Jul 7, 2016

'Bintang Baru Telah Muncul!'

Maharaja Khai Feng memandang ketua ahli kaji bintang istana, Yang Wei-Te, yang datang menghadap pagi itu.

Supernova
Supernova - Gambar hiasan.

"Apa tujuan kedatanganmu, Wei-Te?" tanya maharaja.

"Saya nampak sebutir lagi bintang baru, tuanku," kata Yang Wei-Te dengan bangga.

Malam itu, pada tahun 1054 Masihi, baginda dan seluruh rakyat China mendongak ke dada langit, mengikut arah yang dituding Yang Wei-Te.

Betul, dicelahan bintang-bintang yang halus berkerlipan itu, terdapat satu kilauan cerah yang lebih besar berbanding lainnya.

Ia menyala-nyala mengalahkan bintang-bintang lain, malah cahayanya yang berwarna putih kemerah-merahan itu boleh dilihat dengan mata kasar pada siang hari.

"Tahniah!" ucap maharaja kepada Yang Wei-Te.

"Catatkan penemuan bintang baru ini dalam bukumu," perintah maharaja.

Bintang baru? Salah.

Sebenarnya, apa yang dilihat itu bukanlah penemuan sebutir bintang baru, tapi kemusnahannya.

Apa yang mereka saksikan ialah letupan sebuah bintang besar, yang dipanggil supernova dalam buruj Taurus.

Kerdipan cahaya 'bintang baru' itu kemudiannya pudar sedikit demi sedikit dan langsung hilang sebulan kemudian.

'Bungkusan' gas yang terang-benderang akibat daripada letupan itu terus membesar dalam semua arah dengan kadar kelajuan 1,100 kilometer sesaat.

Saiznya cukup besar, diselimuti awan putih berkilauan, hujungnya dipenuhi filamen-filamen berenda berwarna merah.

Kehadiran 'bungkusan' gas sisa letupan supernova itu dapat dilihat dengan lebih jelas apabila terciptanya teleskop.

Crab Nebula
Crab Nebula.

Ahli astronomi Perancis, Charles Messier, yang menemuinya pada 1758, menamakannya, Messier I.

Bidang astronomi terus berkembang, teleskop lebih besar dan canggih dicipta.

Pada 1840an, ahli kaji bintang amatur Ireland bernama William Parsons menggunakan teleskopnya di Birr Castle, Ireland untuk melihat dengan lebih jelas wajah sebenar nebula itu.

Berdasarkan bentuknya yang seperti ketam, dia menamakannya sebagai Crab Nebula dan terus kekal dengan gelaran itu sehingga kini.

Apabila malam menjelang, perhatikanlah keindahan bintang-bintang yang bertaburan di dada langit kerana itulah bukti betapa agungnya ciptaan Tuhan Yang Maha Agung.

Wallahu a'lam.

BACA INI JUGA: Misteri Friday The 13th Masyarakat Barat

-SENTIASAPANAS.COM

Blogger biasa yang menulis untuk berkongsi berita dan infomasi untuk memberi manfaat dan ilmu pengetahuan.

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon