Jun 24, 2016

Tun Mahathir Gadai Prinsip, Haron Din Jilat Ludah Sendiri

Kenyataan Mursyidul Am PAS, Haron Din bahawa Tun Mahathir menggadai prinsip kerana bersekongkol dengan DAP, yang dianggapnya musuh Islam, adalah lucu dan tidak berasas.

najib-haron din

Lucu kerana Haron Din seolah-olah lupa bahawa PAS cuma baru setahun bercerai dengan DAP setelah berpasangan di dalam Pakatan Rakyat (PR) sejak 2008.

Sebelum itu, mereka bersama-sama di dalam Barisan Alternatif (BA) dari tahun 1998 hingga 2004. Ini tidak termasuk secara bukan harfiah sebelum tahun 1998.

Jika Haron Din menuduh Dr Mahathir menggadai prinsip kerana kerjasama dengan DAP yang dilabel memusuhi Islam, maka Haron Din harus mendesak pemimpin-pemimpin PAS membubarkan parti dan melakukan taubat setiap hari kerana dosa mereka lakukan bertahun-tahun dan berulang kali.

Bukan itu sahaja, Haron Din dan pemimpin-pemimpin PAS yang lain menanggung dosa ahli-ahli dan umat Melayu Islam lain di Malaysia yang diseru menyokong DAP samada semasa di dalam BA atau PR di dalam tahun-tahun yang dinyatakan tadi.

Kerjasama PAS dan DAP di dalam BA dan PR mempunyai tujuan yang nyata – untuk menjatuhkan kerajaan Barisan Nasional yang diterajui UMNO yang Presidennya Melayu Islam.

Jika mereka berjaya, akan jatuhlah seluruh Kerajaan BN yang diketuai UMNO.

Ini amatlah berbeza dengan apa yang diperjuangkan Dr Mahathir hari ini menerusi Deklarasi Rakyat.

Dia mahu menjatuhkan Dato Seri Najib kerana skandal kewangan dan rasuah yang mampu menghancurkan Negara.

Skandal 1MDB itu bukanlah tuduhan liar dan hari ini, yang paling mutakhir ialah permohonan International Petroleum Investment Company (IPIC) yang berpengkalan di Abu Dhabi yang mahu Kementerian Kewangan Malaysia dan 1MDB menjelaskan wang sejumlah US$6.5 billion (lebihkurang RM26 billion) kerana kegagalan 1MDB membayar pinjaman dan jaminan.

Ini tidak termasuk siasatan yang dilakukan terhadap 1MDB kerana pengaliran wang haram (money laundering) yang sedang berjalan di Switzerland, Singapura, Luxemborg, USA, UAE dan beberapa negara lain.

Selain itu, kemasukan wang sebanyak RM2.6 billion ke dalam akaun Najib yang dinafikan pada mulanya, sudah cukup menghilangkan kelayakan Najib sebagai pemimpin negara.

Adalah satu kesalahan yang amat berat untuk seorang Perdana Menteri mempunyai sejumlah wang sebesar itu di dalam akaun peribadinya yang tidak diisytiharkannya sebaik-baik menerima wang itu dan cuma mengaku apabila sudah tidak dapat menafikan lagi.

Skandal inilah yang telah membuatkan Dr Mahathir mengambil keputusan mendesak Najib meletak jawatan ataupun pada peringkat permulaan untuk bercuti sementara dan membenarkan institusi –institusi berwajib melakukan siasatan tanpa halangan atau gangguan.

Najib memilih untuk berdegil memegang jawatan dan akibatnya berlaku gangguan terhadap penyiasatan yang dijalankan terhadap Najib dan 1MDB sehingga Peguam Negara diberhentikan, Gabenor Bank Negara diugut, ketua dan penyiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) diarahkan bertukar dan ditekan.

Jawatankuasa Kira-Kira Negara (PAC) yang sedang menyiasat turut dibubarkan.

Oleh kerana institusi-institusi ini telah dilumpuhkan, maka Dr Mahathir menyeru semua individu-individu berpengaruh di dalam negara untuk bersamanya mendesak Najib untuk meletak jawatan.

Hasilnya, pemimpin-pemimpin parti politik, badan bukan kerajaan, aktivis-aktivis dan pemimpin pelajar telah berkumpul dan bersama dengan Dr Mahathir menandatangani Deklarasi Rakyat (DR) yang fokusnya mendesak Najib meletak jawatan, mahukan reformasi untuk institusi-institusi yang mudah diganggugat oleh pemerintah dan pemansuhan undang-undang era Najib yang bersifat kuku besi dan mengambil-alih kuasa Raja-Raja Melayu.

Selain itu Deklarasi Rakyat turut mempersoalkan GST, kos sara hidup yang melambung tinggi dan kesusahan yang ditanggung oleh rakyat.

Pemimpin politik yang hadir adalah dari UMNO, PKR, DAP, PAN dan juga dari PAS. Sehingga hari ini PAS tidak mengambil tindakan terhadap pemimpin mereka yang menandatangani deklarasi itu kerana diterima bahawa mereka hadir sebagai individu dan tidak mewakili parti.

Jika PAS menerima hakikat bahawa pemimpin mereka yang menandatangani Deklarasi Rakyat adalah atas kapasiti sebagai individu, mengapakah pemimpin lain tidak dianggap hadir dalam kapasiti individu.

Mereka yang menanda tangani Deklarasi Rakyat juga menerima bahawa yang perlu diturunkan ialah Najib dan jika Najib meletak jawatan, pemimpin yang mengambil-alih sebagai Perdana Menteri mestilah menerima sokongan majoriti di Dewan Rakyat.

Dalam lain perkataan, berdasarkan majoriti yang ada pada BN dan UMNO di Dewan Rakyat, perletakan jawatan Najib tidak akan membawa kepada kejatuhan Kerajaan kecuali ahli-ahli BN dan UMNO turut tidak bersetuju dengan pemimpin ganti dari UMNO dan BN.

Ini juga bermakna, penanda tangan Deklarasi Rakyat menerima bahawa perubahan Kerajaan hanya akan berlaku di pilihanraya umum ke 14.

Ini juga menunjukkan bahawa kesemua yang menanda tangani Deklarasi Rakyat menolak Najib dan dia ditolak kerana skandal 1MDB dan wang RM2.6 billion di dalam akaun peribadinya.

Jika diteliti, amat jelas Deklarasi Rakyat tidak ada politik kepartian, tidak ada sebarang pakatan untuk menjatuhkan kerajaan ataupun kepimpinan Melayu Islam atau menukar dasar-dasar Islam yang sedia ada.

Selain itu, jika Najib turun, Deklarasi Rakyat itu secara sendirinya terbubar dan ahli-ahlinya terus bersama parti politik pilihan mereka.

Dari segi mana sekalipun, ini berbeza dengan PAS semasa bekerjasama dengan DAP di dalam BA dan PR yang mahu untuk menjatuhkan kerajaan samada menerusi pilihanraya ataupun demonstrasi jalanan seperti tahun 1998.

Selain itu kenyataan Haron Din bahawa bersahabat baik dengan musuh Islam (dalam konteks Haron Din ianya ialah DAP) “kita akan jadi seperti mereka” agak bercelaru.

Ini kerana Tun Mahathir baharu sahaja “berkenalan” dengan pemimpin DAP berbanding pemimpin PAS dan Haron Din dan itupun semata-mata kerana Deklarasi Rakyat dan tidak dalam satu wadah pakatan politik .

Mungkin kerana Haron Din sudah seperti musuh Islam kerana terlalu lama bersama mereka maka dia sudah lupa bahawa skandal Najib dikeji oleh Islam dan akibatnya telah membuat Melayu Islam satu bangsa yang jelek dan hina.

Jika Haron Din pemimpin yang benar memperjuangkan Islam, dia pasti bersama Tun Mahathir dan menolak Najib dan bukan sebaliknya.

#Kita tertanya-tanya juga, adakah Haron Din sebenar yang berkata demikian atau jin belaannya?

BACA INI JUGA: Sejarah Politik Zahid Hamidi Yang Ramai Tak Tahu!
BACA INI JUGA: Apa Sebenarnya Kesalahan Najib?

Sumber: Apanama.my

Blogger biasa yang menulis untuk berkongsi berita dan infomasi untuk memberi manfaat dan ilmu pengetahuan.

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon