Wednesday, April 26, 2017

Siapa Sebenarnya Ejen Pengutip Hutang Dan Perkara Yang Anda Wajib Tahu!

Ejen pengutip hutang. Melalui namanya sahaja kita sudah maklum, tugas mereka ini mengutip hutang pelanggan yang liat menyelesaikan pinjaman pada waktunya.

Ejen Pemungut Hutang

Tidak dinafikan bahawa pekerjaan ejen pengutip hutang ni boleh dilakukan dengan cara yang baik, tetapi apa yang dilaporkan, ada di antara mereka mereka bekerja dengan melanggar etika dan hubungan sesama manusia.

Ejen yang tidak beretika inilah yang bertindak memarahi penghutang tanpa belas kasihan, mengugut dengan pelbagai cara. Memaksa penghutang menjelaskan sebahagian hutang dalam tempoh yang singkat.

Tidak cukup dengan itu, seluruh ahli keluarga penghutang turut dihubungi, mereka turut menerima tempias ugutan. Saman, rumah disita, kereta di tarik, lawatan ke tempat kerja.

Persoalannya siapakah mereka ini. Adakah mereka bekerja dengan agensi berdaftar dan berlesen?

Pengarah Unit Tindakan Khas Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Muhammad Yusuf Azmi berkata, bermula Januari tahun 2017 sehingga kini, pihaknya menerima lebih 1,000 aduan berkaitan ejen pengutip hutang.

“Kesemua kes yang diterima adalah dari sekitar Lembah Klang sahaja. Ini belum lagi aduan daripada negeri dan kes yang tidak laporkan kepada kami.

“Aduan paling banyak diterima berkaitan kenderaan, menerima panggilan telefon daripada ejen mewakili gedung perabot. Jadual pembayaran tidak boleh diubah mengikut kemampuan pengguna.

“Peminjam pinjaman perumahan pula diugut rumah akan dilelong. Pengguna pula hanya memberi notis singkat. Tidak sekadar itu, jika gagal bayar, pengguna berdepan isu bankrap,” katanya.

Tiada apa yang mustahil. Pengguna juga diugut nama mereka akan disenaraihitamkan di Data Systems Sdn Bhd (CTOS) jika gagal menjelaskan sebahagian bayaran dalam tempoh tertentu.

Bagi ‘menghalalkan’ kaedah mengutip hutang, ejen bertindak menghubungi penghutang hampir setiap hari.

Menurut Muhammad Yusuf, ejen pengutip hutang, tidak boleh menghubungi peminjam lebih dari tiga kali seminggu atau 12 kali sebulan, jika peminjam telah menjawab panggilan telefon.

“Tidak cukup dengan kaedah menelefon, ejen ini boleh menyamar menjadi sesiapa sahaja, sama ada pegawai bank, peguam atau menggunakan gelaran tertentu seperti ‘tuan haji’, ‘puan hajjah’, datuk dan datin.

“Ada juga yang menyamar sebagai pegawai polis, tetapi mereka sebenarnya adalah ejen pengutip hutang. Menyamar memang perkara biasa bagi mereka,” katanya.

Identiti ejen meragukan

Sebahagian besar daripada kes diterima, ejen pengutip hutang gagal menunjukkan bukti atau kad kuasa sebagai pengenalan dirinya.

Ejen-ejen ini juga gagal menunjukkan salinan dokumen pelantikan atau surat kuasa yang dikeluarkan Penyedia Perkhidmatan Kewangan yang diwakili mereka ketika menuntut hutang.

“Beberapa kes diterima, ejen sekadar menunjukkan surat penarikan kereta atau dokumen kononnya perintah mahkamah. Jika ingkar tindakan akan diambil. Tiada budi bicara atau belas ehsan.

“Tidak dinafikan ejen pengutip hutang diperlukan dalam keadaan penghutang terlalu liat menyelesaikan pinjaman. Culas dan mengelak membayar pinjaman. Tetapi, jika kaedahnya tidak betul, mengugut, datang tanpa uniform atau kenderaan rasmi syarikat, itu sudah salah. Tidak beretika,” katanya.

Tegas Muhammad Yusuf, ejen pengutip hutang sepatutnya mempunyai kad kuasa. Kad kuasa itu pula perlu tertera nama agensi pengutip hutang dan maklumat untuk dihubungi.

Kad kuasa itu juga perlu menjelaskan nama penyedia perkhidmatan kewangan, nama ejen serta nombor kad pengenalan dan gambar pengutip hutang.

“Penyedia perkhidmatan kewangan seperti bank, gedung perabot, atau pusat membeli belah yang menawarkan pinjaman kredit, perlu memastikan agensi pengutip hutang luar yang dilantik tidak menyerahkan tugas mengutip hutang kepada mana-mana pihak ketiga secara sub kontrak,” katanya.

Buat laporan kepada pihak berkuasa

Penghutang dinasihatkan agar menghubungi pihak berkuasa seperti polis atau bank negara sekiranya ada ejen pengutip hutang bertindak secara tidak berhemah.

“Contohnya, jika ejen itu berada dalam kawasan rumah peminjam atau di tempat kerja lebih lama dari yang perlu dan tidak beredar apabila diminta berbuat demikian.

“Ejen pengutip hutang tidak boleh masuk ke rumah atau hartanah tanpa dijemput atau masuk secara paksa,” katanya.

Tegas Muhammad Yusuf, ejen pengutip hutang juga tidak boleh memusnahkan atau memindahkan secara paksa mana-mana barangan peribadi kepunyaan mana-mana peminjam.

“Mereka dilarang sama sekali mengancam, mengugut atau menyiarkan kegagalan mana-mana peminjam untuk membayar hutang, atau menyebarkan sebarang maklumat peminjam kepada mana-mana pihak ketiga.

“Pengguna juga dinasihatkan membuat laporan jika ejen pengutip hutang menampal poster atau menulis di rumah mana-mana peminjam bagi tujuan memalukan penghutang,” katanya.

Ejen pengutip hutang juga tidak boleh mengganggu keluarga peminjam, saudara mara, jiran, rakan mahupun majikan dalam apa juga bentuk atau komunikasi bagi tujuan mendapatkan lokasi peminjam.

Muhammad Yusuf bagaimanapun, mengakui, isu-isu membabitkan ejen pengutip hutang mengambil masa yang lama untuk selesai.

“Ada yang bertahun-tahun ambil masa untuk selesai. Pengguna boleh buat aduan kepada Majlis Peguam, kepada pihak polis, KPDNKK, tetapi kes tidak boleh selesai dalam kadar segera.

“Pengguna sendiri sebenarnya tidak tahu ke mana kes mereka boleh dirujuk apabila berlaku penipuan oleh ejen pengutip hutang itu sendiri. Kerana itu PPIM memainkan peranan tegas, membantu pengguna,” katanya.

Tambah Muhammad Yusuf, penghutang bagaimanapun bertanggungjawab menguruskan kewangan mereka. Tetapi ejen pengutip hutang pula perlu patuhi etika mengutip hutang bukan buat ikut suka.

nota editor: menerusi pengalaman rakan yang terlibat dengan ejen pemungut hutang, ejen-ejen tidak berkuasa 'menarik' kereta yang tertunggak selepas jam 5 petang.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA: 3 Kaedah Melangsaikan Hutang Dengan Pantas

sumber: sinarharian

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon