Monday, December 10, 2018

Skandal 1MDB Sejarah Atau Tidak?


Pakar sejarah dilihat berbeza pandangan berhubung sama ada skandal 1MDB yang menjadi tumpuan media tempatan dan antarabangsa boleh dianggap sebagai sebahagian daripada sejarah Malaysia, selepas Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik, berkata kesilapan itu perlu dipelajari supaya tidak diulangi generasi masa depan.

Skandal 1MDB

Dr Sumit K Mandal yang merupakan pensyarah Kajian Budaya dan Sejarah Sosial di University of Nottingham Malaysia menjangkakan sejarawan pada masa hadapan akan menganggap 1MDB sebagai sesuatu yang penting.

Jelasnya, hal itu kerana 1MDB memberi gambaran kepada situasi semasa negara ketika skandal berkenaan berlaku.

“1MDB bukan hanya penyalahgunaan wang negara tetapi ia berkaitan dengan krisis kepemimpinan politik yang berdampak kepada seluruh negara.

“Sejarawan masa depan tentu saja akan menganggap 1MDB sesuatu yang penting sebagai sebuah cerminan kepada kedudukan politik, ekonomi, dan masyarakat Malaysia dalam tempoh tertentu,” katanya.

Persoalan sama ada skandal 1MDB boleh dianggap sejarah atau tidak, timbul susulan kenyataan Menteri Pendidikan Dr Maszle Malik di Dewan Rakyat yang memberi jaminan skandal 1MDB akan dimasukkan dalam "sejarah Malaysia".

Untuk rekod, Maszlee tidak menyebut secara spesifik "sejarah" yang dimaksudkan adalah subjek atau silibus yang diajar di sekolah. Pegawainya pula mendakwa laporan media berhubung perkara itu "tidak tepat".

Perlu genap 30 tahun

Bagaimanapun, Maszlee membuat kenyataan itu ketika mewakili kementeriannya menjawab soalan yang ditimbulkan Anggota Parlimen Pontian Ahmad Maslan berhubung subjek sejarah yang diajar di sekolah dan konteks sejarah secara umum.

Sementara itu, diminta pandangan sekiranya 1MDB dimasukkan dalam subjek Sejarah, Sumit menjelaskan bahawa kaitan skandal itu dengan perkembangan dunia merupakan faktor yang perlu diambil kira.

“Yang patut dimasukkan dalam bahagian mata pelajaran Sejarah bukan 1MDB dengan sendirinya tetapi semua proses berkaitan.

“Kita boleh bertanya apakah dapat kita memahami tentang kedudukan politik, ekonomi dan masyarakat Malaysia melalui 1MDB?

"Apakah perkembangan pada tahap dunia yang telah membolehkan keadaan ini muncul,” kata pensyarah di University of Nottingham Malaysia itu.

Bagaimanapun, pengarang buku teks sejarah tingkatan tiga dan lima, Prof Ramlah Adam tidak bersetuju skandal 1MDB dimasukkan ke silibus pengajaran kerana ia "merupakan isu semasa".

Memberi contoh, Ramlah berkata pengharaman Umno pada 1988 antara peristiwa yang sudah genap 30 tahun dan boleh dianggap sejarah.

“Sejarah ada prosesnya, (ia perlulah merupakan) perkara berlaku waktu dulu, bukan isu semasa.

"Sejarah yang ditulis itu perkara yang sudah berlaku 30 tahun lalu, ikut arkib negara punya prosedur.

"Kalau pada hari ini, cerita (pengharaman Umno pada) 1988 baru boleh buka fail di arkib negara, itu pun sama ada jabatan kerajaan, kementerian hantar fail-fail itu kepada arkib negara,” katanya.

Selain itu, Ramlah juga menyifatkan kekalahan BN pada pilihan raya umum (PRU) ke-14 yang membawa kepada pertukaran kerajaan buat kali pertama merupakan peristiwa yang boleh dianggap sejarah setelah genap 30 tahun.

Bekas profesor Universiti Malaya itu turut menegaskan agar kepentingan negara dan manfaat kepada pelajar perlu diambil kira.

“Apabila ia melibatkan kepentingan negara, maka kita kena jaga kepentingan negara. Kepentingan masyarakat dan orang muda. Kita kena bagi fakta yang menyatupadukan mereka (pelajar).

“Contohnya, kita cerita dalam buku teks pasal kemerdekaan, pembentukan Malaysia, pembangunan Malaysia, jadi ia meliputi rakyat negara ini,” katanya yang juga merupakan bekas anggota pertubuhan pendesak hak Melayu Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa).

Semai benci pada pemimpin

Ketua Kluster Sejarah, Warisan dan Sosiobudaya Majlis Profesor Negara (MPN) Prof Teo Kok Seong pula berharap agar isu 1MDB tidak diberi penekanan kepada pelajar.

Katanya, jika ia berlaku maka ia akan menyemai rasa benci kepada pemimpin negara.

“1MDB itu tak ada kepentingan sejarah, kalau kita nak angkat 1MDB, kita nak angkat rasuah, ada saluran lain yang boleh mengangkat topik rasuah dalam isu integriti.

“Sekiranya berlaku, kita nak sampaikan isyarat apa pada pelajar kita?

"Adakah kita nak pelajar kita benci kepada pemimpin negara yang pasti ada jasa kepada negara walaupun dalam keadaan tersungkur dengan kesilapan sendiri,” katanya.

Skandal yang melibatkan bekas perdana menteri dan bekas menteri kewangan Najib Razak itu sering dikaitkan sebagai antara faktor kekalahan BN pada PRU 9 Mei 2018 lalu.

September 2018 lalu, Najib mengaku tidak bersalah berhubung 21 pertuduhan mengikut Seksyen 4 (1) (a) - Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 (AMLATFA) melibatkan jumlah lebih RM4.3 bilion.

Anggota parlimen Pekan itu juga berdepan tuduhan membabitkan RM2.282 bilion dana 1Malaysia Development Bhd (1MDB) yang dimasukkan ke akaun peribadi beliau.

Selain Najib, bekas ketua setiausaha negara Irwan Serigar dan ahli perniagaan Low Taek Jho atau Jho Low, serta empat individu lain turut berdepan pertuduhan mahkamah berhubung skandal berkenaan.

Hanya masa akan menentukan.

BACA INI JUGA:

sumber: malaysiakini

Add Comments

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon