Wednesday, April 18, 2018

Misteri Kehilangan Jenazah Saddam Hussein

Loading...

Di kampung kelahirannya, Al-Awjah, makam diktator Iraq, Saddam Hussein hanya tinggal serpihan konkrit bersama belitan kawat berduri, tiada tanda jenazahnya berada di sana. Pemimpin itu dihukum gantung subuh hari pada 30 Disember 2006 selepas memerintah secara kuku besi selama suku abad.

Misteri Kehilangan Jenazah Saddam Hussein

Peristiwa memalukan puak Sunnah itu yang mana Saddam turut tergolong, disambut penuh gembira oleh penduduk majoriti Syiah di Iraq.

Presiden Amerika Syarikat (AS) ketika itu, George W. Bush meluluskan supaya jenazah diktator berkenaan dipindahkan ke dalam sebuah helikopter tentera dan diterbangkan dari Baghdad ke bandar Tikrit, dekat Al-Awjah, utara Iraq.

Misteri dan kesangsian berhubung tempat persemadian sebenar lelaki yang namanya menimbulkan ketakutan di hati rakyat Iraq itu kekal sehingga sekarang, malah dilaporkan berita luar negara.

Adakah mayatnya masih di Al-Awjah atau telah dikeluarkan? Jika benar, ke mana jenazahnya dibawa pergi?

Ketua puak Albu Nasser yang juga suku Saddam, Sheikh Manaf Ali Al-Nida berpegang teguh kepada sepucuk surat yang ditanda tangani keluarganya, bersetuju supaya jenazah Saddam segera dikebumikan.

Saddam, 69, ditanam sebelum subuh di makam yang dipilih oleh beliau sendiri beberapa tahun sebelum itu.

Lokasi itu menerima kunjungan ramai penyokongnya dan kanak-kanak sekolah terutama tanggal 28 April, hari kelahirannya.

Hari ini, pelawat memerlukan kebenaran khas untuk melawat makam Saddam yang musnah, manakala Sheikh Manaf pula terpaksa meninggalkan kampung tersebut dan berlindung di wilayah Kurdistan, Iraq.

Sejak pendudukan AS di Iraq pada 2003, puak Albu Nasser ditindas kerana hubungannya dengan Saddam, kata Sheikh Manaf yang memakai jubah dan kufiya puaknya.

"Adakah adil bahawa kami perlu membayar harga tinggi ini dari generasi ke generasi hanya kerana kami berasal daripada keluarga yang sama?" katanya kepada Agensi berita AFP.

Di tapak perkuburan Saddam, kumpulan separa tentera Syiah, Hashed Al-Shaabi yang bertanggungjawab mengawal keselamatan setempat menyatakan bahawa makam itu musnah dalam serangan udara Iraq yang menyasarkan militan Daesh.

Sheikh Manaf tiada di tempat kejadian semasa serangan udara itu berlaku tetapi beliau yakin kubur Saddam telah digali dan diletupkan.

“Itu tidak benar, mayatnya masih di kubur tersebut,” kata ketua keselamatan Hashed Al-Shaabi, Jaafar Al-Gharawi.

Salah seorang pejuangnya, bagaimanapun, mendakwa bahawa anak perempuan Saddam yang hidup dalam buangan, Hala, telah menggunakan sebuah pesawat peribadi untuk mengangkut jenazah bapanya ke Jordan.

“Tidak, tak mungkin perkara itu berlaku,” kata seorang profesor universiti yang melakukan kajian era pemerintahan Saddam tetapi enggan identitinya didedahkan.

“Hala tidak akan menjejakkan kakinya di bumi Iraq.

"Jenazah Saddam mungkin dibawa ke satu tempat rahsia. Tiada siapa tahu siapa yang memindahkan atau ke mana ia dibawa,” katanya kepada AFP.

“Sekiranya telahan saya benar, keluarga Saddam akan merahsiakan lokasi kuburnya,” tambah ilmuwan tersebut.

Namun, sebilangan lagi individu termasuk warga Baghdad, Abu Samer percaya bahawa Saddam masih hidup.

“Saddam tidak mati. Individu miripnya yang menjalani hukuman gantung tersebut,” kata lelaki itu.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA: Iraq Lebih Aman Bersama Saddam, CIA Sahkan Iraq Tiada Senjata Pemusnah!

sumber: kosmo

Seorang blogger yang suka berkongsi ilmu untuk individu yang suka membaca.

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon