Thursday, February 14, 2019

Kenapa Lampu Isyarat Di Jepun Berwarna Biru?


Kebiasaannya, semua negara akan menggunakan tiga warna pada lampu isyarat iaitu merah, kuning dan hijau tetapi di Jepun, lain pula warnanya kerana di negara matahari terbit itu, warna merah bermaksud 'berhenti', kuning bermaksud 'sedia untuk berhenti' dan memilih biru sebagai maksud 'teruskan jalan'.

Lampu Isyarat Biru

Sememangnya, jika berkunjung di negara itu buat pertama kali, mungkin akan keliru dengan perbezaan tersebut.

Tapi, mengapa Jepun menggunakan warna biru pada lampu isyarat dan tidak menggunakan lampu berwarna hijau seperti yang digunakan di negara-negara lain di seluruh dunia?

Adakah warna biru ini mempunyai maksud yang sama dengan warna hijau?

Keunikan bahasa Jepun

Jawapan bagi persoalan ini adalah kerana keunikan bahasa Jepun itu sendiri. Ratusan tahun dahulu, bahasa Jepun hanya mempunyai beberapa perkataan untuk merujuk kepada empat warna asas iaitu hitam, putih, merah dan biru.

Sebagai contoh, sekiranya anda hendak merujuk sesuatu benda yang berwarna hijau, anda akan memanggilnya 'ao', iaitu biru dalam bahasa Jepun.

Walaupun begitu, secara umumnya semua orang akan faham ia sebenarnya merujuk kepada warna hijau.

Tidak lama kemudian, perkataan 'midori' yang bermaksud 'tumbuhan yang bercambah' mula digunakan secara luas dalam penulisan untuk merujuk kepada warna hijau.

Bagaimanapun, warna hijau yang digelar 'midori' ini masih dianggap sebagai salah satu warna derivatif yang berasal daripada biru (atau 'ao').

Perubahan warna hijau kepada biru di lampu isyarat

Ketika lampu isyarat baru diperkenalkan di Jepun, warna hijau telah digunakan sama seperti lampu isyarat di negara-negara lain namun, dalam dokumen rasmi yang digunakan kerajaan, warna hijau ini seringkali dipanggil 'ao'.

Para pejuang bahasa telah membantah keputusan kerajaan meneruskan penggunaan perkataan 'ao' bagi merujuk warna hijau sebaliknya kerajaan haruslah memanggilnya 'midori'.

Oleh itu, kerajaan Jepun akhirnya telah bersetuju untuk berkompromi berkaitan perkara ini dan pada tahun 1973, kerajaan telah mengumumkan tentang kewajipan penggunaan hijau seakan-akan biru pada lampu isyarat.

Secara teknikalnya, ianya berwarna hijau tetapi sekali pandang, anda akan melihatnya seperti warna biru dan ini membolehkan kerajaan memanggilnya 'ao'.

Ia mungkin kedengaran agak pelik tapi bagi kerajaan, penggunaan hijau seakan-akan biru ini membolehkan mereka patuh kepada undang-undang jalan raya antarabangsa yang mewajibkan penggunaan warna hijau tetapi pada masa yang sama memanggilnya 'ao' kerana ia masih seakan-akan biru.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: sinarharian

Add Comments

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon