Friday, May 12, 2017

Misteri Penemuan Bangkai Gergasi Di Indonesia


Masyarakat tempatan di Indonesia digemparkan dengan penemuan satu bangkai misteri haiwan gergasi yang terdampar di Pantai Hulung, Pulau Hatta, Maluku, Indonesia.

Misteri

Bangkai misteri itu ditemui oleh sekumpulan penduduk tempatan yang sedang menangkap ikan di pesisir pantai berkenaan.

Dari segi bentuk fizikalnya, agak sukar untuk memastikan apakah spesis sebenar bangkai haiwan berkenaan.

Ahli Ekologi Laut Universiti Pattimura Ambon, Masudin Sangdaji berkata, bangkai haiwan berkenaan secara fizikalnya dilihat mirip dengan spesis sotong gergasi.

“Daripada gambar yang saya lihat, bangkai berkenaan lebih mirip kepada sotong gergasi namun melihatkan kepada saiznya ia seperti bangkai ikan paus.

“Tetapi, di bahagian kepala bangkai haiwan berkenaan adalah sama seperti sotong namun, ia tidak dapat dipastikan dengan jelas apakah spesis bangkai berkenaan,” katanya memetik laporan Kompas.com.

Beliau turut mengakui agak sukar untuk mengenal pasti spesis bangkai berkenaan kerana terdapat sepasang taring seperti gading gajah di bahagian kepalanya.

“Beberapa penemuan juga berlaku sebelum ini, namun kali ini agak sukar untuk disimpulkan kerana ukurannya yang besar dan memiliki taring seperti gading gajah.

“Penelitian lanjut akan dibuat bagi memastikan apakah spesis sebenar bangkai haiwan berkenaan menerusi ahli taksonomi laut,” ujarnya lagi.

UPDATE (15/5/2017)

Misteri Bangkai Gergasi Terjawab

Bangkai

Misteri penemuan bangkai makhluk gergasi yang ditemui terdampar di pantai kepulauan Seram, Maluku, Indonesia, sehingga menimbulkan pelbagai tanda tanya akhirnya terjawab.

Imej bangkai berkenaan viral di internet sehingga menimbulkan persoalan kepada para saintis: Apakah ia? Bagaimana ia berada di perairan Indonesia?

Menurut laporan The Washington Post, bangkai berkenaan ditemui oleh nelayan tempatan, Asrul Tuanakota, 37, yang menyangka ia adalah sebuah bot yang tersadai di perairan cetek memandangkan saiznya yang besar.

Namun setelah mendekati bangkai berkenaan, Asrul mula menyedari bahawa ia bukanlah seperti yang disangka tetapi satu bangkai gergasi misteri yang berukuran 50 kaki panjang yang berkemungkinan sejenis spesis sotong gergasi berdasarkan kepada anggota badan bangkai berkenaan seakan-akan sesungut.

Bagaimanapun misteri penemuan itu akhirnya terjawab apabila ketua saintis dari Pusat Koservasi Laut mengesahkan bahawa bangkai berkenaan adalah seekor ikan paus berdasarkan rangkanya.

Proses pereputan bangkai berkenaan menyebabkan keadaan fizikalnya berubah sama sekali sehingga ia tidak dapat dikenal pasti.

Kebiasaannya, ikan paus yang mati akan tenggelam ke dasar laut dan bangkainya menjadi makanan kepada hidupan marin lain.

Namun proses pereputan yang dialami bangkai berkenaan agak berbeza kerana suhu air yang panas di perairan berkenaan membenarkan bakteria membiak dan merembeskan gas menyebabkan ia mengembang ke saiz gergasi.

Yang pastinya, penemuan berkenaan menjadi viral di internet dan mengelirukan saintis pada awal penemuannya, ditambah pula dengan pelbagai andaian oleh warga tempatan menjadikan penemuan itu bertambah menarik.

BACA INI JUGA: Misteri Penampakan Lembaga Berjalan Atas Awan!

sumber: mynewshub

Add Comments

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon