Friday, July 14, 2017

Ambil Iktibar Kisah Orang Soleh, Mengikuti Mereka Adalah Satu Kejayaan


Syair Arab menyebut, "Hendaklah kamu mencontohi orang yang mulia walaupun kamu tidak seperti mereka, kerana mengikuti orang yang mulia itu satu kejayaan."

Orang Soleh

Jika mengikuti orang yang mulia sudah dikatakan satu kejayaan, inikan pula mengikut sahabat dan golongan tabi'in.

Saidina Sufyan Ibn Uyainah menyebut, ketika disebut nama orang soleh, akan turun rahmat.

Saidina Abdullah Ibn Umar pernah menyebut, sesiapa yang mahu mengambil iktibar mahupun pengajaran, hendaklah dia mengambil pengajaran orang yang sudah mati. Mengapa begitu?

Persoalan itu dijawab oleh Saidina Ibn Mas'ud, "Hendaklah kamu ikut jejak langkah kehidupan orang yang sudah mati kerana orang yang hidup tidak mungkin selamat sepenuhnya daripada fitnah."

Muhadir turut berkongsi mengenai kelebihan mempelajari kisah orang soleh antaranya akan dihapuskan dosa oleh Allah SWT.

Disebutkan oleh Saidina Muadz Ibn Jabal, hadis diriwayatkan oleh Imam al-Dailami dalam Musnad al-Firdaus, "Menyebut kisah nabi, termasuk ibadat. Menyebut kisah orang soleh, penghapus dosa. Mengingati kematian adalah sedekah dan mengingatkan kubur akan mendekatkan kamu kepada syurga."

Mendengar kisah orang soleh boleh menghidupkan hati yang mati.

As-Syeikh Othman menyebut di dalam kitabnya, Irsyadul 'Ibad bahawa Nabi SAW bersabda, "Hendaklah kamu duduk bersama dengan ulama (duduk di dalam majlis ilmu mereka) dan mendengar perkataan hukama' kerana Allah SWT menghidupkan hati yang mati dengan nur hikmah seperti Allah SWT menghidupkan bumi yang mati dengan air hujan."

Teguhkan hati dengar kisah tentera Jika kita mendengar kisah orang soleh yang juga menjadi tentera Allah SWT, akan meneguh dan mententeramkan hati.

Al-Imam Junaid al-Baghdadi mengatakan, kisah orang soleh adalah tentera daripada tentera Allah SWT.

Allah SWT menetapkan hati kekasih-Nya dengan kisah itu." Mendengarkan kisah orang soleh untuk mendapatkan ibrah dan pengajaran bukanlah perkara sia-sia.

Kisah mereka adalah satu pengalaman yang tidak akan berbohong kerana pengalaman itu sudah ditempuhi mereka.

Maka, apa yang dilalui mereka itu dan dijadikan pengalaman perlu kita ambil sebagai pengajaran terhadap perkara baik yang mereka lakukan.

Firman Allah SWT yang bermaksud, "Mereka (nabi) itulah, orang yang diberi petunjuk oleh Allah SWT, maka turutlah olehmu (wahai Muhammad) akan petunjuk mereka." (Surah al-An'am, ayat 90)

Al-Imam Abu Hanifah mengatakan, "Hikayat mengenai ulama dan kebaikan mereka itu, lebih aku sukai daripada banyaknya ilmu fekah kerana hikayat ini memuatkan adab dan akhlak mereka itu."

Ada kala kisah mereka itu menjadi teladan yang juga terdapat hukum-hakam mengenai perkara agama.

Menurut Muhammad Ibn Yunus, tidak ada yang lebih memberi manfaat bagi hati selain mendengar riwayat orang soleh.

Antaranya apabila kita mendengarkan kisah orang soleh terdahulu berdepan ujian hidup yang lebih hebat berbanding kita.

Pastinya ini menjadi ubat hati untuk reda dan terima setiap daripada ujian Allah SWT yang mungkin jauh lebih ringan daripada ujian mereka yang terdahulu.

Malek Ibn Dinar menyatakan, cerita orang soleh adalah permata syurga yang sangat mahal untuk kita pelajari maka, beruntunglah kita yang berjaya mempelajari kisah mereka.

Ulama lain mengatakan, pelajarilah kisah orang soleh kerana ia adalah butiran mutiara. Kemungkinan terdapat dalam kalangan mutiara itu, satu mutiara yang sangat mahal dan memberi nilai yang mahal juga dalam hidup kita.

Beri semangat lakukan kebaikan

Selain itu, kisah orang soleh juga menghiburkan hati, menyegarkan fikiran dan memberikan semangat untuk melakukan kebaikan.

Ulama hadis terdahulu menganjurkan kisah menyentuh perasaan dalam pengajian hadis kerana ia dapat menghiburkan hati serta menyegarkan fikiran.

Muhadir turut berkongsi mengenai adab apabila mendengar nama orang soleh.

Imam al-Nawawi menyebut, "Ketika nama seorang sahabat nabi disebut, kita dianjurkan untuk menyebut radhiAllahuanhu. Jika mendengar nama orang soleh, sunat kita baca rahimahullah."

Begitulah bagaimana kisah orang soleh banyak memberi pengajaran dalam kehidupan dan kita seharusnya mengambil iktibar serta teladan atas setiap perkara kebaikan yang mereka lakukan.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA: 30 Wasiat Imam Syafie Sebagai Pegangan

sumber: bharian

Add Comments

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon