Saturday, November 17, 2018

Misteri Sumpahan Almari Cooley


Kisah ini terjadi lebih kurang 150 tahun yang lalu di Kentucky, sebuah daerah di selatan Amerika Syarikat. Jacob Cooley, seorang lelaki kaya yang mempunyai ramai hamba abdi, pada suatu hari selepas mengetahui isterinya mengandung, telah mengarahkan Hosea, salah seorang hambanya yang mahir bertukang untuk membuat sebuah almari untuk bayinya.

Jacob Cooley Cursed Cupboard

Dengan kemahiran yang ada, Hosea telah membina sebuah almari kecil yang diperbuat daripada kayu mahal dan mempunyai empat laci.

Namun, entah mengapa Jacob tidak menyukai almari itu lalu memukul Hosea sehingga cedera parah dan akhirnya mati. Berang dengan perbuatan kejam Jacob, hamba abdi yang lain sepakat membalas dendam.

Salah seorang daripada hamba abdi tersebut pandai dalam ilmu sihir, lalu mengenakan sumpahan ke atas almari tersebut. Tujuannya agar semua keturunan Jacob yang menggunakan almari itu akan menerima nasib malang.

Dikatakan bahawa darah burung hantu telah ditaburkan pada almari itu semasa upacara tersebut. Adakah Jacob menerima akibat dari perbuatan kejamnya? Tidak.

Jacob Cooley terselamat, namun tidak keturunannya.

Keturunan Terkena Sumpahan

Tragedi bermula apabila bayi Jacob lahir. Bayi yang almari itu dibina untuknya tidak hidup lama. Ia meninggal tidak lama selepas dilahirkan.

Almari itu kemudiannya digunakan oleh salah seorang anak lelaki Jacob malangnya, dia mati ditikam oleh orang gajinya sendiri.

Jacob mempunyai seorang lagi anak lelaki bernama John Cooley yang berkahwin dengan gadis bernama Ellie. Pasangan ini mewarisi kebanyakan harta termasuklah almari yang telah disumpah itu.

Kemudian, salah seorang anak perempuan Jacob bernama Melinda berkahwin dengan lelaki Ireland bernama Sean.

Untuk membantu kehidupan adiknya, John menyerahkan ladang di Tennessee untuk diuruskan oleh Melinda dan Sean.

Dipendekkan cerita, perkahwinan Melinda tidak bahagia walaupun dikurniakan beberapa orang anak.

Sean tidak gembira dengan kehidupan ladang, sebaliknya lebih suka berhibur dan berfoya-foya di bandar.

Ellie kemudiannya menghantar almari yang sudah sekian lama tersimpan di loteng rumahnya kepada Melinda sebagai hadiah untuk menggembirakan hati Melinda.

Apa yang terjadi?

Sejak menerima almari itu, hidup Melinda semakin tertekan apabila suaminya, Sean, lari meninggalkannya. Akhirnya, Melinda mati akibat terlalu stres dan kemurungan.

Tidak lama kemudian, Sean juga meninggal dunia selepas terlibat dalam satu pergaduhan.

Tamatkah sumpahan almari itu?

Selepas kematian adiknya, kebanyakan barangan peribadi Melinda dipulangkan semula ke rumah John Cooley di Kentucky termasuklah almari itu.

Anak bongsu Melinda bernama Evelyn yang dibawa John untuk tinggal bersamanya dipelihara seperti anak mereka sendiri.

Evelyn membesar menjadi seorang guru dan kemudian berkahwin dengan seorang lelaki bernama Malcolm. Selepas berkahwin, Ellie menghadiahkan almari lama itu kepada Evelyn.

Untuk seketika, tiada tragedi buruk berlaku sepanjang almari itu berada di dalam simpanan Evelyn. Mereka hidup bahagia dan melahirkan tiga orang anak. Mereka turut mengambil seorang anak angkat perempuan bernama Arabella.

Setelah dewasa, Arabella berkahwin dan kemudian berpindah mengikuti suaminya, namun meninggalkan gaun pengantin dirumah keluarga angkatnya itu.

Suatu hari, Evelyn yang sedang mengemas rumah kemudiannya menyimpan gaun perkahwinan tersebut di dalam almari yang disumpah itu. Tidak lama kemudian, suami Arabella mati secara tiba-tiba.

Sumpahan itu nampaknya belum terhenti!

Anak Arabella juga meninggal dunia tidak lama selepas ibunya menyimpan pakaiannya di dalam almari itu.

Salah seorang menantu perempuan Evelyn juga menemui ajalnya selepas menyimpan barang-barang perkahwinannya di dalam almari itu.

Nampaknya, sesiapa yang menyimpan pakaian atau barangannya di dalam almari itu akan menerima nasib malang.

Kemudian, salah seorang saudara Evelyn yang mengait sarung tangan dan skarf untuk anaknya sebagai hadiah krismas telah menyimpan tenunannya di dalam almari itu.

Tidak lama kemudian, dia mati setelah terjatuh di landasan kereta api, hanya sehari sebelum krismas, tanpa sempat memberikan hadiah tersebut kepada anaknya.

Satu demi satu kematian menjengah keluarga Evelyn, membuatkannya tertekan dan dihantui rasa bersalah hingga dia meninggal dunia.

Sumpahan Almari Kisah Dongeng

Masa berlalu. Menjelang abad ke 20, almari itu diwarisi oleh salah seorang cucu Evelyn bernama Virginia Cary Hudson.

Walaupun tahu kisah sumpahan almari itu, namun dia tidak mempercayainya dan menganggap ia hanya sebuah cerita dongeng.

Almari lama dengan reka bentuk yang sangat sukar ditemui adalah barangan vintaj. Baginya, rugi jika tidak menggunakannya.

Apabila dia mula menggunakan almari tersebut, satu persatu perkara buruk menimpa keluarganya. Bayi pertama Virginia mati selepas pakaiannya disimpan di dalam lamri tersebut.

Masa terus berlalu selepas insiden itu. Virginia menggunakan semula almari itu untuk menyimpan pakaian anaknya yang lain dan tidak lama kemudian, anak itu menjadi lumpuh.

Salah seorang anak perempuannya juga menyimpan baju pengantinnya di dalam almari itu dan suaminya tiba-tiba menghilangkan diri.

Salah seorang anak lelakinya pula ditikam pada tangan, pun selepas menyimpan bajunya di dalam almari itu.

Bukan hanya keturunan Jacob, seorang rakan Virginia yang datang ke rumahnya dan menyimpan bajunya di dalam almari itu turut menerima nasib malang. Dia ditembak semasa memburu di dalam hutan.

Lama-kelamaan, Virginia mula percaya dengan sumpahan almari kayu tersebut. Dia lalu menceritakannya kepada rakan baiknya, Anne, yang kebetulan mempunyai kebolehan dalam perubatan mistik.

Menurut Annie, sumpahan almari itu hanya boleh dihapuskan dengan tiga syarat.

Pertama, Virginia perlu mencari bangkai burung hantu yang diberikan orang tanpa dia memintanya.

Kedua, daun pokok willow perlu direbus bermula dari matahari terbit sehinggalah matahari terbenam, di tepi bangkai burung hantu sebagai 'saksi'.

Ketiga, air rebusan itu perlu dimasukkan ke dalam jug bertangkai dan ditanam di bawah rimbunan pokok bunga dengan bahagian tangkainya menghadap ke arah timur dan lokasinya harus menghadap arah matahari terbit.

Mustahil?

Demi untuk melupuskan sumpahan almari itu dan tidak mahu ia meragut nyawa keturunannya di masa akan datang, Virginia nekad melakukan syarat-syarat itu dengan dibantu Annie. Akhirnya, mereka berdua berjaya menyempurnakan ketiga-tiga syarat tersebut.

Jug berisi air rebusan itu ditanam di bawah rimbunan pokok bunga di belakang rumahnya.

Menurut Annie, sumpahan itu akan berakhir apabila salah seorang dari mereka berdua mati sebelum musim baru menjelma.

Tidak lama kemudian, Annie meninggal dunia pada awal bulan September, sebelum musim luruh bermula.

Sumpahan Terakhir

Jika diikutkan kiraan, Annie adalah mangsa yang ke 17 dan yang terakhir. Selepas itu, almari itu diwarisi oleh salah seorang anak Virginia bernama Virginia C. Mayne.

Hidup pada alaf moden, Mayne agak skeptikal dengan kisah sumpahan almari itu, namun dia tidak mahu mengambil risiko.

Mayne sendiri tidak pernah menggunakan almari tersebut dan hanya disimpan diloteng rumah.

Pada tahun 1976, Mayne menyerahkan almari itu kepada Muzium Sejarah Kentucky untuk dijadikan salah satu barang pameran.

Adakah sumpahan misteri itu benar-benar telah lenyap?

Tiada siapa yang tahu.

BACA INI JUGA:

-SENTIASAPANAS.COM

Add Comments

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon