Khamis, Ogos 16, 2018

Jenis-jenis Dan Sejarah Kad Pengenalan Di Malaysia


Seseorang warga negara perlu mempunyai kad pengenalan untuk mengesahkan kewarganegaraan mereka, tak kiralah dari mana asal usulnya, kerana setiap negara mesti mempunyai kad pengenalan ataupun lebih dikenali sebagai identification card (IC).

Jenis-kad-pengenalan

Bagi warganegara Malaysia, kad pengenalan yang dikenali sebagai MyKad adalah salah satu pengesahan kita sebagai rakyat Malaysia. Setiap warganegara Malaysia wajib mempunyai kad ini dan perlu dibawa kemana sahaja untuk pengesahan.

Namun, untuk makluman anda, terdapat beberapa kad pengenalan lain yang dikeluarkan oleh Jabatan Pendaftaran Negara untuk rakyat dan permastautin di negara ini.

Bagi warganegara yang normal ataupun biasa, kita mempunyai kad pengenalan yang berwarna biru (MyKad). Bagi permastautin tetap ianya berwarna merah (MyPR) dan bagi permastautin sementara ianya berwarna hijau (MyKAS).

Asal-usul Kad Pengenalan

Sistem kad pengenalan di Malaysia mula diguna pakai dahulu bagi bertujuan menjaga keselamatan negara daripada ancaman komunis.

Mungkin ramai yang tidak tahu kewujudan penggunaan kad pengenalan berjaya menghapuskan kesukaran mengenal pasti kumpulan komunis yang mengganas pada Zaman Darurat.

Diwajibkan dari umur 12 tahun

Sistem berkenaan diwajibkan kepada rakyat Malaysia berumur 12 tahun ke atas dan ia berjaya menangani pergerakan komunis kerana kebebasan bergerak hanya terhad kepada pemegang kad pengenalan pada waktu itu.

Teknologi dan penggunaan kad pengenalan semakin berubah mengikut zaman. Jika dulu kad pengenalan hanyalah sekeping kertas biasa yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa, kini dalam era teknologi, kad pengenalan di Malaysia mempunyai pelbagai fungsi dan aplikasi selain mempunyai teknologi dari segi keselamatan serta kepenggunaan yang terkini.

Inovasi kad

IC Tun Mahathir

Kad pengenalan Malaysia sudah melalui pelbagai perubahan reka bentuk untuk memenuhi ciri keselamatan selari dengan peredaran zaman. Era 1980-an, Kad pengenalan Malaysia muncul sebagai dokumen yang sofistikated dan dilindungi ciri-ciri keselamatan yang canggih.

Memiliki kad pengenalan adalah penting dalam urusan seharian individu dalam menjamin kesahihan pemegangnya untuk mengelak sebarang pemalsuan dan penyalahgunaan.

MyKad

Aplikasi utama - Sebagai pengenalan diri. MyKad menyimpan maklumat seperti berikut:
  • Nama
  • Alamat
  • Bangsa
  • Status kerakyatan
  • Agama
  • Minutiae cap jari

1948 - Kad pengenalan kertas diperkenalkan oleh Kerajaan British untuk melindungi negara daripada ancaman komunis dan dilaksanakan di seluruh tanah Semenanjung dari 1948 hingga 1960.

Ciri-ciri: Tujuan untuk keselamatan, tidak bersalut, gambar hitam putih, cap ibu jari kanan saja, maklumat asal penduduk, tiada taraf kewarganegaraan.

1960 - Evolusi kad pengenalan semakin baik ketika itu, dengan diperkenalkan kad pengenalan plastik. Ia diperkenalkan untuk menambah baik sistem pengeluaran kad pengenalan dilaksanakan di Semenanjung pada 1 Ogos 1960 sebelum diperluaskan ke Sarawak pada 30 Mac 1966 dan ke sabah pada 1 Jun 1972.

Ciri-ciri: Keselamatan yang baik, bersalut dan diproses secara teragih, empat warna bagi menentukan taraf warganegara, maklumat terperinci, gambar hitam putih, cap ibu jari kiri dan kanan.

1990 - Tahun ini menyaksikan kad pengenalan Malaysia melalui proses penambahbaikan kerana penggunaan kad pengenalan plastik sebelum ini mendapat beberapa kelemahan dari segi kualiti walaupun sehingga kini ramai kalangan penduduk Malaysia menganggap kad pengenalan plastik lebih sesuai digunakan.

Namun langkah kerajaan memperkenalkan kad pengenalan berkualiti tinggi pada tahun 1990 menunjukkan kerajaan inginkan teknologi terkini untuk penduduk. Ia juga sebagai permulaan era pengkomputeran data Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) menggunakan sistem separuh automatik.

Pengenalan sistem 12 angka nombor unik juga diwujudkan kepada setiap individu. Ini menyaksikan setiap individu di Malaysia mempunyai sistem nombor unik yang berbeza dikenali sebagai nombor kad pengenalan.

Ciri-ciri: Keselamatan yang tinggi, gambar hitam putih (1990) dan gambar warna (1999), cap ibu jari kiri dan kanan, maklumat terperinci dan bersalut.

1999 - Kad pengenalan bermutu tinggi diwujudkan dengan penambahbaikan kepada gambar foto berwarna.

ERA 2000 - Dikenali sebagai MyKad, diperkenalkan untuk memenuhi keperluan keunikan kad pintar ini, kerajaan mengambil inisiatif untuk mengenali, mencipta dan membangunkan prasarana bagi menghasilkan Kad Pintar Pelbagai Guna Kerajaan.

Projek ini bermula pada tahun 1996 sebaik saja Perdana Menteri ketika itu, Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad (kini Tun) mengilhamkan wawasan Kad Pintar Pelbagai Guna ini.

KAD PINTAR

Sejarah Dan Jenis-jenis Kad Pengenalan Di Malaysia

Kad Pintar Pelbagai Guna Kerajaan yang pertama di dunia telah dilancarkan pada 5 September 2001 oleh Timbalan Perdana Menteri ketika itu, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi (kini Tun).

Pelancaran rasmi itu sebagai satu pencapaian besar kepada inisiatif MSC negara kerana ia adalah aplikasi perdana koridor raya yang pertama dilancarkan secara rasmi.

JPN juga telah mengeluarkan MyKad baharu yang mempunyai reka bentuk dan ciri-ciri keselamatan terkini.

Antara ciri terpenting MyKad ini ialah ia diperbuat daripada bahan polikarbonat dan menggunakan cip baru yang lebih berdaya tahan, selain mempunyai "ghost image" yang menggunakan teknologi turisan laser pada permukaan kad, dilengkapi perlindungan anti salin bagi mengelak pemalsuan.

Pengeluaran MyKad ini juga mengikuti piawaian antarabangsa, tidak mudah rosak dan ia dapat mengatasi masalah berkaitan kualiti dan ketahanan MyKad termasuk kualiti cip.

MyKad juga mempunyai ciri-ciri keselamatan tinggi untuk mengekang aktiviti pemalsuan.

MyKad memasukkan minutiae cap jari anda ke dalam cip dan ini membolehkan pengesahan cap jari dilakukan secara tepat dan terperinci dengan menggunakan alat pembaca MyKad.

MyKad sebagai Prasarana Kekunci Awam

Aplikasi Prasarana Kekunci Awam (PKI) memuatkan Sijil Digital dan Kekunci Persendirian di dalam MyKad.

Sijil Digital ini membolehkan empat transaksi dilakukan secara elektronik seperti:
  • Pengesahan - orang lain tidak boleh menyamar sebagai anda.
  • Pembuktian - tandatangan digital sebagai bukti sah transaksi.
  • Sulit - Maklumat sulit boleh dienkrip sebagai sulit.
  • Integriti - tiada pihak ketiga boleh mengubah sebarang maklumat.
  • MyKad sebagai dokumen sah lesen memandu.
  • MyKad sebagai Dokumen Kesihatan.

Maklumat asas kesihatan seperti jenis darah, alahan, organ implan, penyakit kronik dan maklumat waris atau ahli keluarga terdekat boleh dimasukkan ke dalam cip MyKad.

MyKad sebagai Kad Frequent Travellers Car

MyKad boleh digunakan sebagai Frequent Travellers Card (FTC) bagi kemudahan perjalanan keluar masuk ke sesebuah negara tertentu secara berulang-alik dengan menggunakan MyKad sebagai dokumen perjalanan dan pasport masih perlu dibawa.

Buat masa ini kemudahan ini hanya dilaksanakan secara perintis antara Brunei dan Malaysia khusus untuk pemegang MyKad di Sarawak.

MyKad sebagai eTunai

MyKad sebagai e-Tunai Aplikasi dompet elektronik di dalam MyKad. Urusniaga MEPS Cash membolehkan anda membuat bayaran tanpa tunai untuk jumlah tidak melebihi RM2,000.

Kelebihan bagi pengguna:-
  • Menggantikan wang kertas dan syiling.
  • Bayaran tepat untuk nilai belian.
  • Tidak perlu tunggu baki wang.
  • Lebih mudah dan cepat.
  • Tidak perlu PIN - Diterima di premis perniagaan dan juga pembayaran di internet.
  • Premis perniagaan yang menerima bayaran MEPS Cash dapat mengurangkan risiko pengurusan tunai (rompakan, kecurian) kerana ia dikreditkan terus ke akaun bank.
  • MyKad sebagai Kad Transit (Touch & Go).
  • MyKad sebagai Kad ATM.

Melalui kemudahan ini MyKad boleh berfungsi sebagai kad ATM bank yang boleh menjalankan urus niaga perbankan seperti pengeluaran wang, pertanyaan baki, pemindahan wang, penukaran nombor PIN dan lain-lain urus niaga atau kemudahan seperti mana diperoleh melalui ATM BANKCARD.

Jenis kad pengenalan lain selain MyKad di Malaysia

1. MyKid

Sejarah Dan Jenis-jenis Kad Pengenalan Di Malaysia

Kad pengenalan atau pengenalan diri kanak-kanak bercip yang dikeluarkan kepada kanak-kanak berumur di bawah 12 tahun. Ciri MyKid adalah sama seperti MyKad cuma ia tidak mempunyai gambar dan cap jari.

My membawa maksud Malaysia manakala Kid pula adalah singkatan kepada Kad Identiti Diri. Nombor pengenalan diri yang ada pada MyKid ini akan digunakan di dalam semua urusan dari lahir hingga ke akhir hayat.

Mykid mengandungi tiga aplikasi utama yang terkandung di dalam cip iaitu Aplikasi JPN (data kelahiran); Maklumat kesihatan serta pendidikan.

2. MyPR

Sejarah Dan Jenis-jenis Kad Pengenalan Di Malaysia
Gambar hiasan.

Semua penduduk Malaysia yang bertaraf Pemastautin Tetap dikehendaki menukar kad pengenalan mereka kepada MyPR mulai 1 Jun 2006.

Ciri-ciri MyPR adalah identifikasi Pemastatutin tetap dengan lebih jelas; berlatarbelakangkan warna merah; memaparkan maklumat kerakyatan asal selain memaparkan nombor permit masuk bagi yang berkaitan.

3. MyKAS

Sejarah Dan Jenis-jenis Kad Pengenalan Di Malaysia

Kad Pengenalan Pemastautin Sementara atau MyKas dikeluarkan di bawah Peraturan 5(3)(C) Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990.

Ciri-cirinya adalah Identifikasi Kad Pengenalan Sementara dipapar di sudut atas; terdapat tarikh luput dan perlu diperbaharui dalam tempoh lima tahun dan berwarna hijau.

MyKAS diberikan kepada seseorang yang memasuki Malaysia secara sah dan dibenarkan menetap di Malaysia melalui pas imigresen atau permit sah bagi tempoh 12 bulan dan ke atas.

MyKAS turut diberi kepada seseorang yang dilahirkan di Malaysia tetapi taraf kewarganegaraannya tidak dapat ditentukan atau 'stateless'.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: bharian

Seorang blogger yang suka berkongsi ilmu untuk individu yang suka membaca.

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon