Jumaat, September 28, 2018

Penyakit Tangan, Kaki Dan Mulut (HFMD) Pembunuh Bersiri Kanak-kanak


Penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD) mungkin kedengaran biasa, malah ada ketika dilupakan masyarakat. Wabak HFMD pernah berlaku kali pertama di negeri Sarawak pada 1997 melibatkan sebanyak 2,628 kes dengan 31 kematian (29 kes disahkan meninggal kerana Enterovirus 71 (EV71)).

Penyakit Tangan, Kaki Dan Mulut (HFMD) Pembunuh Bersiri Kanak-kanak

Wabak kedua menyerang kembali pada 2006 dengan 80 peratus kes melibatkan kanak-kanak berumur di bawah tujuh tahun dengan seramai 12 orang pesakit meninggal dunia berusia lapan bulan hingga lima tahun.

Walaupun kes kematian berkenaan seolah-olah dilihat tidak terlalu merisaukan memandangkan ia dikatakan ‘disyaki’ akibat HFMD, hakikatnya masyarakat perlu lebih waspada dan meningkatkan kefahaman tentang penyakit berkenaan.

Bukan sekadar memborong tisu basah antibakteria di farmasi semata-mata atau tidak membenarkan anak-anak dicium atau disentuh orang, kefahaman dan kesedaran tentang bagaimana penyakit berkenaan boleh merebak juga amat penting ketika ini.

Peningkatan sebanyak 28 peratus melibatkan kes HFMD iaitu sebanyak 27,296 kes berbanding hanya 21,303 kes pada tempoh yang sama tahun 2017 seperti yang dilaporkan Kementerian Kesihatan, seharusnya menjadi ‘tanda aras’ buat ibu bapa untuk lebih berhati-hati dalam menjaga kesihatan anak-anak.

Menurut Pakar Kesihatan Masyarakat, penyakit HFMD disebabkan oleh virus dari keluarga entrovirus yang sangat cepat menular dan senang berjangkit kepada manusia sekeliling, yang mana kadarnya boleh berlaku 100 peratus dikalangan kanak-kanak pada masa singkat.

Tempoh inkubasi iaitu dari masa virus dipindahkan kepada pesakit hingga munculnya gejala adalah tiga hingga tujuh hari.

Apa yang lebih menakutkan, tiada ubat atau vaksin yang boleh mencegah jangkitan penyakit berkenaan.

Virus HFMD

Penyebab kes di negara ini adalah daripada EV71 dan virus Coxsackie (CA16) dan ia boleh menjangkiti sesiapa sahaja tidak kira paras imun sistem.

Namun, jika pesakit yang dijangkiti mempunyai masalah kesihatan yang lain seperti asma dan ekzema, ia akan memburukkan lagi simptom dan komplikasi jangkitan.

Apa yang paling dibimbangkan adalah komplikasi EV71 terutama kanak-kanak di bawah empat tahun iaitu radang selaput otak, radang selaput jantung, dehidrasi dan paru–paru berair, yang semua ini boleh menyebabkan kematian.

Pun begitu, mengikut prognosis, hampir kesemua kes yang tiada komplikasi akan sembuh sendiri selepas tujuh hingga 10 hari.

Enterovirus hidup di dalam saluran gastrousus manusia (sistem penghadaman), maka ia mudah merebak dari individu ke individu lain dengan kaedah sentuhan secara langsung.

Dalam kelompok kanak-kanak yang ditempatkan bersama, ia merebak melalui tangan yang tidak dicuci bersih selepas menukar lampin atau tersentuh air liur yang boleh menyebabkan virus berpindah.

Enterovirus adalah virus yang tidak mempunyai selaput dan ia boleh bertahan dengan tekanan alam sekitar seperti suhu tinggi dan kekeringan, malah boleh hidup di permukaan persekitaran sehingga dua minggu.

Langkah Pencegahan

Justeru, pencegahan melibatkan penjagaan kebersihan adalah paling utama iaitu seluruh ahli keluarga, penjaga taman asuhan kanak-kanak (taska) dan pengasuh.

Mereka perlu mengamalkan mencuci tangan secara konsisten menggunakan air bersih dan sabun terutama selepas menyentuh sebarang kesan lepuh pada kulit, sebelum menyediakan makanan, selepas keluar tandas, selepas menukar lampin dan mencuci najis.

Memandangkan HFMD tiada rawatan yang khusus, semburan yang mengandungi klorin amat digalakkan dengan nisbah yang betul.

Semburan dibuat pada permukaan atau alat permainan yang tercemar dan bukannya disembur pada kulit.

Dalam keadaan kritikal ketika ini, teguran harus dibuat pada pengiklan, yang tidak sepatutnya mengambil kesempatan mempromosikan produk masing-masing dengan mengatakan mampu menghindari virus HFMD dan menggunakan tagline ‘mampu membunuh 99 peratus kuman’, yang hakikatnya tidak tepat.

Buat ibu bapa pula, tidak salah rasanya menjadi ibu bapa yang sedikit paranoid dengan cuba mengelakkan membawa anak-anak ke tempat tumpuan seperti pusat beli-belah, taman permainan, taman tema serta tempat terlalu ramai orang bagi mengelakkan jangkitan HFMD terutama jika anak-anak pernah menghidap penyakit berkenaan.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: utusan

Seorang blogger yang suka berkongsi ilmu untuk individu yang suka membaca.

1 comments so far

Wajib jaga kesihatan ..terbaik infor

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon