Wednesday, November 09, 2016

Bandar Hantu St. Kilda, Pulau Terpencil Yang Dilupakan Dunia


Meskipun kini kita berada di era canggih teknologi pengangkutan dan internet, masih terdapat beberapa tempat terpencil di dunia ini, khususnya di Britain yang sukar untuk diakses selain boleh menyebabkan perancangan anda ke sana gagal dalam apa juga keadaan cuaca.

Kepulauan St. Kilda

Salah satu lokasi berkenaan ialah kepulauan St. Kilda yang terletak 65 kilometer ke barat lautan terbuka Atlantik. Kawasan terpencil itu sangat jauh sehingga kerap tidak dimasukkan dalam peta Eropah mahupun dunia.

Kawasan tersebut juga dikenali sebagai bandar hantu. Hirta yang merupakan pulau utama di St. Kilda merupakan satu-satunya daripada empat pulau yang pernah dihuni dan kini terbiar sejak tahun 1930-an.

Itu merupakan era terakhir kependudukan di situ dan salah satu sebab ia ditutup ialah penghuni terakhir St. Kilda telah meninggal dunia pada April lalu.

Bagaimanapun, kampung berkenaan kini dijaga dan disenggara oleh pihak Amanah Kebangsaan Scotland sebagai salah satu tapak bersejarah.

Satu-satunya cara untuk ke St. Kilda adalah dengan menaiki bot dan perlu menempuh laluan yang mencabar.

Menurut seorang wartawan BBC, Amanda Ruggeri, ketika dia dijadualkan bertolak ke kepulauan itu dari Isle of Skye, kapten bot, Derek telah memberitahu situasi arus laut di kepulauan itu sangat teruk.

Ramalan kaji cuaca berdasarkan peta menunjukkan terdapat pusaran terbentuk di laluan bot ke kepulauan itu.

“Warna merah pada laluan bot adalah sangat teruk,” kata Ruggeri merujuk kepada warna laluan pada peta ramalan cuaca menerusi mesej yang dihantar oleh Derek kepadanya.

Ekoran itu, Ruggeri dan beberapa peserta lain terpaksa menunda perjalanan mereka.

Mujur, keesokan harinya, cuaca menyebelahi mereka untuk mengembara ke St. Kilda. Begitupun, mereka terpaksa menempuh perjalanan menaiki bot selama dua jam dalam keadaan hujan renyai-renyai.

Walaupun St. Kilda terletak di kawasan terpencil, namun ia tidak pernah putus menerima pengunjung. Malah, berdasarkan catatan, kepulauan itu telah dilalui pelayar sejak 7,000 tahun lalu.

Ia dibuktikan berdasarkan penemuan beberapa peralatan batu yang digunakan oleh manusia zaman Neolitik selain beberapa peralatan tembaga.

Selain itu, kepulauan itu juga pernah diduduki masyarakat Viking pada abad kesembilan dan ke-10 berdasarkan penemuan kerongsang dan pedang.

Burung laut

Kepulauan St. Kilda

Kawasan perkampungan yang kini telah terbiar dan menjadi bukti berakhirnya tamadun penduduk di St. Kilda.

Kini, kawasan kepulauan itu menjadi lokasi persinggahan koloni burung laut terbesar di timur laut Atlantik dan menjadi rumah kepada berjuta-juta burung termasuk spesies puffin dan fulmar.

Di Hirta juga, terdapat beberapa bangunan moden yang dibina oleh Kementerian Pertahanan termasuk lojing, blok asrama dan pusat komunikasi dengan kesemuanya dihadkan untuk pengunjung.

“Pihak tentera memberitahu mereka memerhatikan sebarang percubaan melancarkan peluru berpandu dari Bennecula.

“Begitupun, saya pasti bahawa mereka melakukan banyak perkara lain kerana di situ merupakan lokasi terakhir kepulauan British,” kata Derek.

Jelasnya lagi, hanya kemudahan tentera yang baru dibina, manakala bangunan lain adalah bangunan lama yang telah ditinggalkan.

Pulau itu mungkin kelihatan kecil, namun perkampungan yang ada di situ agak besar. Lebih daripada 40 rumah batu dibina di kawasan utama yang dikenali sebagai The Street.

Walaupun runtuhan yang ada kelihatan begitu nostalgia, namun memulakan kehidupan di situ tidaklah begitu baik. Memulakan pekerjaan di situ juga agak susah.

Malah, musim dingin di situ sangat sejuk selain ia turut membawa ribut. Pemburuan burung laut juga memberi satu cabaran yang besar.

Perubahan

Kepulauan St. Kilda

Apabila musim sejuk berakhir, lantai tanah akan meninggi menyebabkan penghuni terpaksa mengoreknya.

Ketika penduduk St. Kilda tinggal di situ, mereka tidak mengamalkan cara hidup moden. Seperti kebanyakan tempat di Scotland, penduduk di situ berada di bawah undang-undang yang diperkenalkan oleh pemilik tanah.

Namun, pada akhir abad ke-19, kepulauan itu semakin kerap dikunjungi pelancong dan apabila mendapati kehidupan penduduk di situ sangat memalukan, Clan MacLeod yang merupakan pemilik tanah telah melakukan perubahan.

Pada tahun 1870-an, dengan menggunakan sumbangan daripada pihak luar, MacLeod telah membina rumah baharu yang lebih moden untuk penduduk di situ.

Namun, binaan itu sebenarnya tidak sesuai dibina di St. Kilda. Ketika ribut melanda pada kelajuan 160 kilometer sejam, tingkap dan pintu tercabut dan penduduk terpaksa berselindung di kandang kuda.

Selepas ribut reda, mereka diarah kembali ke rumah baharu, tetapi tidak dibenarkan membawa sebarang binatang ternakan ke dalamnya.

Pada tahun 1930an, percubaan untuk memodenkan perkampungan di St. Kilda dilihat menemui kegagalan.

Disebabkan kesedaran yang tinggi dalam kalangan penduduk kepulauan itu, mereka akhirnya meminta kerajaan British untuk memindahkan mereka keluar.

BACA INI JUGA:

Sumber: Kosmo

Add Comments

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon