Ahad, Disember 17, 2017

Tempat Menarik Lokasi Percutian Di Kinabatangan


Kinabatangan sangat terkenal di kalangan penduduk di Malaysia dan pelancong luar negara dengan sungainya terpanjang di negeri Sabah dan juga merupakan sungai kedua terpanjang di Malaysia.

Tempat Menarik Lokasi Percutian Di Kinabatangan

Kinabatanga adalah sebuah daerah kecil yang terletak dalam bahagian Sandakan dan mempunyai beberapa pekan kecil seperti Bukit Garam dan Sukau. Kinabatangan dikatakan telah wujud sekitar tahun 1881 dimana penduduknya pada masa itu mula membuat penempatan di sepanjang Sungai Kinabatangan.

Kebanyakan penduduk Kinabatangan terdiri daripada suku kaum Sungai dan jumlah keseluruhan bilangan penduduk di daerah Kinabatangan adalah kira-kira 100 ribu orang dengan keluasan kawasan kira-kira 800 ribu hektar.

Berikut adalah antara tempat-tempat menarik di sekitar daerah Kinabatangan yang menarik minat pelancong dalam dan luar negara untuk datang ke daerah ini.

HUTAN

Kitaran banjir yang berubah-ubah di daerah ini mempunyai pengaruh yang nyata terhadap tumbuh-tumbuhan di dataran banjir.

Taburan tumbuhan dipengaruhi oleh daya ketahanannya menghadapi pelbagai aras takungan air, kemasinan dan kekerapan terjadinya banjir.

Namun begitu, bencana telah mengubah keadaan hutan di daerah ini seperti diakibatkan oleh aktiviti pembalakan, dan kebiasaannya diakibatkan oleh kemarau yang panjang menyebabkan banyak kawasan yang terbakar seperti pada tahun 1983.

Jenis-jenis hutan di Kinabatangan

1. Hutan paya bakau

Merupakan tumbuhan utama di bahagian muara dan kawasan paya air payau yang menganjur dari muara Sg.Kinabatangan hingga ke kawasan selepas Kg. Abai.

2. Hutan tebing sungai

Tumbuh-tumbuhan di tebing sungai menguasai kawasan yang tidak dipengaruhi oleh pasang surut dan air payau.

Hutan ini terutamanya terdapat di sepanjang alur sungai utama dan terbentuk di atas tetambak-tetambak besar sungai.

Hutan ini didominasikan oleh pokok-pokok yang memerlukan cahaya matahari seperti Bayur (Pterospermum javanicum), Balik Angin (Colona serratifolia), Pokok Ara (Ficus spesies),
Binuang (Octomeles sumatrana) dan Bungur (Lagerstroemia speciosa).

Spesis belukar lain seperti Laran (Neolamarckia cadamba), Sedaman (Macaranga tanarius) dan Bangkal (Neonauclea gigantean) yang boleh juga ditemui di zon hakisan dan mendapan yang tidak stabil di tebing sungai.

Hutan ini juga diliputi oleh tumbuh-tumbuhan pemanjat seperti pemanjat kekacang Entada rheei.

3. Hutan paya air tawar

Boleh didapati di atas kawasan tanah yang sentiasa atau kadang kala ditenggelami air, atau di kawasan paya di mana saliran permukaannya kurang baik.

Biasanya pokok-pokok di kawasan air bertakung adalah rendah tetapi di bahagian-bahagian paya yang lebih kering, pokok-pokok adalah lebih tinggi.

Pokok-pokok yang sering dijumpai di hutan-hutan paya air tawar di hilir Kinabatangan termasuk Salungapit (Mallotus muticus), Simpoh (Dillenia indica dan Dillenia excelsa), Resak (Vatica rassak), Apid-Apid (Sapium indicum), Bayur (Pterospermum macrocarpum) dan Polod Paya (Arenga
retroflorescens).

4. Hutan tanah kering

Boleh didapati di kawasan yang lebih kering dan jauh dari sungai. Kebanyakan pokok dari jenis
hutan ini adalah dari famili Dipterocarpaceae.

Spesies yang sering dijumpai termasuk pokok Dipterokarpa seperti Urat Mata Daun Licin (Parashorea malaanonan), Urat Mata Beludu (Parashorea tomentella), Seraya Tembaga (Shorea leprosula), Seraya Kelabu (Shorea waltonii), Keruing Putih (Dipterocarpus caudiferus), Kapur Paji (Dryobalanops lanceolata) dan Selangan Jangkang (Hopea nervosa).

Bagi spesies bukan dipterokarpa pula, spesies-spesies berikut selalu dijumpai iaitu Belian (Eusideroxylon zwageri), Sepetir (Sindora irpicina), Kasai (Pometia pinnata), Mengaris (Koompassia excelsa), Ranggu (Koordersiodendron pinnatum), Nyatoh King (Ganua kingiana) dan Jelutong (Dyera costulata).

Kecuali di beberapa kawasan Hutan Simpan seperti Hutan Simpan Bod Tai, Pangi dan Keruak semua hutan jenis ini telah, sedang atau akan ditukar kepada kawasan kelapa sawit.

Selepas diganggu oleh pembalakan, kebakaran dan kegiatan drastik lain maka hutan sekunder terbentuk. Hutan sekunder ini didominasikan oleh pokok-pokok belukar seperti Telinga Gajah (Macaranga gigantean), Sedaman (Macaranga hypoleuca), Magas (Duabanga moluccana), Laran (Neolamarckia cadamba), Kulimpapa (Vitex pinnata), Sengkuang (Dracontomelon dao) dan Bayur (Pterospermum javanicum).

FAUNA

Hilir Kinabatangan kaya dengan kepelbagaian spesies ikan, burung, mamalia, reptilia dan amfibia adalah sangat tinggi.

Kawasan ini merupakan tempat kediaman dan habitat kepada beberapa spesies yang terancam dan jarang ditemui.

Di hilir Kinabatangan, terdapat 10 spesies primat, 4 daripadanya adalah endemik kepada Borneo.

Rangkaian tasik dan paya air tawar di kawasan ini adalah sangat penting untuk pemuliharaan hidupan akuatik, burung-burung air dan amfibia.

1. Mamalia: Primat

a) Monyet bangkatan (Nasalis larvatus)

Spesies yang endemik di Borneo. Walau bagaimanapun, spesies ini terhad kepada kawasan-kawasan tebing sungai, paya gambut dan hutan paya bakau di kawasan tanah pamah pinggir laut.

Spesies ini semakin terancam kerana kehilangan habitat.

b) Lotong Merah (Presbytis rubicunda), Lotong Kelabu (Presbytis cristata) dan Lotong Kikok
(Presbytis hosei) Monyet-monyet ini bersaiz kecil.

c) Orang Utan (Pongo pygmaeus)

Orang Utan adalah haiwan yang endemik kepada Borneo dan Sumatra kebanyakannya tertumpu di
hutan-hutan pamah di bawah 150 m dari paras laut.

d) Kera (Macaca fascicularis) dan Beruk (Macaca nemestrina)

Kera yang mempunyai ekor yang lebih panjang daripada beruk. Kera adalah spesies primat yang
terbanyak di Hilir Kinabatangan.

e) Kelawat (Hylobates muelleri)

Spesies ini juga endemik di Borneo. Haiwan ini memakan serangga kecil dan buah-buahan yang masak.

Spesies ini bergerak dari pokok ke pokok yang lain dengan cara berayun dengan lengan yang panjang. Sebagai binatang arboreal, spesies ini sangat terancam disebabkan oleh kemusnahan hutan.

f) Kera Hantu (Tarsius bancanus)

Sejenis spesies yang aktif bergerak di waktu malam (nocturnal) ini boleh memburu dengan cara menerkam tiba-tiba menggunakan kaki belakangnya yang panjang.

g) Kongkang (Nycticebus coucang)

Sejenis spesies nocturnal yang memakan serangga dan buah-buahan.

2. Mamalia Lain

a) Gajah Asia (Elephas maximus)

Dianggarkan terdapat lebih kurang 150 ekor gajah di kawasan Hilir Kinabatangan mengikut rekod WWF.

Seekor gajah dewasa memerlukan lebih kurang 150 kg makanan sehari terdiri daripada bahagian-bahagian pokok palma, rumput dan batang pisang. Haiwan ini memerlukan kawasan makanan yang luas untuk terus suvival.

b) Badak Sumbu Sumatra (Dicerorhinus sumatrensis)

Spesies ini kini hampir pupus akibat pemburuan untuk mendapatkan sumbunya dan kemusnahan habitat.

Di anggarkan hanya terdapat 3 ekor badak sumbu di kawasan Hilir Kinabatangan.

c) Beruang (Helarcatos malayanus)

Haiwan ini makan buah-buahan, haiwan-haiwan kecil, anai-anai dan sarang lebah. Beruang ini jarang dijumpai dan dipercayai bilangannya semakin berkurangan.

d) Lain-Lain Mamalia

Kelawar, rusa, napuh, kijang, pelanduk, tembadau, babi hutan, kucing liar, tupai, musang, tikus ambang bulan dan memerang antara mamalia lain yang boleh ditemui di Hilir Kinabatangan.

Walau bagaimanapun, spesies-spesies mamalia ini juga dipercayai semakin berkurangan dan terancam akibat gangguan ekosistem dan kawasan habitat mereka terancam oleh kebakaran, pembalakan dan
pemburuan.

3. Spesies burung

Terdapat 198 spesies burung yang tinggal di Hilir Kinabatangan. Bangau dan Pependang Timur sering dijumpai di kawasan tasik-tasik ladam.

Enggang dan Helang adalah burung besar lain yang terdapat di kawasan hilir ini. Burung layang-layang bersarang putih (Collocalia fuciphagus) dan layang-layang bersarang hitam (Collocalia maximus) menghasilkan sarang burung yang boleh dimakan di Hilir Kinabatangan.

Sehingga 70 spesies burung mungkin ditemui dalam masa satu hari dengan berpandukan sebuah buku burung yang lengkap seperti ‘A Photographic Guide To The Birds Of Borneo’ (Davison & Chew, 1996).

4. Reptilia dan Amfibia

Crocodylus porosus yang terdapat di Hilir Kinabatangan adalah spesies buaya yang terbesar di dunia. Ular, kura-kura, tuntung air tawar, biawak dan pelbagai spesies amfibia menghuni kawasan Hilir Kinabatangan.

5. Hidupan air

Tasik dan sungai di dataran banjir Kinabatangan kaya dengan hidupan akuatik. Sehingga sekarang, lebih kurang 90 spesies ikan telah direkod dari kawasan ini.

Antara spesies akuatiknya ialah ikan pari, ikan ‘sawmill’ air tawar dan ikan lumba-lumba Irrawaddy yang terancam masih terdapat di Hilir Kinabatangan.

Udang air tawar juga banyak ditemui di Sungai Kinabatangan.

BACA INI JUGA: 9 Tempat Menarik Lokasi Percutian Di Sandakan

sumber: Facebook/RazidiClo

Seorang blogger yang suka berkongsi ilmu untuk individu yang suka membaca.

1 comments so far

Harap kehebatan dan kekayaan alam tersebut tidak terancam dek kerakusan manusia.

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon