Thursday, November 08, 2018

Keunikan Keris Sebagai Identiti Bangsa Tertua Di Asia Tenggara


Tiga lok, tujuh lok sehinggalah 99 lok, itulah antara identiti keris iaitu senjata yang begitu sinonim dengan orang Melayu. Keunikannya menjadi lebih terserlah apabila setiap bilah keris yang dibawa melambangkan keperibadian dan boleh dilihat melalui bentuk pada bahagian kepala keris.

Keunikan Keris

Lok mungkin berbentuk kepala harimau, belalai gajah, ular, cicak, kuda laut mahu pun naga dan setiap bentuk mempunyai perlambangan tertentu serta menunjukkan tanggungjawab yang dipikul oleh pemiliknya.

Namun, apakah keunikan senjata ini sehinggakan sampai hari ini, keris terus menjadi lambang kegagahan dan identiti bangsa tertua di rantau Asia Tenggara?

Bagi mengenali keunikan keris, kita mestilah mengetahui sejarah kewujudan senjata itu terlebih dahulu.

Asal-usul Keris

Satu makalah tulisan Mahyudin Al-Mudra terbitan Universiti kebangsaan Malaysia (UKM) iaitu Melacak Asal-Usul Keris dan Peranannya dalam Sejarah Nusantara memberitahu, terdapat banyak teori tentang asal-usul kewujudan keris.

Teori pertama pernah ditemui oleh G.B Gardner dalam bukunya, Keris and Other Malay Weapon pada 1936.

Dalam buku itu, beliau menyatakan keris adalah senjata hasil daripada inovasi senjata tikam zaman pra-sejarah yang diperbuat daripada tulang ikan pari.

Namun, teori tersebut telah dinafikan dalam catatan Harsinuksmo pada 2004 kerana teori Gardner didakwa banyak kelemahan dan bertentangan dengan tradisi pembuatan keris di Indonesia.

Teori kedua pula dikemukakan oleh Griffith Wilkens yang mendakwa keris adalah senjata yang wujud sejak kurun ke-14 hingga ke-15 sebagai inovasi daripada senjata tombak.

Alasannya, bentuk hujung tombak adalah pendek dan menyerupai bentuk keris, selain mudah dibawa dan ringan.

A. J. Barnet Kempers turut mengemukakan teorinya dengan menyatakan tradisi pembuatan keris di Nusantara dipengaruhi oleh kebudayaan perunggu dari Dongson, Vietnam pada kurun ke-3.

Catatan dalam makalah tersebut juga menyatakan keris mula wujud di Jawa sejak kurun ke-5 berdasarkan penemuan artifak berhampiran candi-candi di sana.

Malah, ukiran lukisan senjata tikam dipanggil Keris Buda yang ditemui di sana dianggap sebagai prototaip keris dan menjadi acuan keris yang ada pada hari ini, sekali gus mendakwanya sebagai keris pertama di nusantara.

Perkembangan penggunaan keris sehingga ke seluruh pelusuk Kepulauan Melayu (Malay Archipelago) dapat dilihat menerusi pemerintahan Jawa yang berpindah ke Jawa Timur, kemudian kemunculan Kerajaan Majapahit pada kurun ke-13.

Makalah tulisan Mahyudin Al-Mudra yang merujuk kepada catatan Garret dan Solyom pada 1978 menyatakan, perkembangan dan perluasan kuasa oleh kerajaan di nusantara dahulu memberi pengaruh besar kepada penyebaran penggunaan keris sehingga ke kawasan seperti Malaysia, Brunei, Filipina dan Kemboja.

SEJARAH KERIS

Sebenarnya keris merupakan senjata pendek Austronesia (kumpulan penduduk yang terdapat sekitar Ocenia dan Asia Tenggara) yang digunakan sebagai mempertahankan diri serta alat kebesaran diraja dan ia dianggap unik bagi masyarakat Melayu di Indonesia, Malaysia, Singapura, Thailand Selatan, Filipina Selatan dan Brunei.

Kami yakin ramai tahu apa itu keris tapi adakah anda tahu bilakah keris mula dibuat dan dari manakah ia berasal?

Keris terawal dijumpai di Candi Borobudur

Banyak betul pendapat yang ada tentang asal-usul keris. Ada yang kata ianya berasal dari India dan ada pula kata ia diilhamkan oleh senjata Vietnam.

Bukti penemuan awal keris dijumpai di Candi Borobudur dan Prambanan, berusia seawal tahun 600 sebelum Masihi.

Mengikut dokumentari daripada Discovery Network, logam yang menghasilkan keris pertama adalah dibuat dari lava gunung berapi. Ada pula yang kata keris dulu-dulu diperbuat daripada batu meteor yang “jatuh dari langit”, menggambarkan “kesatuan manusia dan Tuhan“.

Apa asal-usul perkatan ‘keris’

Ada pendapat yang mengatakan keris berasal dari perkataan Jawa, ‘ngeris’ yang bermaksud ‘menikam’ atau ‘menusuk’.

Di Muzium Adat Istana Jahar Kelantan dikatakan terdapat huruf jawi dalam perkataan keris (Kaf, Ra, Ya, dan Sin) mempunyai maksud tersendiri termasuklah: Ketahanan Rakyat Yang Sepadu, Kekuatan Raja Yang Sejati, Keamanan Rakyat Yang Sejahtera, Kemuliaan Raja Yang Susila, Kebanggaan Rakyat Yang Setia, dan Kuasa Raja Yang Sejagat.

Kenapa bilah keris bengkang-bengkok?

Sebelum kami jawab soalan tu, kita kena kenal satu-persatu bahagian keris ni dulu. Keris ni punyalah kompleks, tiap celah dan ceruk dia ada nama khas, tapi di sini kami ringkaskan kepada tiga bahagian iaitu hulu, pedongkok dan bilah.

Hulu keris

Reka bentuk di hulu keris menggambarkan kekuatan dan kekuasaan senjata tu sendiri dan ia biasanya diperbuat daripada perdu atau tunjang kayu. Tapi ada juga yang diperbuat daripada gading gajah, tanduk binatang, gigi ikan paus, emas, perak dan besi.

“Keris ada bisa dan penawar, contohnya hulu keris daripada kayu penawar hitam boleh menyembuhkan bisa dan menghentikan darah akibat tikaman.” – Profesor Madya Dr Abdul Mua’ti @ Zamri Ahmad, Dekan Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi UPM. Dipetik dari Harian Metro.

Pedongkok keris

Pedongkok keris

Ia juga turut dikenali sebagai dokok, dulang-dulang keris dan memendak. Ia merupakan sebentuk cincin yang dipasang di bahagian pangkal hulu keris sebagai perhiasan dan pembahagi antara hulu dan mata keris.

Bilah keris

Bagi mereka yang tertannya-tanya, kenapa bilah keris bengkang-bengkok? Ada yang kata keris ini bukannya untuk memotong macam pisau atau pedang tapi untuk menikam. Ada juga yang kata alur keris ibarat ular yang hendak menyerang.

Tapi sebenarnya bilah keris banyak yang jenis lurus. Yang beralun pula dipanggil sebagai ‘lok’.

Bilangan lok yang terdapat pada keris selalunya ganjil kerana ia katanya dipadankan dengan ciri-ciri keislaman seperti rukun Islam (5), bilangan keliling tawaf wakaf (7), rukun sembahyang (13) dan jumlah sembah yang lima waktu (17).

Tapi ada juga yang berpendapat bilangan lok keris yang ganjil itu menggambarkan ia tak sempurna, kerana yang sempurna itu hanyalah Allah sahaja.

“Lok keris yang genap bilangannya adalah bilah keris terakhir dibuat empu untuk menggambarkan ia tidak mahu lagi membuat keris dan memastikan ia keris terbaik dihasilkan.” – Dekan Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi UPM, Profesor Madya Dr Abdul Mua’ti @ Zamri Ahmad. Dipetik dari Harian Metro .

Keris sebagai lambang kebesaran dan kedaulatan

Keris Panjang Diraja

Selain daripada dibuat sebagai senjata, keris merupakan lambang kedaulatan dan kebesaran Melayu, dan selalu digunakan dalam adat istiadat diraja. Keris Panjang Diraja merupakan alat kebesaran negara paling utama dalam istiadat pertabalan.

Untuk pengetahuan anda, hulu hingga ke sarung keris panjang diraja ini bersalut emas dan pada sampirnya ada lambang Kerajaan Persekutuan serta lambang 11 Negeri-negeri Tanah Melayu dan ianya hanya boleh dibawa oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dalam istiadat-istiadat tertentu sahaja.

Jika Keris Panjang Diraja menjadi lambang kebesaran dan kekuatan, macam mana pula dengan keris paling lejen sepanjang zaman. Keris Taming Sari?

Kisah Taming Sari, keris paling masyhur

Keris yang paling masyhur, Keris Taming Sari merupakan senjata Hang Tuah, seorang pahlawan Melayu paling terkenal, malah penghasilan keris Taming Sari juga dikatakan diperbuat daripada 20 jenis besi.

Kalau anda masih ingat lagi, Hang Tuah telah difitnah oleh musuhnya dan tanpa usul periksa, Sultan Mansur Shah telah menjatuhkan hukuman bunuh terhadap Hang Tuah.

Keris Taming Sari miliknya itu diserahkan kepada Sultan lalu menyerahkan Taming Sari kepada Hang Jebat. Tapi bila Hang jebat mendapat tahu Hang Tuah telah dihukum oleh Sultan, Hang Jebat pun mengamuk di Istana sehingga Sultan melarikan diri untuk menyelamatkan nyawanya daripada diancam oleh Hang Jebat.

Sultan pun diberitahu yang Hang Tuah sebenarnya masih hidup, lalu menitahkan Tuah untuk membunuh Jebat dan merampas semula Keris Taming Sari. Demi ketaatan terhadap Sultan, Tuah pun menurut perintah membunuh Jebat, sahabat karibnya sendiri.

Tapi, di mana keris Taming Sari itu berada sekarang? Ada yang kata ianya telah hilang dilautan, tapi apa yang kami jumpa ialah..

“Dalam koleksi adat Kebesaran Kesultanan Perak, mereka percaya bahawa mereka adalah waris Keris Taming Sari. Walaupun Legenda Hang Tuah ada menyatakan bahawa keris itu telah hilang dilautan. Ini kerana Kesultanan Perak mempunyai pertalian rapat dengan Kesultanan Melaka.” – Profesor Datuk Zainal , Universiti Malaya. Dipetik dari

Menurut Kosmo, Keris Taming Sari ada tersimpan rapi di Istana Iskandariah, Kuala Kangsar, Perak. Ia disimpan bersama 26 alat kebesaran Perak yang lain di dalam sebuah peti besi khas di Istana Iskandariah.

“Lagipun keris berkenaan sudah menjadi hak Kesultanan Perak yang sah sejak tahun 1528 selepas diwariskan Sultan Melaka, Sultan Mahmud Shah 1 kepada Sultan Perak pertama iaitu Sultan Mudzaffar Shah.” – Nor Jannati Ibrahim, Bekas Pengarah Muzium Perak. Dipetik dari Kosmo.

Keris Taming Sari dikatakan mempunyai ‘kuasa’ hinggakan penjaga alat kebesaran diraja itu perlu mematuhi pantang larang sepanjang menjaga atau membawanya.

Kepercayaan mistik mengenai keris

Sedangkan keris pun bermandi limau dan asap, korang tu bila nak mandi dah Maghrib ni. Imej dari Khalifah Gayong.

Terdapat beberapa kepercayaan bahawa keris mempunyai semangatnya yang tersendiri. Malah jika mengikut amalan Melayu tradisional, ia perlu diasapkan terutama pada malam Jumaat .

Keris dibersihkan secara ritual itu sebenarnya adalah untuk melindungi ia daripada karat dengan menggunakan limau nipis dan akhir sekali keris itu akan diasap menggunakan kemenyan.

“Ada generasi muda yang takut keris kerana mempercayai ada makhluk halus hakikatnya tidak ada dan tak munasabah langsung.”- Profesor Madya Dr Abdul Mua’ti @ Zamri Ahmad, Dekan Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi UPM. Dipetik dari Harian Metro.

Tapi tak dinafikan jugak terdapat sesetengah pemilik atau pembuat keris turut memasukkan penunggu ke dalam senjata tersebut untuk memberikan kekuasaan kepada pemakainya .

Menurut Professor Datuk Zainal dari Universiti Malaya, setiap keris itu mempunyai kisahnya tersendiri begitu juga dengan Keris Pusaka.

Keris Pusaka ini diberi daripada bapa atau moyang kepada anak atau cucu keturunannya. Ia akan disimpan dengan rapi dan dibalut dengan kain kuning.

“Ada juga keris pusaka ni yang diikat di tiang seri (tiang tengah rumah) sebagai pelindung keluarga tersebut. Tapi kini perkara ini dianggap sebagai kepercayaan tahyul oleh masyarakat.” – Professor Datuk Zainal dari Universiti Malaya. Dipetik dari Discovery Network .

Ada sesetengah mereka yang menyifatkan keris mempunyai pengaruh psikologi yang kuat dalam kehidupan, kepercayaan dan amalan harian mereka. Oleh kerana pendapat ini telah sebati dalam diri mereka, maka mereka pun menjadikan keris sebagai barang keramat yang sakti dan dihormati sehingga membawa kepada pemujaan dan kepercayaan ini masih lagi meresap hingga sekarang.

Tak lapuk dek hujan, tak lekang dek panas

Keris bukan sahaja berfungsi sebagai alat mempertahankan diri untuk digunakan dalam pertarungan semata, malah ia menjadi warisan masyarakat Melayu sejak berabad lamanya.

Walaupun secara nyatanya kita tidak lagi menggunakan keris pada masa kini, namun kita haruslah mengekalkan tradisi ini dan meneruskan warisan yang telah diturunkan secara turun-menurun.

Mungkin sebab itulah kalau anda perasan, keris turut menjadi sebahagian daripada pemakaian penting seorang Sultan atau raja Melayu sehingga ke hari ini.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: utusan | soscili

Add Comments

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon