Oct 11, 2016

Zaman Kegelapan Islam

Diktator jatuh. Demokrasi tak semestinya membenih selepas itu. Huru-hara pula yang tercetus dan merebak.

Zaman Gelap Islam

Itu yang berlaku di banyak negara Islam di Timur Tengah dan Afrika. Bertahun-tahun, masyarakat Muslim-Sunni berperih derita dengan kehadiran tentera asing di tanahair mereka.

Di negara tertentu, hidup mereka adalah di bawah penindasan rejim kuku besi.

Hari ini, penindasan atas nama sekularisme telah bertukar kepada suatu yang tak kurang ngerinya, iaitu atas nama agama dan Tuhan. Beberapa tahun kebelakangan ini, bom diledakkan tak putus-putus.

Perang antara tentera dengan tentera telah bertukar menjadi pembunuhan masyarakat awam. Kita lihat di Brussels, Belgium dengan serangan bom di lapangan terbang pada 23 Mac lalu.

Empat hari selepas itu, meledak pula di sebuah taman bunga di Lahore, Pakistan pada hari Paskah, iaitu satu perayaan bagi penganut Kristian.

Siri bom bunuh diri ternyata bukan hanya disasarkan di Eropah atau Amerika. Turut berlaku sehingga di negara-negara majoriti Muslim sendiri, termasuklah di Jakarta pertengahan November tahun lalu. Kelompok radikal dan militan ISIS mengaku bertanggungjawab.

Kelompok ISIS telah secara rasmi mengistiharkan matlamat mendirikan sistem khalifah dan “negara Islam” pada Jun 2014.

Apa yang dimaksudkan sebagai “negara Islam” ialah dengan penegakan syariat Islam termasuk hudud.

Dari video-video yang dimuat-naik oleh kelompok ini, beberapa hukuman bunuh secara tembak mati atau memanggal kelapa di khalayak ramai dilakukan.

Hukuman terbuka begitu dianggap akan menjadikan pengajaran kepada khalayak dan sesiapa pun yang menyaksikannya.

Datang dengan tenang

Kelompok militan dan radikal kini mempunyai beberapa nama di beberapa negara. Selepas 911 di New York, dunia mula mendengar nama “Al-Qaeda” yang dipimpin Osama Ben Ladin. Perang terhadap al-Qaeda menimbulkan pula kelompok lain seperti Taliban yang berpusat di Afghanistan.

Tahun lalu, dunia juga dikejutkan oleh penculitan lebih 200 murid perempuan di sekolah di Nigeria yang dilakukan oleh militan Boko Haram.

Anak-anak perempuan yang beragama Kristian dipaksa memeluk Islam. Bagi Boko Haram, pemaksaan menerima Islam adalah sebuah “pembebasan” kepada penganut agama lain, termasuk Kristian.

Sebahagiannya dikatakan dijual sebagai hamba. Bahkan, ada yang dijadikan sebagai hamba seks.

Secara geo-politik, Nigeria terbahagi dua di mana di bahagian Selatan dihuni majoriti penganut Kristian dan di bahagian Utara pula majoritinya Muslim.

Sama ada Boko Haram, Taliban, Daesh mahupun ISIS, semuanya sering mulanya datang dengan wajah tenang dan bantuan makanan kepada penduduk kampung atau wilayah pendalaman. Ia saling tak tumpah seperti dalam filem “Agora” (2009).

Pendakwah Kristian mula-mula sampai di kota Rom adalah dengan bantuan roti kepada orang miskin.

Kala itu, orang-orang Rom masih menyembah batu-batu berhala, selain kegemaran mempelajari falsafah dan ilmu keduniaan lainnya. Pengkristianan dilakukan berhati-hati dan senyap-senyap.

Di tempat yang tersembunyi, gereja dan perhimpunan diadakan. Sehingga di satu waktu, jumlah penganut Kristian mulai ramai, termasuklah di kalangan anak-anak muda yang miskin.

Dengan jumlah yang mencukupi, akhirnya pedang dan senjata dihunus. Api dinyalakan. Kuil-kuil dan batu-batu berhala tradisi orang kota Rom dibinasa. Dihancurkan di depan mata orang-orang yang berasal dari kota itu sendiri.

Pilihan hanya ada dua. Pertama, masuk Kristian atau kedua, mati.

Begitu juga ketika Boko Haram, ISIS, Daesh atau Taliban sampai di sesuatu kawasan. Misalnya di daerah pendalaman. Mereka menghulurkan roti dan bantuan makanan. Wajah mereka bukan dengan wajah yang bengis, tetapi lembut.

Disambut dengan riang dan penuh persaudaraan. Hanya apabila mendapat sokongan dalaman, barulah senjata akan memainkan peranan. Anak-anak perempuan dilarang sama sekali ke sekolah. Sekolah dibakar.

Lebih dashyat daripada itu, ada yang dijual di pasaran hamba. Lebih-lebih lagi kepada perempuan-perempuan yang tidak berdaya.

Muslim barbarik

Muslim dalam keadaan ini, bukan hanya Muslim dengan hati yang terbakar. Secara tidak sedar, meskipun laungan “Allahu-akhbar” ditempek-tempek, kisah Zaman Pertengahan atau Zaman Gelap berulang. Bukan berulang di Eropah. Kali ini, terjadi pula di Timur, di wilayah di mana Islam itu berawal.

Menakutkan, memang. Kita juga lihat, bagaimana orang yang baru menerima Islam mudah sekali terpengaruh dengan kumpulan ini.

Tidak hairan bagaimana ada di kalangan saudara baru itu, yang datang termasuk dari Australia, United Kingdom, Perancis dan Jerman telah dengan rela terbang ke wilayah konflik di Iraq dan Syria untuk menjadi “tentera Allah”. Menyahut seruan ‘Jihad’.

Di Barat perbincangan mengenainya menjadi hangat. Kemunculan kelompok Muslim barbarik itu yang melakukan aksi bom bunuh diri dikatakan juga berpunca daripada dasar luar Amerika dan sekutu-sekutunya.

Kehadiran tentera Amerika di Iraq, misalnya, telah menjadikan Muslim beralih untuk menjadi radikal.

Hati Muslim yang sedang luka, dihulurkan senjata. Barat dikatakan telah mendapat apa yang mereka tuai sekian lama dalam teori “kebebasan positif” ala Isaiah Berlin.

Pun begitu, menyalahkan Barat sebagai pembenih kepada kelompok Sunni-Militan bukanlah jawapannya.

Stastistik International Centre for the Study of Radicalisation and Political Violence (ICSR) yang berpengkalan di London menunjukan, sekurang-kurangnya tiga ribu orang dari serata dunia telah pergi ke Iraq dan Syria untuk menyertai ISIS.

Wilayah yang dikuasai ISIS di kedua negara itu adalah sebesar United Kingdom. Turut dikuasai bukan sahaja telaga minyak, tetapi juga sungai sebagai punca air yang mengalir sehingga ke Baghdad, ibu kota Iraq.

Sumbangan orang Islam

Tahun lalu, Rakyat Malaysia juga ada yang terlibat. Kita dikejutkan dengan berita mantan Setiausaha Pas Kedah telah bersama dua yang lain berangkat dan sampai di Syria. Beliau juga kemudiannya dilaporkan terbunuh dalam satu pertempuran.

Pada awalnya, kumpulan ISIS dipercayai mendapat dana termasuk daripada penjualan minyak ke pasaran gelap daripada telaga-telaga yang dikuasai mereka. Begitu juga hasil rampasan dan rompakan menjadi antara sumber berbanyak dalam membiayai ‘peperangan’.

Namun, kenyataannya yang lebih membingungkan ialah kewangan mereka juga daripada sumbangan orang Islam kebanyakan yang menderma.

Ada yang memilih kekal hidup di dalam kepayahan dan kemiskinan, tetapi sanggup memberi wang untuk kumpulan jihadi itu.

Sumbangan sedemikian juga dilakukan oleh golongan Muslim profesional dari serata dunia yang percaya dengan matlamat untuk mendirikan khalifah Islam kerana selain daripada sistem kekhalifahan adalah sekular. Sekular adalah bidaah.

Bidaah adalah sesat. Nerakalah balasan kepada orang-orang yang sesat. Begitu garis ringkas dan keras berbau fahaman Wahabi dan Salifi oleh ketua ISIS, Abu Bakr al-Baghdadi yang sering diulangi oleh para pengikutnya.

Budaya nusantara

Kala melihat bagaimana hukum berada di tangan siapa yang memegang senjata, di Asia Tenggara kita mungkin teringat peristiwa Reformasi di Indonesia yang berjaya menggulingkan Presiden Seoharto pada September 1998.

Tiga nyawa mahasiswa Universiti Trisakti terkorban dan tentulah itu harga minima yang perlu dibayar untuk menumbangkan sebuah rejim yang berakar puluhan tahun.

Apa yang lebih mustahak ialah Indonesia kekal berada di dalam sebuah politik demokrasi, meski selepas itu bersusah payah untuk menyempurnakan erti sebuah demokrasi. Mengambil ukuran negara-negara Muslim lain yang bergolak, ternyata ukuran Indonesia 17 tahun lalu jauh lebih berjaya.

Mungkin ini ikhtibar kepada Muslim Asia Tenggara. Muslim rantau ini mempunyai kekuatan budaya tersendiri. Penentangan politik tidak sampai menjadikan undang-undang dibangunkan di hujung pedang.

Muslim di Asia Tenggara boleh sahaja dikatakan lulus dalam ujian ini. Memang wujud satu dua kelompok yang cuba untuk menjadi radikal dan membina rangkaian militannya sendiri, namun budaya orang Nusantara itu sendirilah yang menyebabkan mereka tertolak.

Keamanan adalah kata kunci yang sebati dengan Islam Nusantara. Politik menjadi penting ketika kita lihat saudara-saudara di benua lain bermandi darah dan bercucuran air mata.

Di luar politik yang tersisa satu, iaitu perang. Di dalam perang tak akan apa lagi yang tertinggal.

Harapan kepada Muslim Nusantara akan lebih besar ketika dunia putus harap kepada Islam di benua-benua lain.

BACA INI JUGA:

Sumber: MK

Blogger biasa yang menulis untuk berkongsi berita dan infomasi untuk memberi manfaat dan ilmu pengetahuan.

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon