Friday, March 30, 2018

Selepas Israfil Meniup Sangkakala


Selepas Malaikat Israfil meniup sangkakala (bentuknya seperti tanduk besar) yang memekakkan telinga, seluruh makhluk mati kecuali Izrail dan beberapa malaikat yang lain dan setelah itu barulah Izrail mencabut nyawa malaikat yang tinggal dan akhir nyawanya sendiri.

Selepas Israfil Meniup Sangkakala

Selepas 40 tahun, Malaikat Israfil dihidupkan semula, seterusnya meniup sangkakala untuk kali kedua.

Lantas seluruh makhluk dihidupkan semula di atas dataran putih yang rata dan terbentang luas.

Permukaannya langsung tidak berbukit dan dikenali sebagai padang Mahsyar.

Ketika itu semua makhluk dibangkitkan dalam keadaan telanjang dan hina. Tiada rasa malu kerana ketika itu mereka sangat takut dan bimbang tentang nasib masing-masing yang akan dihitung.

Ketika itulah datangnya api yang berterbangan dengan bunyi seperti guruh untuk menghalau semua makhluk ke tempat perhimpunan besar.

Bergeraklah mereka menggunakan tunggangan (bagi yang banyak amal), berjalan kaki (bagi yang kurang amalan) dan berjalan dengan muka (bagi yang banyak melakukan dosa).

Ketika itu, ibu akan melupakan anak, suami melupakan isteri. Setiap manusia akan sibuk memikirkan nasib masing-masing.

Setelah semua makhluk dikumpulkan, matahari dan bulan dihapuskan cahayanya, lalu mereka tinggal dalam kegelapan tanpa cahaya.

Berlakulah huru-hara dan tiba-tiba langit yang tebal pecah dengan bunyi yang cukup kuat dan dahsyat.

Ketika itulah turunnya malaikat sambil bertasih kepada Allah. Seluruh makhluk ketika itu terkejut apabila melihat saiz malaikat yang amat besar dan suara yang menakutkan.

Tidak lama kemudian, matahari pun munul semula dengan kepanasan yang berganda seolah-olah ia hanya berada sejengkal dari atas kepala mereka.

Ulama berkata, jika matahari naik dibumi seperti keadaannya naik di hari kiamat, nescaya seluruh bumi akan terbakar. Bukit-bukau hanur dan sungai akan menjadi kering.

Ketika itulah mereka merasai kepanasan yang teramat sehinggakan air peluh menjadi lautan. Timbul atau tenggelam mereka ketika itu hanya bergantung pada amalan masing-masing. Keadaan seperti itu akan berlanjutan sehingga 1,000 tahun.

Telaga Al-Kausar

Terdapat satu telaga kepunyaan Nabi Muhammad SAW bernama 'Al-Kausar' yang mana air di dalamnya hanya dapat diminum oleh orang mukmin sahaja.

Selain dari itu, mereka akan dihalau oleh malaikat yang menjaganya.

Jika diminum air dari telaga Al-Kausar, pasti tidak akan haus buat selama-lamanya.

Telaga itu berbentuk empat segi, sebesar satu bulan perjalanan. Bau airnya lebih harum daripada kasturi. Warnanya lebih putih dari susu, rasanya lebih sejuk dari embun dan airnya mengalir dari syurga.

Semua makhluk berada dibawah cahaya matahari terik kecuali tujuh golongan yang mendapat teduhan Arasy.

Mereka ialah pemimpin yang adil, orag muda yang taat kepada perintah Allah, lelaki yang terikat hatinya dengan masjid, dua orang yang bertemu kerana Allah dan berpisah kerana Allah, lelaki yang dijak oleh wanita berzina tetapi dia menolak dengan berkata "Aku takut kepada Allah, lelaki yang bersedekah dengan sembunyi (tidak diketahui orang ramai) dan lelaki yang suka bersendirian mengingati Allah lalu mengalir air matanya kerana takutkan Allah.

Oleh kerana terlalu lama menunggu di padang Mahsyar, manusia terdengar suara, "Pergilah berjumpa dengan para Nabi". Maka, mereka pun pergi mencari para nabi.

Nabi pertama mereka berjumpa adalah Nabi Adam tetapi usaha mereka gagal kerana Nabi Adam a.s. menyatakan beliau juga ada melakukan kesalahan kepada Allah.

Maka kumpulan itu kemudian berjumpa Nabi Nuh a.s., Nabi Ibrahim a.s., Nabi Musa a.s., Nabi Isa a.s. namun semuanya memberikan jawapan seperti Nabi Adam. Akhirnya mereka berjumpa dengan Rasulullah SAW.

Jarak masa antara satu nabi dengan nabi yang lain adalah 1,000 tahun perjalanan.

Lalu berdoalah baginda Nabi Muhammad SAW ke hadrat Allah SWT, lalu diperkenankan doa baginda.

Selepas itu, terdengar bunyi pukulan gendang yang kuat hingga menakutkan hati semua makhluk.

Arasy dan Kursi

Maka terbelah langit, turunlah Arasy Tuhan yang dipikul oleh lapan malaikat yang sangat besar (besarnya sejarak perjalanan 20 ribu tahun) sambil bertasbih dengan suara yang amat kuat sehingga Arasy itu tiba di bumi.

Arasy ialah jisim nurani yang amat besar berbentuk kubah (bumbung bulat) yag mempunyai empat batang tiang yang sentiasa dipikul oleh empat malaikat yang besar dan gagah.

Arasy seumpama istana yang menempatkan jutaan malaikat di dalamnya.

Arasy dilingkungi embun yang menghijabkan cahaya yang sangat terang. Kursi pula ialah jisim nurani yang terletak di hadapan Arasy yang dipikul oleh empat malaikat yang sangat besar.

Saiz Kursi lebih kecil dari Arasy, umpama cincin di tengah padang, seumpama singgahsana yang terletak dihadapan istana.

Seluruh makhluk pun menundukkan kepala kerana takut, lalu dimulakan timbangan amal.

Ketika itu berterbanganlah kitab amalan masing-masing turun dari bawah Arasy menuju ke leher pemiliknya tanpa salah dan silap, lalu tergantunglah ia sehingga mereka dipanggil untuk dihisab.

Seluruh manusia beratur dalam saf mengikut Nabi dan pemimpin masing-masing. Orang kafir dan munafik beratur bersama pemimpin mereka yang zalim dan setiap pengikut ada tanda mereka sendiri untuk dibezakan.

Umat yang pertama dihisab adalah umat Muhammad SAW dan amalan yang pertama ditanya adalah solat.

Apabila tiba giliran seseorang hendak dihisab amalannya, malaikat akan mencabut kitab mereka lalu diserahkan, pemiliknya mengambil dengan tangan kanan bagi orang mukmin dan dengan tangan kiri jika bukan mukmin.

Titian Siratul Mustaqim

Semua makhluk akan dihisab amalan mereka menggunakan satu neraca timbangan. Saiznya amat besar, mempunyai satu tiang yang mempunyai lidah dan dua daun.

Daun yang bercahaya untuk menimbang pahala manakala daun yang gelap untuk menimbang dosa.

Ketika dihisab, mulut manusia akan terkunci, tangan akan berkata-kata, kaki akan menjadi saksi. Tiada dolak-dalik dan hujah tipuan. Semua akan diadili dengan adil.

Setelah dihisab, manusia akan mula berjalan menuju ke syurga melintasi jambatan Siratul Mustaqim.

Jambatan ini terbentang dibawahnya neraka. Lebarnya adalah seperti sehelai rambut yang dibelah tujuh dan lebih tajam darpada mata pedang.

Bagi orang mukmin, jambatan Siratul Mustaqim akan dilebar dan dipermudahkan menyeberanginya.

Fudhail bin Iyadh berkata, perjalanan di titian Siratul Mustaqim adalah selama 15,000 tahun. 5,000 tahun menaik, 5,000 tahun mendatar dan 5,000 tahun menurun.

Saham Akhirat

Ada makhluk yang melintasinya seperti kilat, seperti angin, menunggang binatang korban dan berjalan kaki.

Ada yang tidak dapat melepasinya disebabkan api neraka sentiasa menarik kaki mereka, lalu mereka jatuh ke dalamnya.

Setiap 1,000 orang yang meniti sirat, hanya seorang sahaja yang berjaya melepasinya. 999 yang lain akan terjatuh ke dalam neraka.

Jadi, sekiranya kalian ingin mengumpul saham akhirat, sampaikanlah ilmu ini kepada sahabat dan rakan-rakan yang lain.

Sabda Rasulullah SAW, "Sampaikanlah pesananku walaupun satu ayat. Sesungguhnya apabila matinya seseorang anak Adam itu, hanya tiga perkara yang akan dibawanya bersama, sedekah, amal jariahnya, doa anak-anaknya yang soleh, ilmu bermanfaat yang disampaikan kepada orang lain."

Wallahu a'lam.

BACA INI JUGA: Misteri Penemuan Trompet Hari Kiamat!

-SENTIASAPANAS.COM

Add Comments

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon