Khamis, Oktober 11, 2018

Cukai Keuntungan Modal (CGT) Lebih Adil Kepada Rakyat?


CGT atau Cukai Keuntungan Modal atau Capital Gain Tax (CGT) adalah cukai yang dikenakan dan dipungut dari hasil keuntungan penjualan dan urusniaga (transaksi) saham-saham, bon-bon, emas dan opsyen saham seperti ESOS (Employee Share Option Scheme – Skim Saham Pilihan Pekerja) dan sebagainya.

Cukai CGT

ESOS secara mudahnya adalah skim insentif bukan berbentuk wang yang diberikan oleh majikan kepada pekerja mereka untuk berkongsi risiko syarikat. Jika untung dapat imbuhan, jika rugi tak dapat apa-apa. Dengan kata lain hasil keuntungan penjualan saham-saham individu atau syarikat yang diurusniagakan di Bursa Saham atau yang bertukar tangan akan dikenakan cukai yang ditetapkan peratusan tertentunya oleh kerajaan (Pakatan).

Ini termasuklah saham-saham amanah hasil inisiatif kerajaan bagi meningkatkan ekuiti dan aset terutamanya kaum bumiputera seperti ASN, ASB, ASW, ASM, ASD, ASG, AS1M dan lain-lain yang diperkenalkan oleh Permodalan Nasional Berhad (PNB).

Begitulah halnya dengan saham-saham amanah yang diwujudkan atau yang diurusniagakan oleh agensi- agensi atau syarikat berkaitan kerajaan (GLC) di peringkat Pusat atau kerajaan-kerajaan negeri termasuklah juga urusniaga saham oleh KWSP, Tabung Haji, saham koperasi dan lain-lain.

Di mana selama ini keuntungan dari penjualan atau pemberian bonus dan dividen ke atas simpanan saham-saham amanah ini dikecualikan oleh kerajaan dari dikenakan sebarang cukai CGT.

Walau bagaimanapun, CGT secara halusnya melemahkan pegangan ekuiti dan aset bumiputera dan juga menjauhkan pelabur asing.

Ini kerana pelabur asing hanya akan melabur di negara TANPA CGT, manakala Malaysia sebagai negara membangun amat bergantung kepada perolehan dari pelaburan asing.

IMF

Kesan perlaksanaan cukai di negara-negara maju berkonsepkan GST/VAT telah menyebabkan polarisasi di dalam masyarakat kerana golongan yang banyak menanggung cukai adalah pihak berpendapatan sederhanana.

Golongan kaya memiliki lebih banyak cara dan peluang untuk mengelak dari dikenakan cukai, justeru jurang antara kedua golongan ini semakin melebar.

Perkara ini dikhuatiri akan menimbulkan ketidakstabilan politik di dalam negara tersebut apabila majoriti rakyat tertekan dengan sistem percukaian sedia ada dan sebagai alternatif, IMF turut mencadangkan agar dikaji sistem percukaian alternatif yang memfokuskan kepada golongan berpendapatan tinggi.

Jika diteliti punca sebenar krisis kewangan negara Greece yang membawa kepada bankrupsi, adalah kerana kegagalan kerajaan memperoleh pendapatan yang cukup dari sumber cukai.

Kadar kutipan cukai menurun disebabkan dasar dan amalan melepaskan golongan kaya dari dikenakan cukai, sehingga akibatnya mengganggu perbelanjaan kerajaan.

Dasar dan amalan melepaskan golongan kaya ini dipercayai bermula ketika pihak tentera mengembalikan kuasa kepada rakyat selepas merampas kuasa antara 1967 hingga 1974.

Dipercayai dasar dan amalan itu dilaksanakan sebagai salah satu syarat dari pihak perampas kuasa untuk mengembalikan kuasa kepada rakyat.

Berkaitan dengan perkara ini, banyak rencana antarabangsa yang mendedahkan bahawa golongan kaya di Greece melepaskan diri dari membayar cukai.

Ada benarnya jika ia diambil kira untuk merawat krisis ekonomi negara kerana kesilapan perancangan ekonomi hanya akan menyebabkan negara menerima nasib sama seperti Greece.

IMF juga telah mencadangkan kepada New Zealand untuk memperkenalkan cukai keuntungan modal (CGT) dalam melindungi ekonomi mereka. Cukai ini dikenakan terhadap aset semasa seperti penjualan saham, bon, barangan berharga dan juga hartanah.

Malaysia pernah memperkenalkan CGT ini ke atas hartanah, tetapi telah memansuhkannya pada April 2007, walau bagaimanapun, cukai keuntungan hartanah (RGPT) pula diperkenalkan pada tahun 2010, namun ia tidak menjadi sumber perolehan utama kerajaan dalam menjana pendapatan.

Cukai CGT sebenarnya lebih menepati konsep Islam yang mengenakan cukai hanya kepada golongan berada.

Contoh yang paling mudah ialah zakat. Ia hanya dibayar apabila seseorang memiliki sejumlah amaun tertentu dalam tempoh tertentu.

Hari ini simpanan tetap syarikat dan korporat tidak dikenakan apa-apa cukai oleh pihak kerajaan dan dari satu sudut pandang yang lain, wang ini adalah milik golongan-golongan kaya yang bersifat lebihan.

Manakala dari segi konsep pengaliran matawang (velocity of money), ia perlu dialirkan ke bawah khususnya kepada golongan miskin untuk meningkatkan kuasa beli mereka seterusnya membantu pertumbuhan ekonomi negara dari segi meningkatkan kuasa permintaan.

Malangnya, simpanan-simpanan tersebut lazimnya hanya dilaburkan di syarikat-syarikat yang dimiliki oleh golongan-golongan terkaya. Cara pengurusan kewangan seperti ini adalah bercanggah dengan prinsip ekonomi Islam.

Cukai Pegangan Saham

Berkaitan dengan cadangan cukai pegangan saham pula, saham yang diperdagangkan di Bursa Saham Malaysia dianggarkan (secara konservatif) sebanyak RM350 bilion setiap tahun sementara jumlah nilai pegangan saham di Bursa Saham ialah sekitar RM 1.66 Trillion (rujukan: Maybank Share Online).

Sehingga kini, pegangan saham dan keuntungan bagi pedagang-pedagang saham tidak dikenakan apa-apa cukai oleh pihak kerajaan sekalipun mereka mengaut keuntungan berjuta-juta ringgit bahkan mungkin mencecah berpuluh-puluh juta ringgit setahun.

Kebiasaannya, mereka yang terlibat dengan perdagangan ini adalah golongan-golongan kaya, bukan dari kalangan masyarakat desa dan golongan miskin.

Jadi, adalah sangat wajar cukai baru dikenakan ke atas perdagangan saham (Share Trading) di Bursa Saham Malaysia sebagaimana kaedah berikut:

i) Jika saham itu dipegang selama genap setahun, maka ia dikenakan cukai sebanyak 2.5% berasaskan jumlah paling rendah dalam tempoh setahun.

ii) Jika saham itu diniagakan secara jangka pendek, maka ia kenakan terus sebanyak 2.5% ke atas keuntungan bersih selepas transaksi (on the spot).

Dengan andaian jumlah terendah yang layak dicukai oleh mekanisma percukaian ini berjumlah RM1.5 trillion, dan dengan kadar cukai 2.5%, pendapatan negara akan bertambah sehingga RM 37.5 bilion setahun.

Adakah Pendapatan Yang Diperoleh Daripada Pelaburan Dikenakan Cukai?

Perkataan “pelaburan” dan “jual beli” itu merupakan dua kaedah untuk menjana keuntungan. Malaysia tidak mengenakan cukai ke atas keuntungan modal (Capital Gains Tax) kecuali cukai atas keuntungan pelupusan harta tanah dan pelupusan saham dalam Syarikat Harta Tanah di bawah CKHT.

Oleh itu, sama ada satu pelaburan itu dikenakan cukai pendapatan atau tidak, adalah satu penentuan fakta:
  • Sekiranya pelabur hanya membuat pelaburan secara pasif contohnya membeli saham dan memegang saham tersebut semata-mata bagi mendapatkan pulangan dividen, maka dalam keadaan ini keuntungan hasil daripada jualan saham tidak dikenakan cukai pendapatan.
  • Sebaliknya, sekiranya, pelabur menjalankan aktiviti jual beli saham secara aktif dan terancang maka dalam keadaan sebegini pelabur dianggap menjalankan perniagaan jual beli saham (trading of shares) dan keuntungan atas jualan saham ini adalah dikenakan cukai pendapatan sebagai keuntungan dari perniagaan.
  • Dengan lain perkataan, sekiranya pelaburan tersebut menjana keuntungan yang berulang-ulang disebabkan wujudnya ciri-ciri perdagangan (badges of trade) maka keuntungan hasil daripada aktiviti jual beli saham adalah tertakluk kepada cukai pendapatan.
Kesimpulannya, sekiranya suatu pelaburan yang dibuat itu merupakan aktiviti perdagangan atau komersil yang menjana keuntungan seperti pelaburan dalam saham, pelaburan daripada penjualan harta tanah, pelaburan emas dan sebagainya maka keuntungan daripada jual beli pelaburan ini adalah merupakan pendapatan perniagaan yang dikenakan cukai pendapatan.

Sekiranya, semasa aktiviti jual beli pelaburan ini mengalami kerugian, maka pelabur hanya perlu melaporkan kerugian dalam Borang Nyata Cukai Pendapatan bagi suatu tahun taksiran itu dan jumlah kerugian tersebut boleh dibawa ke tahun taksiran berikutnya sebagai tolakan.

Pelabur tidak boleh menyatakan alasan kerugian sebagai alasan untuk tidak melaporkan pendapatan mereka yang diterima hasil dari aktiviti pelaburan.

NEGARA MAJU

Cukai CGT digunakan oleh negara maju seperti Amerika Syarikat, United Kingdom dan negara Eropah yang lain namun, Malaysia belum lagi berstatus negara maju.

Bagi mencapai status itu, Malaysia memerlukan pelaburan domestik dan luar untuk meningkatkan pendapatan negara serta membuka lebih peluang pekerjaan untuk mencapai status negara maju.

Keburukan cukai CGT adalah, kemungkinan para pelabur yang ingin menanam modal di negara ini akan membatalkan hasrat itu jika membuat analisis terhadap sistem percukaian negara (sekiranya menggunakan sistem CGT) kerana keuntungan yang ingin dimiliki pelabur berkenaan akan dikenakan CGT.

Secara ringkas, cukai CGT ini tetap wajar dipertimbangkan dalam menyelesaikan masalah kejatuhan ekonomi, dalam masa yang sama untuk tidak menjejaskan rakyat teramai.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: malaysia-today | majalahlabur

Seorang blogger yang suka berkongsi ilmu untuk individu yang suka membaca.

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon