Wednesday, June 14, 2017

Sambutan Nuzul Al-Qur'an


Saban tahun menjelang 17 Ramadhan umat Islam di Malaysia akan menyambut ulang tahun Nuzul al-Quran walaupun para ulama masih berselisih pandangan tentang tarikh sambutannya.

Nuzul Al-Qur'an

Ada ulama yang mengatakan 17 Ramadhan bersempena firman Allah dalam surah al-Anfal [8:41]. Ada juga berkata 21 Ramadhan (al-Rahiq al-Makhtum) dan 24 Ramadhan.

Pendapat 24 Ramadhan dipegang oleh para ulama hadis berdasarkan sabda Rasulullah, “Suhuf Ibrahim diturunkan pada malam pertama Ramadhan, Taurat pada 6 Ramadhan, Injil pada 13 Ramadhan, Zabur pada 18 Ramadhan dan al-Qur'an pada 24 Ramadhan.” - Musnad Ahmad.

Walaupun begitu, jangan pula kita tersalah fokus. Bukan tarikh yang perlu diketengahkan dalam perbincangan berkaitan Nuzul al-Quran tetapi sejauh mana semangat kita menghayati isi kandungan al-Quran.

Khazanah Dunia Akhirat

Al-Qur'an adalah kitab suci yang mengumpulkan segala khazanah dunia dan akhirat. Bicaranya mengandungi tajwid, tarannum, tahfiz, tafsir, ekonomi, falsafah, jihad, perubatan, psikologi, kejuruteraan, ketenteraan dan segalanya.

Semakin banyak kajian dibuat terhadap al-Quran maka para pengkaji akan semakin lemas dan mabuk dalam lautan ilmu Allah yang tidak bertepi dan berdasar.

Setiap patah ayat al-Quran adalah cerminan kuasa dan ilmu Allah yang tiada taranya sebagaimana firman Allah:

“(Orang kafir itu tidak mahu mengakui apa yang telah diturunkan Allah kepadamu wahai Muhammad), tetapi Allah sentiasa menjadi saksi akan kebenaran al-Quran yang telah diturunkan-Nya kepadamu. “Allah menurunkannya dengan ilmu-Nya,” dan malaikat juga turut menjadi saksi. Dan cukuplah Allah menjadi saksi (akan kebenaran Al-Quran ini).” (al-Nisa’ [4:166])

Bayangkan apa akan jadi jika Allah tidak menurunkan al-Quran kepada Rasulullah SAW? Kita pasti tidak akan mengenali siapa baginda.

Kita juga mungkin tidak akan mengenali Islam dan siapa Tuhan kita. Kita mungkin masih bergelumang dengan berbagai anutan agama yang tidak tentu jalan akhirnya.

Oleh itu kita wajib bersyukur seumur hidup kerana rahmat dan kasih sayang Allah yang menurunkan kitab ini. Syukur dengan Nuzul al-Quran bermaksud mengambil segala isi kandungannya secara benar, menyeluruh dan adil.

Kita tak mahu orang Islam yang cacat iman berinteraksi dengan al-Quran. Kita tak mahu Muslim yang lidahnya tidak putus membaca al-Quran namun akhlaknya yang buruk memfitnah kesucian al-Quran.

Kita juga tak mahu Muslim yang agresif memperjuang tajwid dan seni lagu al-Quran tetapi sangat “alahan” untuk mengamalkan isi kandungannya. Kita tak mahu merosakkan rasa syukur Nuzul al-Quran dengan semua itu.

Selamat menyambut Nuzul Al-Qur'an.

BACA INI JUGA: Makna Dan Sejarah Nuzul Al-Qur'an

sumber: utusan

1 comment

  1. memang hari nuzulul quran banyak di nantikan oleh para umat islam di dunia .

    ReplyDelete

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon