogger yang suka berkongsi ilmu untuk individu yang suka membaca.

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon