Saturday, October 21, 2017

Kenapa Kita Tidak Ingat Kenangan Semasa Bayi?


Bermula dari saat dilahirkan sehinggalah makanan pertama, perkataan pertama, langkah pertama, kenapa kita sama sekali tidak dapat mengingati apa-apa?

Bayi

Ketidakmampuan seorang bayi mengingati kenangan sewaktu bayi sebenarnya telah lama membingungkan saintis.

Sigmund Frued, seorang ahli psikoterapi telah mencuba untuk mencari jawapan penyebab misteri ini dan beliau menyebut fenomena ini sebagai Infantile Amnesia atau Amnesia Bayi.

Ia adalah ketidakmampuan orang dewasa untuk mengingat kenangan atau peristiwa tertentu yang berlaku ketika zaman kanak-kanak terutamanya sebelum berusia empat tahun.

Menurut pengkaji, otak bayi mampu menerap pelbagai maklumat baru dalam skala kecepatan yang sangat mengagumkan seperti span.

Malah, bayi juga sudah mula melatih otaknya sebelum keluar dari rahim ibu lagi.

Bagaimanapun, bayi tidak mampu mempertahankannya sehingga maklumat tersebut hilang dan dilupakan setelah dewasa.

Saintis juga telah menyenaraikan beberapa penyebab untuk menjelaskan mengapa kita mengalami fenomena Infantile Amnesia.

Tahap Kecerdasan Berbeza

Hermann Ebbinghaus, seorang pakar psikologi Jerman abad ke 19, memberitahu bahawa ia merupakan satu proses semulajadi yang dihadapi oleh semua orang.

Menurut Hermann lagi, manusia sifatnya adalah pelupa. Ada masa kita mudah mengingati sesuatu tetapi ada ketika kita lupa perkara-perkara yang telah terjadi semasa hidup.

Hermann kemudiannya menjalankan satu ekperimen ke atas dirinya bagi menguji batas memori manusia.

Menerusi eksperimen itu, Hermann telah mencipta beribu-ribu suku kata baru kemudian berusaha untuk mengingati setiap perkataan tersebut.

Setelah hari ke 30, beliau dapat mengingati sekitar dua hingga tiga peratus perkataan sahaja.

Hermann kemudiannya membuat kesimpulan bahawa manusia sebenarnya memiliki tahap kecerdasan yang berbeza-beza.

Ada yang boleh mengingati kejadian yang berlaku sejak mereka berusia dua hingga tiga tahun.

Ada pula yang hanya boleh mengingat kenangan ketika berumur tujuh atau lapan tahun.

Namun, secara puratanya ingatan terawal seseorang dikesan muncul dari usia tiga tahun setengah dan untuk mengenang kenangan lebih awal dari usia itu ternyata lebih sukar.

Teori Perkembangan Biologi

Robyn Fivush, pakar psikologi dari Emory University, Atlanta, memberitahu bahawa ingatan itu muncul bila kita sudah mula menguasai kemampuan bertutur.

Bahasa boleh membantu menyediakan struktur penyusunan dalam memori, menjadikan kita mudah mengingati sesuatu dan tanpanya anak-anak tidak akan mampu mengolah dan memproses sebuah pengalaman atau peristiwa.

Kajian yang lebih mendalam oleh dua pakar neuron sains dari Hospital for Sick Children (SickKids), Toronto, turut menemui satu lagi idealogi penting berkaitan dengan perkembangan biologi dengan memanipulasi tingkat neuron hippocampus tikus muda dan dewasa.

Menurut mereka, sama seperti manusia, haiwan seperti tikus dan monyet juga sering lupa kenangan kecil sewaktu kecil.

Hippocampus ialah bahagian otak besar yang terletak di lobus temporal yang memainkan peranan sebagai pusat memori dan pembelajaran.

Pakar neuron tersebut, Paul Frankland dan Sheena Josselyn, mendapati bahawa tikus muda menunjukkan pertumbuhan neuron yang lambat menyebabkan ingatan jangka panjangnya jauh lebih baik.

Sebaliknya, tikus dewasa pula dikesan mengalami pembentukan sel baru menyebabkan kemampuannya untuk mengingat terganggu.

Bagi bayi dan kanak-kanak pula, hippocampus mereka masih belum berkembang.

Pertumbuhan otak bayi hanya akan berlaku dengan cepat pada usia dua tahun pertama selepas lahir.

Ketika ini pembentukan sel-sel baru dikenali sebagai neurogenesis berlaku pada tahap yang sangat tinggi sehingga mengganggu sirkuit otak iaitu pusat penyimpanan kenangan lama.

Akibat gangguan ini akan menyebabkan kenangan lama tidak dapat diakses.

Keadaan ini akan terus berkembang sehingga anak berusia tiga tahun, yang mana ketika ini otak anak telah berkembang sekitar 80 peratus ukuran otak orang dewasa.

Ketika ini gangguan pada sirkuit otak semakin berkurangan kerana pertumbuhan neurogenesis tidak sepantas sebelumnya.

Dan pada tahap inilah kita sudah mampu membentuk ingatan jangka panjang kerana otak semakin berhenti mengembangkan neuron-neuron baharu.

Dengan alasan inilah kenapa secara puratanya kita tidak mampu mengingat kenangan pada usia dua tahun pertama.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA: 7 Pantang Larang Bayi Baharu Lahir Dan Penjelasan Faktanya!

-SENTIASAPANAS.COM

Add Comments

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon