Khamis, Mei 17, 2018

Terima Kasih Tun Mahathir Kerana Mencipta Malaysia Baru


Percaya atau tidak, kita sebenarnya sudah merdeka dari cengkaman parti politik Umno dan BN setelah 61 tahun mereka memerintah dan berkuasa, mitos bahawa bangsa Melayu akan hancur tanpa Umno hanya kekal mitos. Macam mimpi.

Terima kasih Tun Mahathir

Begitu juga mitos bahawa negara akan huru-hara. Perang antara kaum akan berlaku. Panik di kalangan dunia korporat dan paling saspen, orang Islam akan kehilangan kuasa.

Mitos zaman Sriwijaya untuk menakut-nakutkan bangsa Melayu ini hanya kekal mitos.

Ada yang bertanya, bagaimana kita melakukannya?

Tidak sukar untuk menjawab soalan ini. Berkat revolusi teknologi dan media sosial, projek pembodohan tidak lagi berjalan dengan lancar dalam masa 10 tahun terkebelakang.

Ini bermakna rakyat semakin terdedah dengan informasi dan ini menjadikan mereka, iaitu kita semua semakin celik dengan situasi semasa.

Festival ‘jadong’

Kontradik dengan revolusi Twitter, Facebook dan Instagram ini, kerajaan Umno-BN yang berkuasa terlalu lama gagal menyerap semangat zaman ini dan bertindak sebaliknya dengan semakin terkebelakang.

Inilah yang berlaku sejak PRU ke-13 yang lalu.

Ketika rakyat semakin cerdik dan pandai, jemaah menteri dan kabinet kerajaan Umno-BN menjadi semakin ‘jadong’, iaitu jahat, bodoh dan sombong, sebuah istilah yang diperkenalkan oleh Syed Hussain Alatas pertama kali di dalam Cita Sempurna Warisan Sejarah (2000).

Kemuncak kepada festival ‘jadong’ oleh jemaah menteri dan kabinet kerajaan Umno-BN ini adalah apabila Dewan Rakyat menolak usul untuk membahaskan laporan Unicef ​​yang mendedahkan kemiskinan dan kekurangan zat makanan di kalangan kanak-kanak yang tinggal di flat kos rendah di Kuala Lumpur pada 8 Mac 2018.

Usul itu, yang difailkan oleh anggota parlimen Charles Santiago (DAP-Klang), ditolak kerana tidak ada keperluan mendesak terhadap perkara itu dan bukannya melibatkan kepentingan awam.

Laporan Unicef, berjudul, "Kanak-Kanak Pinggiran: kaji selidik mengenai kemiskinan dan penafian hak kanak-kanak bandar di rumah pangsa di Kuala Lumpur" yang diterbitkan pada 26 Februari 2018 menunjukkan kanak-kanak yang tinggal di flat kos rendah kekurangan dari segi pemakanan, pendidikan, keselamatan dan keadaan hidup yang lain termasuk satu daripada lima kanak-kanak membesar pada kadar lebih perlahan berbanding (kanak-kanak) Thailand, manakala lapan dalam 10 keluarga tidak mempunyai simpanan walaupun RM1.

Kuasa rakyat

Syed Hussain Alatas ketika menerangkan mengenai perkataan ‘jadong’ menulis; “Yang dimaksudkan dengan’ bodoh’ di sini bukanlah sifat tolol, tidak tahu menggunakan daya fikir atau tipu muslihat.

"Yang dimaksudkan dengan bodoh itu adalah tidak bijak mencapai matlamat jangka panjang sebagai punca pencapaian, tidak tahu mengendalikan perasaan dan tidak menolak bahkan menerima pengaruh cita bencana.”

Sambung Syed Hussain Alatas, “Pada umumnya merekalah yang membawa keruntuhan masyarakat.

"Ketika mereka berkuasa, terutama sekali pada awalnya, tidak nampak sifat-sifat jadong tadi tetapi setelah beberapa lama, adakalanya 20 atau 30 tahun, mereka disingkir dan dibenci oleh kebanyakan rakyat.

"Adakalanya ini terjadi setelah mereka meninggal jika kekuasaannya sangat kuat sebagaimana Stalin.”

“Mereka ini bodoh kerana tidak dapat menarik hati rakyat dan melaksanakan keadilan.

"Mereka ini bodoh kerana tidak dapat mengakhiri zaman kekuasaannya dengan disanjung oleh rakyat."

Inilah yang berlaku kepada kerajaan ‘jadong’ Umno-BN pimpinan Najib Razak pada 9 Mei yang lalu.

Rakyat membuktikan, kuasa mereka lebih besar dari kuasa pemimpin yang jahat, bodoh dan sombong.

Dengan itu berakhirlah sebuah era di mana jemaah menteri dan kabinet berkelakuan kelakar seperti badut dan menjawab soalan rakyat dengan jawapan tak masuk akal seperti yang rakyat hadapi sejak 5 tahun yang lalu.

Hutang budi

Di sebalik ini semua berlaku, Tun Dr Mahathir terbit sebagai hero dan kembali disanjung masyarakat.

Bagaimanapun, saya pasti ramai dari teman yang berasa skeptik dengan Tun Dr Mahathir sebagai perdana menteri yang ketujuh.

Menarik untuk diperhatikan adalah bagaimana seorang negarawan seperti Dr Mahathir menukar parti seperti menukar baju.

Ini sekali gus membuktikan, politik baharu yang kita tempuhi hari ini adalah politik isi, bukannya politik kulit atau politik kepartian.

Isi atau visi datang dahulu, kulit atau parti datang kemudian.

Ini sebenarnya lebih sukar kerana akhirnya pada 9 Mei, kita sebagai rakyat telah membuktikan bahawa kita semua mampu untuk membuat perubahan dengan menghumban ahli politik jadong jatuh ke bawah.

Ini bermakna mencipta kemenangan itu bukan satu kemustahilan.

Tetapi mengisi kemenangan itu adalah satu lagi cabaran baru untuk anak muda.

Mengikut statistik, pengundi Pakatan Harapan berjumlah 5,798,099 (47.99 peratus), dengan BN 4,081,038 (33.78 peratus) diikuti PAS 2,041,105 (16.89 peratus) dan Bebas 123,558 (1.34 peratus).

Bagaimanapun, Dr Mahathir sendiri hanyalah bentuk yang membenarkan kemenangan ini.

Tetapi tidak dapat dinafikan kita memerlukan sosok ini untuk menyatukan semua parti, membentuk pakatan yang kuat di samping membina strategi dengan langkah panjang untuk melawan institusi mega seperti Umno-BN.

Apa yang pasti, punca kemenangan ini pasti bukan Dr Mahathir sahaja.

Ia adalah kita semua, iaitu 82.32 peratus pengundi berdaftar yang turun mengundi.

Kita tidak berhutang budi dengan Dr Mahathir, kerana akhirnya kemenangan ini perlu diisi bukan hanya dengan janji 100 hari tetapi untuk lima tahun seterusnya.

Kita semua terhutang budi di antara satu sama lain, atau dalam kata lain sebenarnya Pakatan Harapanlah yang terhutang budi dengan rakyat hari ini.

Bezanya kali ini, Dr Mahathir bersama-sama dengan rakyat untuk melawan rejim jahat yang jadong.

Dan sudah pasti ombak perubahan ini bukan hadir kerana Dr Mahathir semata-mata.

Ia dibina lebih lama sejak 1998, disambung pada 2008 dan akhirnya inilah yang berlaku.

Kemenangan 9 Mei yang lalu adalah hasil ombak perubahan yang dibina sejak 20 tahun yang lalu.

Ada apa dengan Mahathir?

Ramai teman yang bertanya. Apa sudah jadi dengan saya, yang selama ini keras mengkritik Dr Mahathir, yang hari ini sudah pun menjadi perdana menteri Malaysia yang ke-tujuh.

Saya sendiri tidak punya jawapan tuntas.

Yang saya tahu, ketika saya sendiri masih was-was dengan Dr Mahathir, sosok ini jugalah yang mencipta senyuman di malam hari, ketika kita semua baring di atas katil sebelum tidur mengingatkan bahawa Malaysia yang kita punya hari ini adalah Malaysia baharu.

Dan ini semua dilakukan tanpa pertumpahan darah. Islam masih agama rasmi negara dan institusi raja masih dipelihara secara bersama.

Jika senyum tiap malam itu, atau udara segar yang kita hirup tiap bangun pagi di negara baharu ini adalah sejenis dosa untuk diletakkan di atas bahu saya kerana mengangkat Dr Mahathir sebagai perdana menteri baharu, saya sedia untuk diberdosakan.

Kerana di akhirnya yang saya mahukan hanyalah sebuah negara yang merdeka (dari cengkaman kekuasaan jadong) untuk anak-anak kita.

Serta rakyat yang tahu fungsi mereka sebagai pengawal-imbang kekuasaan politik negara ini.

Hari ini, rakyat sudah belajar untuk mengundi ahli politik dan wakil rakyat mereka bukan berdasarkan parti atau bangsa lagi.

Saya melihat dengan mata kepala saya sendiri bagaimana anak bangsa kita, tanpa mengira bangsa menangis kegembiraan menyambut kemenangan ini.

Kita harus segera belajar untuk mengisi kemenangan ini dengan idea baru mengenai kesaksamaan dan keadilan untuk semua.

Untuk anak kecil. Untuk orang miskin. Untuk ibu bapa kita.

Serta untuk masa depan negara yang lebih inklusif untuk semua termasuk warga imigran dan pelarian perang.

Jadi, jika ditanya ada apa dengan Mahathir?

Saya akan jawab – “Ada Harapan."

Mungkin kerana hari ini, itulah satu-satunya yang kita punya, iaitu bangsa Malaysia yang lebih baik untuk masa depan.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: malaysiakini

Seorang blogger yang suka berkongsi ilmu untuk individu yang suka membaca.

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon