Oct 20, 2016

19 Jurutera Daerah Jabatan Air Ditahan SPRM!

Ketika kes seleweng dana persekutuan RM3.3 bilion di Jabatan Air Sabah (JAS) terdedah, ada yang menduga ini kes ‘ kenduri sakan’ yakni ramai yang terlibat songlap wang itu.

JAS

Logiknya tidak mungkin hanya pengarah dan timbalan pengarah JAS yang telah ditahan reman boleh tutup aktiviti mereka dan ‘curi’ wang dengan mudah puluhan juta selama ini tanpa penglibatan ramai pegawai bawahannya.

Andaian itu terbukti apabila 19 jurutera daerah JAS berjaya ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana dipercayai ada kaitan dengan kes songlap duit yang terbesar dalam sejarah agensi berkenaan.

Sebanyak RM2.4 juta wang tunai turut dirampas dari kalangan jurutera daerah jabatan yang ditahan itu. Mereka dicekup di 27 lokasi yang berasingan sekitar Sabah dalam operasi dijalankan SPRM sepanjang Rabu.

Setakat ini belum lagi dapat dipastikan apakah ada gejala ‘gotong royong’ songlap wang antara orang atas dengan orang bawah di jabatan tersebut selama ini sebelum skandal itu terbongkar bermula pada awal bulan ini.

Namun difahamkan ‘korek punya korek’ dipercayai jurutera daerah terbabit tergamak mengutip sogokan antara 27 hingga 30 peratus daripada keseluruhan nilai kontrak sesetengah tender projek prasarana yang ditawarkan.

Penahanan secara besar-besaran ramai jurutera jabatan negeri berkenaan telah disahkan sendiri oleh Timbalan Ketua Pesuruhjaya SPRM (Operasi), Datuk Azam Baki dan disiarkan semua media tempatan hari ini.

Beliau bagaimanapun enggan memberi butiran tetapi berkata siasatan itu melibatkan dokumen yang banyak dan ia memerlukan masa sebelum SPRM dapat mengemukakan kertas siasatan kepada Timbalan Pendakwa Raya.

Dalam kes seleweng yang menggemparkan itu, SPRM sebelum ini sudah merampas wang tunai, barangan kemas, geran tanah, kereta mewah dan hartanah bernilai lebih RM170 juta dari pengarah dan timbalan pengarah sahaja.

Apa yang mengejutkan ramai pihak apabila visual wang tunai bertimbun-timbun disorok begitu sahaja dalam laci di pejabat dan di rumah suspek terbabit menjadi viral menerusi media sosial.

BACA INI JUGA: Fakta Kes Pegawai Jabatan Air Seleweng RM3 Bilion Di Sabah!

Sumber: Mynewshub

Blogger biasa yang menulis untuk berkongsi berita dan infomasi untuk memberi manfaat dan ilmu pengetahuan.

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon