Wednesday, February 14, 2018

Wanita Bertudung Bantu Bersihkan Gereja YogYakarta

Seorang wanita surirumah bernama Jirhas Ranie yang menetap di kawasan petempatan Nogotirto Trihanggo, Gamping, Sleman, YogYakarta, viral di internet apabila gambarnya bertudung sedang menyapu dan membersihkan sebuah gereja di YogYakarta.

Wanita Bertudung Bantu Bersihkan Gereja YogYakarta

Rumahnya terletak hanya kira-kira 300 meter dari Gereja St Lidwina, kemudian pada 11 Februari 2018 lalu, terjadilah serangan ke atas rumah ibadah Kristian berkenaan.

Seorang lelaki berparang, Suliyono, menyerbu masuk ke dewan ketika acara keagamaan berlangsung. Dia bertindak ganas dan sejumlah mangsa mengalami kecederaan.

Sehari kemudian Jirhas dan suaminya melintas di depan gereja berkenaan dalam perjalanan menghantar anak mereka ke sekolah.

Dalam perjalanan pulang mereka singgah untuk melihat sendiri keadaan di gereja itu. Kebetulan polis sudah membuka pita kuning yang menghalang orang memasuki bangunan berkenaan.

"Saya terfikir - eh, ini kan tetangga saya. Saya perlu lihat bagaimana keadaannya," kata Jirhas yang juga lepasan Universiti Islam itu kepada Tempo.

Takkan nak berhenti

Menurut Jirhas pada awalnya dia teragak-agak untuk ke gereja berkenaan kerana bimbang dianggap mengganggu. Tambahan pula keadaan penganut Kristian ketika itu sedang bersedih.

Namun, kata Jirhas niatnya ke situ hanya untuk menyampaikan rasa kesal, namun apabila tiba pegawai dan pengunjung gereja - yang masih belum ramai ketika itu - mempersilakan dia masuk.

Keadaan ketika itu, katanya, begitu sepi. Ada juga sekumpulan wartawan sedang membuat liputan.

Apabila masuk, Jirhas sangat terkejut kerana melihat kesan darah ada di merata-rata tempat termasuk di kerusi, lantai bahkan di bahagian belakang bangunan.

Kawasan tempat paderi memimpin upacara keagaaman gereja itu malah lebih berantakan. Beberapa patung yang ada juga dirosakkan.

"Seolah-olah baru dilanda gempa bumi," katanya.

Wanita berusia 29 itu kemudian ternampak sebatang penyapu lalu mengambilnya dan membersihkan kawasan berkenaan, manakala suaminya, Ahmad Muttaqin Alim, 37, membantu menyusun kerusi yang terbalik.

Ketika itulah dia tersedar ada individu yang mengambil gambarnya. Imej itu kemudian dimuat naik di media sosial dan menjadi tular.

"Jadi adakah hanya kerana gambar saya diambil maka saya mesti berhenti membantu membersihkan keadaan di situ?

"Bagi saya, apa yang penting ialah membantu," katanya.

Wanita Bertudung Bantu Bersihkan Gereja YogYakarta

Selepas berada di Gereja St Lidwina itu kira-kira satu setengah jam Jirhas dan Ahmad Muttaqin pun pulang.

Antara lain kata wanita itu, mereka berundur kerana semakin ramai penganut Kristian berdatangan untuk membantu kerja-kerja membersih.

Gereja berkenaan diserang pada pagi 10 Februari lalu dan dianggap mempunyai motif tertentu, termasuk cuba memecah-belahkan masyarakat.

Ketua Umum Pusat Ikatan Sarjana Katolik Indonesia (ISKA) Hargo Mandirahardjo bagaimanapun menasihati penganut Kristian agar bertenang dan tidak terpegaruh dengan provokasi sedemikian.

"Teruslah berbincang dan bersatu padu dengan penganut agama lain demi mempertahankan ikatan bangsa Indonesia," katanya.

Dianggarkan ada 10 orang yang menjadi mangsa libasan parang Suliyono dan kebanyakan mereka cedera di bahagian kepala.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA: Sejarah Feminisme, Tuntutan Hak Sama Rata Antara Lelaki Dan Wanita

sumber: mk

Seorang blogger yang suka berkongsi ilmu untuk individu yang suka membaca.

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon